Purification of Wealth Via Islamic Finance

Tazkiyah al Mal Melalui Kewangan Islam

Zulkifli Hasan

Pendahuluan

Tazkiyah merupakan proses penyucian yang diperlukan oleh setiap individu mahupun organisasi atau institusi bagi menjamin mendapat kerahmatan, keberkatan dan keredhaan Allah. Tazkiyah melibatkan proses ilmu dan amal bagi mensucikan hati dan membentuk keikhlasan yang menjadi penentu kepada penerimaan hidayat dan nur dari Allah. Melalui aspirasi Tazkiyah ini jugalah berlakunya perkembangan disiplin ilmu tasawwuf sehingga hari ini. Teori berkaitan rindu, ma’rifat, fana’, baqa’ dan persoalan nafs, ruh, `aql dan qalb serta konsep zuhud dan uzlah menjadi metode penyucian jiwa dan rohani.

Menurut pemerhatian, perbincangan mengenai konsep Tazkiyah banyak memfokuskan kepada aspek al Nafs iaitu penyucian diri atau jiwa. Agak kurang persoalan tentang Tazkiyah al Mal menjadi topik perbincangan yang seharusnya diberi perhatian yang sama. Di samping Tazkiyah al Nafs melalui zikir, amalan ibadah serta amal ma’ruf nahi munkar, Tazkiyah al Mal juga wajib dijadikan keutamaan. Sehubungan dengan itu, artikel ini akan membincangkan secara ringkas mengenai kepentingan Tazkiyah al Mal dan cuba menjelaskan ruang lingkup yang boleh dilaksanakan bagi tujuan ini dalam konteks kehidupan moden masa kini.

Tazkiyah al Mal

Islam menuntut setiap individu mahupun organisasi, institusi termasuk negara untuk melaksanakan proses Tazkiyah al Mal. Imam Shatibi di dalam kitabnya yang masyhur ’al Muwafaqat’ meletakkan al Mal sebagai salah satu daripada maqasid Shari’ah iaitu memelihara agama, aqal, diri, keturunan dan harta atau al Mal. Manusia sebagai pemegang amanah kepada al Mal yang dipinjamkan oleh Allah untuk sementara perlu dipelihara dan menepati sepenuhnya kehendak syarak di mana ianya menuntut satu proses pensucian atau Tazkiyah. Di antara proses Tazkiyah atau pensucian al Mal dalam Islam merujuk kepada perlaksanaan kewajipan zakat dan juga amalan menjauhi riba dan apa-apa perkara yang bersangkutan dengannya. Memandangkan topik riba ini agak kurang diperbincangkan sebagai salah satu metode Tazkiyah al Mal berbanding zakat, penulis mengambil peluang untuk membicarakan secara ringkas dan khusus mengenai Tazkiyah al Mal melalui amalan menjauhi riba dalam kehidupan.

Al Quran telah meletakkan riba sebagai salah satu dosa besar. Jika ditelusuri sejarah penurunan ayat al Quran, ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah Sallalallahualaihiwasallam ialah ayat bersangkutan dengan riba. Jumhur secara umumnya bersetuju bahawa ayat yang mula-mula diturunkan ialah 5 ayat pertama daripada surah al ‘Alaq, surah al Taubah sebagai surah panjang terakhir, surah al-Nasr surah pendek terakhir dan ayat 275 hingga 281 surah al Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan . Ini adalah riwayat yang paling rajih di mana ‘Umar dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas mengatakan ayat riba ini diturunkan 9 hari sebelum kewafatan Rasulullah Sallalallahualaihiwasallam sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh Sa’id bin Jubayr dan Ibn Jurayj .

Berdasarkan riwayat di atas, secara rasionalnya kewajipan untuk menjauhi segala amalan berkaitan merupakan perkara yang sangat awla dalam kehidupan. Jika diambil analogi seorang yang sedang tenat dan menghampiri maut, sudah tentulah perkara yang paling penting akan diwasiatkan kepada waris. Begitu juga dengan ayat terakhir diturunkan oleh Allah kepada rasulNya sebelum wafat, semestinya peringatan untuk menjauhi amalan riba merupakan satu perkara yang sangat-sangat awla dan perlu diberikan perhatian serius oleh umat Islam. Berdasarkan analogi ini, adalah bermanfaat untuk kita merujuk dan menganalisis ayat 278-279 surah al Baqarah .

”Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman”.

”Maka jika kamu tidak mengerjakan meninggalkan sisa riba, maka ketahuilah, bahwa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat dari pengambilan riba, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya”.

Jika dirujuk kepada asbabun nuzul ayat ini. Abu Ja’far Muhammad bin Jarir Ath Thabary meriwayatkan bahawa kaum Tsaqif, penduduk kota Thaif, telah membuat suatu kesepakatan dengan Rasulullah bahawa semua hutang dan piutang mereka yang ada unsur riba dibekukan dan dikembalikan hanya pokoknya saja. Setelah pembukaan Makkah, Rasulullah melantik Itab bin Usaid sebagai Gabenor Makkah yang juga meliputi kawasan Thaif sebagai daerah pentadbirannya. Sejak zaman jahiliah, bani Amr bin Umair bin Auf merupakan pihak yang sentiasa meminjamkan wang secara riba kepada Bani Mughirah. Setelah kedatangan Islam, mereka tetap meneruskan amalan ini. Suatu ketika datanglah Bani Amr untuk menagih hutang dengan tambahan riba dari Bani Mughirah. Namun pada waktu itu, bani Mughirah telah memeluk Islam dan menolak untuk memberikan tambahan riba tersebut. Maka dilaporkanlah masalah tersebut kepada Gabenor Itab bin Usaid. Gabenor Itab menulis surat kepada Rasulullah dan turunlah ayat surah al Baqarah 275-281. Rasulullah lantas menulis surat balasan kepada Gabenor Itab dan mengisytiharkan jikalau Bani Amr bin Umair bin Auf redha dengan ketentuan Allah maka itu baik, tetapi jikalau mereka menolaknya maka Rasulullah akan isytihar perang kepada mereka.

Menerusi pengisytiharan perang oleh Rasulullah Sallalallahualaihiwasallam di dalam riwayat di atas berdasarkan ruh ayat 278-279 surah al Baqarah, dapat disimpulkan bahawa usaha-usaha memastikan setiap harta dan rezeki yang diterima bebas dari riba merupakan salah satu metode pensucian al Mal. Tazkiyah al Mal melalui menjauhi dan mengelakkan dari terlibat dengan riba ini perlu berlaku di setiap peringkat sama ada individu, institusi termasuk negara. Tuntutan ini amat jelas kerana amalan riba telah dibuktikan terdapatnya elemen penindasan, ketidakadilan dan kezaliman.

Secara umumnya, usaha Tazkiyah al Mal melalui pemeliharan harta dari unsur riba perlu dilaksanakan pada setiap transaksi dan aktiviti kehidupan. Di peringkat individu perlu memastikan setiap transaksi muamalat yang di buat bebas dari unsur riba seperti pembiayaan perumahan, kad kredit, peribadi dan kereta. Di peringkat institusi, entiti perniagaan, badan bukan kerajaan, persatuan, kelab, masjid, sekolah, universiti dan apa sahaja bentuk institusi yang lain perlu memastikan akaun dan setiap transaksi yang berlaku perlu dipastikan tiada unsur riba. Begitu juga di peringkat negara di mana kerajaan dan jenteranya seperti kementerian, badan berkanun dan lain-lain wajib berusaha untuk melaksanakan apa sahaja transaksi yang berteraskan Shari’ah. Segala pelaburan, simpanan dan sistem yang digunapakai perlu bebas dari segala unsur riba. Malangnya hingga kini, didapati masih terdapat individu Muslim, institusi perniagaan termasuk persatuan dan badan bukan kerajaan yang dimiliki orang Islam serta institusi kerajaan yang masih mempunyai akaun dan berurusan dengan bank konvensional yang jelas terlibat dengan aktiviti berlandaskan riba. Jika kita menghayati maksud dan pengajaran dari ayat di atas, sesungguhnya kelalaian dan kealpaan dalam melaksanakan tuntutan Allah ini tidak akan berlaku.

Implikasi Ketiadaan Tazkiah Al Mal

Berpandukan kepada pengajaran yang didapati melalui ayat 278-279 di atas, penulis berpandangan bahawa kebangkitan umat Islam yang diimpikan selama ini tidak akan berlaku sepenuhnya jika sistem dan amalan bersangkutan dengan riba masih lagi diamalkan. Malahan ianya tidak mungkin berlaku kerana dengan jelas amalan seumpama ini mendapat kemurkaan Allah dan rasulNya. Kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak serta kemunduran umat Islam pada hari ini sebenarnya adalah akibat daripada kurang mendapat rahmat Allah. Dalam erti kata lain umat Islam pada hari sebenarnya sedang mengalami krisis yang serius dengan Allah subhanahuwataala. Hal ini dijelaskan dan diperingatkan oleh Rasulullah di dalam banyak hadis.

(i) Peringatan oleh Rasulullah Sallalallahualaihiwasallam

• “Akan datang suatu zaman kepada manusia, mereka memakan riba.” Lalu ada yang bertanya. “Apakah semua manusia wahai Rasullullah ?.” Sabdanya.” Orang yang tidak memakannya namun terkena debunya.” [Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah]

• Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan kerana takut dan menuduh perempuan yang suci dengan zina tanpa saksi adil. “ [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.]

• “Satu dirham riba dosanya lebih berat daripada dosa orang berzina tiga puluh enam kali .” [Hadith Riwayat Muslim]

• “Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya”. [Hadith Riwayat Ibnu Majah]

Melalui hadis di atas di samping ayat larangan riba, para sahabat dan fuqaha memberi amaran keras tentang azab dan balasan kepada sesiapa yang mengamalkan riba. Ibn Abbas umpamanya berkata: “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : “ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah Subhanahuwataala kerana Allah dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya”. Beliau juga berkata: “Tidak diterima dari pemakan riba sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” Imam Malik Bin Anas pula berkata: “Telah ku buka lembaran-lembaran Kitab Allah Subhanahuwataala dan Sunnah Nabi Sallalallahualaihiwasallam dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah Subhanahuwataala dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” Ini diikuti dan disepakati oleh Imam Abu Hanifah yang mengatakan: “Riba, inilah ayat didalam al Quran yang paling menakutkan.”

(ii) Bukti ’Empirical’ Peringatan Rasulullah Sallalallahualaihiwasallam

Bukti jelas peringatan Rasulullah dapat disaksikan kepada apa yang berlaku pada umat Islam masa kini. Kemunduran dari aspek ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain jelas menunjukkan bahawa umat Islam sebenarnya mengalami krisis dengan Allah Subhanahuwataala. Hipotesis yang disebutkan di dalam al Quran mengenai pengisytiharan perang dengan golongan yang terlibat dengan riba dan hadis Rasulullah yang memberi peringatan keras tentang azab dan implikasinya secara jelas menunjukkan mengapa dan kenapa umat Islam mundur dan ketinggalan dari pelbagai sudut selama ini. Berikut ialah beberapa fakta tentang situasi umat Islam masa kini:-

• 57 negara OIC iaitu 25% daripada jumlah keluasan dunia dan 70% daripada pengeluaran minyak dunia. GDP hanya 4.7% daripada GDP dunia, eksport hanya 7.9% daripada jumlah eksport dunia dan 1.3% daripada perdagangan dunia.

• 51.5% muslim di 26 negara OIC berpendapatan USD2 sehari dan 24.6% kurang dari USD1 sehari.

• 1.8 bilion orang Islam dengan Qatar di tangga pertama pendapatan perkapita di dunia USD83,841 dan Brunei di tangga kelima dengan USD49,110 dan 7 negara OIC diklasifikasi negara pendapatan tinggi tetapi 22 negara diklasifikasikan sebagai ’Low-income countries’ dan ’Heavily Indebted and Poor Countries’.

• 70-85% daripada 1.8 bilion orang Islam diklasifikasikan sebagai ’non-bankable’. 50% hidup di bawah garis kemiskinan dan miskin tegar serta 25% tiada akses pada kemudahan perubatan dan air bersih.

• GDP negara OIC, melainkan Turki dan Indonesia adalah lebih kecil daripada syarikat di senarai bursa saham di barat. GDP Malaysia pada 2009 hanya USD193 billion, bersamaan dengan “market capitalisation” Google.

Tazkiah al Mal Melalui Kewangan Islam

Setelah jatuhnya empayar Turki Uthmaniah sebagai mewakili pemerintahan kerajaan Islam, hampir semua negara Islam telah dijajah dan yang paling malang ialah sistem ekonomi telah digantikan dengan sistem berpaksikan kepada riba. Kesemua negara hingga kini mengamalkan sistem kewangan berlandaskan riba termasuk negara-negara Islam. Akhirnya setelah tidur selama hampir ratusan tahun, kebangkitan Islam yang umumnya bermula pada abad ke 19 telah membuka ruang kepada penghasilan idea ekonomi Islam sebagai salah satu pendekatan untuk memajukan umat. Melalui idea ini, pada 1960an telah tertubuhnya institusi kewangan Islam bebas riba di Mesir dan seterusnya hingga kini terdapat lebih 500 institusi di lebih 75 buah negara di dunia.

Dalam konteks taklif untuk memastikan urusan kehidupan bebas dari unsur riba, Tazkiyah al Mal berbentuk mikro (individu) dan makro (institusi atau negara)

    perlu menjadi salah satu dari matlamat utama. Melihat kepada zaman kegelapan umat Islam iaitu sewaktu penjajahan imperialis barat, berbanding dengan umat Islam pada waktu itu, kita sebenarnya amat beruntung kerana telah terdapat institusi kewangan Islam yang menyediakan pelbagai instrumen kemudahan kewangan. Oleh itu sebarang usaha ke arah membebaskan kehidupan dari riba perlu dianggap sebagai ibadah dan satu cabang jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan. Sheikh Hussain Shahatah di dalam bukunya ’Jihad Ekonomi’ secara jelas menyatakan bahawa jihad ekonomi adalah kefarduan yang telah ditentukan oleh syarak dan keperluan yang dituntut oleh akidah.

    Dalam konteks masa kini, kewangan Islam bukan lagi alternatif bahkan ianya merupakan kewajipan kepada umat Islam. Penulis berhipotesis dan berpandangan bahawa kebangkitan Islam hanya akan berlaku secara menyeluruh dan kegemilangan semula umat Islam juga hanya akan tercapai jika dapat membebaskan dari sistem dan transaksi yang berlandaskan riba. Mana mungkin umat Islam akan bangkit semula dan mendapat keberkatan dan rahmatNya jika sistem yang diamalkan merupakan pencetus peperangan denganNya dan rasulNya.

    Jika ditinjau perkembangan kewangan Islam, setakat ini sektor perbankan Islam hanya mewakili peratusan kecil sektor perbankan dunia iaitu tidak sampai 1% meliputi saiz US$1 trilion daripada US$232 trilion. Di Malaysia, dengan bilangan penduduk seramai 28 juta di mana 60.4% Muslim, jumlah aset perbankan Islam hanya menjangkau 20% daripada total aset perbankan. Indonesia yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia iaitu 88% daripada 234.6 juta hanya merekodkan 2.9% aset perbankan Islam. Begitu juga di Pakistan dengan 170 juta penduduk, 97% Muslim, aset perbankan Islam hanya mencapai 6.4%. Di Kuwait dengan 3.6 juta penduduk, 100% Muslim, aset perbankan Islam hanya mencecah 34.3%. Di Qatar, dihuni 1.4 juta penduduk, 95% Muslim, merekodkan 19.3% aset perbankan Islam. Arab Saudi dengan 25% jumlah seluruh simpanan minyak dunia mempunyai 26.1 juta penduduk, 100% Muslim, aset perbankan Islam hanya 15.9%. UAE mempunyai 5.1 juta penduduk, 96% Muslim, hanya mencatatkan 14% aset perbankan Islam. Bahrain merekodkan hanya 10.9% aset perbankan Islam. Fakta ini dengan jelas menunjukkan hampir kesemua negara di dunia Islam tidak mengamalkan sistem berlandaskan Shari’ah secara menyeluruh. Hal ini menimbulkan tanda tanya mengenai kesedaran dan keghairahan umat Islam untuk merealisasikan perintah Allah agar menjauhi riba dalam setiap aspek kehidupan.

    Di samping melihat kewangan Islam sebagai salah satu mekanisme mematuhi perintah Allah dari aspek larangan amalan riba, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai kritikan kepada amalan dan perlaksanaannya yang dikatakan tidak memenuhi maqasid Shari’ah dan gagal meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat. Mahmud El Gamal, Timur Kuran, Muhammad Umar Chapra, Killian Balz, Muhammad Saleem dan Mehmet Asutay misalnya telah mengkritik perlaksanaan kewangan Islam yang dilihat cenderung kepada sistem ekonomi kapitalis. Ramai juga cendiakawan yang berpandangan produk kewangan Islam mempunyai unsur riba dalam erti kata yang lain. Namun demikian, perkara ini bukanlah faktor yang boleh melepaskan tanggungjawab kita untuk bertransaksi dengan institusi kewangan Islam. Sekurang-kurangnya endorsemen dari penasihat Shari’ah di setiap institusi kewangan Islam mahupun di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk Majma Fiqh Islami dan badan-badan Shari’ah yang lain. Usaha-usaha memperbetul dan mentrasformasikan amalan kewangan Islam melalui kritikan dan proses pentarbiyahan juga merupakan satu tuntutan agama. Ini bertepatan dengan ruh yang terkandung di dalam ayat 55 surah al dhariyat yang bermaksud ”Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang yang beriman”.

    Kesimpulan

    Seiring dengan perkembangan semasa dan keperluan kehidupan dalam konteks masyarakat pada hari ini, keperluan kepada instrumen kewangan dan institusi yang bebas dari amalan riba merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Insan mahupun institusi dan negara yang berjaya menyucikan harta mereka akan mampu melaksanakan tujuan asal penciptaannya iaiatu sebagai hamba Allah dan Khalifah di muka bumi ini. Ayat 278-279 yang memberi peringatan kepada tercetusnya peperangan dengan Allah dan rasulnya kepada golongan yang terlibat dengan riba sudah pastinya menimbulkan kegerunan dan ketakutan kita kepada azab yang dijanjikan. Sudah tiba masanya kita melakukan transformasi dalam kehidupan melalui usaha-usaha untuk memastikan setiap urusan kehidupan yang membabitkan al Mal bebas daripada unsur yang dimurkai Allah. Ini sudah pastinya perlu dimulakan di peringkat individu dan diikuti keluarga, masyarakat, institusi dan negara. Hanya dengan mentaati perintah Allah dan rasulNya kita akan mendapat keredhaan dan seterusnya menjamin al falah di dunia dan akhirat.

    Best Regards
    Zulkifli Hasan


    Dubai, UAE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s