Yusuf al Qaradhawi as a Public Intellectual

BUKU ’KEBANGKITAN RAKYAT” MENGANGKAT YUSUF AL QARADHAWI SEBAGAI ‘ULAMA RAKYAT’

Pendahuluan

Di dalam dunia kontemporari ini diiringi dengan gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia, membaca karya-karya Yusuf al Qaradhawi merupakan satu tuntutan intelektual. Kehebatan dan keikhlasan pemikiran beliau dapat ditelusuri dan dirasai pada setiap penulisannya. Setelah membaca buku terkini beliau dalam kedua-dua versi Bahasa Arab dan terjemahannya, penulis dapat menyimpulkan bahawa buku ”kebangkitan Rakyat’ atau ’Revolusi Rakyat’ ini seumpama melengkapkan bukti dan fakta betapa Yusuf al Qaradhawi boleh digelar sebagai ’ulama rakyat’.


Buku “Thaurah Sha’ab”

Sinopsis Buku

Membaca buku ’kebangkitan rakyat’ ini adalah tidak sempurna sekiranya tidak menelaah karya-karya Yusuf al Qaradhawi yang lain. Kesinambungan pemikiran beliau hanya akan difahami secara menyeluruh sekiranya kita dapat membaca tulisan-tulisannya sebelum ini dan ini merangkumi penulisan beliau dalam aspek fiqh, politik, pengalamannya dengan Ikhwanul Muslimin, sejarah hidupnya, perjuangan, ibadah, jihad, dakwah dan lain-lain. Buku Fiqh al Jihad sebuah ensiklopedia mengenai aspek jihad sememangnya harus dirujuk bagi melengkapkan kefahaman yang dijana melalui buku ’Kebangkitan Rakyat’ ini. Pada penulis, Yusuf al Qaradhawi bolehlah dianggap sebagai ensiklopedia Islam kontemporari yang menyoroti zaman dan masa.

Penulis memilih terjemahan ’Kebangkitan Rakyat’ berbanding ’Revolusi Rakyat’ walaupun perkataan ’thaurah’ itu lebih dekat dengan terjemahan ’revolusi’ kerana kandungan perbincangan yang terdapat dalam buku ini bukan sahaja merujuk kepada revolusi tetapi membicarakan hal ehwal kebangkitan rakyat. Secara umumnya, buku ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi himpunan keterangan, khutbah, fatwa, seminar berkaitan kebangkitan rakyat Mesir oleh Yusuf al Qaradhawi. Bahagian kedua pula melampirkan laporan berita, tulisan-tulisan tokoh, pendakwah, wartawan dan lain-lain. Bahagian pertama merupakan bab yang paling penting di mana ianya menampilkan pemikiran Yusuf al Qaradhawi dalam menunjangi kebangkitan rakyat. Setiap kenyataan, fatwa dan khutbah beliau sentiasa dan konsisten bersama rakyat. Beliau sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi memartabatkan kebangkitan rakyat.

Bahagian kedua seumpama mengiktiraf ketokohan Yusuf al Qaradhawi melalui tulisan-tulisan tokoh, wartawan dan lain-lain. Walaupun dikritik, dikecam, ditohmah dan bermacam-macam lagi, Yusuf al Qaradhawi terus dengan agendanya menegakkan keadilan dan membela hak rakyat. Ini diakui dan diiktiraf oleh ramai pihak sehinggakan pihak zionis Israel pun mengakui ancaman dan pengaruh beliau di dunia seperti yang tertera di dalam laporan khas oleh Jerusalem Centre for Public Affairs sebuah organisasi ’think-thank Israel’ bertajuk ’Report of Israeli Think-Tank on the Global Muslim Brotherhood’. Pada penulis, tulisan dan kenyataan yang dilampirkan dalam bahagian dua ini boleh juga dianggap sebagai testimoni betapa besarnya pengaruh pemikiran Yusuf al Qaradhawi kepada dunia umumnya dan masyarakat Islam khususnya.

Bermanfaat juga untuk menyebut perbezaan dan kelainan buku ”Kebangkitan Rakyat’ dengan karya Yusuf al Qaradhawi yang lain dan juga dengan buku nukilan ulama lain yang sezaman dengannya. Antara kelainan buku ini dengan yang lain ialah walaupun mengandungi pandangan beliau dari aspek fiqh dan hukum, ianya juga mengetengahkan pemikiran beliau dari sudut politik semasa. Ini menggambarkan keprihatinan dan betapa sensitifnya beliau dengan apa sahaja isu yang melibatkan umat. Beliau dalam buku ini secara khusus menjawab segala persoalan mengenai kebangkitan rakyat yang beliau namakan sebagai fiqh revolusi. Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan pendirian keluarga terhadap revolusi dan berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai interaksinya dengan pimpinan-pimpinan Arab. Jarang-jarang Yusuf al Qaradhawi berbicara mengenai keluarganya,lebih-lebih lagi maklumat mengenai anak-anaknya yang terlibat secara langsung dengan revolusi rakyat ini. Anak lelaki beliau, Abdul Rahman Yusuf seorang penyair dan cenderung kepada seni dan kesusasteraan yang sangat giat serta terlibat dengan kebangkitan rakyat kini dikenali sebagai ‘penyair revolusi’. Buku ini juga pada penulis selain dari ”Aku dan Ikhwan Muslimin’ merupakan karya beliau yang paling beremosi melibatkan perasaan dan semangat untuk melihat kebangkitan umat. Khutbah, sumpah, tangisan, semangat, ucapan yang berkobar-kobar dengan penuh beremosi yang terkandung dalam buku ini mencerminkan betapa karya ini begitu penting untuk kita hadami dan hayati.

Ulama Rakyat dan ’Public Intellectual’

Edward Said seorang pemikir hebat sebaris dengan intelektual dunia yang lain adalah antara sarjana yang mempopularkan istilah ’public intellectual’ seperti yang terkandung dalam siri syarahannya di Universiti Colombia dan bukunya ’the Legacy of the Public Intellectual’. Setelah merenung istilah yang secara umumnya diterima oleh dunia akademik ini, penulis berpandangan bahawa istilah ini sebenarnya juga merujuk kepada terminologi yang ingin penulis ketengahkan di sini iaitu ‘ulama rakyat’. ”Ulama rakyat’ ataupun apabila seorang sarjana itu mencapai makam ’public intelectual’ adalah berbeza dengan sarjana atau cendiakawan biasa. Sememangnya terdapat ramai ilmuan, cendiakawan, sarjana yang mahir dan pakar dalam disiplin ilmu tertentu tetapi perkara ini belum tentu melayakkan mereka digelar sebagai ulama rakyat atau ‘public intellectual’.

Dalam membezakan antara ulama rakyat dan ulama biasa ini, penulis tertarik dengan tulisan Russel Jacoby bertajuk ‘Big Brains, Small Impact’. Seorang sarjana walaupun sehebat mana tidak layak digelar ulama rakyat sekiranya pandangan dan pemikirannya hanya digunakan untuk meraikan pemimpin atau segolongan pihak sahaja. Mereka ini lebih layak digelar sebagai ulama upahan. Seorang ulama rakyat akan memastikan pemikirannya dapat dimanfaatkan seluas-luasnya kepada khalayak umum. Pada penulis seorang ulama rakyat yang hebat haruslah mempunyai ciri-ciri ‘Big Brains, High Impact’. Ulama rakyat akan mendedikasikan kehidupan dan kemampuan intelektualnya untuk masyarakat. Ulama rakyat akan sentiasa berdampingan dengan rakyat, berdiskusi, berdialog, berbicara, bergaul dengan segenap lapisan masyarakat serta sentiasa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan umat. Ulama rakyat akan memastikan karyanya atau hasil intelektualnya dapat dimanfaatkan masyarakat. Ulama rakyat tidak akan tergoda dan akur dengan tawaran yang hanya akan merugikan kemaslahatan masyarakat.

Yusuf al Qaradhawi menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk manfaat umat. Diceritakan bahawa beliau selalu menghabiskan waktunya sehingga 14 jam sehari di perpustakaan rumahnya untuk menelaah dan menulis. Hingga kini, lebih daripada 120 buah buku telah dihasilkan walaupun beliau teramat sibuk dengan jadual harian. Beliau bukan sahaja menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti tinggi dan menjadi rujukan utama ilmuan tetapi menyumbangkan pelbagai makalah di dalam pelbagai majalah dan akhbar harian di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, program televisyen ‘Al Shari’ah wa al Hayah’, ‘Nur Wa Hidayah’ dan ‘ Huda al Islam’ beliau adalah sangat popular mencecah 50-60 jutaan penonton di seluruh dunia. Sikap dermawan Yusuf al Qaradhawi juga tidak boleh dipertikaikan. Dilaporkan bahawa beliau telah mendermakan keseluruhan hadiah anugerah Dubai pada 2001 yang diterima sebanyak sejuta dirham kepada projek ‘Islam Online’ dan Yayasan Orang Buta.

Ulama rakyat sangat dekat di hati masyarakat. Yusuf al Qaradhawi menghabiskan banyak waktunya berdamping dengan masyarakat. Memberikan kuliah dan khutbah di masjid, menjadi imam, menjadi pengetua Maahad Agama dan pengasas kuliah pendidikan dan pengajian Islam di universiti. Beliau juga memberikan sumbangan dalam menentukan isi kandungan dan sukatan pengajian pendidikan di Qatar. Yusuf al Qaradhawi juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Kesibukan dan pengorbanan beliau menyumbang kepada masyarakat menjadikan Yusuf al Qaradhawi sentiasa dihormati dan dihargai oleh sebahagian besar umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Oleh itu tidaklah menjadi kehairanan apabila beliau telah dipilih untuk mengimamkan solat jenazah Abul A’la Al Maududi seorang lagi ulama rakyat yang dihadiri oleh lebih sejuta jemaah di Pakistan.

Yusuf al Qaradhawi merupakan ulama rakyat sejati. Antara faktor yang membezakan beliau dengan barisan ulama lain ialah terangkumnya ciri-ciri keilmuan dan kesarjanaannya dengan ruh gerakan Islam yang sebati dengannya. Beliau telah dipenjarakan beberapa kali iaitu pada 1949 setelah Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir, pada 1954 kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Naguib dan pada 1956 dan kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Jamal Abdul Nasser. Beliau pernah didera dan diseksa dan kesannya dirasai sehingga hari ini yang mempengaruhi kesihatan beliau. Beliau dituduh oleh musuhnya sebagai sesat, pengganas, pendokong Nazi dan Hitler dan sebagainya. Bahkan ada juga rakan-rakan dan sarjana lain yang membuat tuduhan melulu terhadapnya sehinggakan terdapat sahabat yang memutuskan hubungan semata-mata tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Sebagai ulama rakyat dan ulama umat beliau tidak gentar dan takut dengan ancaman. Yusuf al Qaradhawi tidak dibenarkan masuk ke beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Walaupun diancam dengan pelbagai jenis ancaman sehingga ancaman bunuh,Yusuf al Qaradhawi tetap dengan pendiriannya. Dalam satu temuramah beliau dengan al Jazeera ketika ditanya oleh wartawan, apakah impian dalam hidupnya, beliau menjawab bahawa beliau ingin mati syahid ditangan musuh Islam. Begitulah hebatnya beliau dalam perjuangan.

Walau apa pun yang berlaku, walau cabaran dan halangan melanda, sebagai seorang ulama rakyat, beliau sentiasa konsisten dan memastikan pandangannya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Pemikiran beliau dipandu oleh al Quran dan al Sunnah. Musuh-musuh dan rakan-rakan yang menuduh beliau ada yang kini ditolak oleh rakyat, ada yang kini tidak dihormati oleh masyarakat. Tetapi Yusuf al Qaradhawi terus utuh malahan beliau semakin dihormati, disegani dan diangkat oleh masyarakat Islam sebagai ulama rakyat.

Fiqh Revolusi

Penulis mengakui bahawa istilah fiqh al mu’asir, fiqh al awliyat, fiqh al muwazanat, fiqh al muqaran, fiqh al jihad dan beberapa istilah yang lain dibiasakan melalui pembacaan karya-karya Yusuf al Qaradhawi. Boleh dikatakan hampir tidak sempurna mempelajari fiqh kontemporari sekiranya tidak merujuk dan membaca buku-buku beliau. Dengan memperkenalkan istilah fiqh revolusi atau ‘Fiqh al Thaurah’ di dalam buku ini, Yusuf al Qaradhawi sekali lagi telah mencetuskan persoalan dan kefahaman yang sangat penting untuk dimiliki oleh setiap umat Islam. Di kala kebangkitan umat sungguh dirasai pada waktu ini dengan tertumbangnya diktator-diktator yang pada satu waktu dahulu dianggap mustahil kejatuhannya, kefahaman terhadap fiqh revolusi sudah pasti menjadi satu tuntutan pada setiap individu Muslim.

Bersandarkan kepada terdapatnya fatwa-fatwa yang menyebelahi pihak yang zalim, pandangan-pandangan yang menolak kebangkitan rakyat, kenyataan yang masih mendokong rejim yang tidak adil termasuk beberapa institusi fatwa yang terang-terangan menyokong kemungkaran, Yusuf al Qaradhawi di dalam buku ini terus menyuarakan pandangannya yang menyebelahi rakyat dan keadilan. Beliau tidak takut hilang populariti dan tidak gentar dengan ancaman. Bahkan dengan kemampuan ilmunya beliau telah menyanggah pandangan sedemikiran secara ilmiah dengan tuntasnya. Hinggakan pandangan-pandangan atau fatwa-fatwa yang menyimpang ini tidak dapat menghindarkan lagi kebangkitan rakyat menolak kemungkaran dan ketidakadilan. Pandangan Yusuf al Qaradhawi ini adalah amat penting kerana gelombang kebangkitan rakyat pada waktu itu cuba dikelirukan dengan kenyataan badan-badan rasmi agama yang menolak demonstrasi jalanan secara aman. Dengan fatwa dan kenyataan beliau, gelombang kebangkitan rakyat diteruskan dan akhirnya berjaya menjatuhkan rejim zalim Husni Mubarak.

Antara elemen fiqh revolusi yang dibicarakan secara mendalam oleh Yusuf al Qaradhawi ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun telah ada fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi bersandarkan hujah bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain. Amat menarik pandangan Yusuf al Qaradhawi apabila beliau secara santai menjawab tohmahan ini dan menolak pandangan sedemikian. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, Yusuf al Qaradhawi secara tuntasnya menyimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman adalah harus. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan beliau memberi amaran yang sangat keras kepada penzalim-penzalim ini.

Fiqh revolusi yang diketengahkan oleh Yusuf al Qaradhawi ini juga menampilkan strategi dan kebijaksanaan beliau. Beliau sama sekali tidak mengambil jalan berkonfrontasi dengan semua pihak, jauh sekali pendekatan kekerasan. Yusuf al Qaradhawi secara berperingkat memberikan mesej yang amat penting dan jelas kepada umat Islam seluruh dunia, rakyat umum, pihak berkuasa tentera dan polis, Husni Mubarak dan pimpinan lain, pemuda dan belia Mesir, pihak berkepentingan dan agensi antarabangsa dan badan-badan politik, ulama dan sarjana dan seterusnya pelajar-pelajar beliau. Yusuf al Qaradhawi membangkitkan gelombang rakyat ini dengan menyampaikan mesej-mesej Islam secara berhikmah dan berkesan kepada segenap lapisan masyarakat. Akhirnya, dianggarkan kehadiran seramai sekitar 18 juta orang di Dataran Tahrir dan di seluruh Mesir pada 25 Januari 2011 yang menyambut kemenangan kebangkitan rakyat.

Penutup

Tanggungjawab atau mas’uliah dalam menggerakkan kebangkitan umat terletak pada setiap individu Islam. Usaha mengembalikan kegemilangan Islam ini tidak akan mendapat natijahnya secara optimum melainkan ianya disertakan dengan kemampuan intelektual dan dilaksanakan secara kolektif. Keberkesanan apa saja gerakan kebangkitan umat ini juga amat bergantung pada tahap pemikiran dan tasawwur masyarakat. Dalam konteks masyarakat moden hari ini dengan perkembangan teknologi, peredaran zaman dan masa, fenomena globalisasi serta cabaran dan halangan musuh Islam, mahu tidak mahu, umat Islam mesti bangun dan bangkit serta bersiap sedia untuk bersama-sama dalam arus gelombang kebangkitan umat.

Melihat perkembangan dan gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia seperti di Tunisia, Libya, Mesir dan lain-lain Negara, sesungguhnya kita sebagai individu Muslim mesti memastikan untuk dapat bersama-sama di dalam arus perdana ini. Kita sewajibnya menyertai atau sekurang-kurangnya bersama-sama terlibat dalam gelombang kebangkitan ini. Dalam proses menuju ke arah mengembalikan kegemilangan Islam ini, sudah tentunya kita memerlukan panduan dan bekalan terutamanya dari aspek intelektual dan mental. Dalam hal ini, kita beruntung kerana kita berpeluang untuk merujuk dan menikmati karya-karya penting Yusuf al Qaradhawi, seorang ulama rakyat, ulama umat yang sentiasa konsisten mengangkat martabat umat dan ikhlas memperjuangkan keadilan.

Nota: Untuk mendapatkan naskhah buku ‘Kebangkitan Rakyat’ boleh hubungi:

Sekretariat ABIM Pusat
No. 6, Jalan TC 2A/2
Taman Cemerlang
53100 Kuala Lumpur
Tel: 019-2881300 / 03 – 4108 4500 Fax: 03–4108 2400
Email: sap@abim.org.my

Harga: RM22

Best Regards
Zulkifli Hasan

Masjidil Nabawi, Madinah al Munawwarah