Nukilan Ramadhan

RAMADHAN DAHULU DAN SEKARANG

Dahulu, pada zaman Rasulullah SAW bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Sejarah telah mencatatkan banyak peristiwa penting umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Bermula dari penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW diikuti kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar, Khandaq dan Hunain serta penaklukan kota Mekah. Pada bulan Ramadhan juga empayar Rome ditakluki dan seterusnya menjadikan negara Islam sebagai salah satu kuasa besar. Pada masa ini umat Islam dipandang mulia dan dihormati. Semua golongan dari pelbagai bangsa, tidak mengira agama, warna kulit dan status berbondong-bondong memeluk Islam dengan keinginan dan pilihan mereka tanpa paksaan dan sebarang ugutan. Alangkah indahnya Ramadhan pada waktu itu.

Pada masa kini, sesungguhnya umat Islam melalui masa-masa getir dengan pelbagai peristiwa dan tragedi yang berlaku ke atas mereka di serata dunia. Dengan mengenang nasib umat Islam di seluruh dunia sepanjang 50 tahun yang lampau kezaliman di Palestine, Libya, Yaman, Tsunami di Indonesia, gempa bumi di Pakistan, mangsa kekejaman pihak berkuasa di Selatan Thailand dan Selatan Filipina, kemiskinan dan kepapaan umat Islam di Darfur, Sudan, Ethiopia, Afghanistan, mangsa perang Bosnia, kemunduran dan kebuluran di mana-mana dan bermacam-macam lagi yang tidak dapat ditulis dalam ruangan yang kecil ini. Terdetik sejenak mengapakah peristiwa ini berlaku sedangkan umat Islam telah dianugerahi dengan nikmat Islam dan iman yang tidak dianugerahkan kepada semua umat manusia di dunia ini. Alangkah sayunya Ramadhan pada masa ini.

Dahulu, para sahabat Rasulullah Sallallahualaihiwasallam menanti-nantikan dan merindui Ramadhan. Mereka bergembira menghidupkan Ramadhan dengan tarawih, tadarus, tahajud, qiyamullail dan sebagainya. Selawat dan tasbih sentiasa basah di bibir. Amalan bersedekah menjadi lumrah dan kebajikan golongan tidak berkemampuan diambil berat dan dibela. Di kala Ramadhan meninggalkan mereka, para sahabat menangis dan bersedih kerana takut tidak ketemu lagi Ramadhan yang mulia. Alangkah indahnya suasana Ramadhan ketika itu.

Kini, syawal lebih dinantikan berbanding Ramadhan. Suasana Ramadhan hanya meriah tatkala di permulaannya. Masjid dan surau hanya penuh di awal Ramadhan dan hampir lengang diakhirnya. Di sepanjang jalan kelihatan bazaar Ramadhan yang dihadiri ribuan umat Islam membeli juadah berbuka walaupun waktu Maghrib hampir menjelang tiba. Lagu-lagu raya dimainkan di mana-mana tatkala selawat dan salam lebih utama. Paling menyedihkan jumlah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalanraya terus berleluasa tiada kurang angka statistiknya. Alangkah longlainya Ramadhan pada masa ini.

Bersempena Ramadhan yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini, marilah kita mengambil iktibar segala peristiwa yang menimpa umat Islam masa kini dan bersama-sama menghayati makna sebenar Ramadhan. Ramadhan merupakan satu institusi penyucian rohani dan jasmani umat Islam. Madrasah Ramadhaniah perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan ke dalam hidup umat Islam sepertimana hidupnya Ramadhan sewaktu zaman Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Melalui penghayatan dan perlaksanaan Ramadhan bakal dapat menentukan umat Islam samada mereka lulus dengan cemerlang atau sebaliknya di institusi Ramadhan dan seterusnya menjadi asas kepada usaha mengembalikan kegemilangan Islam di persada dunia. Hayatilah roh Ramadhan al-Mubarak.

ZULKIFLI HASAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s