Visiting Harvard

Academic Visit to Harvard University

John Harvard, the Founding Father of Harvard University

john harvard

Harvard University Campus

Photo Collage Maker_YdJKF5

Meeting with Professor Intisar Rabb

intisar rabb

Langdell Harvard Law School Library

law library harvard

with Mr Yahya Melhem, Harvard Law Librarian

yahya melhem

Libraries at Harvard University

library harvard

Harvard Bookstore

harvard book store

Jumaah Prayer at Harvard University

solat jumaat

Book Discussion at Harvard Bookstore

bedah buku

Harvard Crimson

crimson

With Karen Armstrong at Harvard University

karen amstrong

Harvard Coop

coop harvard

Colorful Harvard University

warni harvard

Harvard Business School

hbs

Harvard Kennedy School

jfk

College Accommodation at Harvard University

kolej harvard

Halal Restaurant at Harvard University

kedai makan harvard

Is Islam Compatible with Democracy?

ADAKAH DEMOKRASI SELARI DENGAN ISLAM?

Zulkifli Hasan

Abstrak

Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat dan produk sekularisme yang tidak boleh diterima dalam Islam. Hatta ada segelintir golongan yang menolak demokrasi secara total dan menganggapnya sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan dan bertentangan dengan prinsip Shari’ah Islam. Persoalan tipikal yang kerap kali diajukan adalah adakah demokrasi serasi dan wujud dalam Islam. Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah kejatuhan empayar Islam dan timbulnya konsep negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka sesuai dengan peredaran zaman. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai teknologi tinggi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan dari segi ilmu pengetahuan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi seringkali dikategorikan sebagai negara-negara yang mundur dan bermasalah dari aspek sosio ekonomi dan politik. Keadaan atau fakta ini menimbulkan secara tidak langsung pengaruh dan kesan demokrasi dan seterusnya menimbulkan persoalan kedudukan demokrasi itu menurut perspektif Islam dalam konteks dunia pada hari ini.

PENDAHULUAN

Mutakhir ini, dunia menyaksikan beberapa insiden dan trajedi kegagalan sistem demokrasi di dunia Islam. Kebangkitan rakyat di beberapa dunia Arab khususnya di Mesir yang dilihat berupaya merubah senario politik di Timur Tengah akhirnya terkubur didalangi oleh oleh rejim diktator baru. Sistem demokrasi yang diperkenalkan di dunia Arab selepas kejatuhan rejim diktator seperti Iraq dilihat juga gagal untuk menjanjikan pembangunan dan keamanan. Fenomena ini seakan membuktikan bahawa demokrasi adalah bermasalah dan tidak sesuai dengan dunia Islam. Malahan, ia menerbitkan satu kegelisahan yang lain di mana warga yang sebelum ini mempunyai sedikit keyakinan pada demokrasi tetapi hari ini mula sudah mempertikaikan kerelevanannya. Sudah pasti ketidakpuashatian ini memberikan ruang kepada sesetengah golongan yang dianggap ekstremis untuk menanam kefahaman perjuangan menubuhkan negara melalui medium yang lebih radikal. Kegagalan sistem demokrasi yang disaksikan pada hari ini juga seolah-olah membenarkan pandangan-pandangan yang menolak demokrasi sebagai satu sistem yang diterima. Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat yang tidak boleh diterima dan diamalkan bahkan ada golongan yang menolak demokrasi secara total dan menganggapnya sebagai perbuatan syirik menyekutukan Tuhan.

Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah terbinanya negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai sains dan teknologi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi ataupun melaksanakan demokrasi yang ‘artificial’ adalah negara-negara yang bermasalah dari aspek sosio ekonomi, politik dan keadilan sosial . Fakta ini pastinya menimbulkan persoalan mengenai model sistem politik yang paling ideal kepada sesebuah negara Islam.

Ulama kontemporari terutamanya ulama haraki secara umumnya menerima demokrasi sebagai salah satu wadah dan saluran untuk melaksanakan Islam sebagai satu gaya hidup. Demokrasi yang mengutamakan hak asasi, kebebasan dan keadilan adalah sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam malahan ia sangat seiring dengan tuntutan maqasid Shari’ah. Bersesuaian dengan signifikannya isu ini, artikel ini cuba menghuraikan pandangan peribadi penulis mengenai konsep demokrasi menurut perspektif Islam dan cuba menjawab persoalan sejauh manakah demokrasi serasi dan sesuai dengan ajaran Islam. Penulisan ini tidak bermaksud untuk membincangkan secara mendalam konsep demokrasi menurut perspektif Islam tetapi bertujuan untuk memperjelaskan secara ringkas teras utama dan konsep asas yang sewajarnya menjadi perhatian semua dalam membincangkan topik yang sangat signifikan ini.

GOLONGAN ‘REJECTIONIST’ (PENOLAK) KONSEP DEMOKRASI

Dunia hari ini menyaksikan masih terdapat pemikiran yang menolak demokrasi sebagai sesuatu yang diterima dalam Islam. Golongan ini menganggap demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam kerana ia adalah ‘western or foregin construct’ dan sistem nilai dalam demokrasi adalah asing dalam Islam. Ayman Dhawahiri, adalah antara mereka yang menolak demokrasi malahan mengaitkannya dengan akidah iaitu menyekutukan Allah . Malahan beliau menyatakan demokrasi merupakan agama baru yang menimbulkan pelbagai permasalahan kepada umat Islam. Pandangan sebegini merumuskan bahawa demokrasi dan Islam itu tidak seiring dan saling bertentangan. Konsep Tawhid yang merujuk kepada kekuasaan Allah swt secara mutlak termasuk aspek politik di mana kuasa membuat undang-undang dan polisi adalah milik Allah swt adalah berlawanan dengan demokrasi yang meletakkan kuasa itu di tangan manusia.

Demokrasi juga dikatakan menyekutukan Allah swt apabila merujuk bahawa kuasa politik dan perundangan kini diletakkan di tangan manusia. Ini berkait rapat dengan kefahaman mengenai konsep hakimiyyah (sovereinity of God) bahawa sistem politik itu adalah hukmullah (God’s rule) dan demokrasi itu adalah hukmu sha’b (Man’s rule). Berdasarkan kefahaman inilah ada golongan yang mengambil pendirian bahawa demokrasi adalah sesuatu perkara yang mensyirikkan Allah kerana ‘sovereignity’ itu diletakkan di bahu manusia dan bukan lagi menyentuh mengenai ‘God’s sovereignity’. Mereka melihat ia berlawanan dengan konsep ‘God’s sovereignity’ yang meletakkan kuasa membuat undang-undang adalah hak milik tunggal Allah swt.

Pandangan yang menolak demokrasi juga menolak sebarang proses demokrasi termasuk pilihanraya dan sesiapa yang terlibat dalam apa jua proses demokrasi ini diiktiraf telah melakukan perkara yang haram dan boleh dianggap sebagai kufur dan syirik. Hukum haramnya mengundi dan terlibat dengan proses demokrasi adalah berasaskan kepada kefahaman bahawa demokrasi itu mengangkat manusia melebihi Tuhannya. Mahmud Abdul Karim Hasan, pemimpin hizb al tahrir misalnya menyelar Rached al Ghannoushi yang menerima konsep demokrasi dan mengkritik keras karya Ghannoushi yang signifikan mengenai hak kebebasan iaitu Hurriyyah al Ammah fi Dawlah al Islamiyyah.

Terdapat juga pandangan lain yang menolak demokrasi kerana ia dianggap sebagai produk tamadun barat. Mana-mana golongan yang menerima demokrasi itu dilabelkan sebagai terpengaruh dengan barat dan tidak lagi mampu untuk berfikir dalam ruang lingkup ketamadunan Islam kerana mengalami sindrom salah faham tentang Islam. Barat dilihat menggunakan demokrasi sebagai alat untuk menguasai Negara Islam. Sheikh Faisal, pemimpin salafi jihadi di United Kingdom misalnya pernah mengatakan bahawa sesiapa yang menerima konsep demokrasi seperti Rached al Ghannoushi adalah lebih buruk dari penganut Hindu dan Kristian. Abdul Rashid Moten dalam artikelnya ‘Democratic and Shura-based Systems: A Comparative Analysis’ membuat kesimpulan bahawa demokrasi merupakan ‘western conspiracy or agenda’ dan ‘cultural imperialism’ untuk menjajah umat Islam dalam bentuk yang baru. Malahan golongan ini melabelkan sarjana yang menerima konsep demokrasi itu sebagai produk ‘urban elite phenomenon’ dipelopori oleh ‘western-educated Muslim elite’.

Al Jamaat al jihadiyah termasuk hizb al tahrir juga mengambil pendirian bahawa demokrasi merupakan nizamu kufr atau sistem yang menyekutukan Allah swt. Mereka berpandangan bahawa demokrasi itu bertentangan dengan ideologi dan idea dalam Islam . Umumnya golongan ini menolak demokrasi dengan membuktikan keburukan sistem ini melalui apa yang berlaku di barat. Wakil yang dipilih melalui pilihanraya bukanlah sebenarnya mewakili rakyat tetapi mewakili golongan peniaga dan pemodal. Golongan ini juga berhujah, demokrasi membolehkan perkara yang haram dihalalkan dan benda yang halal boleh diharamkan seperti riba, zina, homoseksual dan sebagainya. Sistem demokrasi akhirnya membawa kepada keruntuhan moral dan penuh dengan eksploitasi golongan hartawan dan elitis yang memusnahkan masyarakat.

GOLONGAN ‘SECULARIST’ YANG MEMPERSOALKAN KERELEVANAN DEMOKRASI DALAM ISLAM

Selain golongan ‘rejectionist’ terdapat juga pihak yang mempersoalkan kerelevanan demokrasi dalam Islam yang dipelopori oleh golongan ‘arab secularist’. Golongan ini berpandangan bahawa demokrasi adalah produk sekularisasi bercirikan ‘secularist values’. Islam adalah langsung tidak sesuai dengan konsep demokrasi kerana ia bersandarkan kepada fahaman agama manakala demokrasi adalah asing daripada agama. Pandangan yang menerima demokrasi dalam Islam dianggap idea yang hanya cuba untuk replikasi sistem sekular tanpa asas yang munasabah.

Antara tokoh sekular yang mengkritik pandangan yang menerima demokrasi dalam Islam ialah Haydar Ibrahim Ali seorang yang berpemikiran Marxist. Dalam bukunya ‘Islamic Currents and the Question of Democracy’, beliau mengkritik hebat sebarang perbincangan mengenai demokrasi dan Islam. Beliau mengatakan adalah mustahil untuk ‘menyatukan’ nilai-nilai yang ada dalam demokrasi dan Islam. Demokrasi merujuk kepada unsur insani atau humanism manakala Islam pula menjurus kepada konsep Ilahi atau Ketuhanan. Terdapat konflik yang jelas antara nilai humanisme dan Ketuhanan. Golongan ini juga menolak konsep al istikhlaf atau manusia sebagai khalifah yang cuba dikaitkan dengan demokrasi.

DEKONSTRUKSI PERSOALAN MENGENAI DEMOKRASI DALAM ISLAM

Terdapat beberapa sarjana barat yang berpengaruh seperti Benny Moris dan Eliot Cohen membuat tohmahan bahawa Islam adalah agama ‘intolerant, expansionist, evil, and violent’ . Ia mengingatkan penulis ketika menonton suatu rancangan di Amerika Syarikat apabila pembicara di dalam siaran televisyen tersebut mengatakan bahawa semua agama mengajak kepada keamanan kecuali Islam. Ini merupakan pandangan tipikal sesetengah sarjana barat yang mengalami sindrom Islamofobia bahkan menghidapi penyakit kecetekan ilmu asas dalam memahami Islam. Sarjana dan pemikir barat tersohor yang lain seperti John Voll, John Esposito, Karen Armstrong dan David Levering Lewis melihat dengan secara lebih akademik dan adil apabila membicarakan aspek agama dalam sistem politik dan kehidupan.

David Levering Lewis dalam bukunya ‘the God Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215’ mencatatkan bahawa kegemilangan tamadun Islam khususnya pada abad ke 8-13 masihi telah melahirkan tamadun dan peradaban Eropah. Eropah pada waktu itu yang dizahirkan sebagai ‘intolerant and semi-barbaric’ berbanding umat Islam yang toleran dan bertamadun. Malahan beliau menukilkan bahawa ketinggian tamadun Islamlah yang menjadi pencetus kepada ‘a momentous revolution in power, religion, and culture to Dark Ages Europe’. Beliau menyatakan bahawa sekiranya tidak berlaku perhubungan peradaban dan ketamadunan Islam dengan Eropah, Reinassance dan revolusi peradaban tidak akan berlaku di Eropah. Sejarah juga menyaksikan bagaimana Islam memberi kebebasan malahan menyelamatkan ramai nyawa manusia di era pembunuhan yahudi secara besar-besaran di Eropah satu ketika dulu.

Karen Armstrong juga dalam buku terbaru beliau bertajuk ‘Fields of Blood, Religion and the History of Violence’ menolak tuduhan dan persepsi buruk terhadap Islam melalui ‘cultural and historical approaches’. Beliau memberikan dimensi baru yang cuba membetulkan persepsi umum bahawa agama khususnya Islam adalah faktor utama kepada berlakunya pertumpahan darah dan peperangan. Melalui pendekatan budaya dan sejarah beliau menelusuri faktor utama berlakunya pertumpahan darah yang sebenarnya sarat dengan cita-cita politik termasuk bahaya ‘secularism’.

Persoalan yang kerap kali diusulkan dalam pelbagai diskusi dan tema perbincangan ialah apakah demokrasi serasi dengan Islam? Apabila meneliti soalan ini, ia sebenarnya adalah soalan yang tidak tepat dan ‘misleading’. Soalan ini menjurus kepada perbincangan dari sudut teologi yang kerap kali menimbulkan pelbagai polemik dan tidak menyelesaikan masalah. Sekiranya ada yang mempertikaikan keserasian Islam dengan demokrasi persoalan yang sama juga boleh dilontarkan, adakah Budha, Kristian, Judaism, Hindu dan agama lain serasi dengan demokrasi. Sejarah menyaksikan bahawa demokrasi adalah tidak serasi selama ratusan tahun di Eropah yang majority warganya beragama Kristian. Ini juga dinukilkan oleh Francis Fukuyama bahawa persoalan mengenai adakah demokrasi serasi dengan Islam adalah tidak tepat kerana soalan yang sama juga boleh diajukan kepada Kristian, Hindu, Budha, Judaism dan lain-lain agama. Beliau berpandangan bahawa soalan mengenai hubungkait demokrasi dan agama merujuk kepada ‘sociological aspect’ dan bukan ‘theological issue’.

Perbincangan mengenai demokrasi menurut perspektif Islam sepatutnya merangkumi aspek sosiologi dan hukum. Soalan yang sepatutnya diajukan dan dijadikan tema adalah adakah umat Islam boleh menyerasikan diri dengan demokrasi dan adakah prinsip-prinsip demokrasi itu berlawanan dengan prinsip-prinsip Shari’ah. Memandangkan demokrasi itu adalah sebahagian daripada aspek al siyasi dan merupakan cabang atau faraghat, perbincangan mengenainya adalah sangat terbuka kepada ijtihad. Menyentuh konsep ijtihad, ia pastinya melibatkan proses ataupun metodologi berasaskan nas yang sahih dan menggunakan fakulti akal dalam menginterpretasi sesuatu perkara. Ijtihad memainkan peranan yang besar dalam memberikan penyelesaian yang ideal dan praktikal dalam kehidupan manusia termasuk sistem politik.

REKONSTRUKSI KONSEP DEMOKRASI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Setelah melakukan dekonstruksi kepada persoalan mengenai demokrasi, seterusnya penulis ingin menyentuh beberapa aspek demokrasi yang sangat signifikan dalam memahami demokrasi menurut perspektif Islam. Perbincangan mengenai konsep demokrasi hanya akan relevan dan bermakna sekiranya asas soalan atau tema diskusi itu adalah bertepatan dengan disiplin ilmu itu sendiri. Malek Bennabi telah lama menghuraikan dilema umat Islam yang masih mempersoalkan sama ada demokrasi itu serasi atau wujud di dalam Islam. Sarjana dan pemikir Islam kontemporari yang terlibat secara langsung dalam gerakan Islam arus perdana yang telah melalui pelbagai onak dan duri perjuangan juga telah membahaskan konsep demokrasi bersandarkan kepada nilai dan prinsip Islam.
Asal Usul Demokrasi

Demokrasi berasal daripada dua perkataan Greek sekitar 430 sebelum masihi iaitu demo (the rule) kratos (the people) yang bermaksud ’the rule of the people’ atau ’the rule of the masses’. Demokrasi di Eropah dilahirkan melalui reformasi dan Reinassance hasil daripada perjuangan menegakkan keadilan sosial. Dalam erti kata lain demokrasi adalah hasil daripada tindakbalas semula jadi manusia kepada ketidakadilan sosial menerusi gerakan kemanusiaan yang menjunjung nilai kebebasan.

Secara umumnya demokrasi itu merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Joseph Schumpeter mendefinisikan demokrasi sebagai “the democratic method is that institutional arrangement for arriving at political decisions in which individuals acquire the power to decide by means of a competitive struggle for the peoples’s vote.” Definisi ini menggariskan bahawa antara teras utama demokrasi adalah sistem politik dan ’civil liberty’, kerajaan, rakyat dan masyarakat sivil. Sistem demokrasi ini melalui proses pilihanraya yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak tepat. Walaupun, demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ia telah melalui satu proses yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya.

Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan untuk mendapatkan demokrasi itu merupakan usaha suci rakyat semata-mata untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan. Pengaruh daripada ketinggian dan ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah, Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al hurriyyah’ pada waktu itu juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi.

Penulis sangat yakin bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Ibn Arabi, Ibn Sina dan ramai lagi. John Makdisi, Christopher Weeramantary dan ramai lagi sarjana barat mengakui bahawa tamadun Islam bukan sahaja memberi sumbangan dari sudut sains dan teknologi tetapi juga mempengaruhi ramai pemikir dan ahli falsafah barat. Ini diakui sendiri oleh David Levering Lewis yang menyatakan bahawa sekiranya tiada kegemilangan tamadun Islam pastinya tiada juga tamadun dan peradaban Eropah termasuk sistem demokrasi yang diagung-agungkan itu.

Konsep Hakimiyyah dan Faraghat

Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Universiti Stanford secara jelas menyatakan bahawa ‘Islam and democracy are fully compatible. Beliau mempertahankan pandangannya dengan mengatakan bahawa “the contention that Islamic and democracy are diametrically opposed to each other is without foundation’. Menghuraikan dengan lebih lanjut, beliau membicarakan konsep Islam dan kebebasan, undang-undang, tadbir urus dan kepentingan ekonomi manusiawi yang kesemuanya seiring dengan prinsip demokrasi. Pandangan ini juga sebenarnya disepakati oleh ramai ulama dan pemikir terkemuka kontemporari seperti Yusuf al Qaradawi, Rached al Ghannoushi, Tariq Ramadan dan ramai lagi. Namun begitu, ucapan Anwar Ibrahim adalah ringkas dan tidak menyentuh dan menjawab beberapa persoalan golongan ‘rejectionist’ dan ‘secularist’ yang mengkritik keras konsep demokrasi dalam Islam.

Meneliti hujah golongan ‘rejectionist’ dan ‘secularist’, sememangnya mempunyai persamaan yang nyata walaupun berlatarbelakang yang berbeza. Dengan perbezaan fahaman dan ideologi, golongan’rejectionist’ dan ‘secularist’ ini seakan bersama dalam mempersoalkan kerelevanan demokrasi dan Islam. Cuma, kedua-dua golongan ini menggunakan hujah yang berbeza sesuai dengan kefahaman dan disiplin ilmu yang dimiliki. Bagi menjawab persoalan ini, adalah amat penting untuk memahami konsep hakimiyyah dan faraghat serta kaitannya dengan demokrasi. Selain daripada itu, perbincangan demokrasi juga perlu berlaku dengan kaedah dan metodologi serta perspektif yang bersesuaian seperti yang diungkapkan oleh Malek Bennabi, pemikir dan sarjana hebat Islam berasal dari Algeria.

Malek Bennabi membicarakan konsep demokrasi secara mendalam dalam bukunya Al Dimuqratiyyah fi al Islam. Bennabi mempersoalkan kaedah dan metodologi dalam membincangkan persoalan adakah demokrasi wujud dalam Islam? Sekiranya menggunakan metodologi perbandingan demokrasi sebagai konsep politik yang memberikan autoriti kepada manusia dalam sesuatu sistem sosial dan Islam sebagai konsep metafizik yang melihat bahawa autoriti itu hanyalah amanah dari Tuhan maka sudah pasti ia akan menimbulkan pelbagai persoalan dan polemik. Bennabi menyatakan bahawa jawapan kepada persoalan ‘adakah wujud demokrasi dalam Islam? Ialah merujuk kepada pemahaman secara menyeluruh kepada prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Beliau menukilkan bahawa konsep demokrasi itu ‘not necessary obtainable from a given rule of fiqh deduced from the Quran or the sunnah, but is obtainable from a comprehensive understanding of the essence of Islam’.

Al Ghannoushi menukilkan beberapa kali bahawa pandangan yang menolak demokrasi secara total dan mengaitkannya dengan kesyirikan mempunyai permasalahan dari aspek kurangnya ilmu mengenai elemen kemanusiaan dan juga telah diindoktrinasi dengan fahaman Islam yang sempit melalui bacaaan literature yang terhad. Beberapa konsep penting seperti hakimiyyah (Sovereignity of God) dan faraghat (ruang untuk berijtihad) perlu difahami secara mendalam dan berhikmah. Golongan yang menolak demokrasi ini sering menggunakan konsep hakimiyyah sebagai hujah utama.

Al Ghannoushi melihat bahawa konsep hakimiyyah itu juga sebenarnya adalah selari dengan demokrasi sekiranya difahami dengan mendalam. Beliau menjelaskan maksud sebenar konsep kerajaan Islam yang merujuk hukmullah dan demokrasi itu sebagai hukm al sha’b dengan merumuskan bahawa “hukmullah does not mean that God comes down and governs humans, but means the sovereignty of law, which is fundamental feature of a modern state, the state of law and order. God is the absolute sovereign but in the sense that the authority of anything or anybody else is relative and isderived from God”. Konsep hukmullah, secara tidak langsung memberi maksud bahawa manusia adalah khalifah Allah yang menjalankan tanggungjawab memakmurkan muka bumi ini yang disebut sebagai hukm al sha’b. Amanah yang dipertanggungjawabkan ini kepada manusia adalah terhad dan bersumberkan Shari’ah dan menepati konsep ahlul hal wal aqd. Konsep hakimiyyah ini selari dan tidak bertentangan dengan unsur demokrasi iaitu hak kebebasan. Ini kerana konsep hakimiyah ini yang menjadi garis panduan kepada manusia untuk menguruskan urusannya di dunia.

Demokrasi juga sebenarnya adalah hanya sebahagian kecil daripada aspek al siyasi dan dikategorikan sebagai faraghat atau ruang untuk ijtihad seiring dengan peredaran masa dan zaman. Ini berkait rapat dengan konsep al dini (akidah dan ibadah) dan al siyasi (politik dan hubungan sesama manusia). Demokrasi adalah salah satu aspek al siyasi yang diharuskan ruang untuk berijtihad dan berbeza pandangan. Sebagai contoh, Rasulullah saw tidak pernah meninggalkan wasiat atau apa-apa hukum mengenai metod pemilihan pengganti Baginda sebagai khalifah. Ini menunjukkan konsep faraghat memberikan ruang kepada para sahabat untuk membuat ijtihad mengenai cara pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah saw. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam membuka ruang berijtihad secara fleksible dalam aspek yang secara semulajadinya adalah berubah dengan peredaran zaman dan ini termasuk aspek al siyasi . Ini merupakan salah satu kekuatan dan hikmah prinsip Shari’ah Islam yang memberi kemudahan dan ‘flexibility’ apabila melibatkan urusan al siyasi.

Bagi menjawab pandangan golongan ‘secularist’ yang mengatakan bahawa demokrasi dan Islam adalah bertentangan dari segi konsep demokrasi itu sendiri, ia memerlukan kefahaman kepada teks dan sumber al Quran dan al Sunnah secara menyeluruh. Menerima demokrasi tidak bermakna penerimaan secara total tanpa had dan batasan. Model demokrasi dalam ‘realm’ Islam adalah bersandarkan kepada konsep hakimiyyah (Sovereignity of God) dan manusia diberi ruang untuk berijtihad selagi mana ia tidak bertentangan dengan nas-nas syarak yang merujuk konsep faraghat. Falsafah yang mengangkat suara rakyat merupakan terjemahan daripada konsep al istikhlaf, iaitu manusia sebagai khalifah dan mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir muka bumi ini dengan amanah yang diberikan oleh Allah swt.

Reformasi al Siyasi dan Konsep Syura

Sekiranya ditelusuri sejarah, Islam telah mendahului reformasi politik sejak dari zaman Rasulullah saw. Setelah kewafatan Rasulullah saw, buat pertama kalinya dalam sejarah pada masa itu, ummah diberikan hak untuk memilih khalifah atau pemimpin mereka melalui wakil yang menduduki kerusi syura. Rasulullah tidak pernah meninggalkan wasiat atau apa-apa hukum tentang pewarisan khalifah kepada keluarga Baginda mahupun ahli keluarga terdekat. Ini merupakan satu reformasi al siyasi yang luar dari amalan biasa mana-mana kerajaan pada waktu itu sama ada empayar Rom mahupun Parsi.

Reformasi al Siyasi yang dimulakan pemerintahan Islam ini boleh dikatakan sebagai satu ‘revolutionary process’ di mana rakyat yang diwakili oleh ahli syura bermesyuarat untuk memutuskan siapa yang layak menjadi khalifah. Tiada mana-mana sistem pemerintahan pada waktu itu yang memberikan ruang untuk rakyatnya atau wakil bagi memilih pemerintah utama Negara. Kesemuanya mengamalkan hak pewarisan pemerintahan daripada seorang ketua Negara atau dalam erti kata lain sistem monarki.

Reformasi politik ini juga menyaksikan penginstitusian syura. Syura yang dianggotai oleh individu terbaik mewakili umat Islam pada masa itu dan syuralah yang membuat keputusan-keputusan penting Negara termasuk memilih khalifah. Sesuai dengan keadaan pada waktu itu, institusi syura ini boleh dianggap sebagai menepati salah satu ciri prosedur dalam sesebuah sistem demokrasi. Ini boleh disaksikan dengan jelas dalam kes pemilihan Khalifah pengganti Saidina Umar al Khattab. Institusi syura telah menetapkan dua nama yang tersenarai sebagai calon paling layak sebagai Khalifah iaitu Saidina Uthman ibn Affan dan Saidina Ali Ibn Abi Talib. Buat pertama kalinya dalam sejarah, satu tinjauan umum dilaksanakan kepada warga Madinah secara saksama pada waktu itu tidak kira perempuan ataupun lelaki, Islam ataupun Yahudi bagi mendapatkan maklumbalas umat mengenai pemilihan khalifah. Akhirnya Saidina Uthman ibn Affan telah dilantik menggantikan Saidina Umar al Khattab sesuai dengan kehendak suara majoriti rakyat pada waktu itu.

Demokrasi sebagai salah satu dari aspek al Siyasi itu adalah sesuatu yang progresif dan dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat atau ”al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan)’ bagi menjamin hak-hak dan kebebasan berlandaskan syarak. Kuasa rakyat ini tidak bersifat mutlak tetapi bersandarkan kepada hakimiyyah iaitu ‘Sovereignity of God’. Penginstitusian syura merupakan reformasi al siyasi yang menjadi antara asas kepada proses demokrasi itu sendiri. Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap sebagai proses penginstitutian konsep syura dalam bentuk yang lebih segar, moden dan sesuai dengan waqi’ moden.

Al Hurriyyah (kebebasan)

Al hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada unsur demokrasi. Dalam isu ini penulis sangat tertarik untuk merujuk karya Rachid al Ghannoushi bertajuk Al-Hurriyah al ‘Ammah fid Dawlah al Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam). Buku ini penulis anggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran politik Islam kontemporari. Dalam buku ini, al Ghannoushi melihat demokrasi sebagai natijah daripada proses dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak. Kebebasan dan hak ini jugalah yang menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh beliau dalam karyanya yang lain bertajuk ”Al Dimuqratiah wa al Huquq fi al Islam”.

Kebebasan dalam Islam mestilah seiring dengan keadilan. Konsep hurriya wa al Adala adalah asas kepada demokrasi dalam Islam. Ini dijelaskan dalam al Quran menerusi Surat al Ma‘idah ayat 8: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Begitu juga dalam Surah al An’am ayat 115 di mana Allah berfirman: “Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui”.

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika itu merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam. Bersandarkan kepada dalil yang sahih dan sejarah yang panjang bahawa Islam itu hanya akan subur dan segar di mana sahaja al hurriyyah itu didokong. Al hurriyyah yang dimaksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu. Prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan kebebasan dan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah) dan musyawarah (syura).

Hubungan Dengan Bukan Islam

Dalam konteks demokrasi dibawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Bagi maksud ini, konsep ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ dan ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam.

Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Ukhuwat al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.

Istilah ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan politik kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil seorang intelektual dan ulama haraki ini juga berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoriti bukan Islam di Malaysia. Beliau memetik beberapa ayat al Quran yang tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan seperti di dalam surah al Hujurat: 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara’tetapi dengan maksud yang lebih luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. Ini dirakamkan oleh Allah swt di dalam al Quran seperti (…akhuhum Nuh…) surah al Shu`ara’: 105, 106, (akhuhum Lut) surah al Shu`ara’: 160,161, (akhuhum Hud) surah al Shu`ara’: 124, dan (akhuhum Salih ) surah al-Shu`ara’:1 42. Kata akhuhum dalam ayat-ayat ini secara jelas member makna persaudaraan walaupun pada waktu itu masih ada warga yang masih tidak beriman dengan Allah swt.

Hak Asasi Manusia

Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam dan demokrasi mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan demokrasi Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini sebenarnya adalah manifestasi daripada kurang kefahaman mengenai konsep Islam itu sebagai agama rahmat untuk sekelian alam. Ayat 70 surah al Isra secara jelas mengangkat martabat manusia yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu yang menunjukkan keuniversalan Islam itu sendiri.

Sejarawan selalu merujuk dokumen Magna Carta pada zaman pemerintahan King John of England pada 1215 masihi yang dianggap sebagai pencetus kepada perubahan demokratik menuju demokrasi dalam sejarah Eropah. Namun, ramai yang tidak merujuk kepada dokumen yang lebih awal lagi iaitu pada 622 masihi yang juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada deklarasi hak asasi manusia terawal iaitu Piagam Madinah. Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal iaitu 23 fasal mengenai hubungan antara umat Islam sesama umat Islam dan 24 antara umat Islam dan bukan Islam termasuk yahudi . Di dalamnya terdapat banyak deklarasi hak asasi manusia seperti hak kesamarataan sebagai warga Madinah tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Deklarasi Hak Asasi Manusia Kaherah 1990 juga menggariskan 25 fasal mengenai prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang selari dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diisytiharkan pada 1948 di Paris. Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) dalam kajiannya bertajuk ’Human Right in Islam’ juga mengesahkan bahawa konsep hak asasi manusia adalah tidak bertentangan dengan Islam bahkan Islam memelihara dan mengangkat hak asasi manusia secara adil dan saksama.

Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah swt di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Aspirasi mengangkat hak asasi manusia tidak bermakna ia boleh melampaui prinsip-prinsip syarak. Batas-batas hak asasi ini disandari dengan nas-nas syarak yang berkait rapat dengan konsep hakimiyyah di mana hanya Allah swt yang Berkuasa Mutlak dan manusia perlu mematuhi batas dan perintah yang terkandung dalam al Quran dan al Sunnah. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Shari’ah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ia bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Memetik pandangan Professor Cherif Bassiouni yang dikenali sebagai ‘Father of International Criminal Law’ yang menulis bahawa “the basic principles of Islam and the accused’s rights are well articulated and developed in the various jurisprudential schools, and some are more liberal than others. They correspond to many international human rights standards”. Ini jelas membuktikan unsur memelihara hak asasi yang dituntut oleh Islam adalah selari dan seiring dengan prinsip demokrasi.

Tahaluf Siyasi

Antara perkara yang sehingga kini masih menjadi perdebatan mengenai demokrasi ialah isu perkongsian kuasa dengan bukan Islam atau dalam istilah tersohornya iaitu ‘tahaluf siyasi’. Ironinya, di saat amalan politiknya sudah jelas bahawa sudah terlaksana konsep perkongsian kuasa ini untuk sekian lamanya, masih ada segelintir pihak yang kembali mempersoalkan keharusan ‘tahaluf siyasi’ ini. Hinggakan sudah ada gerakan dan arus baru yang cuba mempengaruhi umat Islam menentang bentuk perkongsian kuasa dengan bukan Islam walaupun dari segi fiqh waqi’nya adalah tidak realistik.

Isu tahaluf siyasi dalam konteks demokrasi hari ini sebenarnya boleh difahami dengan mudah sekiranya fiqh sirah itu difahami secara menyeluruh ditambah dengan kefahaman konsep al ukhuwat al muwatinun dan al ukhuwat al insaniyah yang dibicarakan di atas. Terdapat beberapa peristiwa penting di mana Rasulullah saw mendapatkan khidmat orang bukan Islam termasuk kisah hifl al fudhul dan amalan para pemerintah Islam terdahulu di mana kesemua ini secara tidak langsung membuktikan keharusan untuk bertahaluf siyasi ini.

Tahaluf siyasi ini juga sangat seiring dan bertepatan dengan konsep ummah yang sekiranya difahami secara lebih luas. Al Ghannoushi ketika membicarakan konsep ummah ini menyentuh ayat 72 surah al Anfal dan relevannya dengan konsep demokrasi, ummah dan kewarganegaraan. Allah swt berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansaar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia diantara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan”.

Mengupas ayat di atas, al Ghannoushi berpandangan bahawa konsep ‘Ummah’ yang diasaskan oleh Rasululullah saw di dalam Piagam Madinah bukan hanya merujuk kepada umat Islam tetapi merangkumi semua termasuk yahudi dan semua bangsa dan agama di Madinah pada waktu itu. Bahkan orang yang beriman tetapi belum berhijrah ke Madinah tidak dianggap sebagai ‘warganegara’ Madinah pada waktu itu. Ini merupakan mesej yang sangat jelas tentang konsep ummah dan kewarganegaraan yang semestinya difahami oleh umat Islam secara bijaksana dan dalam masa yang sama membuka ruang kepada harusnya bertahaluf siyasi dengan sewarganegara. Ini juga bertepatan dengan konsep al ukhuwah al muwatinun yang mengiktiraf dan memelihara hak samarata kepada warganegara.

Antara bentuk ‘tahaluf siyasi’ yang paling awal dalam sejarah Islam ialah ketika Rasulullah saw menganggotai hilf al fudhul iaitu sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin untuk memelihara keamanan dan melindungi golongan mustad`afin. Peristiwa ini jelas membutikan keharusan untuk bertahaluf siyasi ini. Malahan ada riwayat memetik hadith yang disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.

Kisah Hisham ibn Amr al Amiriy yang memperjudikan nyawa dan kehidupannya apabila membantu Rasulullah dan keluarga ketika peristiwa pemulauan selama tiga tahun juga mesti dijadikan rujukan dalam memahami tahaluf siyasi ini. Hisham ibn Amr al Amiriy masih lagi tidak beriman kepada Allah pada waktu itu tetapi secara sukarela membantu Rasulullah saw atas dasar kemanusiaan dan inilah yang dinamakan sebagai ‘al ukhuwat al insaniyah’. Ini diikuti oleh kisah Abdullah Ibn Urayqith yang menjadi penunjuk jalan Rasululullah ketika berhijrah ke Madinah. Abdullah Ibn Urayqith adalah orang bukan Islam dan Rasulullah bersetuju dengan Saidina Abu Bakar al Siddiq untuk menggunakan khidmatnya dalam peristiwa hijrah yang paling agung itu.

Mungkin penjelasan oleh Yusuf al Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al Dawlah fi al Islam mengenai isu tahaluf siyasi dalam demokrasi adalah antara yang terbaik untuk dirujuk. Yusuf al Qaradhawi menjelaskan bahawa isu memilih wakil rakyat tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah malahan wakil rakyat bukanlah dianggap sebagai wali. Kedudukan ini mengharuskan untuk umat Islam melantik wakil mereka dari kalangan bukan Islam. Wakil rakyat hanyalah individu yang mewakili masyarakat dalam kawasan tertentu yang bertanggungjawab untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan tidak berautoriti untuk menentukan hukum hakam sesuatu perkara.

Dalam konteks demokrasi pada hari ini, wakil rakyat sama sekali tidak terlibat dalam menentukan hukum hakam kerana bidangkuasanya hanya melibatkan hal ehwal masyarakat setempat yang diwakilinya. Bukan itu sahaja, Yusuf al Qaradawi juga berpandangan bahawa memberikan ruang orang bukan Islam untuk menganggotai majlis perwakilan juga adalah salah satu tuntutan untuk berlaku adil kepada semua. Ini selaras dengan apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah al Mumtahanah ayat 8: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. Yusuf al Qaradawiy menyatakan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam itu termasuklah memberikan ruang dan peluang untuk bukan Muslim ini menganggotai majlis-majlis perwakilan.

Pilihanraya dan Kewajipan Mengundi

Pilihanraya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Ia bukan segalanya tetapi sangat signifikan kepada sesebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan sepatutnya dipandang serius kepentingannya oleh segenap lapisan masyarakat. Secara umumnya, masih ramai yang mengambil mudah tentang kewajipan mengundi. Mungkin keadaan di sesetengah Negara Islam yang majoritinya Muslim antara faktor perkara ini diambil mudah. Berbeza dengan Negara majoriti Muslim, kuasa undi Muslim di Negara majoriti orang bukan Islam adalah sangat signifikan seperti di Eropah dan Amerika. Hinggakan terdapat pendangan yang mewajibkan umat Islam untuk mengundi walaupun calon yang dipilih itu bukan Islam. Dalam situasi ini, umat Islam adalah diperlukan untuk mengundi calon yang kurang mafsadahnya sama ada kepada Muslim mahupun kepada Islam itu sendiri.

Bagi membicarakan aspek ini, mengundi harus dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada tanggungjawab sebagai warganegara. Kewajipan mengundi wakil rakyat mahupun ahli parlimen perlu dianggap sebagai ibadah dan ianya sangat dekat dengan konsep kesaksian. Dalam aspek ini, Yusuf al Qaradawi menekankan bahawa mengundi itu merupakan salah satu bentuk penyaksian yang tidak boleh ditolak apabila sampai masanya. Malahan tidak mengundi boleh dianggap sebagai menyembunyikan penyaksian yang bertentangan dengan tuntutan Islam.

Siddiq Fadhil dalam analisanya mengenai konsep kesaksian dalam konteks pilihanraya ini juga berpandangan bahawa kesaksian melalui peti undi ini merujuk kepada “pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual)”. Dalam aspek ini, beliau menekankan kelayakan bukan sahaja merujuk kepada calon yang ingin dipilih tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian iaitu saksi yang adil (keadilan).

Pilihanraya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi menuntut umat Islam untuk menyatakan penyaksian mereka kepada calon-calon pilihanraya yang layak melalui tanggungjawab untuk membuang undi. Islam melihat mengundi bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara tetapi ia merupakan ibadah dan kewajipan yang mesti dilaksanakan bersesuaian dengan konsep kesaksian dalam Islam. Kegagalan untuk menyatakan penyaksian ini melalui undi boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penyembunyian kesaksian yang dilarang dalam Islam.

Demonstrasi Aman

Antara elemen fiqh al siyasi yang dibicarakan secara mendalam oleh ramai fuqaha kontemporari ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun terdapat fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi bersandarkan hujah bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain, pandangan yang membolehkan demonstrasi aman ini adalah lebih kukuh dan rajih. Dengan melihat fiqh waqi’ sesuai dengan perkembangan dunia moden pada hari ini, pandangan yang dinamik dan signifikan mengharuskan mana-mana individu untuk menzahirkan hasrat dan aspirasi mereka menerusi demonstrasi aman di jalanan mahupun di tempat terbuka atau tertutup.

Menolak pandangan yang mengharamkan demonstrasi aman ini, Yusuf al Qaradhawi menghuraikan keharusannya memetik peristiwa Saidinia Umar al Khattab di awal pengIslamannya di dalam bukunya ’Thaurah Shaab’. Beliau menukilkan bagaimana Saidina Umar al Khattab meminta restu Rasulullah saw untuk menyatakan kebenaran di jalanan bersama-sama dengan beberapa sahabat yang lain. Rasulullah saw telah memberi keizinan dan restu Baginda dan sejurus itulah Saidina Umar al Khattab mengetuai sahabat-sahabat yang lain berdemonstrasi secara aman menyatakan kebenaran di depan kaum musyrikin Mekah pada waktu itu. Peristiwa itu dirakamkan sebagai antara demonstrasi jalanan yang paling awal dalam sejarah Islam.

Keharusan berdemonstrasi aman ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui peristiwa Saidina Umar al Khattab di atas malahan ia juga bersandarkan kepada kaedah usul fiqh dan qawaid fiqh. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, adalah boleh disimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman yang menjadi sebahagian daripada elemen demokrasi adalah harus selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak dan membawa mafsadah yang besar kepada masyarakat dan negara. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan mereka dianggap sebagai golongan yang zalim dan bakal menerima azab Allah swt di akhirat kelak.

DEMOKRASI TANPA DEMOKRAT

Sekiranya demokrasi itu diterima dalam Islam sebagai salah satu daripada cabang siyasah, timbul persoalan mengapa ia tidak berfungsi di banyak Negara Islam di dunia. Kesemua negara timur tengah dan negara Arab yang majoritinya dihuni oleh umat Islam menyaksikan demokrasi gagal berfungsi malahan menimbulkan pelbagai permasalah sosial dan keadilan. Kerap kali didengari suara sumbang yang menyatakan bahawa bahawa demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam dan timur tengah memerlukan diktator yang adil. Lihat saja apa yang berlaku di Iraq, Mesir dan Libya setelah kejatuhan Saddam Hussein, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak. Negara tersebut hancur dan masyarakat mengalami krisis kemanusiaan serta perpecahan yang membawa kepada pertumpahan darah.

Sebenarnya jika ditinjau, diteliti dan diselidiki, fenomena kegagalan sistem demokrasi di Timur Tengah bukanlah kerana faktor demokrasi itu tetapi adalah kerana dasar adanya demokrasi tanpa demokrat. Walaupun demokrasi diamalkan dan dilaksanakan seperti di Mesir dan Negara-negara Arab lain, ia hanya sekadar ‘ceremonial’ di mana keputusannya sudah boleh diketahui dengan pelbagai sekatan dan ketidakadilan kepada parti pembangkang. Perkara asas kelemahan demokrasi di Timur Tengah dan di Negara-negara lain di dunia adalah kerana demokrasi yang dipimpin oleh manusia yang tidak demokrat. Lihat saja sikap sebahagian besar pemimpin di Timur Tengah yang tidak berjiwa demokrat dengan melaksanakan pelbagai polisi yang menyekat kesedaran rakyat serta dasar yang tidak adil kepada masyarakat. Malahan ada pemimpin ini sebenarnya berjiwa diktator di dalam sistem demokrasi yang pincang .

Ini berbeza dengan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulululla saw dan para Khulafa al Rasyidin. Semasa era pemerintahan Rasululullah saw, Baginda adalah pemimpin yang paling demokrat. Lihat saja beberapa kisah Rasululullah saw yang mengambil kira pandangan para sahabat dalam suasan kritikal seperti kisah perang Badar, Uhud dan Khandaq. Khulafa al Rasyidin juga kesemuanya adalah berjiwa demokrat. Selepas pelantikan sebagai khalifah, Saidina Abu Bakar al Siddiq yang berjiwa democrat itu dalam pidato agungnya mengumumkan kepada umat Islam bahawa beliau bukan manusia terbaik yang telah dilantik dan beliau menyeru umat Islam untuk menegur pemerintahannya. Begitu juga Saidina Umar al Khattab, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menegur pemerintahannya tidak kira tua atau pun muda lelaki ataupun perempuan malahan beliau merasa takut dan bersedih sekiranya tiada yang sudi menegur polisi dan dasar pimpinannya. Khalifah Saidina Uthman ibn Affan dan Saidina Ali Ibn Abi Talib juga merupakan pemimpin yang demokrat mengambil kira suara umat dalam sistem pemerintahan.

Apabila membicarakan kegagalan sistem demokrasi dalam konteks dunia hari ini khususnya di Negara Islam, mahu tidak mahu penulis ingin menyentuh daripada aspek budaya dan amalan politiknya. Secara umumnya, negara umat Islam mempunyai infrastruktur demokrasi yang baik seperti Suruhanjaya Pilihanraya, badan eksekutif, legislatif dan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan. Namun yang menjadi isunya di sini ialah dari aspek budaya dan amalannya. Sehingga kini, budaya dan amalan politik di negara Islam masih berteraskan kepada sentimen perkauman dan kepentingan peribadi. Fenomena yang menimpa warga di negara Islam bukanlah berfakforkan sistem demokrasi itu sendiri tetapi manusia yang terlibat menerajui sistem itu sendiri yang korup dan tidak amanah. Bagi menjamin demokrasi yang lebih baik dan bertepatan dengan prinsip Islam, ia memerlukan tranformasi politik yang berpaksikan ilmu dan etika sesuai dengan ajaran Islam.

KESIMPULAN

Artikel ini secara ringkas memilih dan membicarakan beberapa isu berkaitan dengan demokrasi menurut perspektif Islam. Bagi membicarakan topik yang sangat signifikan ini, penulis cuba untuk mendekonstruksi bentuk persoalan tipikal mengenai demokrasi dalam Islam yang dilihat tidak bertepatan dengan disiplin ilmu itu sendiri. Perbincangan mengenai demokrasi bukan berkisarkan aspek teologi tetapi lebih kepada tema al siyasi. Bagi merekonstruksi demokrasi menurut perspektif Islam, penulis cuba untuk mengetengahkan pandangn-pandang yang menolak demokrasi dan juga pemikiran yang mempertikaikan kerelevanan demokrasi dalam Islam. Seterusnya penulis telah memilih beberapa isu signifikan yang sewajarnya diketengahkan bagi memberi kefahaman untuk memahami konsep demokrasi menurut perspektif Islam dan ia merangkumi konsep hakimiyah, faraghat, reformasi al siyasi, penginstitusian syura, al hurriyah, hubungan dengan bukan Islam, hak asasi manusia, tahaluf siyasi, pilihanraya dan kewajipan mengundi dan hak berdemonstrasi aman. Menyentuh persoalan mengenai kegagalan sistem demokrasi di beberapa negara khususnya negara Arab di Timur Tengah, penulis berpandangan bahawa faktor utama perkara tersebut adalah kerana wujudnya demokrasi tanpa demokrat. Penulis merujuk kepada pandangan-pandangan ulama dan pemikir kontemporari yang amat bersesuaian dan bertepatan dengan konteks semasa dan fiqh waqi’. Demokrasi menurut perspektif Islam ini perlu difahami secara jujur dan ikhlas dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan.

Dilema dalam memahami demokrasi umumnya terletak kepada dua asas pemahaman yang saling bertentangan iaitu perspektif bahawa demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam dan juga pandangan yang melihat demokrasi itu adalah ideal, sempurna dan progresif. Kedua-dua hipotesis ini adalah tidak tepat dan terkeluar dari kefahaman demokrasi yang diterima menurut perspektif Islam. Demokrasi secara umumnya diterima di dalam Islam sebagai salah satu mekanisma sosial dari aspek siyasah. Ia tidak bermakna demokrasi adalah sempurna. Isu pokoknya adalah bagaimana menerapkan nilai dan prinsip Islam dalam demokrasi agar ianya selaras dengan kehendak Syarak. Dalam konteks demokrasi Islam, ia lebih daripada sekadar sistem politik yang menjamin hak dan kebebasan tetapi merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Islam meletakkan Shari’ah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga perlu memenuhi kehendak syarak dan konsep demokrasi yang mengagungkan kuasa manusia dalam bentuk yang mutlak adalah terkeluar daripada fahaman demokrasi menurut perspektif Islam.

RUJUKAN
AALCO. (2005) Human Rights in Islam. New Delhi: AALCO
Al Qaradhawi, Yusuf. (2012). Thaurah Shaab. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Aku dan Al Ikhwan al Muslimun (Terjemahan). Kuala Lumpur: Mutiara Ilmu.
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Al Watan wa al Muwatanah. Kaherah: Dar al Shuruq.
Al Qaradhawi, Yusuf. (1999). Min Fiqh al Dawlat fi al Islam. Kaherah: Dar al Shuruq
Al Suyuti. (1969). Tarikh al Khulafa. Kaherah: Al Fajjalah Press.
Armstrong, Karen. (2014). Fields of Blood, Religion and the History of Violence. New York: Alfred A. Knopf.
Bayat, Asef. (2007). Making Islam Democratic, Social Movements and Post-Islamist Turn. California: Stanford University Press.
Bayat, Asef. (2010). Islam and Democracy: What is the Real Question?. Amsterdam: Amsterdam University Press.
Cherif Bassiouni, M. (1997). Crimes and The Criminal Process. Arab Law Quarterly, 12 (3): 269-286
Fadhil, Siddiq. (2013). Demokrari, Pluraliti dan PRU13. Konvensyen Percerdasan Umat. Shah Alam, 9 Mac 2013.
Ghannoushi, Rached. (1993). Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah. Beirut: Markaz Dirasat al Wahdat al Arabiyah.
Ghannoushi, Rached. (2012). Al Dimuqratiah wa al Huquq al Insan fi al Islam. Qatar: Al Jazeera Center.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Al Islam Wa al Dimuqratiyyah. Kaherah : Al Ahram.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Muwatinun La Dhimmiyyun. Kaherah: Dar al Shuruq.
Ibrahim, Anwar. (2014). Islam and Democracy: Malaysian in Comparative Perspective. Universiti Stanford, 20 November 2014.
John L. Esposito, John Obert Voll. (1996). Islam and Democracy. Oxford: Oxford University Press.
Jeremy, Kleidosty. (2011). From Medina to Runnymede: Comparing the Foundational Legacies of the Constitution of Medina and the Magna Carta. New Middle Eastern Studies, 1.
Lewis, David Levering. (2008). God’s Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215, (New York: W. W. Norton and Company.
Moten, Abdul Rashid. (1997). Democratic and Shura-based Systems: A Comparative Analysis, Encounters, 3 (1). Leicester: The Islamic Foundation.
Ramadhan, Tariq. (2001). Islam, the West, and the Challenge of Modernity. Leicester: Islamic Foundation.
Salame, Ghassan. (2001). Democracy Without Democrats?: The Renewal of Politics in the Muslim World. London: I.B. Tauris and Co Ltd.
SESRIC. (2010). Annual Economic Report On The Oic Countries 2010. Istanbul: Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries.
Schumpeter,Joseph. A. (1947). Capitalism, Socialism, andDemocracy. New York: Harper & Brothers.
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism. Oxford: Oxford University Press.
Uthman, Muhammad Fathi. (2010). Huquq al Insan Bayn al Shari’ah al Islamiya wa al Fikru al Qanuni al Gharbi. Kaherah: Dar al Jamiah al Jadidah.

Quest for Meaning in America (Part II)

MUSAFIR ILMU DI BUMI AMERIKA (BAHAGIAN II)

Zulkifli Hasan

(Disclaimer: The views expressed on this site are entirely those of its author and do not represent the views of any institutions affiliated with the author).

Eidul Adha di Indianapolis

Setelah menyelesaikan urusan di universiti, meneruskan permusafiran ke Indianapolis (720 batu dari New York) menziarahi sahabat lama dan dalam masa yang sama menyambut Eidul Adha di bumi Colombus. Akhi Zulkifly Yusuf adalah individu yang menyambut ketibaan bersama-sama Dr Maszlee semasa mula menapakkan kaki di bumi United Kingdom dulu. Kini beliau bekerja di Indianapolis juga memegang jawatan Presiden Islamic Society of Columbus Indiana. Colombus ialah sebuah bandar kecil di Indianapolis yang didiami oleh hanya 45 ribu penduduk. Walaupun komuniti Muslim yang kecil, alhamdulillah, sebuah masjid yang cantik (sebelum ini adalah gereja) telah berjaya diwujudkan dengan hasil sumbangan orang ramai. Moga bumi Colombus terus diberkati dan diimarahkan dengan masyarakat Muslim dibawah pimpinan akhi Zulkifly Yusuf. Mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada akhi Zulkifly yusuf dan Kak Wan sekeluarga yang menerima kunjungan pada Eidul Adha kali ini. Moga ziarah ini ada manfaatnya.

Photo Collage Maker_Wg2y0Y
Zulkifly Yusuf dan Kak Wan Baba Sekeluarga

Menelusuri Indianapolis

Indianapolis terletak di ‘Midwest’ Amerika. Sumber ekonomi utama penduduk Indianapolis ialah pertanian dan juga perindustrian. Terdapat ladang jagung yang sangat luas dan ladang sayur-sayuran yang menjadi antara penggerak ekonomi Indianapolis. Akhi Zulkifly Yusuf telah membawa penulis bersiar-siar dan meninjau keadaan di Indianapolis. Berpeluang berjalan-jalan di ‘Ogle Lake’ di kawasan hutan simpanan Indianapolis yang cukup indah dan mempesonakan. Dengan cuaca di sekitar 18-20 celcius, perjalanan adalah sangat menyamankan.

Indianapolis juga adalah antara kawasan yang menjadi laluan puting beliung di Amerika. Dengan keadaan bentuk muka buminya yang agak rata menjadikan ia mudah terdedah kepada ancaman bencana puting beliung. Oleh sebab itulah, kebanyakan rumah di kawasan ini mempunyai tingkat bawah tanah sebagai tempat perlindungan di kala bencana menimpa. Walaupun kelihatan rumah hanya setingkat tetapi sebenarnya terdapat tingkat bawah yang dijadikan bilik juga tempat perlindungan.

Pada ketika ini juga, orang ramai sedang sibuk membuat persiapan Halloween. Kelihatan labu dan pelbagai perhiasan Halloween dijual. Komuniti di Amerika menyambut Halloween dengan bersungguh-sungguh seperti satu perayaan besar bagi mereka. Kanak-kanak akan memakai pakaian berupa hantu dan datang ke rumah dan tuan rumah kebiasannya akan memberikan gula-gula kepada kanak-kanak ini. Begitulah keadaannya komuniti di sini, Halloween yang begitu remeh itupun di sambut sebegitu sekali. Bagi umat Islam, kita sudah mempunyai dua hari kebesaran yang sudah cukup dan penuh bermakna iaitu Eidul Fitri dan Eidul Adha.

Photo Collage Maker_AQpFNF
Ogle Lake dan Pasar Tani

Indiana University

Kami meneruskan perjalanan ke Bloomington di mana terletaknya Indiana University. Indiana University merupakan antara destinasi popular pelajar Malaysia suatu ketika dulu. Tapi kini, hanya sedikit sahaja pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sini. Kami terus menunaikan solat di Masjid Indiana University yang telah dibina pada 1925 oleh komuniti Muslim di sini. Berkenalan dengan Jemaah masjid yang rata-ratanya adalah pelajar siswazah di antaranya daripada Palestin dan Egypt. Berbanding dengan Islamic Centre di Colombus yang asalnya adalah gereja, masjid di Indiana University ini dibina khusus untuk tujuan kegunaan ibadah dan aktiviti komuniti Muslim di sini.

Photo Collage Maker_miANN0
Islamic Centre of Indiana University

Fordham University, the School of Law

Fordham Law School merupakan antara sekolah undang-undang tersohor di Amerika. Alumninya terdiri daripada hakim terkenal dan peguam tersohor di Amerika. Koleksi jurnal akademik Fordham Law School adalah antara terbaik dan mendapat ranking yang tinggi di dunia. Journal of Corporate and Financial Law misalnya merupakan jurnal rujukan utama di Amerika. Menyambung pengajian di Fordham Law School umpama menuntut di hotel lima bintang. Bangunannya direka khas oleh pakar senibina terkenal Amerika yang juga antaranya merekabentuk Museum the Louvre Paris.

Dengan bangunan baru yang siap dibina seumpama hotel lima bintang, Fordham Law School meneruskan tradisinya sebagai salah sebuah sekolah undang-undang terkemuka di dunia. Kelengkapan dan prasarana adalah mengagumkan. Semua bilik kuliah dan dewan syarah dilengkapi dengan alat bantuan mengajar dan peralatan keselamatan terkini dan kesemuanya beroperasi melalui sistem computer yang canggih. Kuliah boleh sahaja dirakam dan direkod dengan menggunakan sistem khas yang dipasang di setiap bilik kuliah. Papan tulis juga adalah ‘touch screen’ yang membolehkan pengajar menggunakannya dengan lebih efisyen dalam pengajaran. Moot court dan mahkamah serta klinik guaman juga dilengkapi dengan sistem tersebut.

fordham university
Fordham Law School

Syarahan Sebagai Sarjana Pelawat

Sebagai sarjana pelawat, penulis juga dikehendaki menyampaikan syarahan di Fordham Law School. Berpeluang untuk kongsikan ilmu dengan Profesor-profesor, sarjana dan pelajar siswazah. Menerima maklumbalas positif dan ramai yang bertanya mengenai subjek syarahan terutamanya minat untuk mengetahui undang-undang kewangan Islam di dunia dan prinsip muamalat Islam. Dakwah menerusi intellectual activism sangat diperlukan dunia hari ini. Penulis menerangkan kelebihan muamalat Islam dan bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam konteks dunia hari ini. Walaupun terdapat kekangan dari sudut undang-undang khususnya di Negara seperti Amerika, penulis membentangkan pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengimplementasi kewangan Islam di bumi Amerika dan Negara majority bukan Muslim. Berdoa agar penyampaian ada yang akan menyentuh dan membuka hati serta menanam minat kepada pendengar yang menghadiri syarahan penulis.

syarahan di fordham
Antara Sesi Syarahan Sebagai Sarjana Pelawat

The Law Firm of Omar Mohammedi LLC

Penulis meneruskan penyelidikan dan tugasan di Amerika dengan membuat temujanji dengan peguam terkemuka New York, Omar Mohammedi. Omar Mohammedi memiliki firma guaman beliau sendiri iaitu LAW FIRM OF OMAR T. MOHAMMEDI, LLC yang terletak di tengah kotaraya New York. Firma guaman beliau menawarkan perkhidmatan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bahasa termasuk English, Arabic, French, Spanish, Hindi dan Urdu Beliau juga merupakan Presiden, the Association of Muslim American Lawyers (AMAL) yang ditubuhkan oleh beliau sendiri. Perbincangan kami meliputi ruang lingkup undang-undang di Amerika termasuk isu-isu serta kekangan yang ada dari sudut perundangan untuk melaksanakan kewangan Islam di Amerika. Beliau sangat positif dan menjemput penulis untuk terlibat sama dalam projek yang sedang diusahakan. Alhamdulillah, pertemuan ini memberikan peluang baru kepada penulis untuk meneroka pengalaman dan pengetahuan yang amat bermakna dan bermanfaat.

1782363_10204067394476489_6452046689610934170_o
Bersama Omar Mohammedi

Bedah Filem ‘We are Many’ dan ‘the American Winter’

Di sebalik dunia perfileman Hollywood yang sarat dengan hiburan di Amerika, terdapat juga industri kecil pembikinan filem dokumentari bermutu tinggi yang dihasilkan melalui penyelidikan yang berkualiti. Berpeluang menghadiri sesi “Screening’ dan ‘bedah filem’ di Ford Foundation, New York bertajuk ‘We are Many’ karya Amir Amirani seorang pengarah filem terkenal dari London. Dapat juga berbual sebentar dengan beliau. Filem dokumentari yang sangat menarik ini menceritakan kebangkitan dan kesedaran warga seluruh dunia kepada gerakan anti peperangan khususnya di Iraq dan Syria. Menariknya filem ini dibiayai oleh sumbangan orang ramai melalui kutipan dana awam. Ini merupakan kali kedua menghadiri sesi “screening’ filem dokumentari iaitu sebelum ini ‘the American Winter’ yang menelusuri kesan ekonomi kepada golongan pertengahan di Amerika akibat krisis kewangan. Sesi “Screening’ ini dihadiri oleh orang awam secara percuma diikuti dengan forum ilmiah oleh panelis daripada pelbagai bidang termasuk pengarah filem itu sendiri. Filem juga boleh memberi kesedaran dan mendidik masyarakat.

we are many
‘Film Screening’ di Ford Foundation

Pertemuan Dengan Imam Shamsi Ali

Antara jadual penulis ialah menziarahi sarjana dan pemimpin masyarakat di Amerika khususnya yang sangat aktif dengan komuniti. Penulis telah membuat temujanji dengan Imam Shamsi Ali yang sangat terkenal di New York. Beliau telah disenaraikan antara tujuh pimpinan agama paling berpengaruh di New York dan telah dianugerahkan Ellis Island Medal of Honor Award iaitu anugerah berprestij daripada kerajaan Amerika kepada mereka yang berjasa kepada masyarakat. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi kepada orang awam ataupun bukan tentera oleh kerajaan Amerika.

Pertemuan dengan Imam Shamsi Ali juga turut disertai oleh Yayasan Raja Zarith Sofea diketuai Dato’ Ghazali. Dato’ Ghazali sangat gembira kerana pertemuan yang tidak dijangka ini membuahkan hasil yang sangat bermakna. Perbincangan kami meliputi persepsi masyarakat Amerika terhadap Islam, program Imam Shamsi di New York, penubuhan Nusantara Foundation dan potensi jaringan serta kerjasama dengan Imam Shamsi Ali di masa hadapan. Imam Shamsi sangat positif dan bersedia memberikan kerjasama bagi meneruskan agenda dakwah.

imam shamsi
Bersama Imam Shamsi Ali dan Dato’ Ghazali serta Safuan Fadzli

Majlis Makan Malam Sarjana Fulbright

Sebagai meraikan kehadiran sarjana Fulbright dari seluruh dunia yang mewakili lebih seratus Negara, pihak penganjur telah mengadakan Makan Malam resepsi di New York University. Kehadiran Alumni Fulbrigth Amerika juga turut menyertai majlis gilang gemilang ini. Kesemua sarjana Fulbright yang baru diperkenalkan satu persatu daripada Negara masing-masing dan mendapat tepukan gemuruh oleh kesemua hadirin. Ramai yang memakai pakaian tradisional masing-masing bagi menampakkan kepelbagaian budaya. Hanya dua sarjana Fulbright Malaysia yang hadir pada malam tersebut.

Penulis menggunakan peluang untuk berkenalan dengan sarjana Fulbright dari seluruh dunia ini yang kesemuanya adalah hebat dan antara terbaik dalam bidang masing-masing. Terdapat ramai juga yang mewakili Negara majority Muslim seperti Turki, Afghanistan, Pakistan, Indonesia, Iraq dan Negara yang lain. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan Jazz secara ‘live’ oleh pemuzik professional. Seperti biasa setiap majlis di sini pastinya dihidangkan dengan arak atau ‘wine’ yang menjadi sebahagian daripada aturcara dan budaya di sini. Namun begitu, minuman yang lain juga disediakan untuk menghormati sensitivity agama dan budaya.

fulbright dinner
New York University

Kuliah Imam Zaid Shakir

Program penulis diteruskan dengan menghadiri kuliah Imam Zaid Shakir, ‘Co Founder’ Zaytuna Institute bersama Sheikh Hamza Yusuf. Imam Zaid Shakir disenaraikan sebagai salah seorang 500 Muslim paling berpengaruh di dunia oleh kajiselidik yang dibuat oleh Georgetown University, Washington. Beliau membicarakan tajuk ‘Crisis of Knowledge’ dengan menghubungkaitkan tradisi keilmuan Islam dan realiti masakini khususnya di Amerika. Menarik Imam Zaid, kuliahnya diselangi puisi dan juga kebolehannya mencipta dan menyanyikan lagu hip hop versi dakwah yg menghiburkan dan mendidik. Pendakwah dan intelektual bukan shj perlu menguasai ilmu ttp perlu juga memanfaatkan bakat dan kebolehan kurniaan Allah bagi tujuan dakwah yg lbh menarik dan menyentuh hati.

imam zaid shakir
Imam Zaid Shakir

Colombus Day

Pada setiap tahun tanggal 13 Oktober, Amerika akan menyambut Hari Colombus bagi meraikan sempena Christoper Columbus yang dikatakan menemui Amerika. Walaupun fakta ini diketahui umum sebagai mitos kerana Amerika pada waktu itu telah pun berpenghuni dan mempunyai kerajaan masyarakat pribumi, sambutan ini terus diadakan dengan begitu meriah sekali. Kali ini penulis berjalan-jalan dengan sahabat semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa iaitu Safuan Fadzli bersama dengan Dato Ghazali CEO Yayasan Raja Zarith Sofea. Kami sempat makan tengahari di Hotel Plaza yang masyhur itu. Kebetulan hotel ini dimiliki oleh rakan karib Dato Ghazali iaitu Sultan Hassanah Bolkiah Sultan Brunei. Hotel Plaza dianggap sebagai antara bangunan ‘Ikon’ New York yang menawarkan perkhidmatan kepada para elitis dan hartawan.

Dianggarkan seramai sejuta orang yang membanjiri New York pada tarikh ini menyambut perayaan Hari Colombus. Perarakan dan persembahan daripada pelbagai institusi, sekolah, university, kolej, badan dan persatuan dari seluruh New Yor di sepanjang jalan Times Square memeriahkan lagi bandaraya New York. New York sekali lagi diwarnai dengan pesta dan upacara yang beraneka ragam sesuai dengan gelarannya ‘bandar yang tidak pernah tidur’ dan ‘kota muzik dunia’. Barangsiapa yang sukakan hiburan dan membeli belah pastinya New York merupakan bandar yang bersesuaian. Bagi penulis, New York bukanlah tempat yang menjadi kesukaan dan sesuai dengan jiwa. New York hanya menawarkan kelebihan dari sudut keduniaan dan terlalu banyak perkara negatif dan tidak bersesuaian dengan jiwa penulis.

colombus day
Colombus Day di New York

Ziarah Abu Hasan Sekeluarga di Ithaca

Setiap kali hujung minggu setelah menyelesaikan tugasan, penulis akan merancang untuk meneruskan permusafiran di bumi Amerika ini. Kali ini penulis berpeluang untuk berkelana ke utara Amerika iaitu Ithaca. Ithaca merupakan bandar kecil di utara New York dan terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang memukau. Ithaca juga terkenal dengan institusi pengajian Ivy League di Amerika iaitu Cornell University. Penulis telah menaiki bas daripada Port Authority Terminal di New York dan terus ke Ithaca dengan mengambil masa selama lebih lima jam perjalanan.

Alhamdulillah, sahabat penulis yang baik hati iaitu saudara Abu Hasan telah sudi menerima kunjungan kali ini. Beliau sekeluarga sangat baik hati melayan dan menjadi pemandu pelancong penulis pada sesi ziarah kali ini. Rumah beliau terletak di Cayuga Height berdekatan dengan tasik Cayuga yang masyhur dengan kecantikannya. Rumah beliau mempunyai halaman yang luas dan sangat strategic dan menarik untuk diduduki. Kebaikan dan budi baik Abu Hasan sekeluarga begitu mengharukan dan penulis dilayan dengan sebegitu baik berserta masakan Melayu yang menyelerakan.

Cornell University

Antara aktiviti di Ithaca adalah melawat Cornell University. Cornell Universiti adalah antara university tersohor di dunia. Hanya 8 peratus pelajar diterimamasuk daripada permohona yang diterima oleh university ini. Ia dikategorikan sebagai antara Ivy League di Amerika yang menjadi rebutan pelajar di Amerika dan seluruh dunia. Keunikan Cornell Universiti bukan sahaja pada kehebatan akademiknya tetapi juga dengan kecantikan dan keindahan semulajadi yang mengindahinya. Cornell Universiti dipagari dengan air terjun yang begitu indah dan dikelilingi oleh tasik Cayuga yang sangat mempesonakan. Sangat bertuah sesiapa yang dapat menyambung pengajian di Cornell university ini.

cornell university
Abu Hasan Sekeluarga dan Cornell University

Taughannock Falls

Penulis meneruskan musafir ke Taughannock Falls yang terletak berdekatan dengan bandar Ithaca. Taughannock Falls merupakan antara air terjun terindah di negeri New York dan sering menjadi kunjungan ramai pelancong. Bertepatan dengan musim luruh yang menawarkan keindahan panorama dengan warna daun yang berwarna warni menjadikan Taughannock Falls ini lebih indah dan cantik. Subhanallah, pemandangan yang sunggu mengagumkan yang pastinya menjadikan kita lebih tunduk dan taat kepada Penciptanya.

taughannox falls
Taughannock Falls

Niagara Falls

Sekiranya berada di New York, adalah tidak lengkap sekiranya tidak melawat antara keajaiban alam semulajadi di dunia iaitu Air Terjun Niagara. Perjalanan dari Ithaca ke Niagara Falls memakan masa selama tiga jam setengah. Kami melalui hutan dan ladang di negeri New York termasuk bandar Waterloo yang agak terkenal. Menarik juga apabila kami melalui kampung masyarakat ‘Amish’ iaitu komuniti Kristian yang berasal dari Switzerland dan Jerman yang masih mengamalkan cara hidup tradisional. Komuniti Amish ini terkenal sebagai petani yang hebat serta mengekalkan identity mereka di antaranya berpakaian hitam dan putih. Komuniti Amish terbesar terdapat di Pennsylvinia.

Air Terjun Niagara merupakan antara keajaiban alam di dunia. Air Terjun Niagara ini terletak di bandar Niagara Falls iaitu utara New York berdekatan dengan bandar Buffalo. Air terjun Niagara ini betul-betul berada di kedudukan antara sempadan Amerika dan Canada. Terdapat tiga Air Terjun mega yang mewakili kesemua air terjun di sini iaitu the Horseshoe Falls, the American Falls dan the Bridal Veil Falls. The Horsehoe Falls sebahagian besarnya berada di Kanada dan the American Falls dan the Bridal Veils terletak di bumi Amerika. Ketiga-tiga air terjun mega Niagara ini mengalir ke dua tasik iaitu Tasik Ontario dan Tasik Erie.

Menarik juga untuk dikongsikan bahawasanya air terjun Niagara ini juga merupakan antara sumber utama tenaga elektrik bagi Kanada dan Amerika. Kelebihan yang dimiliki melalui air sungai dan air terjun ini dijadikan sumber untuk menjana kuasa elektrik bagi keperluan penduduk. Apa yang tidak menyelesakan adalah kedua-dua bandar air terjun Niagara ini iaitu Niagara Falls Amerika dan Ontario Kanada ini menawarkan perkhidmatan judi dan kasino antara yang terbesar di Amerika selain Las Vegas.

Subhanallah, penulis tidak dapat membayangkan perasaan dan emosi ketika sampai menyaksikan keajaiban alam ciptaan Allah. Begitu mempesonakan dan menjadikan diri ini berasa begitu kerdil dan dhaif apabila menyaksikan antara tanda-tanda kebesaranNya. Deruman air terjun yang gegak gempita dengan jutaan liter padu air yang jatuh setiap saat mengalir deras ke Tasik Ontario dan Tasik Erie memperlihatkan kebenaran dan kekuasaan Maha Esa. Kecantikan dan keindahan alam semulajadinya tidak dapat digambarkan melalui penulisan. Maka penulis teringat firman Allah dalam surah al Rahman bermaksud “Maka nikmat Tuhan mana lagi yang kau dustakan?” Ayat ini diulang-ulang oleh Allah SWT sebanyak 31 kali dalam surah ini menggambarkan betapa kita sebagai hambaNya yang sering lalai dan alpa dengan suruhan dan larangannya.

niagara falls
Keindahan Niagara Falls

BERSAMBUNG………

QUEST FOR MEANING IN AMERICA (PART I)

MUSAFIR ILMU DI BUMI AMERIKA BAHAGiAN I

(Disclaimer: The views expressed on this site are entirely those of its author and do not represent the views of any institutions affiliated with the author).

Pendahuluan

Segalanya bermula apabila penulis menerima berita daripada J William Fulbright Board bahawa telah terpilih mewakili Malaysia sebagai salah seorang penerima geran biasiswa ‘Fulbright Scholar’ setelah melalui proses yang begitu ketat dan rapi dengan persaingan yang hebat. Alhamdulillah tidak disangka penulis telah terpilih untuk mengikuti program sarjana pelawat Fulbright di Amerika Syarikat dibawah program Inisiatif US-ASEAN ini yang dilancarkan oleh Hilary Clinton. Berita ini juga telah tersebar di dalam akhbar dalam dan luar negara di mana seramai sembilan penerima dari sembilan negara ASEAN dipilih untuk menjalani latihan dan penyelidikan di Amerika Syarikat. Fulbright program ini diiktiraf sebagai antara geran paling berprestij kepada penyelidik seluruh dunia dengan alumninya yang mencecah ribuan sarjana pelbagai bidang.

Penulis sebenarnya bukanlah terlalu berminat untuk mendapat biasiswa berprestij Fulbright ini. Tujuan asalnya adalah sekadar untuk membuktikan pada diri sendiri bahawa budak kampung anak penoreh getah lulusan sekolah agama ini mampu bersaing dengan sesiapa sahaja di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Menghadiri temuduga dengan persaingan calon berbilang bangsa dari pelbagai institusi dan tapisan ketat oleh lembaga penapisan di peringkat Malaysia, ASEAN dan Washington memberikan pengalaman amat bermakna dan telah berjaya membuktikan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk maju.

Alhamdulillah, dalam masa yang sama permohonan sabatikal telah diluluskan oleh pihak universiti. Dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa penulis merupakan kakitangan akademik pertama USIM terpilih sebagai sarjana Fulbright. Ketika berbual dengan Dato Naib Canselor USIM, beliau telah mengucapkan tahniah dan mengatakan pihak universiti dengan berbesar hati meluluskan cuti sabatikal kepada penulis tanpa banyak persoalan. Penulis juga mendapat banyak ucapan tahniah termasuk yang tidak disangka-sangka khususnya daripada profesor-profesor senior yang memang terkenal di dalam bidangnya.

Dari Boston ke New York

Kembara ilmu kini diteruskan dan kali ini bumi ‘uncle sam’ menjadi destinasi. Setelah melalui rihlah ilmiah di segenap pelusuk dunia dengan pengalaman tinggal di United Kingdom selama beberapa tahun dan berkerja di Dubai pada 2009, ekspedisi ilmu kali ini pastinya menjanjikan pengalaman baru dan memberi input dimensi segar membentuk tasawwur dan corak pemikiran serta pengukuhan keupayaan intelektual dan emosi.

Pada mulanya penulis telah merancang untuk menjalankan penyelidikan di Harvard University, Law School. Setelah menanti beberapa ketika akhirnya pihak Council of International Exchange of Scholars (CIES) yang bertanggungjawab menetapkan tempat dan ‘affiliation’ sarjana Fulbright telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa kekangan untuk melakukan penyelidikan di Harvard University. Akhirnya, pihak CIES telah memberi cadangan dan seterusnya menetapkan bahawa Fordham University, the School of Law, New York adalah tempat yang sesuai dan bertepatan dengan program Inisiatif Fulbright US-ASEAN dan juga mempunyai kepakaran dalam bidang ceruk tujahan penyelidikan penulis.

Setelah menyemak dan membuat sedikit tinjauan dari sudut kepakaran, ‘ranking of the Law School’, lokasi dan infrastruktur, penulis telah bersetuju untuk menjadi sarjana pelawat di sini. Journal dalam bidang undang-undang kewangan Fordham law School adalah di kedudukan teratas dan menjadi rujukan utama kepada pengamal undang-undang. Fordham University Law School, New York adalah antara sekolah undang-undang terbaik di Amerika Syarikat. Sesuai dengan lokasinya iaitu di New York tempat di mana terletaknya Ibu Pejabat PBB dan kota kewangan dunia, Fordham menawarkan pelbagai pengalaman dan peluang kepada penulis. Profesor-profesor dan tenaga akademik Fordham Law School juga adalah hebat dan terdiri daripada sarjana terkemuka di Amerika dan diperingkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama, penulis telah membuat perancangan untuk melawat dan menjalankan penyelidikan di Harvard University selama beberapa minggu. Alhamdulillah, pengarah baru Islamic Legal Studies Programme iaitu Professor Intisar Rab telah sudi menerima kunjungan penulis dan menyediakan kemudahan bagi proses penyelidikan di sana. Profesor Intisar Rab merupakan sarjana muslim tersohor di Amerika dan beliau juga adalah wanita muslim African American pertama menjawat jawatan tersebut di institusi ternama dunia itu. Penulis juga telah membuat persiapan awal dan telah menghubungi beberapa institusi di Amerika bagi maksud penyelidikan dan juga meluaskan jaringan dengan pelbagai pihak termasuk the International Institute of Islamic Thought dan beberapa institusi lain.

New York sebuah bandar yang berbeza daripada tempat-tempat lain di Amerika. Ia adalah bandar yang tidak pernah tidur. Perkhidmatan keretapi dan ‘subway’ atau LRT berfungsi sepanjang hari selama 24 jam. Warga New York sentiasa sibuk dengan aktiviti dan tugas harian mereka. New York juga adalah kota muzik di mana terdapat sekolah-sekolah muzik terkenal di dunia yang menjadi tumpuan peminat muzik antarabangsa. Kota New York juga masyhur dengan persembahan kebudayaan dan kesenian. Terdapat banyak pentas teater, dewan persembahan opera, ballet, dan lain-lain bentuk persembahan. New York juga menyediakan kualiti pendidikan yang baik kepada warganya di mana terdapat institusi bertaraf dunia seperti Colombia University, Fordham University dan New York University yang menempatkan ramai sarjana terkemuka. Moga permusafiran kali ini bakal menambahkan pengalaman, ilmu pengetahuan dan yang paling awla iaitu meningkatkan keimanan kepada Ilahi.

GP-
Penerima Geran Fulbright Dari Seluruh Dunia

Persediaan Kembara Ilmu

Kembara ilmu kali ini memerlukan persediaan yang lebih rapi dan rumit kerana ia melibatkan Amerika dan urusan keselamatan. ‘Medical check up’, urusan visa khas sebagai sarjana pelawat, urusan perjanjian dengan penaja dan universiti, hal ehwal berkaitan dengan tempat ‘attachment’, sesi bersama dengan duta Amerika dan banyak lagi. Pokoknya, memang banyak yang perlu dilunaskan sebelum terbang ke Amerika beberapa bulan ini. Harap kesemua perkara yang dilalui ini serta pengorbanan yang dilakukan khususnya kepada isteri dan anaka-anak tersayang dapat memberikan manfaat besar dan pengalaman bermakna kepada penulis.

Persiapan juga melibatkan pencarian tempat tinggal di kota New York yang diakui kosnya antara yang termahal di dunia terutamanya di kawasan sekitar Manhattan. Bukan itu sahaja, penulis dikehendaki memenuhi beberapa perkara yang melibatkan kos untuk meneruskan program Fulbright ini. Deposit yang begitu tinggi untuk penginapan termasuk yuran prosesan yang ‘non-refundable’ perlu dilunaskan. Setelah melalui pelbagai proses, akhirnya penulis telah diterima masuk sebagai residen di International House, New York di kawasan Manhattan kira-kira 20 minit perjalanan untuk ke Universiti.

Walau apapun persediaan paling penting dalam setiap permusafiran adalah persiapan ilmu. Penulis telah mula membaca dan membuat sorotan literatur mengenai Amerika syarikat dari aspek politik, undang-undang, budaya, kehidupan muslim, ekonomi dan lain-lain. Beberapa buku ilmiah dan bersifat informatif telah dirujuk dan dijadikan bekalan untuk memahami dan menyesuiakan diri di sana nanti. Menelusuri juga Islam di Amerika yang direkodkan sebagai agama paling cepat berkembang di negara ini dengan jumlah penganut yang semakin hari semakin meningkat dengan drastik.

Dalam kesibukan, penulis masih sempat menyusun atur program Syarahan Perdana oleh Dr Yahia Abd Rahman, pengasas kepada LARIBA Bank di California. Dr. Yahia Abd Rahman dalam rangka lawatan ke Malaysia untuk beberapa hari dan menyatakan kesudian untuk menyampaikan syarahan kepada komuniti tempatan berserta menyumbangkan buku beliau secara percuma. Walaupun dalam masa yang singkat hanya beberapa hari promosi, alhamdulillah, program bersama beliau mendapat sambutan hangat. Malahan kesemua buku yang disumbangkan oleh beliau telah habis dijual. InsyaAllah akan menziarahi beliau di Amerika nanti sambil meneruskan penyelidikan yang telah dirancang.

Photo Collage Maker_TUihaB
Program Bersama Dr Yahia Abd Rahman

Persediaan yang mencabar juga dalam misi kali ini adalah dari sudut emosi. Sebelum ke New York, penulis pulang ke kampung untuk mendapat restu ayahanda bonda. Restu dan doa ibubapa adalah perkara yang sangat berharga dalam kehidupan. Pengorbanan isteri tersayang dan anak-anak begitu bermakna kepada penulis. Dengan kehadiran anak bongsu yang baru berusia enam bulan dan kelima-lima permata hati pastinya bakal menguji tahap emosi penulis. Isteri dan anak-anak lah selama ini antara yang memberi motivasi dan kekuatan serta sokongan kepada penulis selama ini. Isteri yang sentiasa positif dan memberikan sokongan malahan sedia menjaga berseorang kelima-lima permata hati kami ini tanpa bantuan sesiapa adalah sesuatu perkara yang luar biasa. Bagi mententeramkan anak-anak, penulis seawal mungkin telah memberitahu mereka pemergian ke Amerika dan menceritakan serba sedikit tentang Negara bumi ‘uncle sam’ ini. Pesanan untuk sentiasa solat, hafazan, membaca al Quran dan membantu ibu di rumah adalah perkara yang menjadi sebutan dan peringatan kepada anak-anak. Mendoakan agar semuanya mendapat keberkatan dan dibawah lindungan rahmat Allah. KepadaMu aku berserah ya Allah.

Photo Collage Maker_ILwEw3
Di Cameron Highland sebelum berlepas ke New York

Photo Collage Maker_4x8gR3
Antara Pesanan kepada Anak-anak

International House

International House merupakan tempat penginapan penulis sepanjang berada di New York. Penginap International House terdiri daripada pelajar dan sarjana pelawat merangkumi pelbagai warganegara dari seluruh dunia. Walaupun kos penginapan di sini adalah agak mahal bersesuaian dengan lokasinya di Manhattan tetapi kelengkapan dan perkhidmatan yang disediakan adalah amat memuaskan. Permintaan untuk menginap di sini juga adalah sangat tinggi dan perlu melalui tapisan ketat. Hanya mereka yang benar-benar sesuai dan bersedia untuk terlibat dengan aktiviti yang menjadi syarat utama untuk layak menginap di International House. Di sini juga beberapa pengarah filem pernah menjadikan tempat lokasi filem mereka seperti “Ali’ lakonan Will Smith.

International House menyediakan khidmat ‘fitness centre’, ‘gymnasium’, ‘study room’, cafeteria, ‘laundery’, ‘mail room’, dapur, dewan syarahan dan banyak lagi termasuk ‘pub’ tempat bersosial. Ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan berkomputer. Hanya penginap dibenarkan masuk. Di sini juga pengurusan menyediakan pelbagai program untuk warga International House seperti seminar kerjaya, syarahan perdana, aktiviti sukan dan rekreasi, kelas bahasa, konsert, kelas tarian dan banyak lagi. Pendek kata, kehidupan di sini penuh dengan aktiviti dan program.

Photo Collage Maker_tgJvd3
International House

New York Public Library

Setelah menyelesaikan beberapa urusan di universiti, terus mengunjungi New York Public Library. Koleksi yang mengagumkan dengan pengunjung yang begitu ramai. Menariknya ialah bersebelahan New York library ini terdapat Bryant Park iaitu taman untuk orang awam yang menyediakan begitu banyak kemudahan seperti kerusi dan meja untuk pengunjung membaca secara santai dan menikmati juadah sambil membaca.

10003559_10203936584046310_2568561798520536291_oNew York Public Library

Kelihatan buku-buku diletakkan disekitar taman bersebelahan New York Library ini dengan kemudahan untuk kanak-kanak membaca dan melaksanakan aktiviti bermanfaat. Budaya ilmu dihidupkan secara santai. Mungkin inisiatif ini boleh dilaksanakan di Malaysia.

10688376_10203936669248440_3331706930463659189_o
Bryant Park bersebelahan New York Public Library

Kedai Buku New York

Jika di London, Foyles merupakan kedai buku pilihan. Berkesempatan untuk terapi minda di Barnes & Noble, New York yang siap dilengkapi kafeteria membolehkan pengunjung membaca santai. Begitu mengagumkan apabila menyaksikan peminat buku berpusu-pusu mengunjungi Barnes and Noble ini yang jarang didapati di negara majoriti umat Islam. Pelbagai program diadakan secara berterusan seperti pelancaran buku bersama penulis, bedah buku dan lain-lain. Seperti biasa, di sinilah tempatnya selalu mendapat kenalan baru dari pelbagai negara dan latarbelakang.

1900650_10203925877418651_5844447763554820506_o

Semasa mengunjungi Colombia University iaitu antara university tersohor di dunia, penulis sempat singgah di Colombia Universiti Bookstore. Antara menarik di sini ialah pengunjung mempunyai pilihan untuk membeli buku terpakai atau baru. Pelajar juga boleh mendapat tunai dengan menjual semula buku yang mereka beli kepada ‘Bookstore’ di sini untuk dijual dengan harga lebih murah kepada umum. Secara tidak langsung amalan ini menggalakkan pembelian buku, menanam sikap menjaga buku agar boleh dijual semula dan membolehkan pelajar mendapat tunai di kala keperluan.
10688070_10203958134625061_5700971395641208301_o
Columbia University Bookstore

Pasar Malam Buku Jalanan

Dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat maghrib di Islamic Centre New York University (NYU), terjumpa pasar malam Buku Jalanan iaitu buku terpakai berdekatan dengan NYU. Mengagumkan koleksi yang dijual. Aristotle, plato, Socrates, John Stuart Mill, Max Weber, Henri Pirenne, John Locke, Franz Kafka, Tolstoy, dan banyak lagi buku yang sukar didapati dijual di pasar malam Buku Jalanan ini. Sempat bertanya kepada penjual buku, adakah akan ada lagi jualan sebegini minggu depan. Dengan ikhlas beliau menjawab ‘only God knows’.

1980187_10203982599796675_4119207352681506397_o
Buku Jalanan di New York University

Muslim Law Student Association

Antara perkara pertama yang dilakukan di university adalah mencari saudara seAgama dan persatuan pelajar Muslim. Berkesempatan menghadiri perbincangan dengan Muslim Law Student Association di universiti. Menariknya ialah majoritinya mengaku ‘non practicing muslim’ malahan tidak ambil peduli halal haram. Tetapi mereka ini merancang untuk memberi kefahaman kepada umum tentang Islam. Pengalaman dan dimensi baru untuk dakwah.

Penulis bersama-sama pelajar undang-undang telah merancang beberapa program untuk dilaksanakan. Persatuan Pelajar Muslim di sini tidak aktif sudah beberapa tahun. Berdoa agar ia dapat diaktifkan semula dan meneruskan agenda dakwah di sini. Inilah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang Muslim di mana sahaja anda berada. Walaupun dengan bilangan yang sedikit, kita pasti boleh melakukan sesuatu dan hanya redha Allah yang kita harapkan.

Persembahan Jalanan di New York

New York merupakan kota muzik. Di sini terdapat sekolah muzik terkenal dan tersohor di dunia. Peminat muzik dari seluruh dunia hadir ke New York untuk meneruskan pengajian muzik secara professional. Rakan-rakan penulis yang menginap di International House juga ramai merupakan pemuzik professional. Mereka kerap mengadakan persembahan dan aktif dalam program-program dianjurkan.

Di antara perkara yang menarik di New York bersesuaian dengan cirinya sebagai kota muzik ialah begitu ramai pemuzik jalanan membuat persembahan di merata tempat. Di ‘subway’, di jalanan, di taman awam, di dalam bas, keretapi, di lorong laluan orang ramai dan sebagainya pemuzik jalanan ini menjalankan aktiviti seninya sambil mencari rezeki melalui persembahan jalanannya. Sebagai pengkritik amatur dalam dunia muzik, penulis membuat kesimpulan bahawa persembahan jalanan di sini adalah sangat berkualiti dan mencapai tahap yang begitu menghiburkan.

Photo Collage Maker_1ItvqW
Pemuzik Jalanan Di New York

United Nation General Assembly

Berkebetulan dengan Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung di New York, penulis berkesempatan menghadiri beberapa program selaras dengan tema perbincangan. Kesempatan yang sangat berharga ini diambil untuk melihat dan mempelajari bagaimana advokasi di peringkat antarabangsa dijalankan oleh badan bukan kerajaan dan institusi peringkat dunia.

Penulis telah menghadiri perbincangan meja bulat untuk ‘sustainable development’, ‘indigenous rights’ dan ‘human rights’ yang diadakan di sekitar New York. Pengalaman menyaksikan individu dan aktivis dari seluruh dunia membentangkan kerja dan ‘activism’ mereka dan seterusnya mengatur strategi merancang untuk mendapatkan sokongan dunia serta memberikan tekanan antarabangsa kepada sesebuah Negara yang melanggari atau tidak menghormati hak asasi manusia. Penganjur pula terdiri daripada institusi antarabangsa seperti JP Morgan, Goldman Sachs dan banyak lagi. Antara kelebihan New York ialah aktivis dan institusi yang terlibat dalam advokasi seperti ini mempunyai jaringan mantap seluruh dunia khususnya PBB.

Photo Collage Maker_AU3jZX

Rosh Hashanah Tahun Baru Yahudi

Antara program unik yang disertai oleh penulis ialah meraikan kawan-kawan berbangsa yahudi yang menyambut Rosh Hashanah iaitu sambutan tahun baru mereka yang jatuh pada bulan Tishrei (bulan ke7) kalendar yahudi. Jika di United Kingdom dulu sempat menyambut Nouruz iaitu tahun baru bg kalendar Parsi bersama kawan-kawan dari Iran. Cuba menghayati konsep ‘litaarafu’.

10669059_10203960698289151_6164647397235720665_o
Jamuan Rosh Hashanah

Masjid di New York

Di antara rutin setiap kali musafir ialah menziarahi saudara seAgama di masjid-masjid destinasi permusafiran. Berpeluang menunaikan solat jumaat di masjid Malcolm X di Harlem. Majoriti jemaah adalah African American Muslims. Kawalan keselamatan agak ketat untuk masuk ke masjid ini dan perlu meninggalkan beg di bilik sekuriti. Khutbah disampaikan oleh imam secara duduk dan santai diselangi beberapa jenaka. Ini kali pertama menyaksikan khutbah dan jemaah tidak tidur malahan ketawa kecil semasa khutbah.

10562617_10203998522194725_3297714286605729149_o
Masjid Malcolm X

Feed the Homeless

Program seterusnya disertai penulis ialah terlibat bersama-sama Muslim Bar Association of New York dengan kerjasama NGO ‘Muslims Against Hunger’, New York menyediakan makanan dan mengedarkannya kepada gelandangan di New York. Di waktu pagi kami sibuk menyiapkan makanan dan tengahari terus menuju tempat di mana gelandangan berada. Oleh kerana muslim seringkali dipandang serong warga New York, ini adalah antara usaha untuk ‘engage with the community’. Pengalaman penuh bermakna ini menghayati Islam Rahmatan lil alamin.

10575243_10203974904684302_6114294781806121192_o
Program ‘Feed the Homeless’

How Judge Decides

Di antara program yang sangat menarik di Fordham Law School adalah kursus ‘How Judge Decides’ menampilkan hakim-hakim di Amerika yang berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar undang-undang. Kursus ini berjalan sepanjang tahun dan sangat interaktif. Program ini bukan berjalan sepertimana biasa iaitu hakim akan memberikan syarahan dan pelajar akan mendengar. Program dikendalikan oleh peguam-peguam terkenal di Amerika khususnya di New York. Mungkin ini peluang untuk mereka mengasak soalan atau berinteraksi secara lebih informal di luar mahkamah. Perkara yang mengagumkan ialah hakim-hakim ini sudi dan sanggup datang ke universiti berhadapan dengan peguam-peguam ini dan berkongsi dengan pelajar-pelajar pengalaman dan ilmu mereka.

Sejam awal sebelum syarahan pelajar akan disoal ‘cross examine’ secara bertubi-tubi oleh peguam-peguam ini mengenai penghakiman yang dibuat oleh hakim yang akan memberikan syarahan. Dalam hal ini, pelajar perlu membuat persediaan rapi bukan hanya kerana risiko malu jika tidak bersedia tetapi motivasi untuk buktikan pada peguam terkenal tersebut kebolehan diri dan baik untuk pasaran kerja.

Lebih menarik lagi, sesi syarahan hakim juga tidak statik. Peguam yang mengendalikan sesi akan berjalan di sekeliling dewan syarahan sambil menanyakan soalan kepada hakim umpama berada di dalam mahkamah. Sesi semakin menarik apabila hakim juga diprovokasi oleh peguam dan soalan-soalan juga berdasarkan penghakiman yang dibuat oleh hakim tersebut. Kadangkala mungkin tidak sesuai dengan budaya di Malaysia kerana kelihatan terlalu terbuka. Namun, hakim menjawab soalan dengan berhemah dan menerangkan secara telus bagaimana beliau membuat sesuatu penghakiman.

Di antara sesi yang paling menerujakan adalah bersama tetamu jemputan Hakim Jed Rakoff yang disenarai oleh Fortune Magazine pada 2014 sebagai salah seorang ‘the World’s 50 Greatest Leaders’. Judge Jed Rakoff sangat terkenal dan amat disegani di Amerika dengan integriti dan pendekatan dalam penghakimannya sehingga digelar sebagai ‘the Activist judge’. Kebanyakan kes yang diputuskan adalah melibatkan kes-kes berprofail tinggi. Berpeluang mengikuti program ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Teknik dan model pengajaran yang dilaksanakan adalah sangat progresif dan menarik. Sama ada boleh dilaksanakan di Malaysia ataupun tidak, ia bergantung kepada semua pihak iaitu hakim, peguam, pensyarah dan paling penting kesediaan pelajar-pelajar untuk menuntut ilmu.

Photo Collage Maker_cvdvky
Judge Jed Rakoff

The World Leaders Forum: Rached Ghannouchi

Alhamdulillah, mewakili ABIM menghadiri ‘the World Leaders Forum’ di Colombia University, New York bertemakan ‘Islam, Democracy, and the Future of the Muslim World’. Disampaikan oleh Sheikh Rached Ghannouchi, Leader of Tunisia’s Ennahda Party. Berkesempatan berbual dengan Sheikh Ghannouchi dan menyampaikan hasrat menjemput beliau ke Malaysia dan jawapannya positif. Pelbagai persoalan dilontarkan oleh audien yang berlatarbelakangkan perspektif barat dan antara yang menarik ialah bagaimana Sheikh Ghannouchi mengupas ayat 72 surah al Anfal dan relevannya dengan konsep demokrasi, ummah dan kewarganegaraan’Islamic state’ merujuk kepada negara yang demokratik dan memelihara hak terutamanya ‘warganegara’ secara adil dan saksama. ‘Ummah’ merangkumi semua termasuk yahudi semasa di Madinah. Bahkan orang yang beriman tetapi belum berhijrah ke Madinah tidak dianggap sebagai ‘warganegara’ pada waktu itu.

Photo Collage Maker_6Wh1a1
Columbia University

Creating a Learning Society

Joseph Stiglitz pemenang anugerah ‘Nobel Laureate’ adalah antara penulis yang diminati. Sudah memiliki beberapa naskhah buku Professor Ekonomi yang hebat ini. Kali ini berpeluang menghadiri siri syarahan beliau di Colombia University. Beliau terlibat dalam mempromosi buku terbaru beliau bersama Profesor Bruce Greenwald bertajuk Creating Learning Society. Buku ini menampilkan idea segar kedua-dua penulis hebat ini mengenai perlunya mewujudkan model dan kerangka ke arah menjana ‘Learning Society’. Pandangan dan ulasan bernas serta berfakta secara akademik menambahkan lagi tarikan kepada buku ini. Kedua-dua penulis Nampak jelas menguasai bidang mereka dan secara yakin bahawa hanya dengan ‘learning society’ dunia akan lebih maju dan menjamin ketamadunan yang seimbang.
Photo Collage Maker_v8VKdl
Joseph Stiglitz and Bruce Greenwald

New York University Islamic Center

Menunaikan solat Jumaat di hari Arafah di Islamic Center of New York University. New York menyambut Eidul Adha pada Oktober 2014. Khutbah bersemangat oleh Imam Khalid Latif yang sangat popular di New York. Beliau merupakan Chaplain pertama di Princeton University dan telah memenangi beberapa anugerah termasuk disenarai antara 500 Individu Muslim Paling Berpengaruh di Dunia oleh Georgetown University. Menariknya di sini terdapat Jurubahasa Isyarat bersebelahan khatib bagi menyampaikan isi khutbah kepada golongan masalah pendengaran.

Juga berkesempatan Iftar jamaiyy bersama jemaah dan kali ini program menampilkan Naomi Wolf, penulis antarabangsa berbangsa yahudi terkenal dengan bukunya “The Beauty Myth’ yang kini aktif memperjuangkan hak rakyat Palestine. Beliau mengutuk Israel dan menganggap apa yang berlaku di Gaza sebagai “Genocide’. Pada malam Iftar ini juga menyaksikan mengalirnya air mata seorang wanita warganegara Amerika yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Suasana yg begitu indah sekali di masjid ini dengan jemaah dan aktivis yang begitu komited dengan dakwah.

10633473_10204016356160563_5908631434816928489_o
Iftar Jamaiy at New York University

Bersambung…………

Ijtihad, Legitimasi, Fiqh Siyasi dan Ilusi

IJTIHAD, LEGITIMASI, FIQH SIYASI DAN ILUSI

Kenyataan Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz yang menyebut bahawa Islam melarang demonstrasi bagi menyokong Gaza dan ia hanyalah tindakan bunyi bising dan tidak bermanfaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malahan, terdapat pandangan ulama yang lebih mengecewakan di mana fatwanya merestui rejim al Assad dan meredhai rejim al Sisi membantai dan membunuh rakyatnya sendiri. Ulama-ulama ini sanggup duduk sebaris dengan pendokong rejim merestui rampasan kuasa seperti yang berlaku di Mesir. Di Malaysia juga terdapat pandangan sebegini apabila ada kenyataan yang menghalalkan darah pendemonstrasi atas dasar bughah. Ulama-ulama yang senada dengan pandangan sebegini baru-baru ini juga telah menubuhkan ‘Council of Muslim Elders’ di Abu Dhabi tajaan Emiriyah Arab Bersatu sebagai saingan kepada ‘International Union of Muslim Scholars’ yang dipengerusikan oleh Sheikh al Qaradhawi yang dilihat sering menyebelahi gerakan Islam arus perdana.

Seiring dengan perkembangan terkini konflik dan krisis di Timur Tengah, artikel ini merupakan refleksi penulis terhadap fenomena yang terus menghimpit dan menzalimi umat Islam. Artikel ini sama sekali tidak bermaksud untuk menghina mana-mana ulama mahupun mempertikaikan autoriti mereka dalam berijtihad dan memberikan fatwa. Penulis hanya ingin mencetuskan beberapa persoalan mengenai ijtihad dan hubungkaitnya dengan implikasinya terhadap perkembangan dunia Islam khususnya dari aspek ‘political legitimacy’ yang sangat signifikan kepada umat Islam. Disamping mengakui dan mengiktiraf keilmuan ulama-ulama kontemporari ini, penulis berpandangan bahawa betapa perlunya beberapa pandangan ulama-ulama ini disemak semula ataupun diberikan pencerahan selanjutnya bagi mengelakkan ia dimanipulasi dan seterusnya menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.

Ijtihad dan Legitimasi

Ijtihad adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam kehidupan. Hampir setiap perkara memerlukan ijtihad sama ada individu mahupun secara kolektif. Ijtihad akan menjadi lebih signifikan apabila ia melangkaui isu individu bahkan bakal menentukan hala tuju dan implikasi yang besar kepada masyarakat. Dalam situasi ini, sudah pasti ijtihad yang benar-benar tepat melalui proses yang ketat dengan mengambil kira semua faktor dan implikasi ijtihad perlu dilaksanakan. Individu ataupun sekumpulan ilmuan memegang amanah untuk memastikan ijtihad yang dikeluarkan adalah ‘genuine’, ‘justly balanced’ dan menjaga maslahah umum.

Fenomena yang berlaku di Negara Arab khususnya di Timur Tengah begitu menyedihkan seluruh umat manusia. Nyawa seakan terlalu murah dan kezaliman itu seakan menjadi sebahagian daripada Timur Tengah. Ribuan nyawa melayang atas dasar konflik agama, geo-politik, bangsa mahupun faktor ekonomi. Isunya di sini, dengan institusi ijtihad yang berperanan menyelesaikan isu umat, ia kini seakan tidak berupaya, lemah longlai tidak memberikan impak kemaslahatan kepada umat. Adakah kebejatan ini berfaktorkan cacatnya ijtihad atau ijtihad yang batil atau ijtihad yang tidak diberkati.

Lihat saja ijtihad sesetengah ulama yang menyokong rampasan kuasa oleh tentera diketuai Al Sisi di Mesir. Ijtihad ulama yang menyokong rejim Al Assad di Syria juga satu perkara yang sungguh mengecewakan. Bahkan terdapat ijtihad yang sangat kontroversi apabila mengatakan tiada jihad di Gaza menentang zionis Israel. Ijtihad-ijtihad oleh sarjana ilmuan yang boleh dianggap alim dengan ilmunya ini pastinya memberikan implikasi yang sangat signifikan kepada umat.

Ijtihad-ijtihad yang mengiktiraf rejim al Sisi, rejim al Assad dan menidakkan jihad di bumi Palestine ini merupakan antara faktor utama ‘LEGITIMASI’ kepada penyangak-penyangak ini untuk meneruskan agenda jahat mereka. John Locke ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan magnum opusnya Two Treatises of Government mentakrifkan LEGITIMACY ini sebagai ‘legitimacy derives from popular explicit and implicit consent of the governed’. Ini bertepatan dengan apa yang berlaku pada hari ini apabila LEGITIMASI yang diperolehi melalui Ijtihad dan institusinya boleh dianggap sebagai ‘explict and implicit consent of the governed’. Didapati melalui IJTIHAD ELIT sesetengah ulama inilah walaupun melalui proses yang menepati usul hatta dengan keihklasan sekalipun hanya memberikan lampu hijau dan endorsemen untuk rejim mahazalim menyekat kebangkitan umat. LEGITIMASI melalui ijtihad inilah antara yang menjadi faktor kepada terusnya kekuasaan rejim diktator yang secara istiqamah mencabul hak dan menzalimi umat. Lebih membimbangkan, ijtihad inilah yang secara tidak langsung menghalalkan pembiayaan negara Islam seperti Arab Saudi dan UAE menyokong dan mendanai rejim diktator ini.

Sungguh ironi merujuk kepada ijtihad OIC yang menyuarakan penghargaan terhadap usaha Mesir untuk menghentikan serangan Israel dan mencapai keamanan. Kerajaan al Sisi yg sebelum ini telah mendapat restu melalui ijtihad beberapa ulama telah berpakat dengan Israel untuk menekan pejuang Palestin di Gaza diharapkan untuk menjadi penaja rundingan damai.

Adakah ijtihad OIC ini gagal atau dengan niat saja gagal untuk memahami situasi yang berlaku. Rashid al-Ghannushi, pengasas kepada Hizb al-Nahḍah, Parti Pembaharuan Tunisia mendedahkan bahawa Mesir enggan menerima pesawat Tunisia yang sarat dengan ubat-ubatan dan bantuan perubatan di Kaherah untuk dihantar ke Gaza dan membantu pemindahan mangsa kecederaan ke Tunisia. Al-Monitor, 11 Julai 2014 melaporkan: Sebelum serangan Israel ke atas Gaza pada pagi 8 Julai, saluran Al Jazeera Mubasher Misr melaporkan Mejar Jeneral Mohammed Farid al-Tohamy, Pengarah Perkhidmatan Inteligen Am Mesir, telah mengunjungi Tel Aviv beberapa jam sebelum serangan dan bertemu dengan pegawai keselamatan Israel. Dilaporkan juga Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah memberikan Israel kelulusan awal untuk melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaza untuk menghancurkan Hamas. Zvi Bar’el menulis dalam Haaretz, 11 Julai 2014, menyatakan bahawa al-Sisi telah menjadi sekutu tentera Israel secara tidak rasmi, memandangkan dua negara itu bekerjasama rapat dalam menentang Hamas. Menteri Perisikan Israel, Yuval Steinitz semasa temubual dengan Siaran Berita 2 Israel menyatakan, ‘terima kasih Tuhan kerana Mesir bersama kita. Tanpa kerjasama Mesir, Israel tidak akan berjaya menepati misi menyerang Gaza’. Anas Al Tikriti, salah seorang cendiakawan Islam, membuat kesimpulan bahawa sekarang kita telah memahami mengapa berlakunya rampasan kuasa oleh tentera di Mesir di mana Israel menyambutnya dan Arab Saudi dan UAE membiayainya.

Situasi di Syria juga begitu membingungkan. Kekejaman al Assad semasa peristiwa berdarah Qamisyli pada 2004 dan 2008, peristiwa Hasakah pada 2004 dan peristiwa penjara Soydana dan tragedi melampaui batasan kemanusiaan hari ini telah meragut nyawa ratusan ribu rakyat Syria. Ini disahkan oleh Utusan Khas PBB sendiri dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi. Namun, apa yang berlaku ialah masih ada lagi ijtihad-ijtihad yang menyantuni rejim al Assad dan dengan inilah sekali lagi “LEGITIMASI’ ini dimiliki dengan harga yang sangat murah.

Ijtihad dan Fiqh Siyasi

Antara elemen fiqh siyasi yang dibicarakan secara mendalam oleh ramai sarjana kontemporari termasuk Yusuf al Qaradhawi, Rashid Ghanoushi, Tariq Ramadan dan ramai lagi ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun telah ada fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi seperti pandangan Sheikh Abdul Aziz, Mufti Arab Saudi bersandarkan hujah ghawgha, bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain, penulis sangat tertarik dengan metod Yusuf al Qaradhawi menyantuni pandangan ekstrim ini dengan penuh berhemah. Dengan melihat fiqh waqi’ sesuai dengan perkembangan dunia Islam, beliau mengambil pendekatan yang sangat dinamik dan pandangan beliau ini adalah sangat signifikan dalam mempengaruhi gerakan kebangkitan Islam di dunia.

Amat menarik pandangan Yusuf al Qaradhawi ini apabila beliau secara santai menjawab tohmahan ini dan menolak pandangan yang menyatakan demonstrasi aman ini adalah haram. Bagi menguatkan hujah ini, beliau memetik peristiwa Umar al Khattab di awal pengIslamannya di dalam buku bertajuk ’Thaurah Shaab’. Beliau menukilkan bagaimana Umar al Khattab meminta restu Rasulullah untuk menyatakan kebenaran di jalanan bersama-sama dengan beberapa sahabat yang lain. Rasulullah telah memberi keizinan dan restu baginda dan sejurus itulah Umar al Khattab mengetuai sahabat-sahabat yang lain berdemonstrasi secara aman menyatakan kebenaran di depan kaum Musyrikin Mekah pada waktu itu. Peristiwa itu dirakamkan sebagai antara demonstrasi jalanan yang paling awal dalam sejarah Islam.

Keharusan berdemonstrasi aman ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui peristiwa Umar al Khattab di atas malahan ia juga bersandarkan kepada kaedah usul fiqh dan qawaid fiqh. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, adalah boleh disimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman adalah harus. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan mereka dianggap sebagai golongan yang zalim dan bakal menerima azab Allah.

Kenyataan yang menyebut demonstrasi aman ini sebagai tindakan bunyi bising dan tidak bermanfaat juga sebenarnya gagal melihat betapa besarnya kesan dan pengaruhnya pada dunia. Sejarah membuktikan bahawa revolusi dan gerakan pembebasan serta aktivisme sosial melibatkan demonstrasi aman adalah sangat memberi kesan terutama bagi menyuntik kesedaran dan menanam semangat untuk memperjuangkan keadilan. Demonstrasi aman yang dipimpin oleh Gandhi antaranya telah berjaya membebaskan India dari penjajahan, demonstrasi aman anti-apartheid di seluruh dunia telah melenyapkan rejim apartheid di Afrika Selatan, demonstrasi aman di Jerman telah meruntuhkan tembok Berlin, demonstrasi aman di Tunisia telah menjatuhkan rejim Ben Ali dan demonstrasi aman di Mesir telah menundukkan rejim Mubarak. Demonstrasi sebagai salah satu daripada elemen demokrasi ini memberikan ruang masyarakat awam untuk menyuarakan pandangan dan suara isi hati mereka kepada umum. Ia seumpama kesaksian dan refleksi terhadap sesuatu isu yang signifikan kepada kemaslahatan umum dan pastinya tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Inilah antara sebab peri pentingnya para alim ulama mufti memahami fiqh ‘international politic’ secara makro dan mikro dan terlibat secara langsung dengan gerakan islam dan masyarakat dalam memberikan pandangan berkaitan isu isu politik. Pandangan para ulama yang menyokong rampasan kuasa di Mesir seumpamanya sememangnya dapat menghentikan sementara pertumpahan darah tapi lihatlah kesannya, saudara seIslam di Gaza yg menjadi mangsa. Malahan Israel dilihat lebih berkuasa dan bermaharajalela membantai umat Islam tanpa perikemanusiaan. Moga-moga semua ulama yang berpandangan sebegini bersatu padu menarik balik fatwa mereka dan mengecam sekerasnya kerajaan al sisi dan mana-mana rejim diktator di dunia ini. Sesungguhnya kita mengimpikan kesatuan ulama yang punya umat bukan yang hanya punya majikan.

Epilog

Ijtihad merupakan aspek yang sangat signifikan dalam menyelesaikan isu umat. Ijtihad yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat telah mencetuskan fenomena keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, pada hari ini, terdapat ijtihad-ijtihad yang boleh dipersoalkan keberkesanannya malahan kesahihannya. Lebih membimbangkan, dikhuatiri ijtihad-ijtihad ini hanya memberikan ‘LEGITIMASI’ kepada rejim diktator dan sekutunya termasuk rejim zionis untuk terus bermaharajalela. Bahkan secara tidak langsung ijtihad ini juga seakan menghalalkan pendanaan dan pembiayaan terhadap rejim diktator ini oleh negara Islam itu sendiri. Ijtihad yang pada asasnya telah memberikan “LEGITIMASI’ ini akhirnya hanya menerbitkan “ILUSI’. ILUSI IJTIHAD.

Regards
Zulkifli Hasan

Note: The views expressed here are solely those of the author in his private capacity and do not in anyway represent any institution or organisation.

P1120719
With Sheikh Mustafa Ceric, Grand Mufti of Bosnia and Herzegovina, in Sarajevo.

KAPITALISME, PASARAN SENJATA DAN KRISIS

Kapitalisme, Pasaran Senjata dan Krisis

Zulkifli Hasan

Pendahuluan

Tatkala Gaza dihujani bom dan peluru, Amerika dilaporkan terus menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel. Ahli Kongres Amerika memberikan lampu hijau dan menyatakan sokongan penuh kepada rejim zionis. Dilaporkan juga bahawa Rusia dan China telah menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Presiden Syria Bashar Al Assad supaya berundur dan mengutuk keganasan kezaliman yang berlaku. Hingga kini dilaporkan ribuan rakyat Gaza dan Syria telah terkorban dan tercedera. Ramai yang tertanya-tanya mengapa dan kenapa negara-negara ini berbuat demikian. Sudah pasti mereka mempunyai sebab dan justifikasi terhadap tindakan mereka ini. Rusia merupakan pembekal senjata dan rakan dagang utama Syria dalam membekalkan pelbagai jenis senjata kepada rejim Al Assad. Begitu juga di Bahrain, dalam keghairahan media barat mengutuk Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya, Amerika dalam masa yang sama telah membekalkan senjata yang besar jumlahnya kepada Bahrain. Amerika juga pastinya sekutu utama Israel menyalurkan peralatan senjata termodennya dan akan berbuat apa sahaja untuk mengiyakan segala kejahatan rejim zionis. Lihat saja kelengkapan ‘Iron Dome’ Israel yang dibiayai oleh Amerika dengan belanja melebihi USD225 juta. Amerika secara konsisten menjadi penyumbang utama ekonomi dan persenjataan Israel dan ini diketahui dunia.

Krisis merupakan perkara yang sinonim dengan kapitalisme. Bahkan, kapitalisme memerlukan krisis untuk ‘survive’ atau untuk terus relevan. Tanpa krisis, kapitalisme akan runtuh dan tidak akan berfungsi. Itulah antara faktor mengapa berlakunya kitaran krisis ekonomi, krisis kewangan, krisis peperangan dan pelbagai krisis yang lain pada hari ini. Mengetahui perkara inilah, golongan pemodal akan memastikan krisis itu dicipta dan direncanakan secara strategik demi mengaut keuntungan melaluinya. Begitu juga apa yang berlaku pada hari ini khususnya di Timur Tengah. Dengan sumber kekayaan yang melimpah melalui hasil minyak yang menjadi rebutan dunia, golongan pemodal pastinya telah merencanakan pelbagai krisis dan ancaman yang membolehkan produk senjata mereka dilanggani tanpa had. Dalam erti kata lain, golongan pemodal ini mencipta “PASARAN’ melalui krisis dan peperangan.

Dunia telah menyaksikan bahawa abad ke 20 merupakan abad yang paling kejam dalam sejarah manusia dengan dua peperangan dunia, diikuti lebih 30 tahun perlumbaan senjata, perang teluk, perang Afghanistan, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq termasuk konflik dalaman, revolusi dan sebagainya. Program Penyelidikan Keamanan, Cornell Universiti di Amerika telah menganggarkan bahawa seramai 231 juta manusia telah terkorban melalui peperangan dan konflik sepanjang abad ke 20. Di antara faktor utama sejarah tragis manusia ini adalah kesan daripada perdagangan senjata. Perdagangan senjata yang sering kali dilihat sebagai langkah memperkuatkan sistem pertahanan dan perbelanjaan persenjataan atas dasar keselamatan sebenarnya hanya mencetuskan konflik dan pertumpahan darah. Dalam erti kata lain, peperangan telah dicipta bukan hanya kerana ideologi tetapi juga berfaktorkan keuntungan.

Melihat kepada signifikannya isu perdagangan senjata dan agenda para kapitalis pengeluar senjata, artikel ini cuba menelusuri dan meninjau realiti perdagangan senjata termasuk menampilkan aktor-aktor pengeluar senjata dan pelanggan tetap kepada saudagar senjata ini di seluruh dunia. Di samping itu, penulis juga berkongsi sedikit maklumat berkenaan dengan institusi dan badan yang aktif dan komited mengawal dan memantau perdagangan senjata dan juga entiti yang secara komperehensif merekod dan menyimpan data serta statistik perdagangan senjata di seluruh dunia.

Kenali Pengeluar dan Pelanggan Senjata

Adalah tidak mengejutkan bahawa, Amerika merupakan peneraju perdagangan senjata diikuti oleh Rusia, Britain dan Perancis. Maklumat mengenai Perdagangan Senjata dunia boleh diperolehi menerusi Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) sebuah badan bebas antarabangsa berpengkalan di Sweden yang mengkhusus kepada penyelidikan mengenai perdagangan senjata yang memantau dan mempunyai pengkalan data yang komprehensif mengenai perdagangan senjata dunia. Menurut SIPRI, direkodkan bahawa antara 1996-2000 perdagangan senjata dunia dipelopori oleh Amerika, Russia, Perancis yang mewakili 30%, diikuti oleh Britain dan Jerman, 20% dan Belanda, Ukraine, Italy, China, Belarus, Sepanyol dan Israel, 15%. Apa yang menarik dan dalam masa yang sama agak mengejutkan ialah negara-negara pengeluar senjata ini merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu mewakili 85% perdagangan senjata dunia. Sudah pasti fakta ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan keadilan dalam Majlis Keselamatan PBB.

Dari aspek pengeluar senjata, terdapat tujuh syarikat utama pengeluar senjata di dunia iaitu Lockheed Martin (Amerika) BAE Systems (Britain), Boeing (Amerika), Raytheon (US), General Dynamics (Amerika), Thomson-CSF (Perancis). Syarikat-syarikat ini secara aktif mempromosi dan membekalkan senjata di seluruh dunia. Terdapat juga individu pengusaha dan pembekal senjata yang beroperasi membekalkan senjata secara penyeludupan. Victor Bout seorang ikon saudagar senjata dunia yang telah membekalkan pelbagai jenis senjata di serata dunia akhirnya telah ditangkap di Thailand dan diekstradisi ke Amerika. Di antara 2005-2009, direkodkan bahawa negara utama pengguna dan yang melanggan senjata ialah Taiwan, Arab Saudi, Turki, Korea Selatan, India, Mesir, Israel, Pakistan, Kuwait, Malaysia, Greece, Singapura dan Algeria. Menurut ‘Congressional Research Service’, institusi yang menjalankan penyelidikan untuk kongres Amerika, nilai perdagangan senjata antarabangsa bagi 2010 sahaja telah mencecah USD35 bilion.

Selain daripada senjata berat, isu perdagangan senjata kecil juga perlu diambil perhatian kerana ianya juga sangat mempengaruhi dan kerap kali kematian diakibatkan oleh senjata sebegini. Panel Pakar PBB mengkategorikan senjata kecil ini kepada senjata yang digunakan oleh pihak polis dan tentera seperti pistol, rifel, bom tangan, mortar, gas pemedih mata dan lain-lain. Senjata kecil ini pada dasarnya bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam dan memelihara keamanan. Namun demikian, dunia menyaksikan senjata ini akhirnya sering kali digunakan oleh pihak berkuasa menindas dan menzalimi orang awam. Pengeluar utama senjata seumpama ini ialah China, Russia dan Amerika. Kajian yang dibuat oleh ‘Graduate Institute of International Studies’ di Geneva menganggarkan bahawa sekurang-kuranya 550 juta pistol dan senjata seumpamanya yang terdapat di dunia iaitu mewakili satu senjata bagi setiap 11 penduduk dunia. ’Small Arms Survey’ yang dijalankan oleh institusi ini pula melaporkan bahawa nilai perdagangan senjata kecil ini adalah melebihi USD7 bilion setahun. Ironinya ialah sebanyak USD2.4 bilion telah diperuntukkan pada 2010 untuk pembelian senjata kecil ini seperti gas pemedih mata, kereta perisai dan senjata lain telah dijual kepada Negara yang mengalami krisis dan konflik seperti Bahrain, Mesir, Libya, Syria dan Yaman. Ini menunjukkan bahawa oleh kerana tiadanya undang-undang antarabangsa pengawalan perdagangan senjata yang boleh menghalang penjualan senjata kepada negara-negara yang secara jelas melanggar hak asasi manusia telah mengakibatkan krisis dan konflik yang berterusan di negara-negara berkenaan.

Industri Senjata dan Implikasinya

Persepsi yang selalu menjadi tanggapan umum terhadap persenjataan ialah senjata adalah untuk keselamatan. Bagi negara pengeluar senjata, industri ini dapat menjana ekonomi dan memberi hasil kepada negara termasuk mencipta peluang pekerjaan. Tetapi tahukah anda bahawa sekitar 2,000 orang mati setiap hari akibat dari perdagangan senjata ini. Industri pembuatan senjata juga tidak banyak menyumbang kepada ekonomi dan sebenarnya tidak menjana peluang pekerjaan yang signifikan. Ini memandangkan industri senjata ini dikategorikan sebagai industri berteknologi tinggi dan tidak memerlukan pekerja yang ramai. Sekiranya dibandingkan antara maslahah dan mafsadah industri ini, didapati terlalu banyak implikasi negatif secara langsung atau tidak langsung melalui urusniaga perdagangan senjata ini.

Jika diteliti dan dianalisis secara telus, hakikatnya perdagangan senjata ini boleh memberikan implikasi yang sangat negatif dan amat berpotensi untuk mencetuskan konflik. Umpamanya pada 1998, terdapat 11 konflik senjata di Afrika. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Di antara faktor utama konflik ini ialah pihak yang bermusuhan memiliki armada tentera dan persenjataan yang mencukupi. Dilaporkan antara 1989-1998, Amerika telah memperuntukkan USD227 juta untuk latihan ketenteraan dan senjata bagi tentera-tentera di beberapa negara di Afrika. Daripada jumlah ini sebanyak USD111 juta digunakan untuk peperangan yang berlaku di Democratic Republic of Congo, Angola, Burundi, Chad Namibia, Rwanda, Sudan, Uganda dan Zimbabwe.

Perdagangan senjata ini juga boleh mempengaruhi dasar dan peruntukan kewangan negara. Peruntukan perbelanjaan untuk persenjataan yang berlebihan akan menjejaskan agenda pembangunan sesebuah negara. Menurut Laporan Setiausaha Agung PBB kepada Majlis Keselamatan berkenaan dengan senjata kecil (S/2008/258) melaporkan bahawa perbelanjaan senjata terutamanya di negara dunia ketiga dan membangun menyebabkan kekayaan negara tidak dapat disalurkan kepada pembangunan sosial. PBB merekodkan bahawa lebih 1 bilion penduduk hidup di bawah paras kemiskinan iaitu pendapatan kurang daripada USD1 sehari sedangkan USD184 setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan senjata bagi setiap individu di muka bumi ini. Amat malang kerana fenomena perbelanjaan persenjataan yang keterlaluan ini juga berlaku di negara membangun dan mengalami krisis kemanusiaan. ‘Global Fire Power’, sebuah laman sesawang yang mempunyai pengkalan data mengenai maklumat umum pertahanan negara di dunia, merekodkan tatkala Pakistan dan Mesir dilanda krisis pengangguran dan masalah ekonomi, kedua-dua negara ini telah memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk ketenteraan dan masing-masing kini menduduki tangga ke 15 dan 16 dunia dari segi kekuatan angkatan tentera. Lebih mengejutkan lagi ialah daripada jumlah pasaran senjata dunia, 10 negara membangun yang mengalami masalah ekonomi dan kemanusiaan adalah mewakili 60% daripada jumlah pasaran senjata bagi tahun 2003-2010.

Perkembangan perbelanjaan senjata yang berlebihan untuk tujuan keselamatan juga mengakibatkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sektor pembangunan dan kebajikan tidak dapat dimanfaatkan. Sebagai contoh, harga bagi 30 buat jet Sukhoi-30 MKI buatan Rusia ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini sebenarnya boleh disalurkan untuk membiayai persekolahan rendah selama setahun bagi 20 juta kanak-kanak. Harga bagi 310 kereta kebal T-90S buatan Russia ialah USD600 juta dan sekiranya wang ini digunakan untuk tujuan kesihatan ianya boleh dibelanjakan untuk membiayai pembelian 200 juta ‘insecticide-treated nets; yang mampu mengurangkan kematian akibat malaria. Nilai bagi 6 buah kapal selam buatan Perancis ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini mampu untuk membantu dalam proses rawatan 1.7 bilion kanak-kanak yang mengidap ‘debilitating intestinal worms’ selama 3 tahun. Harga bagi sepuluh jet pejuang Mirage-2000E buatan Perancis ialah USD325 juta. Dianggarkan wang ini cukup untuk membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan bagi 1 bilion orang selama 10 tahun. Peruntukan untuk membeli 66 Jet Pejuang Hawk fighter buatan Britain ialah USD1.7 bilion. Perbelanjaan ini hakikatnya mampu untuk membiayai ‘antiretroviral AIDS drugs’ bagi lebih 11 juta pesakit AIDS selama setahun. Fakta dan angka ini kadang-kadang amat menggerunkan kerana kita dapat menyaksikan betapa rakusnya manusia terhadap kuasa hingga sanggup mengenepikan keperluan yang lebih mendesak seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat.

Di antara implikasi negatif yang sering juga terjadi berikutan kegiatan perdagangan senjata ialah meningkatnya indeks rasuah. Perdagangan senjata sering melibatkan pihak tengah, tidak telus, bersifat rahsia dan sangat berpotensi menyumbang ke arah amalan rasuah. Dilaporkan bahawa terdapat lebih 50% tuduhan rasuah melibatkan perdagangan senjata. Amalan industri perdagangan senjata yang tidak telus dan keghairahan pihak tertentu untuk memiliki senjata berteknologi tinggi dan terkini menyemarakkan lagi anasir rasuah yang akhirnya menelan perbelanjaan yang besar bagi bajet sesebuah Negara. Berdasarkan kepada faktor ini, seharusnya sesuatu perlu dilakukan bagi memantau industri senjata dan juga mewujudkan satu undang-undang antarabangsa untuk mengawal perdagangan senjata di dunia. Sekurang-kurangnya, undang-undang antarabangsa yang bersifat universal ini akan sedikit sebanyak dapat mengurangkan perdagangan senjata yang tidak bertanggungjawab dan beretika.

Advokasi Pengawalan Perdagangan Senjata

Pada hari ini, didapati tiada satu perjanjian yang bersifat global dan mengikat mengenai pengawalan perdagangan senjata. Gerakan dan aktivisme pengawalan perdagangan senjata ini secara rasminya bermula pada 1997 di New York hasil inisiatif sekumpulan Pemenang Nobel Perdamaian dan ‘International Physicians for the Prevention of Nuclear War’ (IPPNW) yang mengesyorkan untuk mewujudkan Kod Etika Perdagangan Senjata. Selepas kempen dan promosi oleh pelbagai badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil antarabangsa, saranan ini kemudiannya diterima oleh PBB dalam resolusi 61/89 pada 18 Disember 2006.

Tarikh 30 Oktober 2009 menjadi detik sejarah apabila Perhimpunan Agung PBB dengan 151 undi akhirnya telah bersetuju mengguna pakai Resolusi A/Res/64/48 untuk menerima usul ke arah mewujudkan Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata (Arms Trade Treaty). PBB juga bersetuju untuk meneruskan proses memperincikan Perjanjian ini dengan menganjurkan beberapa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu pada 2010 dan 2011. Kini Perjanjian ini berada diperingkat akhir pengemaskinian dan PBB akan menganjurkan konferen khas pada Julai 2012 bagi menggubal Perjanjian atau Instrumen yang bakal mengikat semua negara sama ada pengeluar atau pengguna senjata mengenai undang-undang pengawalan perdagangan senjata.

Secara umumnya, Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini bertujuan untuk menghentikan pertambahan perdagangan senjata, menghalang penyalahgunaan senjata dan menyediakan peruntukan undang-undang bagi mengawal perdagangan senjata. Perjanjian ini akan memastikan senjata tidak berpindah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Di antara kandungan utama Perjanjian ini ialah sebarang perdagangan senjata adalah tidak dibenarkan sama sekali dan melanggar undang-undang antarabangsa sekiranya ianya melibatkan pihak-pihak yang boleh menjejaskan pembangunan sosial dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Di antara mekanisme untuk merealisasikan matlamat ini, Perjanjian ini akan menyediakan garis panduan perdagangan senjata secara komprehensif yang perlu dipatuhi oleh semua pihak. Perjanjian senjata ini juga akan memastikan bahawa tiada perdagangan senjata yang melibatkan risiko kemanusiaan dan ini termasuk sekiranya perdagangan senjata tersebut bertentangan dengan hak asasi manusia antarabangsa, tergolong dalam jenayah kemanusiaan atau ‘genocide; potensi untuk menjana jenayah terancang dan boleh menjejaskan kedudukan ekonomi sosial dan pembangunan.

Setakat ini, gerakan ke arah penggubalan dan termeterainya Perjanjian ini hinggi kini dimainkan oleh badan bukan kerajaan terutamanya institusi keagamaan. Penulis berkesempatan menghadiri program seumpama ini dan telah berinteraksi dengan pimpinan agama dari seluruh dunia bersama-sama merancang gerakan dan strategi untuk mempromosikan aktivisme ke arah keamanan sejagat. Di Sweden, ‘Swedish Fellowship of Reconciliation’ (SWEFOR) dan ‘Church of Sweden’ sangat giat mengatur strategi dan program bagi memberikan kesedaran terhadap peri pentingnya isu pengawalan perdagangan senjata ini. Di Amerika, ‘Global Youth Network of Religions for Peace’ secara aktif terlibat dalam gerakan mempromosi Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini dan menganjurkan pelbagai program berkaitan. Di Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan dari seluruh dunia dan merangka beberapa agenda gerakan bagi tujuan mempromosi inisiatif Pengawalan perdagangan Senjata ini. Di India, ‘Asian Muslim Action Network’ di antara organisasi yang serius mengatur program bagi tujuan yang sama. Satu Deklarasi menyokong Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini juga telah ditandatangani oleh 40 pimpinan agama dan 70 institusi keagamaan dari seluruh dunia hasil inisiatif SWEFOR, ’Caritas France’, ‘CCFD-Terre Solidaire’ dan ‘Interfaith Working Group of the Control Arms Coalition’ pada 21 September 2011. Di peringkat Asia Pasifik, satu bengkel intensif telah dianjurkan pada 26-27 Januari di Bangkok dengan melibatkan perwakilan dari seluruh dunia untuk merangka gerak kerja seterusnya. Ini diikuti dengan konferen di Manila yang telah diadakan pada 11-13 Mac 2012. Usaha-usaha sebegini semakin giat dijalankan oleh masyarakat antarabangsa dan sehingga kini ianya mendapat sambutan yang amat baik di seluruh dunia.

Negara Islam Mangsa Kapitalisme

Mahu tidak mahu, umat Islam di dunia perlu mengakui bahawa negara-negara Islam merupakan di antara pelanggan dan pengguna terbesar senjata. Arab Saudi, Bahrain, UAE, Malaysia termasuk negara-negara miskin seperti Pakistan, Syria, Mesir dan Yaman merupakan negara yang berbelanja besar bagi maksud persenjataan. Kerap kali alasan yang sering diberikan atas pembelian senjata ini ialah atas faktor keselamatan. Ada juga yang memberikan justifikasi keselamatan dan ancaman Israel, konflik sempadan dan keperluan pertahanan negara.

Lihat saja situasi di Timur Tengah. Jane Defence Weekly melaporkan bahawa antara 2011-2013 sahaja, negara teluk seperti Arab Saudi, UAE,Qatar dan Oman telah memperuntukkan lebih USD300 billion untuk perbelanjaan senjata. Terkini Algeria juga telah membelanjakan lebih USD7 bilion ringgit untuk persenjataan dengan Rusia terkesan akibat berlakunya ‘Arab Uprising’ di negara Timur Tengah termasuk ancaman Mesir baru-baru ini. Negara- negara teluk yang dibelenggu masalah kemunduran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi dan sosial memperuntukkan sedemikian banyak untuk kelengkapan senjata berbanding pendidikan yang tidak sampai 0.5% daripada GDP berbanding negara maju seperti Jepun dan UK yang membelanjakan lebih 2.5% untuk pendidikan. Mungkin ini antara faktor mengapa Timur Tengah mundur dan dibelenggu konflik berterusan. Dari sudut ekonomi, direkodkan bahawa hampir separuh daripada 57 negara OIC diklasifikasikan sebagai ’Negara Berpendapatan Rendah’ dan ’Negara Miskin dan Tinggi Keberhutangan’. 70-85% umat Islam dikategorikan sebagai ’non-bankable’ dan 50% hidup di bawah garis kemiskinan serta 25% tiada akses pada kemudahan perubatan dan air bersih. Di Tunisia, lebih 40% kadar pengangguran dan lebih 25% dilaporkan sebagai miskin tegar manakala di Mesir, dengan 80 juta penduduk dan lebih 90% adalah Muslim, direkodkan hampir 50% penduduk adalah miskin dan kadar pengangguran juga mencecah lebih 13%.

Namun sekiranya dilihat dan diperhatikan, bahawa sebenarnya tidak terdapat keperluan yang menghambat untuk membeli persenjataan ini secara besar-besaran hingga mengabaikan tangungjawab yang lebih utama. Bahkan, apa yang berlaku ialah senjata-senjata ini kerap kali digunakan untuk hal ehwal dalaman malahan menzalimi rakyat dan orang awam. Umpamanya di Libya, Mesir dan Syria, pihak kerajaan telah menggunakan senjata yang dibeli bukan untuk tujuan keselamatan negara tetapi atas dasar ingin mempertahankan kuasa dan telah menelan ribuan nyawa rakyatnya sendiri. Oleh itu, alasan faktor keselamatan negara untuk berbelanja besar dalam pembelian senjata tidak boleh diterima secara bulat bahkan boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, Amerika merupakan pengeksport utama senjata kepada Mesir termasuk memberikan dana ketenteraan dan persenjataan sebanyak USD1.3 bilion setahun. Manakala 10 negara pengeluar senjata telah membekalkan senjata kepada Libya semenjak 2005 hingga sekarang iaitu Belgium, France, Germany, Italy, Russia, Spain and the UK. India, Perancis, dan Rusia telah membekalkan bahan letupan dan pelbagai senjata lain ke Syria. Kesannya apa yang dapat dilihat ialah, tragedi kemanusiaan yang telah berlaku di mana kehilangan nyawa ribuan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita serta kerosakan infrastruktur awam yang hanya memburukkan lagi keadaan di negara-negara yang mengalami konflik dalaman ini.

Kesimpulan

Di antara prinsip utama yang sangat ditekankan oleh Islam ialah keadilan dan pro kepada keamanan. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud: ”Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”. Bahkan dalam ayat yang lain, al Quran jelas menggariskan kepentingan memelihara keamanan dan memperjuangkan keadilan seperti firman Allah di dalam surah al Maidah ayat 32 yang bermaksud: ”Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi”. Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk menegakkan keadilan dan memelihara keamanan.

Fenomena krisis peperangan yang berlaku di dunia pada hari ini bukanlah terjadi secara semulajadi tetapi ia dicipta dan direncanakan secara strategik demi mengaut keuntungan. Golongan pemodal yang didominasi oleh negara pengeluar senjata merupakan aktor utama kepada konflik yang berlaku di seluruh dunia khususnya di Timur Tengah. Konflik di Iraq, di Libya, di Mesir, di Tunisia, di Algeria, Palestine dan lain-lain negara kesemuanya direncanakan oleh pihak berkepentingan secara halus. Musuh-musuh baru dan ancaman-ancaman dipropagandakan bagi memastikan negara kaya seperti di Teluk termasuk negara miskin seperti Mesir dan Syria terus melanggani senjata yang dikeluarkan oleh pengeluar senjata dunia. Malangnya, negara-negara Islam terus-terusan diperdayakan dan akhirnya mengabaikan aspek lain yang lebih utama seperti pendidikan dan pembangunan sains dan teknologi serta memajukan ekonominya.

Isu perdagangan senjata sama ada secara sah atau haram merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Di antara punca keganasan dan pembunuhan serta penindasan yang berlaku di seluruh dunia adalah berpunca daripada perdagangan senjata yang tidak beretika. Negara-negara kaya menjadi pengeluar senjata dan menikmati keuntungan yang berlipat ganda melalui penjualan senjata terutamanya kepada negara-negara membangun dan dunia ketiga. Hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan terpaksa digadaikan untuk tujuan pembelian senjata atas nama keselamatan. Bahkan dalam konteks negara-negara Islam, alasan ancaman Israel juga kerap kali menjadi justifikasi untuk berbelanja secara besar-besaran membeli kelengkapan senjata. Alasan ini sebenarnya kadang kala adalah bersifat delusi dan khayalan, pada hakikatnya dunia menyaksikan kerap kali senjata yang dibeli ini telah digunakan untuk menzalimi dan menindas rakyat sendiri seperti apa yang berlaku di Mesir, Libya dan Syria. Sudah sampai masanya, umat Islam untuk bangun dari dibuai mimpi ini.

Gerakan pro-keamanan dan mendesak adanya Perjanjian Perdagangan untuk mengawal perdagangan senjata ini perlu diberikan perhatian dan sokongan. Tindakan kerajaan Bolivia, Ecuador, Brazil, Chile,Peru, El Salvador untuk membatalkan semua perjanjian ketenteraan dan perdagangan dengan Israel sebagai protes kepada kezaliman rejim Zionis patut dijadikan contoh sebagai permulaan bermulanya aktivism membantah keganasan. Kesan daripada pemulauan secara berterusan terhadap rejim Apartheid di Afrika Selatan akhirnya meruntuhkan tembok diskriminasi berasaskan bangsa. Di samping itu, masyarakat antarabangsa juga perlu memastikan bahawa pelaksanaan undang-undang antarabangsa mengenai sebarang bentuk keganasan adalah berpaksikan kepada keadilan dan tidak bersifat partisan serta berpihak. Ianya harus terpakai kepada semua negara di dunia termasuk negara pengeluar senjata dan perhatian serius dan khusus sewajibnya diberikan kepada negara-negara yang kerap kali melanggar hak asasi manusia, mencetuskan konflik serta sering melancarkan keganasan seperti Israel yang secara terus terang tidak menghormati kehormatan Palestin.

Best Regards
ZULKIFLI HASAN