MENEKUNI DAN MENGHAYATI SIRAH RASULULLAH SEMPENA MAULID AL RASUL

MENEKUNI DAN MENGHAYATI SIRAH RASULULLAH SEMPENA MAULID AL RASUL

Setiap tahun bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1433H/2012M seperti kebiasaannya umat Islam akan menyambut maulidur Rasul bersempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam yang kita kasihi. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa tarikh kewafatan Rasululullah juga berlaku pada 12 Rabiulawal iaitu pada 11 Hijrah/632M seperti yang diriwayatkan oleh sebahagian besar ahli sejarah. Manfaat juga untuk dikongsikan di sini bahawasanya kebanyakan ahli sejarah pada zaman sahabat dan tabiin yang meriwayatkan kisah dan kehidupan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam merupakan pakar dalam ilmu hadith.

Merenung kepada perdebatan dan perbincangan mengenai sambutan Maulidur Rasul pada setiap tahun yang kadangkala menimbulkan perselisihan dikalangan masyarakat, penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan mengenai isu ini. Pada masa yang sama, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan hukum sambutan Maulidur Rasul ini secara mendalam kerana ia telah diperdebatkan secara panjang lebar oleh fuqaha terdahulu. Apa yang lebih penting ialah untuk umat Islam mengenali dan menghayati kehidupan Rasulullah dan ini hanya akan dapat dilakukan melalui pembacaan dan penelitian pada sirah baginda. Sehubungan dengan itu, penulis membincangkan secara ringkas literatur sirah Rasulullah yang sepatunya dimiliki oleh setiap umat Islam.

Tatkala sebahagian umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut maulidur Rasul dengan pelbagai aktiviti, ada juga yang mempertikaikan usaha ini dan melabelkannya sebagai bidaah. Dalam kekhilafan ini, penulis memilih pendekatan sederhana untuk bersama-sama Imam Jalaluddin Sayuti, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Yusuf Qaradhawi dan fuqaha yang lain untuk mengharuskan sambutan Maulidur Rasul dengan syarat ia tidak mencampur adukkan perkara yang dilarang oleh Islam. Dalam merungkai permasalahan ini, penulis ingin menukilkan kata-kata Hasan Al Banna menasihati umat Islam dalam masalah ini seperti yang diungkapkan oleh Yusuf Qaradhawi di dalam Fiqh Awlawiyat, halaman 266-267 yang bermaksud:

“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah Subhanahuwataala redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah Subhanahuwataala untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesame kita untuk berbuat demikian”

Berdasarkan kepada peringatan penting Hasan Al Banna di atas, sudah pasti isu sambutan maulidur Rasul ini tidak akan menjadi punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekiranya maksud sebenar sambutan seumpama ini dihayati. Jika ditinjau sejarah, C. Cherfils di dalam bukunya ‘Napoleon And Islam’ menukilkan bahawa Napoleon Bonaparte juga telah menganjurkan upacara besar-besaran menyambut maulidur Rasul di atas kekagumannya terhadap Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Hingga ada yang mengatakan dengan yakin berdasarkan beberapa dokumen sahih bahawa Napoleon diakhir hayatnya adalah seorang Muslim dengan nama Muhammad Ali Bonaparte.

Namun harus diingat, pada masa umat Islam beriya-beriya untuk menjayakan sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai program dan aktiviti di setiap pelusuk negara, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai yang tidak mengenali Rasulullah Sallallahualaihiwasallam sama ada dari aspek pemikiran, peribadi, akhlak, pendekatan dan keseluruhan cara hidup baginda. Penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit pengetahuan untuk membicarakan literatur mengenai Sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam dengan harapan ia akan dapat menjadi panduan dan rujukan selepas ini.

Merujuk kepada sejarah penulisan Sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam, ia telah pun dimulakan oleh para sahabat seperti Abu Rafi Mawla yang telah menulis tentang sifat solat dan ibadah baginda. Ini termasuk Sahl b. Abi Hathmah al-Madani al-‘Ansari dan ‘Abd Allah b. ‘Amru b. al-‘As b. Wa’il b. Hashim. Penulisan sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam secara sistematik telah dimulakan oleh para Muhaddithun yang juga ahli sejarah seperti Sa`id b. al-Musayyib al-Makhzumi, ‘Urwah b. al-Zubayr b. al-‘Awwam and Abu Fadalah ‘Abd Allah b. Ka’b b. Malik al-Ansari.

Penulisan sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam kemudiannya kian popular ketika zaman Muhammad b. Ishaq yang telah menulis kitab Kitab al-Mubtada’ wa al-Mab`ath wa al-Maghazi iaitu buku yang membincangkan secara terperinci kehidupan baginda bermula kelahiran hingga kewafatan. Ini diikuti oleh Muhammad b. ‘Umar al-Waqidi yang menulis Kitab Azwaj al-Nabiyy, Kitab al-Tarikh wa al-Maghazi wa al-Mab`ath and Kitab Wafat al-Nabiyy and Kitab al-Maghazi. Kitab Sirah yang menjadi rujukan utama hingga kini telah ditulis oleh ‘Abd al-Malik b. Hisham melalui karyanya yang masyhur iaitu Kitab al-Sirah al-Nabawiyyah.

Kitab-kitab sirah di atas walaubagaimanapun ditulis di dalam bahasa Arab dan mungkin ini menimbulkan kesulitan sesetengah pihak untuk memahami dan merujuk isi kandungannya. Ini sebenarnya tidak menjadi halangan bagi tujuan untuk memahami kehidupan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam kerana terdapat banyak buku-buku kontemporari yang ditulis oleh sejarawan Islam mahupun dalam bentuk terjemahan. Sebagai contoh buku “Life of the Prophet Muhammad: Al-Sira Al-Nabawiyya” oleh Ibn Kathir dan juga “The Life of Muhammad: A Translation of Ibn Ishaq: Sirat Rasul Allah” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang boleh dijadikan sebagai rujukan.

Selain daripada itu, buku-buku lain yang boleh dirujuk adalah seperti “Prophet Muḣammad and His mission” oleh S. Athar Husain, “Muhammad, the messenger of Islam: His Life and Prophecy” oleh Hajjah Amina Adil, “Mohammed and the Rise of Islam” oleh D. S. Margoliouth, “The Great Prophet a Short Life of the Founder of Islam” oleh F. K. Khan Durrani, “The Messenger of God Muhammad: An Analysis of the Prophet’s life” oleh M. Fethullah Gulen, “Prophet Muhammad(s) and His Family: A Sociological Perspective” oleh Shamim Aleem, “The Prophet Muhammad: A Biography” oleh Barnaby Rogerson, “Muhammad: Prophet and Statesman” oleh William Montgomery Watt, “Muhammad: Prophet for Our Time (Eminent Lives)” and “Muhammad: Western Attempt to Understand Islam” oleh Karen Armstrong, “Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources” oleh Martin Lings, “Introducing Muhammad” oleh Ziauddin Sardar, “Prophet Muhammad and His Miracles” oleh Bediuzzaman Said Nursi dan “Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations and Landmarks oleh Shawqi Abu Khalil. Karya Safiur Rahman al-Mubarakpuri yang bertajuk Ar-Raheeq Al-Makhtum atau terjemahannya “The Sealed Nectar” juga merupakan sumbangan yang penting mengenai sejarah hidup Rasulullah. Buku ini telah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan menulis biografi Rasulullah yang dianjurkan oleh Liga Muslim Sedunia di Madinah pada tahun 1979. Antara buku kontemporari yang amat baik mengenai kehidupan Rasulullah ialah karya Tariq Ramadan bertajuk In the Footsteps of the Prophet: Lessons from the Life of Muhammad. Karya Tariq Ramadan ini membicarakan pengajaran daripada kehidupan Rasulullah melalui analisis dan pemerhatian yang lebih segar dan kontemporari. Di samping itu, terdapat juga koleksi rujukan dalam bentuk cakera padat seperti “The Life of the Last Prophet”, sebuah audio biografi oleh Yusuf Islam.

Kesemua koleksi sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam di atas diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan faktor ini boleh menjadi penghalang sesetengah individu untuk memahami buku-buku tersebut. Sebenarnya terdapat buku-buku dalam bahasa melayu telah diterbitkan seperti “Biografi Muhammad bin Abdullah” oleh Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abdul Rahman termasuk buku terjemahan seperti Fiqh al-Sirah oleh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, “Sejarah kehidupan Nabi Muhammad” oleh Muhammad Hussein Haykal dan “Sirah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam: Pengajaran dan Pedoman” oleh Mustafa as-Shibaie. Buku bertajuk “Biografi Agung Rasulullah Sallallahualaihiwasallam” karya Rusydi Ramli al Jauhari juga amat sesuai untuk koleksi keluarga kerana ia ditulis dalam gaya penulisan yang santai disertakan dengan gambar-gambar yang menarik berkaitan dengan sejarah Rasululullah. Berdasarkan senarai rujukan tertera di atas, penulis menganjurkan agar setiap umat Islam untuk memiliki sekurang-kurangnya senaskhah sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam sebagai koleksi peribadi.

Memahami dan meneladani Rasulullah Sallallahualaihiwasallam merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam. Perkara ini tidak akan dapat dicapai melainkan melalui proses pencarian ilmu. Dalam aspek ini, sememangnya kita telah disajikan dengan pelbagai koleksi rujukan mengenai kehidupan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Hanya tinggal kini ialah kemahuan, keazaman, keiltizaman diri untuk belajar memahami dan meneladani seterusnya mendidik jiwa dan rohani untuk mengasihi Rasulullah Sallallahualaihiwasallam.

Rujukan

Abu Halil, Shawqi. (2004). Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations and Landmarks. Riyadh:Darussalam.
Al Jauhari, Rusydi Ramli. (2012). Biografi Agung Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.
Al Buti, Muhammad Sa’id Ramadhan. (1983). Fiqh Al-Sirah. Terjemahan Mohamed Darus Sanawi. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Abdul Rahman Rukaini. (1992). Riwayat Hidup Nabi Muhammad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Afzalur Rahman, Muhammad. Blessing for Mankind. London: The Muslim Schools Trust London.
Cherfils, Christian. (1999). Napoleon and Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Haykal, Muhammad Hussein. (2008). The Life of Muhammad. Petaling Jaya: Islamic Book Trust.
Lings, Martin. (1983). Muhammad: His Life Based on Earliest Sources. Rochester Vermon: Inner Traditions International.
Noor Naemah Abdul Rahman dan Zulkifli Hj. Mohd. Yusoff. 2007). Biografi Muhammad bin Abdullah. Kuala Lumpur: PTS Publication.
Siddiqi, Muhammad Zubair. Hadith Literature: Its Origin, Development and Features. London: Islamic Text Society.
Siddiqui, Abdul Hamid. (1975). The Life of Muhammad. Beirut: Dar al Fatah.

Regards
Zulkifli Hasan
P1150849
Masjid al Nabawi, Madinah al Munawwarah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s