Kembara Ilmu ke Bumi Gaza dan Mesir

Kembara Ilmu ke Bumi Gaza dan Mesir

Zulkifli Hasan

Idea untuk ke Gaza

Misi ke Gaza sebenarnya dirancang secara tidak langsung. Setelah menjalani kembara ilmu di bumi Hijaz, penulis telah merancang untuk ke bumi Palestine. Dengan izin Allah, penulis telah diberikan peluang untuk ke bumi Palestine pada tahun ini. Seperti kembara ilmu sebelum ini, permusafiran kali ini akan meneruskan misi ‘Quest for Meaning’ untuk menelusuri realiti kehidupan. Berdasarkan misi kali ini berkaitan dengan Palestin, maka penulis memilih ‘Road to al Quds’ sebagai tema kembara ilmu. Dengan impian melihat bumi al Quds kembali ke tangan umat Islam, permusafiran ke bumi Gaza dan Mesir menyimpan pelbagai hasrat dan perspektif.

Perancangan ke Gaza bermula apabila Biro Antarabangsa telah merancang beberapa program misi antarabangsa dan ini termasuk misi ke Syria, Turki, Cyprus, Mesir, Tunisia dan Gaza. Setelah memaklumkan hasrat untuk ke Gaza, penulis dimaklumkan bahawa akan ada rombongan ke Gaza dalam masa terdekat. Penulis terus menghubungi Dr. Ishak Masud yang telah merancang untuk ke Gaza dengan misi khas setelah mendapat jemputan daripada Kementerian Kesihatan Gaza.

Berbanding dengan misi yang lain ke Gaza yang melibatkan puluhan ahli rombongan, jaulah kami ini hanya disertai oleh empat orang aktivis termasuk penulis. Kami, tidak memerlukan layanan ‘VIP’ bahkan menggunakan wang sendiri dalam meneruskan misi ini. Ada beberapa misi yang akan diusahakan di Gaza dan antaranya ialah berkaitan hospital, pendidikan dan menyerahkan sumbangan. Penulis dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian hubungan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Gaza. Catatan ringkas ini ditulis di sepanjang tempoh penulis berada dalam permusafiran di bumi Gaza dan Mesir. Perjalanan mengambil masa yang lama ini memberi kesempatan untuk penulis menukilkan pengalaman dan pemerhatian terhadap apa yang dilalui. Moga ia bermanfaat di samping pengajaran serta pengalaman yang diperolehi boleh memberi dimensi baru terhadap realiti kehidupan.

Persiapan Kembara Ilmu

Persiapan yang paling penting dalam setiap permusafiran ialah persediaan ilmu. Penulis telah menelaah serba sedikit sejarah Palestine, Israel, Mesir dan peristiwa penting yang berlaku dibumi anbiya ini. Penulis iuga mempersiapkan mental anak-anak dengan memaklumkan mereka sejarah Nabi Musa, Nabi Yusuf dan lain-lain bagi memastikan mereka dapat memahami ‘ahsanul qasas’ ini.

Anak-anak telah lama didedahkan dengan isu Palestin. Mereka pernah bersama-sama berdemonstrasi anti Israel di United Kingdom dan dermakan duit belanja sekolah mereka untuk Palestine. Cuma, apabila penulis memberitahu misi ke Gaza, anak-anak ada yang menangis kerana bimbang dengan keselamatan ayah. Program mereka sebelum ini seperti di Masjid Paroi banyak mendedahkan kefahaman terhadap isu Gaza. Lagu Maher Zain ‘Palestine Will Be Free’ yang menjadi antara lagu kegemaran mereka serba sedikit memberikan gambaran kepada anak-anak tentang apa yang berlaku di Palestine. Terasa berat juga untuk meninggalkan anak-anak dan isteri. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahayamata Irdina pada November lalu. Dengan tiada bantuan sesiapa, isteri perlu menjaga segala aspek anak-anak termasuk urusan persekolahan dan sebagainya. Isteri dengan rela hati merelakan pemergian penulis bahkan menyediakan segala kelengkapan. Syukur, kerana dikurniakan isteri yang memahami dan sentiasa menyokong penulis.

Penulis juga telah membuat persiapan untuk memberikan syarahan kepada pelajar perubatan di Mesir. Masa sebelum permusafiran adalah masa yang amat sibuk bagi penulis. Dengan urusan pemarkahan pelajar, pelbagai tugas ahli jawatankuasa, Persatuan Penasihat Syariah Malaysia, ABIM dan lain-lain komitmen hampir-hampir menghalang untuk meneruskan misi ini. Malam sebelum perjalanan juga, penulis sibuk menguruskan Syarahan Umum Politik Antarabangsa di Kolej Dar al Hikmah oleh Profesor Dr. Mehmet Asutay daripada Durham Universiti, United Kingdom. Kesibukan ini tidak akan menjadi penghalang untuk meneruskan misi ke Gaza dan Mesir ini.

mehmet poster
Public Lecture on International Politics

Seperti biasa, penulis juga dikirimkan dengan beberapa barang untuk disampaikan kepada anak saudara yang belajar di Mesir. Bagi maksud beberapa urusan semasa di sana, penulis telah menghubungi saudara sekampung isteri iaitu pegawai di ‘Education Malaysia’ di Kaherah dan juga bekas pelajar isteri yang kini menuntut di dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah. Alhamdulillah, mereka sangat baik hati bersetuju untuk membantu semasa di sana nanti.

Bermulanya Permusafiran

Sehari sebelum perjalanan, penulis telah dimaklumkan bahawa permohonan kami untuk masuk ke Gaza tidak dapat diproses kerana faktor tertentu. Agak kecewa dengan berita ini, namun kami tetap tekad untuk meneruskan misi ini walau apa cara sekalipun. Hanya ketika berada di lapangan terbang setelah selesai urusan di kaunter, kami dimaklumkan bahawa urusan untuk masuk ke Gaza selesai dan kami dibenarkan masuk secara rasmi. Alhamdulillah.

IMG-20130131-00860
Bersama Dr. Ishak Masud dan Ustaz Jaafar di KLIA

Misi ke Gaza ini melibatkan hanya empat orang aktivis termasuk penulis iaitu Dr. Ishak Masud, Pengarah Hospital Pakar al Islam, En. Shahrul aktivis Malaysian Relief Agency (MRA) dan Ustaz Jaafar Muhammad, pakar motivasi dan latihan yang juga mantan Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan. Dr. Ishak merupakan pengasas Hospital Pakar al Islam yang sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Antara projek beliau yang penulis kagumi ialah ‘ibadah friendly hospital’ yang diperjuangkannya. Ustaz Jaafar atau Abu Faiz adalah ‘trainer’ bertauliah dan telah menghasilkan beberapa modul dan buku motivasi. Beliau mempunyai puluhan tahun pengalaman mengendalikan program dan kursus motivasi dan sebagainya. En. Shahrul merupakan aktivis kemanusian MRA yang berpengalaman luas dalam misi kemanusiaan. Beliau fasih berbahasa Rusia dan telah melakukan misi kemanusiaan di seluruh dunia. Pengalaman berinteraksi dengan beliau banyak memberikan pengetahuan tentang selok belok tugas kemanusiaan. Pengalaman bersama dengan mereka dalam permusafiran kali ini telah memberikan banyak pengajaran kepada penulis dengan kepelbagaian kepakaran dan pengalaman.

Perjalanan kami bermula pukul 10 malam dan mengambil masa kira-kira 13 jam. Kami telah transit di Bangkok selama hampir sejam setengah. Tempoh perjalanan dari Bangkok ke Kaherah mengambil masa lebih kurang 10 jam. Di dalam kapal terbang, penulis mengambil kesempatan untuk menelaah beberapa buku termasuk beberapa rujukan Bahasa Arab. Adalah sangat penting untuk sekurang-kurangnya mampu bertutur dalam Bahasa Arab yang mudah. Pengalaman penulis mengembara di seluruh dunia sebelum ini terutamanya negara Arab termasuk beberapa Negara Eropah, kemampuan berbahasa Arab banyak membantu dalam urusan semasa permusafiran.

Menjejakkan Kaki di Bumi Mesir

Tepat jam 6 pagi, kami telah sampai di bumi Mesir. Syukur setingi-tingginya ke hadrat Ilahi. Proses urusan masuk di lapangan terbang Kaherah juga berjalan lancar. Pemerhatian awal mendapati bahawa Mesir sudah punya sistem yang agak baik di dalam urusan di lapangan terbang. Petugas juga ramah dan berbudi bahasa. Ini berbeza ketika penulis sampai di beberapa lapangan terbang di Negara Arab lain yang kakitangannya kurang beradab dan tidak mesra pelanggan.

IMG-20130201-00861
Bersama Ustaz Nik Sukimi di Lapangan Terbang Kaherah

Setibanya kami di lapangan terbang, alhamdulillah, Ustaz Nik Sukimi telah lama menunggu dan menyambut kami berserta dengan rakan-rakan yang membantu untuk menguruskan perjalanan kami ke Gaza. Ini merupakan kali pertama penulis berjumpa Ustaz Nik Sukimi yang sudah tinggal di Mesir belasan tahun. Beberapa pelajar perubatan di Kaherah juga sempat kami berjumpa dan beramah mesra dengan mereka.

Perjalanan ke Rafah

Perjalanan kami ke Rafah iaitu sempadan Mesir-Israel agak mencabar. Ini memandangkan kami pergi sendiri tanpa diiringi oleh pengiring yang biasa masuk ke Gaza. Kami berempat mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan walaupun individu yang sepatutnya menjadi pengiring terpaksa membatalkan perjalanannya kerana masalah visa.

Kami bertolak ke Rafah tepat jam 8 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam. Kami menyewa van yang dipandu oleh anak muda mesir berumur 26 tahun yang baik. Beliau solat berjemaah bersama kami. Perjalanan kami diiringi hujan renyai-renyai dengan cuaca sejuk 12 celcius diselangi angin sejuk yang begitu menguji ketahanan.

Semasa perjalanan, penulis menikmati pemandangan bumi Mesir bumi anbiya yang menyimpan seribu satu kisah hebat yang sepatutnya kita teladani dan hayati. Bumi yang subur ini dan kaya dengan khazanah sejarah tidak ternilai menjadikan penulis teruja untuk menziarahi dan melawati tempat-tempat ini. Moga-moga kembara ilmu kali ini akan dapat meningkatkan lagi penghayatan kepada keagungan Allah melalui kisah-kisah agung yang berlaku di Mesir seperti dinukilkan di dalam al Quran.

Satu perkara yang mungkin menarik untuk dikongsikan ialah banyaknya ‘checkpoint’ di sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Gaza. Mungkin lebih 10 checkpoint sebelum sampai ke sempadan Rafah dan Palestine. ‘Checkpoint’ ini dikawal oleh tentera dan setiap ‘checkpoint’ ini ada kereta kebal yang mengawasi keselamatan termasuk askar yang berada dibumbung yang penulis syak penembak tepat kerana kelihatan senjata bersama askar tersebut. Sesudah sampai di Qubri Salam sebelum memasuki kawasan melintasi terusan Suez, kami diminta untuk menunjukkan passport. Sehingga kini, masih tertanya-tanya apakah tujuan ‘checkpoint’ ini dibuat sebegitu banyak? Mengapa perlu ada tentera mengawal ketat di setiap daerah dilengkapi kereta kebal dan pasukan askar yang ramai.

P1170139
Checkpoint sebelum sampai di Rafah

Pemandangan begitu memesonakan sepanjang perjalanan ke Rafah dengan bentuk muka bumi yang indah dan tanah subur ditumbuhi pelbagai jenis tanaman. Kami melepasi terusan Suez di Qubri Salam. Kelihatan kapal-kapal besar yang melalui terusan yang tersohor ini yang hingga kini menjadi tumpuan dunia. Ini merupakan kali pertama, penulis menyaksikan terusan Suez yang telah dibina pada 1869 dan telah melalui beberapa krisis antarabangsa termasuk konflik Arab-Israel pada 1967 dan 1973.

P1170256
Terusan Suez

Kami berhenti singgah di Arish sebuah pekan kecil sebelum Rafah untuk makan tengahari. Alhamdulillah, kami menikmati makanan dengan penuh menyelerakan, tambahan pula kami masih tidak bersarapan pagi. Arish merupakan salah sebuah tarikan pelancong di Mesir bersesuaian dengan kedudukannya di tepi laut. Setelah makan tengahari kami terus ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat. Sedikit cabaran memandangkan cuaca yang amat sejuk dan tanpa ada alat pemanas, kami terpaksa berkesejukan menunaikan ibadah. Walaubagaimanapun, masjid di Arish ini adalah selesa dan bersih.

P1170111
Makan Tengahari di Arish

P1170113
Suasana di Arish

Setibanya kami di Rafah sempadan Mesir-Palestine pada jam 2 petang, kami terus pergi untuk menguruskan urusan untuk masuk ke Gaza. Kami yakin kali ini akan dapat masuk ke Gaza kerana telah membuat urusan seawal sebulan yang lalu. Tambahan pula kami juga mempunyai surat jemputan dari Menteri Kesihatan Gaza. Oleh kerana kerenah birokrasi, kami diwakili En. Shahrul untuk menguruskan proses untuk masuk ke Gaza ini.

Di samping menunggu urusan untuk masuk Gaza, penulis memerhatikan sistem dan prosedur di sempadan Mesir-Palestin. Betapa tidak teraturnya sistem yang digunapakai. Kelihatan peniaga berebut pelanggan dalam keadaan yang tidak tersusun. Terfikir sejenak, situasi yang dilihat ini masih wujud pada abad ke-21. Masih ada lagi Negara yang tidak punya sistem yang teratur untuk uruskan sempadan. Mungkin ini juga antara bukti betapa negara Islam seperti Mesir adalah mundur. Dengan sistem yang ketinggalan dalam dunia moden ini, mana mungkin kita boleh bersaing dengan Negara lain dan dapat membangun serta memajukan negara.

P1170120
Di Sempadan Rafah

Setelah menanti selama lebih 30 minit, En. Shahrul kembali dengan muka sedih. Kami tidak dibenarkan untuk masuk ke Gaza kerana tidak cukup dokumen. Dikhabarkan bahawa pihak keselamatan Mesir melarang kami untuk masuk ke Gaza atas alasan tidak dapat maklumat yang tepat dari Wisma Putra. Kami tetap tenang dengan berita ini kerana yakin urusan kami akan dipermudahkan nanti.

Pihak yang mewakili Kementerian Kesihatan Gaza cuba membantu kami tetapi gagal juga. Mesir tidak melayan sebarang permohonan dari Palestin. Kami telah menghubungi pihak yang uruskan perjalanan iaitu Ustaz Lukmanul Hakim dan beliau menjanjikan akan pastikan kami boleh masuk hari Ahad nanti. Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk kembali ke Kaherah dan mengusahakan proses masuk ke Gaza melalui saluran yang betul. Kami terus pulang ke Kaherah dan telah menghubungi Ustaz Nik Sukimi untuk urusan penginapan. Sepanjang perjalanan, kami berehat kepenatan dan sempat membaca al Mathurat bersama. Moga perjalanan kami ini akan diberkati Allah.

Kami sampai ke Dewan Malaysia Abasiyah Kaherah (DMAK) jam 11 malam. Penginapan kami telahpun diuruskan dengan lancar oleh Ustaz Nik Sukimi. Bayaran penginapan hanya LE100 sehari bersamaan RM50. Kepenatan seharian berada dalam perjalanan mengharungi ribuan kilometer dari Kaherah-Rafah, kami terus berehat tanpa makan malam. Pada malam itu juga, kami berbincang tentang perancangan untuk masuk ke Gaza pada Ahad nanti.

Pesta Buku Kaherah

Seawal pagi, kami bangun awal untuk subuh berjemaah dan membaca al Mathurat. Setelah itu, kami turun untuk sarapan di kantin DMAK. Sarapan seumpama di Malaysia dengan roti canai, teh tarik, nasi lemak dan lain-lain. Semasa sarapan, kami berbincang tentang rancangan untuk masuk ke Gaza. Kami juga merancang untuk tidak melepaskan peluang ke pesta buku Kaherah yang direkodkan sebagai terbesar di Afrika dan antara termasyhur di dunia.

P1170123
Dewan Malaysia Abasiyah Kaherah

Sebelum ke pesta buku, penulis sempat singgah di kedai jahit untuk menempah sepasang ‘suit’. Pada mulanya, penulis langsung tidak berniat untuk berbuat demikian, tetapi memandangkan harganya yang sangat murah dan kualiti kain yang bermutu, penulis ambil keputusan untuk menempah sepasang suit ala ‘nehru’. Mungkin boleh digunakan untuk majlis rasmi nanti dengan tujuan mengelakkan memakai tali leher.

Dengan misi untuk membeli kitab di pesta buku Kaherah ini, penulis menghabiskan masa hampir separuh hari menikmati suasana jualan buku yang begitu menarik. Jika pesta buku Kuala Lumpur kita sudah penat, sudah pasti pesta buku Kaherah bukan tandingannya. Dengan banyaknya buku, penerbit, ramainya pelanggan, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti dan pameran buku seperti ini perlu dikekalkan. Lebih menarik, buku di sini adalah murah berbanding Malaysia. Kitab-kitab yang harga ribuan ringgit di Malaysia, kita boleh dapat dengan harga yang sangat berpatutan dan murah. Mungkin sangat sesuai bagi perpustakaan di Malaysia untuk mereka menghantar wakil untuk membeli secara langsung buku dan kitab yang banyak dan murah ini.

P1170129
Pesta Buku Kaherah

Antara pemerhatian menarik di pesta buku Kaherah ini ialah keseriusan Turki mempromosi pemikiran pimpinan dan tokohnya. Terdapat beberapa gerai jualan buku Turki yang banyak mempamerkan karya tokoh ilmuan mereka termasuk karya terjemahan tokoh pemimpin Turki. Terjemahan biografi dan pemikiran Recep Tayib Erdogan, Abdullah Gul, karya Fethullah Gulen, Badiuzzaman Said Nursi dan banyak lagi boleh didapati digerai Turki ini dengan murah. Terdapat juga buku-buku sejarah Turki serta ketamadunannya. Berbanding dengan negara Islam yang lain, hanya Turki yang kelihatan serius ingin mempromosikan karya-karya tokoh ilmuan mereka. Mungkin pada satu hari nanti, pemikiran tokoh ilmuan Turki ini akan meresap dan menguasai kerangka pemikiran umat Islam berikutan dengan kekuatan karya ilmuan dan strategi mengembangkan idea yang efisyen.

Setelah meninjau dan meneroka secara ringkas pesta buku Kaherah ini, akhirnya penulis telah membeli beberapa buah buku yang boleh memuatkan sebuah kotak untuk dibawa pulang ke Malaysia. Terima kasih Ustaz Nik Sukimi kerana banyak membantu urusan penulis di sini. Oleh kerana kepenatan, kami terus pulang dan berehat sambil makan tengahari di DMAK.

P1170133
Antara buku-buku dan kitab-kitab di pesta buku Kaherah

Program Ramah Mesra Bersama Anak Negeri Sembilan

Tepat jam 7 petang kami telah dijemput untuk menghadiri program besama anak Negeri Sembilan. Kebanyakan anak Negeri Sembilan tinggal di rumah yang disediakan kerajaan negeri di Kaherah ini. Alhamdulillah, kami disambut dengan mesra oleh lebih 50 pelajar. Agak mengejutkan kerana penulis juga diminta menyampaikan pengisian untuk pelajar bersama dengan Dr. Ishak, Ustaz Jaafar dan En. Shahrul.

Dengan tiada persediaan, penulis akhirnya menyampaikan pengisian berbentuk perkongsian pengalaman dengan tajuk Peranan Pelajar dan Kepedulian Umat. Pelajar diingatkan untuk menggunakan setiap saat peluang yang ada ketika menuntut di bumi Mesir ini bagi melengkapkan diri dengan segala bentuk ilmu dan pengalaman serta kemahiran. Moga penyampaian yang ringkas dan pendek ini dapat memberi manfaat kepada pelajar.

P1170137
Bersama Pelajar Negeri Sembilan di Kaherah

Dari raut wajah serta minat ditunjukkan, penulis yakin pelajar-pelajar ini akan menjadi generasi pelapis yang akan berkhidmat dengan seikhlasnya. Setelah program selesai, kami dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana pengisian program ilmu bersama-sama anak Negeri Sembilan ini berjaya dilaksanakan.

Gaza, Aku Datang

Alhamdulillah, menjejakkan kaki di bumi Palestin, merupakan satu impian. Perasaan sebak apabila menjejakkan kaki di bumi ini. Syukur ke hadrat Ilahi. Perjalanan memasuki Gaza begitu mendebarkan. Penulis tidak akan melupakan pengalaman masuk ke Gaza ini. Pada waktu inilah, terasa teruji keberanian. Jika hilang keberanian, sudah pasti Gaza akan dilupakan. Dengan tekad dan persetujuan, kami nekad untuk masuk Gaza walau apa cara sekalipun.

Akhirnya dengan bantuan Allah, kami telah berjaya memijakkan kaki di bumi Palestine. Mungkin sukar untuk digambarkan perasaan pada waktu itu. Impian untuk berada di bumi Palestine telah dimakbulkan Allah. Selama ini, hanya mengenali Palestine melalui bacaan serta menonton dokumentari dan sebagainya, tetapi kali ini berkesempatan untuk berada di bumi bertuah ini.

Kami melempasi sempadan dan sampai di Rafah kawasan Palestin. Rafah sebenarnya ada dua kawasan iaitu yang dikuasai Mesir dan Palestine. Kami terus dibawa ke hospital Emirati yang terletak di Rafah, Palestine. Di hospital ini, kami disambut mesra dengan teh arab. Mungkin ada betulnya tentang cakap-cakap rakan-rakan yang pernah ke Palestine mengenai keramahan dan kesusilaan orang Palestine. Kami dilayan dengan baik. Kemudian, kami berjumpa dengan pengarah hospital, Dr. Walid Marzuq Madhi. Di hospital ini, kami dibawa meninjau sekitar kawasan dan kelengkapan yang diperlukan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Hospital di Rafah

Kami telah dibawa menginap di hotel Commodore yang terletak ditepi pantai Gaza. Pemandangan luar dari bilik adalah begitu indah sekali. Kelihatan nelayan dan kapal di lautan. Apa yang menarik ialah sebesar-besar hotel ini, hanya terdapat kami sahaja yang menjadi pelanggan mereka. Tidak terdapat kelibat sesiapapun yang menginap di hotel ini. Pada malam kami dijemput oleh Dr. Rafat Shanti untuk makan malam di Jabaliah di rumah Dr. Walid. Kami disaji dengan makanan Palestine yang sungguh enak.

Misi Khas Gaza

Seawal pagi lagi, kami telah dijemput oleh Dr Rafat dan terus ke Kementerian Kesihatan Gaza. Di sini, kami berjumpa dengan Dr. Mohamaed Al Kashif,Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Kesihatan, Gaza. Kami membincangkan beberapa cadangan dan projek yang diperlukan oleh Gaza khususnya berkenaan dengan kesihatan dan hospital. Perbincangan kami kemudiannya disertai oleh Menteri Kesihatan Gaza, Dr. Mufid.

P1170176
Kementerian Kesihatan Gaza

Setelah berbincang ringkas, kami terus memulakan lawatan dan tinjauan dengan menuju ke hospital Nasir. Kami dimaklumkan bahawa hospital ini bakal ditutup kerana perintah mahkamah yang memberikan hak tanah hospital kepada keluarga Al Amin. Memandangkan harga tanah di hospital ini tinggi, maka keluarga Al Amin ingin mengambil alih tanah dan menutup hospital ini yang telah berjasa sejak 1962 lagi. Di hospital ini juga kami berjumpa dengan rombongan dari Bahrain seramai 47 orang. Berbanding mereka yang ramai, mungkin mereka agak terkejut kerana misi kami hanya disertai empat orang.

Setelah itu, kami telah pergi ke hospital Rantisi. Menariknya, di hospital inilah isteri Perdana Menteri datang dan memberikan derma dan kami dimaklumkan mengenai persiapan dan lawatan beliau. Kami telah berjumpa dengan Dr. Mustafa, Pengarah Hospital dan berbincang mengenai keperluan hospital. Dr. Ishak begitu komited dengan tugasnya. Kami hanya sekadar mengiringi dan membantu apa yang perlu. Di hospital inilah, kerajaan merancang untuk menambah dua setengah tingkat lagi bagi menampung pesakit yang bertambah setiap hari di samping faktor hospital Nasir yang terpaksa ditutup.

Sejurus selepas itu, kami terus ke hospital Shifa iaitu hospital terbesar di Gaza dengan mempunyai lebih 700 katil. Kami telah dipertemukan drngan Pengarah Hospital dan dibawa melawat ke wad ICU dan bilik kecemasan. Kami dimaklumkan betapa hospital ini mengalami masalah kekurangan ubat-ubatan dan kelengkapan hospital akibat sekatan Israel. Terdapat banyak peralatan yang sudah tamat tempoh dan kehabisan. Masalah ini begitu serius memandangkan di bahagian kecemasan sahaja hospital menerima pesakit yang terlalu ramai dan kadangkala mencapai 700 orang. Kami juga ditunjukkan oleh Dr Aiman, katil di unit kecemasan yang menyaksikan ramainya rakyat Gaza meninggal dunia di katil ini. Beliau juga berkongsi video kanak-kanak yang mati dibunuh Israel dengan keadaan yang begitu menyayat hati.

P1170203
Ramai mangsa kekejaman Israel meninggal dunia di atas katil ini. Kami menyaksikan sendiri rakaman video Dr Aiman beberapa mangsa kezaliman Israel yang melibatkan kanak-kanak

Setelah habis lawatan, kami terus ke Kementerian Kesihatan dan membuat keputusan mengenai projek yang akan dilaksanakan. Umumnya, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengusahakan beberapa projek dan perancangan. Kami meminta pihak Palestin untuk merekodkan minit mesyuarat untuk tujuan rekod dan pengumpulan dana nanti.

P1170195
Disyorkan untuk diamalkan di Malaysia “Merokok adalah haram syarie”.

Meninjau Kehidupan di Gaza

Kami buat keputusan untuk meninjau dan jalan-jalan di bandar Gaza. Kami diiringi oleh oleh Dr. Ahmad untuk melawat sekitar bandar Gaza yang kecil. Kami telah dibawa melawat pasar Gaza yang penuh dengan sayuran segar dan buah-buahan. Kami cuba merasa minuman istimewa Gaza iaitu ‘harub’ yang rasanya sangat manis dan seakan rasa tebu. Kami juga telah membeli strawberyy yang begitu sega, besar dan murah.

P1170211
Pasar Gaza

IMG-20130211-00897
Minyak Zaitun Palestine yang didakwa sebagai terbaik didunia

Setelah itu, kami telah di bawa untuk solat di masjid yang begitu kaya dengan khazanah sejarah yang tidak ternilai iaitu Masjid Umar al Kabir. Binaan masjid ini asalnya bukanlah tempat ibadat dan ia telah dibina sejak zaman sebelum Islam lagi dan berusia ribuan tahun. Kami solat berjemaah di masjid ini dan sempat bermesra dengan jemaah kanak-kanak dan ambil gambar bersama-sama.

P1170219
Masjid Umar al Kabir

Antara pemerhatian yang dapat dibuat mengenai penduduk Gaza adalah keunikan mereka. Berbanding dengan penduduk Mesir yang agak kasar, kurang mesra dan punyai masalah adab serta isu kejujuran, penduduk Gaza adalah berlainan. Sepanjang perjalanan kami, penduduk Gaza adalah sangat berbeza dengan warga di Mesir. Kami serik untuk menyewa teksi dipandu Arab Mesir kerana telah ditipu beberapa kali. Tidak jujur dan kurang adab dan pernah kami diminta beberapa ratus Egypt pound untuk dirasuahkan kepada polis. Kami juga ditipu di restoran apabila dikenakan bayaran yang terlalu mahal dan tidak masuk akal. Mungkin ini pemerhatian yang silap dan tidak tepat kerana masih terlalu baru di Mesir. Cuma ingin diingatkan, ini adalah pemerhatian awal penulis dengan apa yang dilihat dalam tempoh beberapa hari di Gaza dan Mesir.

P1170209
Bersama-sama kanak-kanak Gaza. Mereka begitu gembira dapat bergambar dengan kami

Selain daripada itu, kami juga sempat melawat sendiri beberapa kesan bangunan yang telah dimusnah dan dihancurkan oleh Israel. Kami menyaksikan sendiri balai polis yang telah hancur sama sekali dibom oleh Israel. Satu masa dahulu, Israel telah mengebom semua balai polis di Gaza. Kini, Gaza tidak mempunyai balai polis yang khusus. Begitu ramai yang telah terkorban melalui kezaliman Israel. Oleh kerana tabahnya penduduk Gaza, banyak bangunan dibom telah dibaik pulih dan dibangunkan semula. Kami juga diceritakan dengan pelbagai kisah dari rakyat Gaza tentang kezaliman Israel. Ada yang tempat tingal mereka dibakar, kanak-kanak dan wanita dibunuh, memusnahkan infrastruktur dan banyak lagi. Kesemua ini benar-benar menginsafkan dan menuntut untuk kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah.

P1170150
Antara bangunan yang musnah sama sekali dibom Israel

Selamat Tinggal Gaza

Pada malam sebelum keluar dari Gaza, kami tidur kepenatan dan agak berdebar menanti esok. Seawal 7 pagi, kami bersiap-siap untuk meninggalkan Gaza. Kami singgah sebentar di Institute of Orphanage Gaza untuk berjumpa dengan Pengetuanya dan menziarahi sekitar kawasan rumah anak yatim ini. Terdapat lebih 95 anak yatim di sini dan kebanyakan adalah anak mangsa kekejaman Israel. Kami telah menyerahkan derma orang ramai kepada rumah anak yatim ini dan bersetuju untuk mengusahakan beberapa program untuk mereka.

P1170237
Rumah anak-anak yatim Gaza

Setelah itu, kami ke Kementerian Kesihatan untuk berjumpa Dr. Rafat. Kami terus bergegas ke sempadan bersama Dr. Rafat dan singgah di hospital Emirati di Rafah sempadan Gaza. Dr. Walid dan Dr. Rafat telah mengiringi kami keluar dari Gaza. Pengalaman keluar dari Gaza begitu mendebarkan dan sukar digambarkan. Perjalanan kami dibantu oleh oleh dua orang pemuda Palestin. Setelah melepasi sempadan kami terus ke Kaherah. Kami sampai di Kaherah jam 7 petang dan terus mengambil beg dan minum-minum di kantin DMAK.

Berada di Zagazig Tempat Asal Dr. Mursi

Setelah tiba dari Rafah, kami terus ke Zagazig jam 8 malam dengan menyewa kereta Ustaz Mad Pattani yang telah menetap di mesir lebih 20 tahun. Apa yang menarik tentang orang Pattani ialah kebanyakan mereka bersekolah di Maahad Al Azhar seawal umur 13 tahun. Maka tidak hairanlah kebanyakan mereka benar-benar menguasai Bahasan Arab. Mungkin bagi masyarakat Malaysia untuk menghantar anak-anak seawal umur 13 tahun ke luar Negara adalah satu perkara yang berat dan sukar untuk dilakukan.

Perjalanan ke Zagazig memakan masa dua jam dengan jalan yang berlopak dan berliku. Kami menginap di hotel Marina dan disambut oleh jawatan kuasa program ABIM Mesir cawangan Zagazig. Hotel Marina ini agak mahal berbanding dengan perkhidmatan dan keadaannya yang kurang baik. Perkara ini hanya kecil sahaja dan kami tidak kisah dengan semua itu. Gembira juga apabila berkebetulan berjumpa salah seorang jawatan kuasa yang juga pelajar perubatan di Zagazig adalah alumni Madrasah Idrisiah. Terkenang kembali susah senang bersekola di Madrasah Idrisiah dengan kelengkapan yang serba kekurangan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Pelajar perubatan Zagazig university

Antara perkara menarik mengenai Zagazig ialah di sinilah tempat asal Presiden Mesir ketika ini Dr. Mursi. Beliau berasal dari keluarga sederhana di kawasan yang baik suasana beragamanya. Sebagai seorang aktivis al Ihkwan al Muslimun, beliau mempunyai karakter tersendiri dan dilihat berkemampuan untuk memimpin Mesir secara lebih demokratik. Terdapat juga sesetengah riwayat yang merekodkan bahawa Nabi Yusuf pernah tinggal di Zagazig.

Melihat suasana bandar Zagazig yang sederhana tetapi kelihatan sampah sarap di tepi jalan di merata tempat, menggambarkan betapa umat Islam gagal untuk menjadi umat Islam yang baik. Ibadah solat dan tuntutan agama yang lain gagal untuk mendidik umat Islam untuk menjaga perkara utama dalam Islam iaitu kebersihan. Timbul persoalan di dalam hati, jangan bicara soal jihad, Islam dan perjuangan, jika kewajipan menjaga kebersihan pun tidak dapat dipelihara. Apalah yang nak diharapkan dengan kualiti untuk membela Islam, jika perkara asas inipun diambil mudah.

Seminar Pendekatan Tauhid Dalam Perubatan di Zagazig dan Kaherah

Seperti dirancang, ABIM Mesir dengan kerjasama MRA, Hospital Pakar al Islam menganjurkan seminar Pendekatan Tauhid Dalam Perubatan dengan tema ‘Ke arah Muslim Profesional Berjiwa Tauhid’. Seminar ini adalah idea Dr. Ishak dan program ini juga adalah salah satu usaha untuk memastikan kembara ilmu ini adalah bermanfaat dan penuh dengan aktiviti bermakna.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Perkongsian Ilmu

Selepas sarapan di hotel Marina, kami telah dijemput oleh pelajar untuk ke tempat program di kediaman pelajar perubatan Zagazig. Kami disambut oleh lebih 45 pelajar. Alhamdulillah, program kami berjalan lancar dan mendapat respon yang baik. Pelajar- pelajar juga sangat bekerjasama dan memberikan maklumbalas yang baik.

Kami meneruskan perjalanan ke Kaherah pada jam 6 petang. Sampai di Kaherah jam 8 malam dan menginap di hotel Firaun. Hotel firaun yang dimiliki oleh Kristian Koptik ini berdekatan dengan disko Firaun. Ia betul-betul berhadapan dengan sungai Nil. Pemandangan di luar hotel adalah menarik tetapi cuaca agak berdebu. Agak melucukan kerana kami menginap di hotel Firaun dan berdekatan dengan disko Firaun. Tidak dapat dibayangkan mana-mana hotel di Malaysia yang ingin menamakan hotel dengan kalimah Firaun. Di Malaysia, Firaun adalah simbol kejahatan dan kemungkaran berbanding di Mesir yang dilihat sebagai symbol ketamadunan.

Esoknya, awal pagi kami terus pergi ke Hayyu Sabiq, Markaz Akademi al Quran untuk seminar kedua bagi pelajar di Kaherah. Sekitar 60 pelajar hadir program ini. Dr. Ishak menyampaikan syarahan mengenai maqasid syariah dan ‘ibadah friendly hospital’, En. Shahrul menyampaikan perkongsian mengenai Kesukarelawanan Dalam Islam dan Ustaz Jaafar menyampaikan ceramah mengenai Jatidiri Ahsan Dalam Kehidupan. Penulis membicarakan aspek ‘Medical Negligence from Legal and Shariah Perspectives’.

819254_10200100633189936_564614089_o
Bersama pelajar Mesir di Kaherah

Begitu teruja melihat anak muda yang bersemangat dan punyai wawasan, visi serta komited dengan pelajaran dan kehidupan. Kami sentiasa mendoakan anak-anak muda ini agar menjdi generasi terbaik yang akan berbakti sebaik mungkin kepada umat. Pemerhatian melalui perbualan dan interaksi, anak muda ini punya pemikiran yang baik dan tasawwur yang jelas berserta semangat yang tinggi untuk perjuangkan Islam. Cuma merasakan mereka ini perlu dibimbing kerana perlu melalui proses kematangan dan perjalanan mencari ilmu yang masih panjang. Kekuatan seorang dai bukan sahaja pada semangat tetapi yang paling utama adalah kekuatan ilmu dan kematangan pemikiran. Yakin dengnan kemampuan anak muda ini, satu hari nanti mereka pasti akan dapat menyumbang kepada masyarakat dan seterusnya berbakti kepada agama dan umat.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Cenderamata ingatan

Rihlah di Bumi Alexandria

Pada 8 februari, penulis bersama dengan Ustaz Nik Sukimi serta Siti Nurul Atikah, anak saudara dan rakannya bersama-sama bersiap untuk ke Alexandria. Kami bertolak jam 8 pagi dari Kaherah dan sampai di Alexandria jam 10.45 pagi. Kami melalui bandar Tanta dan Damanhur sebelum sampai di Alexandria. Kelihatan ladang-ladang begitu subur di sepanjang perjalanan. Penulis diberitahu bahawa Mesir mempunyai tanah yang begitu subur untuk pertanian sehinggakan tanah yang sama boleh ditanam dengan pelbagai jenis tanaman tanpa perlu dibaja. Hasil mahsul bumi mesir juga adalah antara yang berkualiti di dunia.

Setelah sampai di rumah Atikah, penulis terus memulakan rihlah Alexandria. Destinasi pertama adalah perpustakaan Alexandria. Perpustakaan ini adalah antara maktabah yang punya koleksi terbaik di dunia. Ia menyimpan pelbagai manuskrip lama dan penting yang kini menjadi rujukan penyelidik seluruh dunia.

P1170315
Perpustakaan Alexandria

Kami meneruskan perjalanan untuk makan tengahari di penginapan MARA yang terletak di tengah bandar Alexandria. Setelah makan tengahari, kami menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Sesudah solat, kami menuju ke Masjid Nabi Daniel. Nabi Daniel dimakamkan di masjid ini. Penulis juga teruja apabila mengetahui bahawa Luqmanul Hakim juga dimakamkan di masjid ini. Peristiwa Luqmanul Hakim yang terkandung dalam al Quran diriwayatkan berlaku di Alexandria. Setelah menziarahi kedua-kedua makam ini, penulis tertanya-tanya mengapa kubur Luqmanul Hakim saiznya adalah kecil berbanding Nabi Daniel. Diriwayatkan bahawa Luqmanul Hakim merupakan seorang yang bertubuh kecil tetapi mempunyai kemampuan akal luar biasa.

P1170337
Makam Nabi Daniel dan Luqmanul Hakim. Makam yang kecil itu adalah makam Luqmanul Hakim

Sebaik habis menziarahi makam Nabi Daniel, penulis berjalan menuju ke arah Roman Theatre berdekatan dengan stesen keretapi Alexandria. Untuk masuk ke Roman Theatre ini, sebanyak LE20 dikenakan. Roman Theatre ini berusia ribuan tahun. Terdapat terlalu banyak kesan tamadun Rom di Alexandria yang boleh dipelajari di Roman Theatre ini.

Roman Theatre ini satu waktu dulu telah tertimbus dan tidak mendapat perhatian kerajaan Mesir. Pada 2006, hasil inisiatif Universiti Warsaw, Poland, sekumpulan ahli arkeologi telah memulakan proses baikpulih Roman Theatre ini dengan kerjasama kerajaan Mesir. Hasilnya, kompleks Roman Theatre ini telah menjadi antara pusat pelancongan di Alexandria dengan menyediakan satu keunikan melalui sejarah tamadun Rom.

Antara menarik mengenai Roman Theatre ini adalah mengenai rekabentuk, teknologi dan kekreatifan bangsa Rom. Penulis tertarik dengan bulatan yang terletak ditengah-tengah Coloseum di Roman Theatre ini. Sekiranya berdiri di atas bulatan ini dan bersuara, ia seumpama menggunakan mikrofon tetapi jika keluar dari bulatan tersebut ia tidak berfungsi. Bulatan ini umpama pentas dan mikrofon yang digunakan oleh pengacara bagi sebarang majlis di adakan di Coloseum ini.

P1170354
Bulatan di tengah Coloseum ini adalah unik kerana seumpama mikrofon

Selain daripada Coloseum, terdapat juga tinggalan daripada tamadun zaman Firaun yang terdiri daripada patung-patung batu yang sangat besar. Pada zaman pemerintahan Islam, direkodkan bahwa pimpinan Islam telah mengarahkan untuk membuang kesemua tinggalan Firaun yang berbentuk patung seperti berhala ini ke laut. Kerajaan Mesir telah membuat inisiatif untuk mengumpul semula patung-patung ini dan diletakkan di sekitar kawasan Roman Theatre ini. Proses menaikkan semula patung-patung ini dari dalam dasar laut mengambil masa bertahun-tahun. Kini sudah terdapat pelbagai patung zaman Firaun telah berjaya dikumpul dan boleh disaksikan di Roman Theatre ini.

P1170366
Kelihatan patung zaman Firaun yang dinaikkan dari dasar laut

Ketika berjalan-jalan di kawasan rekreasi di Alexandria, kelihatan sedang berlaku demonstrasi aman protes terhadap kerajaan Mesir. Sekumpulan pihak berjalan sambil melaungkan pelbagai kata-kata yang meminta Dr. Mursi meletakkan jawatan. Berbanding dengan laporan akhbar dan media elektronik yang melaporkan keganasan dan kekacauan akibat demonstrasi jalanan ini, penulis mendapati demonstrasi di Alexandria ini adalah aman dan tidak melibatkan sebarang kekacauan. Malahan, penulis sempat untuk bersama-sama berada dalam kumpulan pendemonstrasi ini.

P1170385
Menyaksikan Demonstrasi Aman Jalanan di Alexandria

Sekiranya ke Alexandria adalah tidak sah untuk pergi melawat kubu Qaitbay. Qaitbay atau Al-Ashraf Sayf ad-Din Qa’it Bay adalah antara pemimpin hebat Mesir. Kubu ini merupakan antara pertahanan penting kerajaan Mamluk satu waktu dulu. Antara yang menarik mengenai kubu ini ialah ia terletak betul-betul di tepi laut Mediterranean dan pemandanangannya adalah begitu indah dengan air laut yang sangat jernih. Di dalam kubu ini juga terdapat muzium yang mempamerkan ikan ganjil yang terdapat di lautan Mediterranean termasuk set tulang rangka ikan paus yang begitu besar. Mungkin muzium ini sangat sesuai untuk tarikan pelancongan terutama bagi kanak-kanak.

P1170397
Kubu Qaitbay di Alexandria

Oleh kerana masa sudah suntuk, kami memendekkan kembara ini dengan melawat istana Raja Faruk iaitu waris keturunan dinasti Muhammad Ali Pasha yang belot dengan kerajaan Turki Uthmaniah satu waktu dulu. Di kala ramai rakyat mesir yang miskin dan fakir, Raja Faruk telah mendirikan istana yang begitu mewah. Diceritakan bahawa Raja Faruk ini juga gemar berfoya-foya sehinggakan bilangan gundik beliau boleh dikira melalui bilangan pokok tamar yang di tanam di sekitar taman istana. Masyarakat tempatan percaya bahawa setiap kali Raja Faruq mendapat gundik baru, beliau akan mengarahkan tukang kebun diRaja untuk menanam sepohon tamar. Cerita ini mungkin benar mungkin tidak, tetapi kecuaian dan kelemahan Raja Faruq ini mengakibatkan rakyat Mesir sengsara dan tertindas.

P1170442
Bersama Mustafa, pemandu teksi Alexandria di hadapan Istana Raja Faruk

Kami berehat di rumah Atikah beberapa ketika dan kemudian keluar untuk makan malam. Kami menikmati makan malam di restoran Taza. Setelah makan, penulis dan Ustaz Nik Sukimi terus ke penginapan MARA. Di sini, kami berjumpa dengan Ustaz Ishak Pengarah MARA Alexandria dan En. Bakri sebagai pegawai. Mereka bermurah hati untuk memhenarkan kami menginap di bilik tamu. Terima kasih Ustaz Ishak dan En. Bakri.

Setelah berbual dengan Ustaz Ishak, tidak disangka-sangka bahawa beliau adalah aktivis ABIM sejak tahun 70an. Pernah menjadi Yang Dipertua ABIM Jasin Melaka dan Exco ABIM Melaka. Beliau teruja menceritakan pengalaman bersama ABIM. Antara yang menarik ialah ketika zaman ‘team wawasan’ yang cuba untuk merubah kepimpinan UMNO. Mungkin kandungan cerita ini tidak sesuai untuk dikongsikan dalam penulisan ini. Walau apapun, Ustaz Ishak sebagai bekas aktivis ABIM dan kini tidak aktif sebenarnya masih menyimpan pelbagai kenangan bersama ABIM dan mengakui sumbangannya dalam masyarakat.

P1170447
Bersama Ustaz Ishak dan Encik Bakri

Alexandria adalah agak berbeza dengan Kaherah. Bandarnya adalah lebih teratur dan mempunyai sistem pengangkutan awam yang agak baik. Terdapat ‘tram’ dan kenderaan awam yang lain serta jalanraya yang teratur. Alexandria tidak sekotor Kaherah. Walaupun masih terdapat sampah merata-rata tetapi ia masih terkawal dan amat jauh bezanya berbanding Kaherah. Dengan lawatan yang singkat ini, didapati bahawa warga Alexandria lebih bersopan dan teratur. Ini dipersetujui oleh rakan-rakan yang telah tinggal bertahun lamanya di Mesir. Lawatan ke Alexandria serba sedikit menambahbaik persepsi penulis kepada warga Mesir. Sekurang-kurangnya Alexandria mempunyai kualiti dan suasana yang baik berbanding dengan Kaherah yang perlukan transformasi segera.

Firaun, Amr al Asr, Imam al Shafii, Salahuddin al Ayyubi dan Dataran Tahrir

Bertolak dari Alexandria jam 8 pagi, kami sampai di Kaherah pukul 11 pagi. Kami telah menempah sebuah van yang dipandu oleh Ustaz Amin pelajar Usuluddin Universiti Al Azhar, Tanta. Hari ini merupakan hari terakhir di Mesir. Jadi, penulis perlu melawati beberapa tempat yang mesti diziarahi sebelum pulang ke tanahair.

Destinasi pertama yang dituju ialah piramid. Perjalanan mengambil masa lebih 30 minit untuk sampai ke Piramid dari stesen keretapi Ramses, Kaherah. Bayaran masuk ke piramid ialah sebanyak LE60 dan hanya LE2 bagi warga mesir. Kami telah pergi kawasan sekitar tiga piramid yang besar dan beberap piramid kecil disekeliingnya yang dipercayai makam isteri Firaun. Kelihatan berpuluh-puluh ekor kuda, unta dan keldai yang menawarkan perkhidmatan untuk pelancong. Cenderamata dan makanan juga ada dijual. Di kala piramid menampilkan seribu satu persoalan dengan keajaibannya, kawasan sekeliling piramid dipenuhi dengan najis kuda, unta dan keldai. Bau juga menusuk hidung.

P1170460
Piramid

Kami telah masuk ke dalam piramid kecil tempat dimakamkan isteri Firaun. Kedalamannya mungkin lebih 25 meter. Kami terpaksa menuruni tangga yang sangat curam untuk masuk ke dalam piramid. Di dalam piramid ini, terdapat sebuah bilik yang agak luas. Tetapi sebelum sampai ke bilik ini, kami terpaksa tunduk dan turun tangga yang sangat curam. Pengalaman berada di dalam piramid ini tidaklah begitu menerujakan kerana penulis tidak merasa apa-apa kehebatannya. Hanya sekadar batu batu yang disusun menempatkan mayat. Begitu juga dengan Sphinx yang bukanlah terlalu ajaib. Malahan, telahan penulis bahawa Sphinx ini adalah sangat besar seperti piramid juga adalah tidak tepat. Sphinx hanyalah sekadar patung berkepala manusia yang dibina betul-betul berhadapan dengan piramid.

P1170484
Lubang ke dalam Piramid

P1170512
Sphinx

Mungkin wujud persoalan tentang kajaiban piramid ini iaitu keupayaan bangsa purba Mesir untuk membina bangunan sebegini besar dengan teknologi yang terhad. Juga susunan piramid yang begitu ‘accurate’ dan ‘precise’. Agak menakjubkan kemampuan arkitek dan jurubina Firaun pada zaman tersebut. Tertanya bagaimanakah batu-batu besar beribu tan itu mampu diangkat dan disusun menjadi satu binaan yang tidak mampu dibina pada hari ini. Malahan, jika dirujuk, batu-batu ini dibawa khusus dari selatan Mesir iaitu Aswan yang jaraknya sangat jauh dari tempat terletaknya piramid. Dengan kedudukan piramid yang terletak di atas puncak bukit, projek mega oleh Firaun ini membuktikan betapa banyak nyawa, harta dan tenaga dikorbankan hanya demi untuk membina sebuah makam.

Kami meneruskan lawatan dengan menuju Masjid Amr al Asr. Masjid Amr al Asr ini merupakan masjid yang pertama dibina di Mesir dan Afrika. Dikhabarkan masjid ini akan dipenuhi dan dilimpahi jemaah terutamanya pada waktu tertentu seperti Jumaat dan solat tarawikh. Sheikh Jibril, qari terkenal dan tersohor Mesir biasanya akan mengimami solat tarawikh di masjid ini pada malam ke 27 dan pada masa itu, seluruh kawasan masjid termasuk jalanraya dan sekitarnya akan dipenuhi dengan jemaah. Masjid ini pada asalnya adalah kecil sahaja tetapi ia telah dibesarkan oleh orang ramai dan mampu memuatkan ribuan jemaah.

P1170523
Masjid Amr al Asr

Setelah melawati Masjid Amr Al Asr, penulis menuju ke destinasi yang sangat signifikan pada diri iaitu makam dan rumah serta Masjid Imam al Shafii. Terhutang budi dengan sumbangan Imam al Shafii yang tidak ternilai, penulis terus melawat makam Imam al Shafii dan rumahnya yang terletak di dalam kawasan masjid. Akhirnya, tercapai juga impian untuk melihat sendiri rumah dan tempat Imam al Shafii menyampaikan ilmunya.

P1170560
Makam Imam al Shafii

P1170550
Rumah Imam al Shafii

Di kala teruja dengan makam Imam al Shafii, satu perkara yang mewarnai dengan negatif di masjid ini ialah keagresifan peminta sedekah. Peminta sedekah terdiri daripada beberapa perempuan umur pertengahan dan kanak-kanak yang agresif meminta sedekah daripada pengunjung masjid. Selain itu ialah tahap kebersihan di sekitar masjid Imam al Shafii. Semasa dalam perjalanan, kelihatan merata-rata timbunan sampah tidak diuruskan. Hal ini begitu memalukan. Sikap ini mesti dihentikan dan perubahan harus dilakukan. Apalah yang akan dikatakan Imam al Shafii jika melihat kekotoran dan sampah sarap di sekirar masjid dan kawasan perumahan.

Kami terus pergi ke kubu Salahuddin al Ayyubi, kira-kira 15 minit perjalanan dari masjid Imam al Shafii. Kelihatan kubu Salahuddin tersergam gagah di puncak bukit. Terdapat dua masjid di dalam kubu ini. Kubu ini sangat besar dan terdapat beberapa komplek binaan di dalamnya. Kubu ini setanding dengan kubu yang terdapat di Eropah. Kewibawaan Salahuddin diakui oleh semua termasuk rakan dan musuh. Kejayaan beliau menawan kota al Quds dan mengembalikannya ke tangan umat Islam merupakan sumbangan yang tidak ternilai. Kewibawaan Salahuddin dilengkapi dengan ilmu dan ketawadukannya serta ketaatannya kepada Allah perlu diteladani dan dijadikan inspirasi oleh umat Islam.

P1170572
Kubu Salahuddin al Ayyubi

Dataran Tahrir dan Revolusi Mesir

Destinasi terakhir kami di Kaherah ialah Dataran Tahrir. Tahrir mesti di lawati bagi sesiapa yang berminat dengan sejarah revolusi Mesir. Di sinilah tempat terakamnya episod penting sejarah Mesir dan juga dunia di mana rejim Husni Mubarak berjaya ditumbangkan hanya melalui suara keramat rakyat. Dataran Tahrir ini hanyalah tempat rekreasi yang berdekatan dengan pejabat-pejabat kerajaan. Kebanyakan urusan melibatkan kerajaan memerlukan warga Mesir untuk ke Dataran Tahrir. Tiada mercu tanda khusus seperti di Trafalgar Square London untuk menunjukkan bahawa ini adalah Dataran Tahrir. Dataran Tahrir menyaksikan bagaimana jutaan warga Mesir bangun untuk menuntut keadilan dan seterusnya menjatuhkan rejim Husni Mubarak yang sekian lama memperbodohkan warga Mesir.

P1170590
Dataran Tahrir

Dalam keadaan Mesir serba kekurangan dengan pelbagai masalah, mesir telah melalui revolusi yang berjaya menumbangkan rejim Husni Mubarak. Penulis cuba untuk meninjau kesan dan perspektif masyarakat Mesir mengenai revolusi. Mungkin dalam masa lawatan yang singkat ini, tinjauan ringkas boleh memberikan perspektif secara umum mengenai implikasi revolusi Mesir.

Dari sudut politik, Mesir masih melalui krisis politik dan ‘governance’. Masih terdapat rusuhan dan protes terhadap kepimpinan Dr. Mursi. Gerakan pembangkang yang cuba untuk mewujudkan ketidakstabilan menjadi dalang kepada kekacauan. Mengenai sistem di Mesir, masih terdapat banyak kekurangan. Sistem perkhidmatan awam, sistem kenderaan awam dan sistem pendidikan yang masih tidak teratur. Sistem pelupusan sampah yang sangat lemah. Perkara ini ditambah pula dengan sikap warga yang sesuka hati membuang sampah. Sampah sarap kelihatan di merata tempat sehinggakan menimbun tanpa diuruskan.

Mungkin adalah tidak adil untuk menyatakan pekara yang negatif sahaja mengenai Mesir. Diakui oleh ramai warga Mesir betapa ada implikasi yang baik daripada revolusi Tahrir. Ada yang memberitahu bahawa Dr. Mursi telah mula mengusahakan untuk menambahbaik sistem sedia ada dari segala sudut. Sistem pelupusan sampah sudah dimulakan. Sistem perkhidmatan awam cuba untuk dimajukan. Ekonomi mesir juga telah dibangunkan. Mesir juga merupakan aktor yang amat penting dalam proses gencatan senjata antara Hamas dan Israel. Berkebetulan, Presiden Ahmadenijad datang ke Kaherah semasa penulis di sini di mana beliau dan Dr. Mursi membincangkan beberapa perkara yang signifikan kepada dunia Islam. Diharapkan lawatan ini boleh menjadi pencetus ke arah menyelesaikan beberapa isu konflik Timur Tengah seperti krisis di Syria.

IMG-20130208-00888
Buku kisah Rasul dan anbiya diletakkan di masjid untuk kanak-kanak

Antara aspek yang positif juga boleh dilihat ialah usaha untuk menambah baik sitem pendidikan khususnya peranan institusi al Azhar. Dilaporkan Dr Mursi berusaha untuk mengembalikan peranan Al Azhar dan memastikan kebebasannya. Sheikh al Azhar kini sudah mula kembali mendapat tempat di hati rakyat Mesir. Dimaklumkan juga oleh bebberapa warga Mesir bahawa kini sudah ada beberapa perubahan dan usaha untuk menambahbaik sistem pendidikan terutamanya diperingkat pengajian tinggi.

P1170291
Berlatarbelakangkan Masjid Universiti al Azhar bersama anak buah dan rakannya

Penulis juga mengesahkan peranan al Ikhwan al Muslimun dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat Mesir. Rata-rata mengakui bahawa al Ikhwan al Muslimun sangat signifikan kepada Mesir. Hinggakan pemandu teksi yang kami temui, demi untuk menarik minat kami mengaku bahawa beliau adalah Ikhwan. Beliau tahu bahawa jika mengaku Ikhwan, pelanggan akan selesa dan akan mengambil khimat beliau. Kesan gerakan Ikhwan ini mengakar di dalam masyarakat dalam pelbagai bentuk. Perkara inilah yang menjadi formula kejayaan al Ikhwan al Muslimun diterima oleh masyarakat dan akhirnya mendominasi kehidupan dan politik Mesir.

Meninggalkan ‘Ummu al-Dunya’

Pengalaman permusafiran kali ini antara kembara ilmu yang banyak pengajarannya. Alhamdulillah, perjalanan ke Mesir dan Gaza penuh dengan pengalaman. Bersama-sama dengan Dr. Ishak, Ustaz Jaafar dan Encik Shahrul merupakan peluang yang diberikan Allah untuk saling mengenali dan mempelajari falsafah kepedulian umat. Dengan tidak meninggalkan al mathurat dan solat berjemaah serta konsep syura untuk membuat keputusan adalah satu perkara yang begitu dirasakan. Berkesempatan juga untuk bertemu dengan Tan Sri Ali Hashim, tokoh korporat dan berbual-bual semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia kerana berkebetulan menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang sama. Sepanjang perjalanan kembara ilmu ini, penulis dipertemukan oleh Allah dengan pelnagai jenis manusia terdiri daripada mereka yang baik dan sangat komited dengan Islam dan juga mereka yang hanya pada nama Islam tetapi tidak berakhlak seperti seorang muslim.

Begitu menginsafkan bagaimana Allah mengatur perjalanan kami terutamanya ke Gaza dengan pelbagai pengalaman yang tidak dijangka. Berkenalanan dengan ramai manusia hebat yang begitu komited dan ‘passionate’ dengan kerja kebajikan dan untuk umat Islam. Walaupun sudah berada pada tahap yang selesa dan berjawatan tinggi, falsafah kehidupan mereka adalah untuk meneruskan ibadah dan kerja amal ini untuk Islam. Diberikan peluang melihat kehidupan warga Palestine yang didiskriminasi dan dizalimi oleh Israel. Berpeluang untuk menyaksikan gaya hidup dan sikap warga Mesir yang kebanyakannya gagal untuk menghayati cara hidup Islam.

Kembara ilmu ke Gaza dan bumi Mesir merupakan peluang yang diberikan Allah kepada penulis untuk menimba ilmu dan pengalaman yang amat berharga. Pengalaman masuk dan berada di Gaza begitu menginsafkan. Gaza yang melalui sekatan kemanusiaan buat tempoh yang lama dengan serba kedhaifan kekurangan dan dizalimi serta diserang oleh Israel menuntut untuk kita bersyukur ke hadrat Alllah. Ketabahan rakyat Palestin melalui kehidupan yang tidak sempurna seperti kehidupan orang lain adalah dikagumi. Penulis sempat dipesan oleh Dr. Ismail Nasr seorang doktor pakar, begitu yakin mengatakan bahawa ‘kita akan bersama-sama dapat menunaikan solat di masjid al Aqsa dan kembali memiliki bumi al Quds’. Dr. Rafat juga sempat memberikan pesanan kepada penulis ‘we are here for all of you’.

Berada di Kaherah, Alexandria dan Zagazig serta melihat keadaan negara Mesir memberikan pengajaran yang pelbagai. Dalam satu aspek, penulis dapat melihat tamadun beribu tahun yang telah lenyap dan dari sudut lain melihat negara Mesir yang mempunyai pelbagai masalah dan sikap. Dengan institusi al Azhar yang begitu masyhur dengan ketinggian tamadun ilmu itu juga tidak dapat merubah masyarakat. Mesir mempunyai potensi besar untuk mengungguli dunia Islam dengan apa yang dimilikinya sama ada khazanah sejarah dan warisan mahupun modal insan yang secukupnya. Kedudukannya yang strategik dan sangat signifikan dalam menentukan perkembangan dunia Islam, penulis berkeyakinan Mesir akan melalui satu proses transformasi ke arah negara moden yang lebih baik di bawah pimpinan Dr. Mursi.

Peluang yang diberikan Allah dalam kembara ilmu ke Gaza dan Mesir ini merupakan satu anugerah yang sangat besar. Permusafiran di bumi anbiya ini memberi peluang penulis untuk belajar dan meneladani pelbagai perkara dan ini merupakan antara proses kematangan dan membentuk pemikiran dan ‘worldview’ penulis kepada kehidupan dan juga kebesaran serta keagungan Allah. Rihlah kali ini menambah satu dimensi yang segar terhadap realiti kehidupan. Moga jaulah yang ditakdirkan Allah ini akan dapat meningkatkan keimanan kepadaMu ya Allah.

Kaherah, 9 Februari 2013.

5 thoughts on “Kembara Ilmu ke Bumi Gaza dan Mesir

  1. ikelah says:

    assalamualaikum, Lovely write up. Ramai yang travel tetapi idak mampu mengkisahkannya.

    azmi MG

  2. mohd saifullah alhany b. abdul halim says:

    sharp, good and very wise. sila bukuka travelog ini dan jadikan penerbitan abim please

  3. amerudin says:

    penulisan yg mengkagumkan dan boleh dibuat travelog

  4. amerudin says:

    penulisan yg mengkagumkan dan boleh dibuat travelog 9

  5. amerudin says:

    penulisan yang hebat dan boleh dijadikan travelog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s