MEMAHAMI POLEMIK HUDUD DI MALAYSIA

MEMAHAMI POLEMIK HUDUD DI MALAYSIA

Zulkifli Hasan

Pendahuluan

Setelah beberapa tahun isu hudud tenggelam dalam perbincangan arus perdana, ianya kembali hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek baru-baru ini semasa Perhimpunan Agung MCA semakin menghangatkan suasana apabila terang-terangan menghina dan mempersoalkan hukum hudud walaupun ianya menyentuh sensitiviti agama dan aqidah umat Islam. Lebih mengecewakan ialah majlis ini dihadiri oleh pimpinan utama negara dan tiada teguran ataupun sebarang bentuk protes yangditunjukkan. Menurut pemerhatian, sejak akhir-akhir ini MCA begitu konsisten dan tanpa berselindung telah sering kali menyentuh sensitiviti agama demi survival politik.

Sehubungan dengan kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek ini, badan-badan bukan kerajaan seperti ABIM, PEMBELA, MAPIM dan lain-lain telah mengeluarkan kenyataan keras menegur dan membantah kelakuan dan kebiadapan yang dilakukan oleh pimpinan MCA ini. ABIM umpamanya telah beberapa kali cuba untuk berdiplomasi dengan Datuk Seri Chua Soi Lek dan pernah menyerahkan teguran berserta dengan makalah-makalah yang menerangkan undang-undang hudud dari perspektif yang lebih terbuka dan adil. Namun pendekatan ini dilihat tidak berkesan dan polemik hudud ini terus dimainkan tanpa berselindung lagi. Seiring dengan polemik ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan dalam isu ini sama ada untuk menimbulkan persoalan atau bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia.

Melihat kepada isu ini secara lebih jujur dan adil, pandangan yang bersandarkan kepada ruang lingkup undang-undang, realiti masyarakat, bidang kuasa dan kehendak rakyat umum perlu diberikan perhatian serius. Respons yang beremosi dan tidak sensitif tanpa ilmu hanya akan memburukkan lagi keadaan bahkan akan mengakibatkan kesalahfahaman masyarakat pada isu yang sepatutnya diselesaikan secara hikmah.

Seiring dengan hasrat untuk membincangkan isu ini secara ilmiah dan jujur, penulis telah meninjau dan membuat analisis ringkas terhadap kenyataan dan pandangan ahli politik, agamawan, peguam serta orang awam terhadap isu hudud ini. Di samping itu, penulis juga berkesempatan menemubual Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia, Profesor Andrew James Harding, Profesor Undang-undang Universiti Victoria, Kanada. Artikel ini juga ingin mengetengahkan pandangan-pandangan dan kajian di peringkat antarabangsa mengenai hudud dan hubungannya dengan hak asasi manusia. Berdasarkan kepada sorotan literatur, analisis kenyataan, pandangan pakar perlembagaan, kajian dan pandangan sarjana di peringkat antarabangsa ini, penulis merumuskan bahawa perlaksanaan undang-undang Hudud adalah bertepatan dengan hak asasi manusia dan ianya boleh dilaksanakan di Malaysia dengan beberapa pendekatan. Bagi membincangkan topik ini, artikel ringkas ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu pendahuluan, analisis kenyataan di akhbar, pandangan pakar perlembagaan, hudud selaras dengan hak asasi manusia dan kesimpulan.

Kenyataan-Kenyataan Mengenai Hudud

Sebelum analisis dibuat, penulis menyenaraikan kenyataan dan pandangan pimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Agamawan, Peguam dan pandangan awam yang dilaporkan di akhbar arus perdana. Ringkasan yang dimuatkan dalam artikel ini akan dapat memperlihatkan komitmen dan tasawwur individu ataupun parti politik dalam berbicara mengenai undang-undang hudud di Malaysia.

Kenyataan Ahli Politik Barisan Nasional

(i) Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak: Kerajaan tidak akan laksanakan hukum hudud. Elemen undang-undang Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia.
(ii) Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin: Malaysia tidak bersedia untuk laksanakan hudud
(iii) Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek: MCA akan keluar BN jika UMNO laksanakan hudud. Perlaksanaan hudud akan memberi kesan pada pelaburan asing dan boleh menyebabkan 1.2 penduduk hilang pekerjaan.
(iv) Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Zahid Hamidi: Hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk negara ini.
(v) Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin: Gesa agar kerajaan pusat meminda perlembagaan bagi membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.
(vi) Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong: Mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat berkenaan hudud sebagai usaha yang tidak berguna kerana setiap parti anggota pakatan itu mempunyai pendirian dan ideologi berbeza dalam pelaksanaan hukum hudud.
(vii) Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang: Pemimpin PAS mempunyai “impian peribadi” untuk melaksana undang-undang tersebut. PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Adalah tidak wajar PAS memaksa pandangan mereka ke atas semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
(viii) Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie mendakwa Hudud PAS membenarkan merogol wanita bukan Islam.

Kenyataan Ahli Politik Pakatan Rakyat

(i) Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud sewajarnya dihormati.
(ii) Pengerusi DAP, Karpal Singh: Tidak bersetuju dengan pendirian Dato’ Nik Abdul Aziz yang mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
(iii) Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tetap dengan pendirian untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.
(iv) Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan: Mempertahankan hak PAS untuk melaksana undang-undang Enakmen Jenayah Shari’ah II Kelantan 1993 serta Enakmen Jenayah Shari’ah Terengganu 2003.
(v) Pakatan Rakyat: Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakan Hudud. Untuk melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan.

Kenyataan Agamawan

(i) Presiden Catholic Bishops Conference of Malaysia, Dr Paul Tan Chee Ing: Tiada bantahan untuk melaksanakan hudud selagi mana terpakai kepada Muslim sahaja.
(ii) Mantan Mufti Perlis Profesor Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.
(iii) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria: Menyokong hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Beliau juga secara keras menyatakan Datuk Seri Chua Soi Lek adalah tidak layak membicarakan isu hudud.
(iv) Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya: Melaksanakan hukum hudud adalah kewajipan orang Islam dan tidak boleh dipersoalkan.

Kenyataan Peguam dan Orang Awam

(i) Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee: Hudud tidak boleh dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Malaysia dan undang-undang sedia ada.
(ii) Mantan Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah: Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia pada waktu ini berdasarkan kepada status Malaysia yang tidak berciri Islam sepenuhnya.
(iii) Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw: Menyeru kerajaan Kelantan untuk membuat referendum bagi meninjau kehendak rakyat terhadap undang-undang Hudud.

Pemerhatian dan Ulasan

Secara umumnya melalui pemerhatian dan pembacaan berdasarkan kepada kenyataan pelbagai di atas, kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah seperti berikut:-

Pimpinan Barisan Nasional konsisten menolak perlaksanaan hudud dalam kerangka undang-undang dan realiti masyarakat. Bahkan, MCA sebagai antara komponen utama Barisan Nasional secara terang-terangan menghina dan merendah-rendahkan hudud yang sememangnya menjadi sensitiviti umat Islam. Walaupun Khairy Jamaludin menyatakan pendirian untuk menggesa kerajaan meminda undang-undang untuk membolehkan perlaksaan hudud di Kelantan, ianya mungkin tidak boleh diambil kira untuk mewakili kerajaan Barisan Nasional atas dasar pandangan peribadi dan juga kedudukan beliau di dalam kerajaan.

Pimpinan Pakatan Rakyat PKR dan PAS nampak seia sekata dalam isu ini dengan menghormati hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Hudud. Namun begitu, DAP tetap konsisten dengan pendirian mereka menolak sebarang idea perlaksanaan hudud termasuk penubuhan negara Islam. Dalam ketidaksefahaman dan perbezaan ideologi ini, Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk menghormati pendirian masing-masing dan bersetuju untuk mendahulukan agenda yang disepakati.

Menarik untuk diperhatikan ialah tatkala ada juga pimpinan Islam yang mempersoalkan perlaksanaan hudud, pandangan Paderi Paul jelas memperlihatkan bahawa sekiranya ada kefahaman yang baik dalam memahami isu ini, perlaksanaan hudud bukanlah satu perkara yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam di Malaysia. Para Mufti pula amat konsisten dan sangat bertegas kepada keperluan melaksanakan hudud di Malaysia keranya ianya merupakan tuntutan akidah.

Merujuk kepada pandangan peguam dalam isu ini, mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa sebarang usaha ke arah perlaksanaan hudud di Malaysia mempunyai halangan dari segi ruang lingkup undang-undang. Isu halangan undang-undang ini perlu diberikan perhatian kerana sekiranya tiada pindaan dan perubahan pada beberapa undang-undang sedia ada, hudud tidak akan dapat diimplementasikan di Malaysia.

Pandangan dari Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw menunjukkan kematangan dari segi memahami realiti masyarakat di Malaysia. Idea yang menggesa referendum tinjauan kemahuan dan kehendak rakyat di Kelantan boleh dijadikan kayu ukur dan penentu kepada hasrat rakyat serta penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud.

Pandangan Pakar Perlembagaan

Berkesempatan menemubual Profesor Andrew Harding di mana karya penulisannya menjadi buku teks wajib undang-undang perlembagaan kebanyakan fakulti undang-undang di Malaysia, pandangan beliau yang lebih bersifat ‘legalistic’ dan tidak berbau politik sangat baik untuk dimanfaatkan. Walaupun banyak isu-isu yang dibincangkan semasa sesi dialog dengan beliau, penulis hanya ingin menyatakan pandangan beliau berkenaan dengan perlaksanaan hudud di Malaysia.

Amat menarik perbincangan kami apabila beliau dengan tegas menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Ini menunjukkan bahawa terdapat pengiktirafan pada Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan. Bahkan tidak ada perkataan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi negara tetapi apa yang termaktub ialah Islam adalah agama persekutuan. Namun begitu, beliau berpandangan peruntukan ini tidak boleh dianggap sebagai mutlak bagi membolehkan perlaksanaan hudud di Malaysia. Implementasi hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan beberapa undang-undang sedia ada yang sekiranya dilihat dalam konteks komposisi kerajaan dan pembangkang sedia ada agak sukar untuk dimaterialisasikan.

Menurut pemerhatian beliau, kebanyakan pandangan yang dilaporkan diakhbar adalah bersifat politik dan ini tidak banyak memberikan manfaat. Beliau lebih cenderung untuk membicarakan isu hudud ini dari aspek perundangan dan disesuaikan dengan realiti masyarakat di Malaysia. Walaupun ada pandangan yang melihat bahawa Perlembagaan sedia tidak perlu dipinda untuk melaksanakan hudud, beliau sangat tidak bersetuju dengan pandangan ini. Beliau dengan serius menyatakan bahawa perlembagaan harus difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor aspirasi penggubal perlembagaan, pentakrifan, penafsiran dan banyak faktor perundangan yang lain. Idea ‘simplistic’ yang mengambil pendirian bahawa hudud boleh dilaksanakan di Malaysia berdasarkan kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak tepat.

Hudud Selaras Dengan Hak Asasi Manusia

Sekiranya hudud ini dibicarakan secara ilmiah dengan berpandukan kepada fakta dan prinsip fundamental, ianya pasti akan diterima secara terbuka oleh semua pihak. Bahkan akan mengagumi keindahan Islam itu sendiri. Terdapat beberapa kajian dan makalah akademik yang menyimpulkan bahawa hudud atau undang-undang jenayah Islam ini adalah bertepatan dengan hak asasi manusia.

Sebagai contoh, laporan yang dibuat oleh Asian-African Legal Consultative Organization pada 2005 bertajuk ‘Human Rights in Islam’ secara jelas menyatakan bahawa undang-undang jenayah Islam termasuk hudud adalah bertepatan dengan hak asasi manusia bahkan ianya salah satu mekanisma perundangan untuk melindungi hak asasi dan menjamin keamanan awam. Kajian yang dijalankan oleh badan bebas ini menunjukkan bahawa hudud ini bukanlah sepertimana yang difahami oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa yang memandangnya secara negatif.

Pandangan yang sama dinyatakan olen Profesor Cherif Bassiouni yang juga dikenali sebagai ‘Father of International Criminal Law’. Dalam artikel bertajuk ‘Crimes and Criminal Process’, beliau telah membuat kesimpulan yang amat menarik mengenai falsafah undang-undang jenayah Islam dan menyatakan “the basic principles of Islamic criminal justice and the accused’s rights are well articulated and developed in the various jurisprudential schools, and some are more liberal than others. They correspond to many international human rights standards”. Beliau secara tegas menjelaskan bahawa undang-undang jenayah Islam termasuk hudud menepati piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Pandangan ini juga disokong oleh Sam, S. Souryal dan Dennis W. Potts di dalam kajian mereka bertajuk ‘The Penalty Of Hand Amputation For Theft In Islamic Justice’. Kedua-dua sarjana ini bersetuju bahawa hukuman hudud bagi kes curi adalah sangat bertepatan dengan konsep keadilan.

Kesimpulan

Polemik hudud di Malaysia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan isu yang membelenggu rakyat Malaysia hingga kini. Isu ini dijuarai oleh ahli politik walaupun sepatutnya ia dibicarakan secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan berautoriti. Walaupun tidak dinafikan polemik hudud ini memberikan kesan negatif kepada persepsi masyarakat kepada undang-undang Islam, tetapi dalam masa yang sama ianya boleh menjadi pencetus kepada usaha ke arah penanaman pemahaman masyarakat. Ini dibuktikan dengan sokongan paderi Paul dan Hu Phang Chaw, wakil kelab penyokong Pas berbangsa cina yang secara terang-terangan tidak mempunyai sebarang masalah atau kegelisahan kepada idea perlaksanaan hudud di Malaysia. Hal ini juga dibuktikan di Switzerland di mana Daniel Streich, seorang ahli politik yang anti-Islam membantah pembinaan menara masjid dan sebagainya, akhirnya memeluk Islam dan kini menjadi aktivis yang sangat aktif bergiat memperjuangkan Islam di Eropah.

Semoga dengan perbincangan ringkas di dalam artikel ini akan dapat memberikan kefahaman yang sewajarnya dalam memahami dan menghadami isu perlaksanaan hudud di Malaysia. Bagi orang-orang Islam, mereka tiada pilihan kerana perlaksanaannya adalah tuntutan akidah. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk melaksanakan undang-undang Islam. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi, bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat merupakan faktor penentu kepada keharmonian beragama di Malaysia.

Rujukan

AALCO. (2005). Human Rights in Islam. New Delhi: Asian-African Legal Consultative Organization.

Bassiouni, Cherif. Crimes and Criminal Process, Arab Law Quarterly, Vol. 12, No. 3 (1997), pp. 269-286.
Khairul Anuar Abdul Samad. (2011, 22 September). Nik Aziz mahu laksana hudud, Berita Harian.
Masami Mustaza. (2011, 29 Oktober). Law doesn’t allow for hudud in states, New Straits Times.
n.a. (2011, 25 September). Najib: No hudud in Malaysia, Star Malaysia.
n.a. (2011, 23 September). Hudud feud: Anwar backs it, Karpal says no but Kelantan MB remains adamant, Star Malaysia.
Normairah Jamaluddin, (2011, 5 Disember). Fahami Maksud Sebenar Hudud, Utusan Malaysia.
Sam, S. Souryal and Dennis W. Potts, The Penalty Of Hand Amputation For Theft In Islamic Justice, Journal of Crtminal Justice, (1994), 22 (3), pp. 249-265
Sylvia Looi And Elween Loke. (2011, 6 Disember). Liow: Hudud Affects All Races, Star Malaysia.
Yow Hong Chieh. (2011, 4 Disember). Soi Lek: Hudud Akan Musnah Ekonomi Malaysia, Bawa Binasa Diri, Malaysian Insider.
Yow Hong Chieh. (2011, 27 Oktober). Dr M: Hudud Will Mean Unequal Justice, Malaysian Insider.

Regards
Zulkifli Hasan

University of Glasgow, Scotland

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s