Antara Pemeriksaan JAIS dan Kelemahan Institusi Zakat

Antara Pemeriksaan JAIS dan Kelemahan Institusi Zakat

Dr. Zulkifli Hasan
E-mel: zul361977@yahoo.com
Blog: https://zulkiflihasan.wordpress.com

1.0Pendahuluan

Antara topik yang terhangat di pasaran ketika ini ialah isu pemeriksaan yang dibuat oleh JAIS di sebuah premis yang dikatakan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama. Kes ini kemudiannya telah mendapat liputan meluas dari pelbagai pihak termasuk ahli politik dan agamawan. Tatkala membincangkan dan memberikan pandangan sama ada dari sudut undang-undang, hukum agama, politik dan lain-lain timbul satu persoalan mengenai punca tarikan dakyah agama lain pada orang Islam di Malaysia.

Setelah meneliti hampir kesemua pendapat dan kenyataan yang dibuat di dalam media massa, penulis merasakan isu ini perlu dibincangkan secara lebih telus dan rasional. Dengan itu, penulis mengambil peluang ini untuk membuat analisis ringkas berkenaan dengan isu ini secara diplomasi berdasarkan realiti dan fakta. Berkebetulan dengan informasi diperolehi dan pengalaman secara langsung menemubual individu keluar agama Islam ketika membuat penyelidikan faktor murtad di Malaysia pada tahun 2006 dan 2007, sedikit sebanyak ianya mampu menjadi kerangka yang baik untuk analis dan ulasan dalam artikel ini.

Isu Pemeriksaan

Secara umumnya, pihak berkuasa agama mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah berpandukan kepada peruntukan enakmen negeri-negeri. Jika dirujuk terdapat dua peruntukan jelas yang membenarkan JAIS dan polis untuk membuat siasatan terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran agama kepada orang Islam dan menghina agama Islam. Dalam kes ini, pihak berkuasa sememangnya berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawabnya menguatkuasakan sekurang-kurangnya peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Sebelum mengulas isu manipulasi dan ketidaktepatan laporan media massa yang terus menerus mensensasikan kes ini, adalah lebih baik sekiranya ruang lingkup undang-undang diperjelaskan dahulu. Perlu diingatkan di sini bahawa kesalahan jenayah Syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-ngeri hanya boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam dan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Manakala kesalahan yang termaktub di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) boleh dibicarakan di Mahkamah sivil. Dalam erti kata lain pihak berkuasa mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini terhadap orang Islam dan bukan Islam. Bahkan ada peruntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) ini yang membenarkan pihak polis menyerbu mana-mana kawasan persendirian yang disyaki terlibat dalam jenayah yang diperuntukkan.

Berdasarkan kepada fakta perundangan di atas, jelas lagi bersuluh menunjukkan tindakan yang dibuat oleh JAIS dan pihak polis mempunyai sandaran peruntukan undang-undang. Oleh itu, kenyataan yang mengatakan pihak JAIS dan polis tidak mempunyai autoriti untuk membuat pemeriksaan di premis agama termasuk gereja adalah tidak tepat. Di samping itu, kenyataan-kenyataan gelojoh dan melulu sesetengah pihak dalam kes ini seperti penggunaan perkataan ’serbuan’ juga adalah tindakan yang tidak bijak dan cuai. Jika diteliti kepada fakta kes, jelas pihak berkuasa terlebih dahulu berunding dengan penganjur sebelum melaksanakan pemeriksaan walaupun mereka mempunyai autoriti untuk melakukan serbuan secara mengejut. Perkataan ’penyiasatan’ atau ’pemeriksaan’ adalah terma yang sepatutnya dirujuk dan dilaporkan.

Isu Kelemahan Institusi Zakat

Sejurus selepas insiden pemeriksaan ini di buat, media massa kemudiannya melaporkan beberapa kes melibatkan faktor kesempitan hidup menjadi salah satu sebab utama ada orang Islam tertarik dengan dakyah agama lain. Sehubungan dengan itu, ada pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan kelemahan institusi zakat untuk memberikan bantuan termasuk golongan yang terlibat dan tertarik dengan dakwah Kristian yang dikaitkan dalam kes ini. Bahkan ada juga yang mempertikaikan ketelusan dan keberkesanan institusi zakat serta mempersoalkan ke mana wang kutipan ini dibelanjakan.

Dalam membincangkan isu ini, penulis ingin menimbulkan dua persoalan penting. Pertama, adakah dengan isu kelemahan institusi zakat menyebabkan pihak berkuasa agama tidak berautoriti untuk membuat penguatkuasaan dalam erti kata lain adakah isu ini berkaitan? Kedua, adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?. Sebelum membuat apa-apa tuduhan, komen atau kenyataan yang melibatkan kredibiliti dan imej institusi mahupun individu, kajian atau fakta yang tepat perlu diperolehi terlebih dahulu.

3.1Adakah Isu kelemahan institusi zakat dan Pemeriksaan JAIS dua perkara yang berbeza atau berkaitan?

Bagi menjawab persoalan pertama, dari sudut perundangan dan bidang kuasa, kita perlu jujur dan melihat isu ini sebagai dua perkara yang berbeza. Pihak JAIS perlu melaksanakan tugasnya walaupun terdapat kelemahan pada institusi yang lain. Penguatkuasa agama mempunyai peranan dan bidang kuasa yang berlainan dengan pusat zakat. Kelemahan pusat zakat bukan menjadi sebab untuk penguatkuasa agama melepaskan tanggungjawabnya untuk membuat penguatkuasaan.

Oleh kerana isu pemeriksaan JAIS di premis agama dan kecacatan institusi zakat adalah dua perkara yang berbeza dan tiada kaitan secara langsung, justifikasi untuk menghentam penguatkuasa agama yang menjalankan tugasnya atas kelemahan pihak lain merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Sehubungan dengan itu, dalam isu ini, soal bidang kuasa, soal perlu baiki kelemahan pusat zakat atau soal tidak mematuhi undang-undang tidak timbul sama sekali. Ianya dua isu yang berbeza dan perlu dibincangkan secara adil berdasarkan peruntukan perundangan.

3.2Adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?

Salah satu dari adab seorang yang berilmu ialah segala kenyataan atau pandangan apatah lagi yang melibatkan pihak lain perlu bersandarkan kepada fakta atau sumber yang boleh dipercayai. Tuduhan atau sindiran kakitangan institusi zakat menukar kereta dan bangunan baru yang tersergam di bina bukanlah satu pendekatan yang baik walaupun tujuannya adalah murni. Malahan menjadi satu kesalahan besar sekiranya kenyataan yang dibuat itu tidak tepat dan memberikan implikasi negatif kepada pihak tersebut.

Merenung kepada persoalan ini, penulis telah membuat rujukan ringkas kepada beberapa kajian dan laporan mengenai keberkesanan institusi zakat terutama dari aspek agihan. Sebagai ilustrasi kepada jumlah kutipan dan agihan zakat, jadual 1 dan 2 memberikan gambaran kepada persoalan perlaksanaan zakat di negeri-negeri di Malaysia. Ini adalah amat penting bagi memperjelaskan status sebenar wang zakat yang telah dikutip dan dibelanjakan.

Jadual 1: Pungutan dan Agihan Zakat di Selangor 2005-2010
Tahun
Pungutan (RM (Juta))
Agihan

2005
133.1
114.2

2006
159.3
146.9

2007
202.4
176.9

2008
244.4
188.9

2009
283.7
279.2

2010
336.8
330.3

Jumlah
1359.7
1236.4

Sumber: Yusuf, (2010)

Jadual 2: Pungutan dan Agihan Zakat di Negeri-Negeri Malaysia, 2001
Negeri
Pungutan (RM (Juta))
Agihan

Wilayah Persekutuan
70
71

Selangor
61
50

Johor
31
22

Terengganu
28
18

Perak
20
15

Kelantan
16
10

Pulau Pinang
15
11

Negeri Sembilan
13
8

Kedah
12
9

Pahang
12
8

Melaka
12
7

Sarawak
8
Tiada maklumat

Sabah
5
1

Perlis
3
Tiada Maklumat

Jumlah
306
230

Sumber: Salleh, (2002).

Berdasarkan jadual di atas, dapat dirumuskan bahawa masih banyak wang zakat yang tidak diagihkan. Di Selangor, jumlah zakat yang tidak diagihkan dari tahun 2005-2010 mencecah RM123.3 juta iaitu purata RM20.5 juta setahun. Fenomena yang sama ditunjukkan oleh semua negeri di Malaysia dengan jumlah kutipan yang tidak diagihkan bagi tahun 2001 mencapai RM70 juta iaitu purata RM5 juta bagi setiap negeri. Fakta ini sedikit sebanyak mengiyakan kenyataan-kenyataan yang mempersoalkan keberkesanan institusi zakat di mana angka yang gagal untuk diagihkan kepada asnaf. Sekiranya wang zakat ini sampai kepada asnaf termasuk golongan yang terlibat dengan dakyah agama lain ini, kemungkinan dakwah Kristian dan tawaran berbentuk material agama lain tidak lagi menjadi isu kepada mereka yang terlibat.

Meninjau kepada faktor mengapa dan kenapa institusi zakat tidak dapat membuat agihan secara total atau sekurang-kurangnya mengenalpasti asnaf yang betul-betul memerlukan, terdapat beberapa faktor yang boleh didiskusikan. Di antara faktor utama keadaan ini berlaku adalah kerana adanya zakat yang diterima pada akhir tahun iaitu bulan Disember. Ini memandangkan pembayar zakat ingin mendapatkan rebat cukai. Dengan itu, institusi zakat tidak dapat mengagihkan wang kutipan dalam tahun semasa.

Justifikasi oleh institusi zakat dalam hal di atas adalah relevan dan boleh diterima. Namun begitu, mahu tidak mahu, pusat zakat perlu mengakui kelemahan dari aspek keberkesanan agihan yang diakui ramai di antaranya melibatkan masalah birokrasi, amaun zakat yang diberikan kepada asnaf-asnaf yang kecil dan keupayaan mengenalpasti asnaf. Didapati kerap kali isu birokrasi yang menyusahkan malah melambatkan proses agihan sedangkan jumlah yang dipohon atau diperuntukkan adalah kecil. Sering kali juga institusi zakat gagal untuk mengenalpasti asnaf yang sepatutnya memerlukan akibat dari kelemahan tadbir urus dan inisiatif sewajarnya. Aduan-aduan ini mempunyai kebenarannya dan institusi zakat perlu mengambil perhatian serius dan segera menangani isu ini.

Penutup

Artikel ini membincangkan secara khusus dua isu yang menjadi perdebatan hangat mutakhir ini dalam konteks masyarakat Malaysia. Isu utama pemeriksaan JAIS di premis agama bagi menyiasat kes berkaitan kawalan pengembangan agama di kalangan orang Islam telah menimbulkan isu lain iaitu persoalan mengenai kelemahan institusi zakat. Bagi membahaskan isu ini, penulis mengambil pendekatan bahawa dua isu ini adalah berbeza tetapi mempunyai kaitan secara tidak langsung. Penulis ingin menekankan bahawa dari satu sudut, tindakan JAIS adalah menepati undang-undang dan sememangnya berhak untuk melaksanakan tugasnya sebagai pihak penguatkuasa agama. Isu mempersoalkan perlaksanaan tugas penguatkuasa agama atas faktor mengaitkannya dengan kelemahan institusi zakat adalah tidak relevan sama sekali.

Dari sudut yang lain, isu ini mengandungi hikmahnya. Kes pemeriksaan JAIS ini telah membangkitkan persoalan yang lain iaitu faktor kenapa masih ada orang Islam yang boleh tertarik dengan dakwah agama lain atas faktor kewangan dan material sedangkan kita mempunyai institusi zakat. Persoalan tentang aliran masuk dan keluar wang zakat juga telah mencetus sikap ambil peduli masyarakat pada isu yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan kebajikan penganutnya. Kes ini juga merupakan satu peringatan mengenai isu keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat kerana masih ramai pihak yang meragui dan tidak berpuashati. Umpamanya kajian yang dibuat oleh Wahid, et al (2008) mendapati lebih 50% pembayar zakat tidak berpuashati dengan kaedah pengagihan termasuk kelemahan maklumat pengagihan asnaf yang tidak jelas. Bardasarkan fakta ini, institusi zakat dan berkaitan dengan itu perlu dengan segera mentransformasikan tadbir urus dan cara bekerja serta strategi untuk menangani isu-isu berbangkit berkenaan zakat.

Rujukan

Makhtar, A.S. dan Wahab, A. A. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Isu Dan Cabaran. Konvensyen Kebangsaan Perancangan dan Pengurusan Harta Dalam Islam 2010.

Salleh, M. S. (2002). Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis. Muzakarah Pakar Zakat, 21-22 Disember 2002.

Wahid, H., Ahmad, S. Dan Kader, R.A. (2008). Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat Di Malaysia: Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati. Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia.

Yusof, M.I.M. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Mengorak Langkah Meneraju Perubahan. International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2010): Zakat Transformation: From Subsistence to Productive, Disember 22, 2010.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s