The Politic of Islamic Finance: Reappraisal

KE MANA ARAH TUJU KEWANGAN ISLAM?

Zulkifli Hasan

Pendahuluan

Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah mengejutkan masyarakat Malaysia khususnya kepada industri kewangan Islam dengan laporan telah menerima lebih 4000 aduan sejak 2003 hingga 2012 mengenai ketidakpuashatian pelanggan dengan sistem perbankan Islam. Kenyataan PPIM yang sangat keras dengan menuduh bank-bank Islam menggunakan nama Islam untuk mencapai keuntungan melampau ini tidak boleh dipandang enteng dan remeh oleh pengamal kewangan Islam dan pihak berautoriti seperti Bank Negara Malaysia serta institusi berkaitan seperti Pertubuhan Perbankan Islam Malaysia dan Pertubuhan Penasihat Syariah Malaysia.

Berdasarkan kepada perkara di atas, penulis akan cuba secara ringkas untuk menelusuri dan menilai semula perkembangan dan amalan kewangan Islam di Malaysia setelah ianya dilaksanakan lebih 37 tahun yang lalu. Artikel ini akan meninjau dan mendedahkan kritikan-kritikan yang berterusan mengenai pelaksanaan kewangan Islam yang dikatakan semakin hari semakin jauh daripada aspirasi keadilan ekonomi dan sosial yang digariskan oleh teras dan fundamental ekonomi Islam. Penulisan ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan dan mencemarkan perkembangan kewangan Islam tetapi sekadar peringatan dan rasa keprihatinan terhadap peri pentingnya industri ini untuk menilai kembali arah tuju pelaksanaan dan amalannya.

Kritikan Terhadap Kewangan Islam

Semasa kunjungan Profesor Yusuf Qaradawi ke Malaysia bersempena menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2009, beliau secara peribadi ada menyatakan kebimbangan dan keperihatinan terhadap pelaksanaan sistem kewangan Islam. Terdapat beberapa aspek yang perlu dinilai semula demi memastikan hala tuju kewangan Islam ini benar-benar dapat menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan memberikan keadilan sosial. Sehubungan dengan perkara ini, penulis akan membincangkan secara ringkas tentang kritikan-kritikan yang telah diutarakan terhadap pelaksanaan dan amalan kewangan Islam. Kritikan-kritikan ini adalah sangat bermanfaat untuk diketengahkan kerana ianya boleh dijadikan sebagai kayu ukur dan asas kepada penambahbaikan serta penentu arah tuju industri kewangan Islam. Setelah meneliti dan membuat sorotan literatur dalam topik ini, kritikan terhadap kewangan Islam secara umumnya dapat dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu epistemologi, ’model’ atau pendekatan, produk, metodologi, ’governance’ atau tadbir urus dan pembangunan sosio-ekonomi.

Perkara yang kurang mendapat perhatian dalam ’discourse’ atau pentas perbincangan mengenai kewangan Islam ialah aspek epistemologinya. Tatkala banyak literatur atau rujukan dan bahan ilmiah mengenai segenap aspek kewangan Islam, didapati amat sedikit perbincangan secara serius dari aspek epistemologi atau falsafahnya. Umumnya, pengamal kewangan Islam termasuk ahli akademik tidak ramai yang memberikan perhatian dan mempunyai kefahaman yang mendalam dalam aspek epistemologi ini. Implikasinya ialah didapati pelaksanaan kewangan Islam pada hari ini dilihat lebih cenderung ke arah mempunyai satu dimensi utiliti yang menjadi teras ekonomi kapitalis iaitu memaksimakan utiliti individual ’homo economicus’.

Berbanding sistem kewangan konvensional yang berepistemologikan ’secular approach’ (pendekatan sekular) dan ’humanistic approach’ (pendekatan kemanusiaan), epistemologi Tauhid ’Faith-based epistemologi’ merupakan asas sistem kewangan Islam. Epistemologi Tauhid yang menjadi teras dan falsafah prinsip-prinsip muamalat Islam sepatutnya menjadi aspirasi pengamal kewangan Islam untuk meletakkan maqasid syariah pertimbangan utama dalam setiap perancangan yang hendak dilaksanakan. Dalam hal ini, Profesor Masudul Alam Chowdhury menyatakan bahawa kewangan Islam hanya akan beroperasi secara efisyen di dalam ruang lingkup epistemologi Tauhid yang menuntut semua pengamal kewangan Islam bertindak sebagai khalifah yang mempunyai ’taklif’ atau tanggungjawab kepada semua manusia di muka bumi ini. Epistemologi Tauhid ini adalah sangat unik dan menyeluruh di mana ianya menekankan dua dimensi utiliti iaitu kepentingan untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Kritikan terhadap kewangan Islam dari sudut ’theoretical approach’ atau pendekatan teoritikal merujuk kepada model pelaksanaan dan amalannya. Pada hakikatnya, cendiakawan ekonomi Islam seperti Professor Umer Chapra dan Professor Nejatullah Siddiqi yang dianggap sebagai ’founding father’ kepada kewangan Islam mengusulkan pendekatan kewangan Islam dalam kerangka ’ekuiti’ atau perkongsian iaitu ’two-tier mudharabah’. Mufti Taqi Usmani bersependapat dalam hal ini dan telah menyatakan pandangan beliau bahawa pendekatan dalam kerangka ’ekuiti’ ini mempunyai ciri-ciri yang bertepatan dengan ruh keadilan Islam dan sepatutnya dijadikan sebagai kerangka pelaksanaan kewangan Islam. Namun demikian, amalan kewangan Islam yang terdapat pada hari ini adalah sebaliknya. Apa yang berlaku ialah amalan kewangan Islam dikatakan telah jauh meninggalkan aspirasi ini di mana kerangka ’debt-based’ atau sistem berasaskan hutang menjadi dominan di pasaran dan didapati hingga kini aspek ’ekuiti’ yang diaspirasikan oleh pencetus idea ekonomi Islam dalam konteks dunia moden masakini telah diabaikan. Menyentuh soal ini, Profesor Timur Kuran dan Profesor Mahmud El Gamal telah mengkritik keras pelaksanaan kewangan Islam dengan mengatakan ianya bersifat manipulatif.

Perkembangan kewangan Islam yang pesat sekitar 15-20 peratus setahun menyaksikan pelbagai inovasi produk perbankan yang kini terdapat di pasaran. Dalam masa yang sama, kritikan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam jugalah yang paling banyak menerima kritikan daripada pelbagai pihak dari segenap sudut. Di antara kritikan yang popular dan semakin menampakkan kebenarannya ialah produk dan perkhidmatan kewangan Islam ini semakin hari semakin menyamai ciri-ciri dan aplikasi apa yang ditawarkan oleh perbankan konvensional. Produk yang paling mudah untuk dijadikan dijadikan contoh ialah produk pembiayaan perumahan. Sejak pengenalan kewangan Islam hingga sekarang, pembiayaan perumahan yang berprinsipkan ’Bay al Inah’ yang dianggap kontroversi dan tidak diterima oleh ramai fuqaha tradisional dan kontemporari masih lagi menjadi ditawarkan di pasaran. Bahkan jika sebelum ini, kadar keuntungannya adalah tetap dan terdapat sedikit perbezaan dengan pinjaman konvensional, tetapi kini terdapat kadar apungan atau ’floating rate’ yang sememangnya hampir menyamai pinjaman yang ditawarkan oleh perbankan konvensional.

Situasi yang sama berlaku pada produk berasaskan ’Tawarruq’. Pada asasnya ’Tawarruq’ merupakan alternatif kepada produk berasaskan ’Bay al Inah’ terutamanya bagi tujuan kecairan atau ’liquidity’. Walaubagaimanapun, apa yang berlaku ialah ’Tawarruq’ kini digunakan untuk tujuan lain dan bukan sahaja untuk tujuan kecairan. ’Tawarruq’ kini digunakan untuk penjanaan keuntungan melalui pembiayaan termasuk juga bagi produk deposit berstruktur. Produk deposit berasaskan ’Tawarruq’ ini bukan sahaja boleh dianggap sebagai ’hiyal’ atau helah untuk menghalalkan sesuatu tetapi ianya juga menjadi titik tolak ’convergence’ atau penyatuan dengan ciri-ciri produk konvensional. Begitu juga dengan produk pasaran modal Islam seperti ’sukuk’. Sukuk yang berasaskan prinsip ’Musyarakah’ iaitu berdasarkan risiko perkongsian untung rugi pada umumnya bertepatan dengan konsep muamalat Islam. Bagi tujuan ’credit rating’ dan menjamin kebolehpasaran, sukuk Musyarakah akhirnya distrukturkan dengan ’wa’d mulzim’ atau ’purchase undertaking’ yang akhirnya menjadikan produk ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan bon konvensional malahan amat sukar untuk dibezakan. Situasi yang sama akan berlaku sekiranya produk Derivatif Islam juga dibenarkan secara berleluasa tanpa ada garis panduan yang sewajarnya. Jika produk sebegini menjadi dominan di pasaran tanpa ada kawalan, pasti ianya akan memadam dan menghilangkan perbezaan di antara sistem kewangan Islam dan konvensional malahan mendedahkan industri kewangan Islam dengan pelbagai risiko yang boleh mengganggu kestabilan industri ini.

Pelaksanaan kewangan Islam juga mengalami permasalahan dari aspek metodologi. Metodologi yang digunakan untuk menyelesaikan isu kewangan Islam termasuk meluluskan produk dan perkhidmatan adalah bersifat tidak menyeluruh dan ada yang mengatakan ianya tidak sesuai. Profesor Al Attas umpamanya mengatakan bahawa kewangan Islam menggunakan metodologi yang tidak autentik iaitu pendekatan dalam kerangka ’keynesian economic dan classical economic’. Dalam hal yang sama, Professor Abdul Hamid Abu Sulayman termasuk Profesor Aslam Haneef telah mengkritik metodologi yang digunakan dalam kewangan Islam iaitu menggunakan pendekatan sains ’fiqh’ atau ’usul fiqh’ menerusi resolusi penasihat syariah untuk menyelesaikan permasalahan syariah dan isu lain seperti implikasi ekonomi dan kewangan. Sepatutnya metodologi ini dinilai semula dengan mengambil kira metodologi atau kaedah yang lain secara intensif yang boleh digunakan dalam kewangan Islam. Oleh kerana keputusan yang dibuat oleh pengamal kewangan Islam bukan sahaja melibatkan hukum bahkan implikasi ekonomi, sosial dan lain-lain, sepatutnya metodologi yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh. Di antara kesan metodologi yang bersifat eksklusif digunakan oleh kewangan Islam pada hari ini ialah kebanyakan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang ditawarkan adalah hanya bersifat halal dan patuh syariah tetapi tidak memberikan kesan yang signifikan kepada sosio-ekonomi masyarakat.

Kritikan terhadap aspek ’governan’ atau tadbirurus juga perlu diberikan perhatian. Tadbirurus institusi kewangan Islam didapati mengutamakan ’shareholder’s value’ atau nilai pemegang saham. Orientasi ’Shareholder’s value’ ini menjadikan institusi kewangan Islam ini cenderung kepada misi dan visi untuk memaksimakan keuntungan pemegang saham. Menyentuh aspek ini, Profesor Abas Mirakhor mengesyorkan institusi kewangan Islam untuk menjadikan pendekatan ’stakeholder’s value’ sebagai model tadbir urus. Model ’stakeholder’s value’ ini mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak yang terlibat dalam sesebuah institusi sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk pemegang saham, lembaga pengarah, pengurusan, pekerja, pelanggan, pihak berautoriti, masyarakat umum dan alam persekitaran. Walaupun, asas tadbirurus bermodelkan ’stakeholder’s value’ ini dilihat amat bersesuaian dengan aspirasi kewangan Islam, masih terdapat banyak institusi kewangan Islam yang berpegang kepada pendekatan ’shareholder’s value’.

Dengan pelbagai krisis ekonomi dan kewangan yang melanda dunia, kewangan Islam dilihat mampu untuk menawarkan sistem alternatif yang adil kepada semua. Dalam aspek ini, kewangan Islam diharapkan akan dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat terutama kepada golongan yang sangat memerlukan. Namun demikian, sekiranya ditinjau kepada amalan kewangan Islam ada pada hari ini, pelaksanaannya tidak memberikan kesan yang signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat. Profesor Mehmet Asutay misalnya telah mengkritik kewangan Islam yang dilihat gagal untuk memberikan sumbangan dan impak yang positif kepada keadaan sosio-ekonomi masyarakat dan pembangunan. Beliau mengatakan bahawa industri kewangan Islam hanya berperanan sebagai aktor dan berkhidmat secara berlebihan untuk pasaran dan tidak memberikan sumbangan sewajarnya untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat. Bahkan ada juga menyuarakan pandangan bahawa sehingga kini, kewangan Islam dilihat lebih bersifat ’elitis’ dengan memberikan keutamaan kepada projek-projek komersil berbanding pembiayaan dalam sektor kecil dan sederhana dan ’micro finance atau kewangan mikro. Berdasarkan fakta dan informasi yang dikumpulkan, beliau mendapati kewangan Islam tidak sensitif dan sangat kurang memberikan penekanan kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat bahkan kadang kala terlalu memfokuskan kepada projek komersil yang menguntungkan segelintir individu.

Kesimpulan

Berdasarkan analisis ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pelaksanaan kewangan Islam telah mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Kritikan ini adalah bersifat menyeluruh dan ini termasuk aspek espitemologi, pendekatan, produk, metodologi, tadbir urus dan pembangunan sosio-ekonomi. Kritikan ini ada yang bersifat andaian, persepsi dan ada juga yang disokong dengan fakta yang sahih. Walau apapun, kritikan ini harus dilihat sebagai sesuatu yang boleh dijadikan asas untuk menentukan arah tuju industri kewangan Islam. Pengamal kewangan Islam sepatutnya menerima dengan hati terbuka kritikan ini dan semestinya perlu menilai semula strategi, perancangan dan amalan sedia ada. Kritikan-kritikan ini juga membuktikan bahawa trend industri kewangan Islam ini boleh dikatakan secara umumnya semakin hari semakin menuju ke arah ’convergence’ atau penyatuan dengan sistem konvensional dari pelbagai aspek. Hingga satu hari nanti kemungkinan akan berlaku tiada lagi perbezaan yang nyata di antara sistem ekonomi Islam dan sistem berasaskan riba yang menjadi teras perbankan konvensional selama ini. Penulis merasakan, sudah sampai masanya semua pihak yang terlibat dalam kewangan Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk secara serius mengkaji, menilai, bermuhasabah, menganalisa dan mentransformasi amalan dan pelaksanaan kewangan Islam sedia ada agar ianya terus subur dan segar demi kemaslahatan umat Islam khususnya dan masyarakat dunia umumnya. Usaha-usaha ke arah memurnikan hala tuju kewangan Islam bukan sahaja perlu datang dari pengamal kewangan Islam dan pihak berautoriti tetapi sokongan penuh oleh masyarakat juga adalah sangat diperlukan.

Regards
Zulkifli Hasan

Duomo, Milan, Italy

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s