KONSEP DAULAH MADANIYAH (NEGARA SIVIL) MENURUT RASHID AL GHANNOUSHI

KONSEP DAULAH MADANIYAH (NEGARA SIVIL) MENURUT RASHID AL GHANNOUSHI

Dr. Zulkifli Hasan

Abstrak

“The root of the problem in the Muslim World lies in the hegemony of despotism. Therefore, our main task now is to combat despotism in favour of a genuine and true transition of democracy” (Rashid Al Ghannoushi).

Kata Kunci: Negara Madani (sivil), daulah madaniyyah, demokrasi, al Hurriyyah dan Shura.

PENGENALAN

Kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia melalui Revolusi Jasmin, Revolusi Tahrir di Mesir, revolusi menentang rejim Gaddafi di Libya dan beberapa perkembangan politik di Timur Tengah menunjukkan betapa kebebasan dan hak asasi menjadi tuntutan utama. Kekejaman dan ketidakadilan rejim diktator yang berselindung di bawah ‘pseudo-democracy’ atau demokrasi palsu ini tidak dapat membendung hasrat dan aspirasi rakyat. Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai kerelevanan demokrasi dan kedudukannya di dalam Islam. Persepsi terhadap demokrasi semakin membarah apabila demokrasi ‘pasca’ revolusi ini gagal untuk memberikan harapan yang sewajarnya kepada rakyat. Di Mesir misalnya, demokrasi telah dicabuli oleh tentera malahan secara tidak peri kemanusiaan membunuh rakyat sesuka hati atas nama tiket demokrasi palsu. Dilaporkan, ratusan rakyat tidak bersenjata di bunuh dan ribuan cedera hanya kerana warga yang ingin mempertahankan demokrasi dan mengharapkan tentera menghormati pilihan majoriti rakyat.

Fenomena yang berlaku di dunia Islam ini sangat berkait dengan arus gerakan kebangkitan Islam. Aspirasi gerakan Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam ini berorientasikan beberapa pendekatan dan kerangka pemikiran. Antara wacana awal kebangkitan Islam (Islamism) ialah perjuangan ke arah menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah. Konsep Negara Islam ini yang didominasi oleh beberapa pemikir Islam seperti al Maududi dan Sayyid Qutb telah mempengaruhi kebanyakan gerakan Islam. Revolusi Iran kemudiannya menjadi pemangkin kepada wacana Negara Islam di mana banyak gerakan Islam menganggap eksperimen ini akan berjaya.

Wacana Negara Islam kemudiannya mula pudar dan mendapat reaksi berbeza daripada intelektual dan pemikir kontemporari. Kerelevanan dan realiti konsep Negara Islam ini mula disemak dan dikaji semula setelah melihat pengalaman negatif beberapa gerakan Islam dalam usaha memperjuangkan Negara Islam dan dalam masa yang sama kekaburan hujah-hujah yang menjustifikasikan kewajipan menegakkan Negara Islam. Seiring dengan wacana yang mengkritik konsep Negara Islam ini, maka wujudlah idea pemikiran konsep Negara Madani (Sivil) berlandaskan nilai-nilai Islam atau ‘Civil State with Islamic Reference’ yang lebih segar dan realistik. Merujuk kepada perbincangan intelektual dan idea mengenai konsep dan kerangka Negara Madani ini, Rashid Al Ghannoushi merupakan antara pemikir dan intelektual Muslim yang terkehadapan dan secara menyeluruh membicarakan topik ini. Walaupun diakui, konsep Negara Madani ini bukanlah idea asal Rashid Al Ghannoushi, bahkan telah dibicarakan terlebih dahulu oleh beberapa intelektual dan pemikir Islam yang lain, namun beliau boleh dikatakan antara intelektual kontemporari yang mengupas dan mengembangkan idea ini dalam bentuk yang segar, realistik dan semasa. Rashid Al Ghannoushi telah memberikan sumbangan idea pemikiran yang begitu berharga kepada gerakan Islam dalam menyesuaikan pendekatan dakwah dan politik khususnya melalui konsep Negara Madani.

Bersesuaian dengan signifikannya idea Rashid al Ghannoushi, artikel ini secara umumnya akan menghuraikan idea dan pemikiran Rashid Ghannouci mengenai konsep Negara Madani dan signifikasinya. Memandangkan idea pemikiran Rashid Al Ghannoushi ini adalah begitu menyegarkan dan sangat bersesuaian dengan senario yang berlaku di dunia Islam khususnya, penulis akan cuba menelusuri pandangan dan idea beliau yang boleh dijadikan teras utama dan teori asas dalam memahami kerangka Negara Madani yang selari dengan tuntutan dan suasana sosio-politik semasa.

PENGARUH PEMIKIRAN

Fazlur Rahman seorang pemikir yang mempelopori gagasan pembaharuan neo-modenisme Islam, berpandangan bahawa seorang pemikir hebat ialah mereka yang mempunyai tiga ciri utama iaitu menemukan suatu gagasan utama atau prinsip dasar yang utama yang mengandungi segala realiti, lalu dia mentafsirkannya dengan jelas dan menjadikannya sesuatu yang baru dan penting; gagasan itu seterusnya mampu merubah perspektif umum dalam berinteraksi dengan realiti tersebut; dan mampu mengemukakan suatu penyelesaian yang baru dan jitu terhadap segala permasalahn yang setelah lama mengganggu fikiran manusia (Fazlur Rahman, 1975: 13). Berdasarkan kepada ciri-ciri ini, sudah pastinya Rashid Al Ghannoushi telah memenuhi seorang pemikir hebat. Beliau bukan sahaja mengenalpasti prinsip dasar dengan segala realiti bahkan telah mentafsirkan, memperjelaskan dan menerangkannya dalam bentuk yang lebih segar untuk manfaat semua.

Lebih menarik lagi, idea dan pemikiran Rashid Al Ghannoushi ini berkembang dan dibincangkan secara komprehensif oleh ramai pengkaji dan sarjana. Pemikiran tokoh seperti Al Ghannoushi berkembang bukan dibiayai atau ditaja oleh sesiapa tetapi ia menjadi rujukan utama dan berkembang secara semulajadi melalui keikhlasan dan kekuatan kualiti pemikiran (Hasan, 2013). Formula dan analisis yang dilontarkan melalui karya beliau termasuk siri syarahan di seluruh dunia menarik perhatian intelektual dan pemikir khususnya kerangka pemikiran politik dan hubungan antarabangsa beliau.

Antara yang membezakan Al Ghannoushi dengan pemikir Muslim yang lain adalah gabungan ilmu dan pengalaman serta cabaran yang dilalui. Pengetahuan yang mendalam dalam bidang falsafah (pemegang sarjana falsafah dari Universiti Damascus, Syria) menambahkan lagi kelebihan dan kekuatan pemikiran. Beliau bukan sahaja intelektual yang bertindak sebagai ‘theorist’ atau sekadar ilmuan yang selesa duduk di bilik berhawa dingin, tetapi kematangan pemikiran beliau melalui proses yang begitu mengagumkan termasuk ancaman keselamatan nyawa, dipenjara dan pelbagai cabaran lain. Bukan itu sahaja, idea pemikiran Rashid Al Ghannoushi berkembang melalui proses pendidikan dan pengalaman dalam gerakan Islam. Bahkan adalah tidak lengkap untuk membicarakan topik gerakan Islam tanpa merujuk karya dan pandangan Al Ghannoushi. Sebagai pengasas Parti Al Nahdah di Tunisia yang ditubuhkan pada 1988, beliau melalui pelbagai mehnah dan cabaran yang akhirnya mematangkan pemikiran dan menjadikan beliau sebagai intelektual-reformis yang disegani di dunia.

Selain daripada pengalaman dan cabaran secara langsung dengan gerakan Islam dan aktivisme intelektual, pemikiran Al Ghannoushi juga dipengaruhi oleh pemikir-pemikir hebat dunia Islam yang lain. Antara pemikir yang mempengaruhi Rashid Al Ghannoushi ialah Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Jamal al Din Al Afghani, Muhammad Abduh, Hassan al Banna, Ibnu Ashur, Malik Bennabi dan al Maududi termasuk Yusuf al Qaradawi. Beliau sering merujuk dan membicarakan pemikiran tokoh-tokoh ini dan kemudiannya mengembangkan idea-idea tersebut dan seterusnya memperkenalkan idea beliau sendiri.

Dalam membicarakan soal keagamaan dan rasional dari sudut falsafah misalnya, beliau kerap merujuk kepada pandangan Ibnu Rushd. Beliau begitu mengagumi Ibnu Rushd malahan mengiktiraf pemikiran Ibnu Rushd sebagai amat bersesuaian dengan dunia semasa. Misalnya, beliau menegaskan bahawa langsung tiada kontradiksi antara nas dan aqal yang diperlukan sebagai alat untuk menterjemah dan memahami nas. Al Ghannoushi juga merujuk karya dan idea Ibnu Khaldun mengenai tamadun, masyarakat, sosio-ekonomi dan politik. Mungkin persamaan beliau dengan Ibnu Khaldun (Al Ghannoushi juga lahir dan membesar di Tunisia dan mendapat pendidikan di institusi yang sama iaitu Institut Zaytuna yang modelnya seakan Universiti al Azhar di Mesir) menambahkan keserasian antara dua tokoh berlainan zaman ini.

Intelektual kontemporari yang begitu mempengaruhi Al Ghannoushi ialah Malikbennabi. Bukti beliau begitu terpengaruh dengan Malilbennabi dapat dilihat apabila menterjemahkan syarahan Bennabi ke Bahasa Arab dan menerbitkannya dengan tajuk ‘Al Dimuqratiyah fi al Islam’ (Demokrasi dalam Islam). Melalui kerangka asas demokrasi oleh Bennabi inilah akhirnya beliau telah menghasilkan sendiri karya beliau yang cukup popular di barat terutamanya di Turki pada 1993 bertajuk ‘Al Hurriyah al Ammah fi al Dawlah al Islamiyyah’ (Kebebasan Awam di dalam Negara Islam). Pada 2012, beliau telah menerbitkan buku bertajuk ‘Al Dimuqratiah wa al Huquq al insan fi al Islam’. Karya terkini beliau ini dianggap antara yang terpenting dalam memahami demokrasi dan hak asasi dalam konteks dunia masa kini.

Al Ghannoushi juga sangat sinonim dengan Yusuf al Qaradawi bahkan kerap merujuk pandangan beliau dalam pelbagai aspek terutamanya yang melibatkan fiqh dan hukum. Hubungan yang akrab antara dua tokoh ini dapat dilihat apabila Al Ghannoushi antara sarjana pertama yang membuat ulasan secara komperehensif karya Yusuf al Qaradawi berjudul ‘Fiqh al Jihad’ (Al Ghannoushi, 2011a). Al Ghannoushi menganggap karya ulung Yusuf al Qaradawi ini adalah antara ensiklopedia jihad paling lengkap yang wajib dirujuk oleh semua. Al Ghannoushi sendiri pernah menyatakan bahawa Yusuf al Qaradawi adalah antara guru terbaik beliau (Nadia al Turki, 2011).

Melalui proses mensintesiskan pemikiran-pemikiran tokoh imuan Islam dari pelbagai bidang, Al Ghannoushi kemudiannya mengembangkan idea ini dalam bentuk yang bersifat kontemporari. Idea-idea segar beliau walaupun kadangkala kontroversi sering menjadi rujukan gerakan Islam mahupun pengkaji barat dalam memahami pendekatan sosio-politik Islam termasuk hubungan antarabangsa dan sebagainya. Pemikiran Al Ghannoushi ini mendapat tempat yang istimewa di kalangan gerakan Islam yang bersifat sederhana. Boleh dikatakan bahawa gerakan Islam arus perdana seperti Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jordan, Jamaat Islami, parti al Nahdah Tunisia, gerakan masyarakat sejahtera (HIMS) di Algeria, gerakan Islah di Negara-negara teluk, ABIM di Malaysia, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan, Muhammadiyah di Indonesia dan parti-parti Islam lain termasuk gerakan Islam di Eropah dan di Barat sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pemikiran dan idea Al Ghannoushi.

PENGIKTIRAFAN SUMBANGAN DAN PEMIKIRAN

Kewibawaan Al Ghannoushi membolehkan beliau digelar sebagai ‘Intelektual-Aktivis’ dan ‘Modernis-Reformis’. Menarik untuk membincangkan Al Ghannoushi dan peranannya sebagai intelektual dan dalam masa yang sama seorang aktivis gerakan Islam. Walaupun Al Ghannoushi merupakan arkitek kepada gerakan Islam khususnya Al Nahdah, namun, beliau bukanlah seorang ahli politik mahupun pemimpin politik yang terlibat secara langsung mentadbir dan bertanding sebagai wakil rakyat dan sebagainya. Al Ghannoushi merupakan seorang ‘intelektual-aktivis’ yang menjadi pemikir dan ‘think-thank’ kepada gerakan kontemporari Islam. Peranan yang dimainkan oleh beliau ialah mencorak dan menghasilkan idea dan pemikiran politik melalui ‘intellectual activism’. Al Ghannoushi bukanlah pemimpin politik bahkan beliau tidak terlibat dengan politik di Tunisia lebih 22 tahun setelah menetap dalam buangan di luar Negara. Al Ghannoushi merupakan seorang intelektual-reformis yang merencana pemikiran politik melalui aktivisme.

Di antara kejayaan besar Al Ghannoushi dari sudut sumbangan intelektual ialah kemampuan beliau untuk mensistesiskan dan mengharmonikan demokrasi menurut perspektif barat dan Islam. Di samping melihat bahawa terdapat beberapa permasalahan antara barat dengan dunia Islam, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di timur Tengah pada waktu ini adalah sumbangan daripada keterbukaan dan kebebasan yang dinikmati oleh aktivis gerakan Islam di Eropah.

Kekuatan pemikiran dan sumbangan Al Ghannoushi ini bukan sahaja diiktiraf di dunia Islam mahupun gerakan Islam, malahan beliau mendapat pelbagai anugerah mengiktiraf ketokohannya. Karya-karya beliau diterjemahkan dan mendapat sambutan di banyak Negara seperti Turki. Buku beliau bertajuk Al-Hurriyah al ‘Ammah fi al Dawlah al Islamiyyah adalah lebih popular di Turki berbanding di Tunisia.

Antara bukti pengiktirafan sumbangan dan pemikiran, beliau telah dianugerahkan dengan ‘Chatham House Prize’ anugerah prestij mengiktiraf sumbangan dalam hubungan antarabangsa yang disampaikan oleh His Royal Highness The Duke of York. Pengiktirafan ini sekaligus membuktikan bahawa Al Ghannoushi merupakan intelektual Muslim kelas dunia yang telah memberikan sumbangan dari sudut hubungan antarabangsa khususnya antara dunia Islam dan masyarakat barat.

Al Ghannoushi juga disenaraikan antara 100 pemimpin Islam abad ke-20 dalam buku bertajuk “100 Great Muslim Leaders of the 20th Century” (Mohd Mansoor Alam, et. al. (2005). Bukan itu sahaja, majalah Times telah menobatkan beliau sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2012 (Bobby Gosh, 2012). The Prince al Waleed bin Talal Centre, Georgetown University juga memilih al Ghannoushi antara 500 individu Muslim paling berpengaruh di dunia (John Esposito dan Ibrahim Kalin, 2009). John Esposito dan John Voll di dalam buku mereka berjudul ‘Makers of Contemporary of Islam’ memilih Al Ghannoushi antara Sembilan pemikir penting abad ke-20 (John Esposito dan John Voll, 2001). Pengiktirafan ini jelas membuktikan betapa sumbangan pemikiran Al Ghannoushi memberi kesan dan mempengaruhi pendekatan sosio-politik terutamanya kepada gerakan Islam.

Di samping menerima pelbagai pengiktirafan dan sumbangan, beliau sentiasa merendah diri dan menegaskan prinsip perjuangan yang tidak bersifat individu tetapi menyeluruh dan kolektif. Semasa menerima anugerah ‘Chatham House Prize’, beliau menyatakan bahawa anugerah ini sebenarnya adalah milik rakyat Tunisia dan beliau menegaskan bahawa konflik antara Barat dan dunia Islam adalah tidak benar dan Barat dan dunia Islam boleh bersefahaman dan mempunyai hubungan yang harmoni (Waqas, 2013). Kemenangan besar parti Al Nahdah dengan memenangi 89 daripada 217 kerusi dipertandingkan (41% majoriti undi) semasa pilihanraya Tunisia, di mana Setiausaha parti Hamadi Jebali telah dilantik sebagai Perdana Menteri setelah kejatuhan rejim Ben Ali, membuktikan pengaruh beliau masih signifikan dalam politik di Tunisia dan idea beliau sangat relevan dengan kehendak rakyat. Pengaruh Al Nahdah di bawah pimpinan Al Ghannoushi juga semakin mendapat tempat di hati rakyat Tunisia. Kajian yang dijalankan oleh Michael Robbins, (2011) mendapati bahawa soal selidik terhadap kepercayaan rakyat Tunisia mendapati bahawa lebih 49.4 peratus responden menaruh kepercayaan tinggi kepada Al Nahdah berbanding dengan parti politik yang lain seperti Tunisian Labor Federation (37.8%), Civil Society Organizations (43.8%) dan lain-lain (28.2%).

WACANA NEGARA ISLAM V NEGARA MADANI

Wacana Negara Islam

Wacana kebangkitan Islam yang tercetus setelah berlakunya penjajahan di hampir keseluruhan negara Islam dan wujudnya negara bangsa menimbulkan pelbagai polemik dan reaksi umat Islam di seluruh dunia. Wacana awal kebangkitan Islam yang merujuk kepada aspirasi ’Islamist’ untuk menegakkan negara Islam mendominasi perbincangan intelektual. Idea pemikiran Al Maududi, Sayyid Qutb dan beberapa pemikir yang lain yang menganjurkan penegakan sebuah negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah menjadi antara matlamat gerakan Islam pada masa itu. Idea awal berkonsepkan penubuhan negara Islam ini walaubagaimanapun mula mendapat pelbagai kritikan malahan perlukan kajian semula.

Al Maududi di dalam karyanya seperti ‘Al Ahkam al Sultaniyyah’ dan ‘The Islamic Law and Constitution’ membuat gagasan Negara Islam bermodelkan ‘theo-democracy’. Begitu juga Sayyid Qutb yang membicarakan Negara Islam melalui beberapa konsep seperti al hakimiyyah, masyarakat jahiliah dan ketamadunan. Konsep negara Islam yang diaspirasikan oleh golongan ini lebih menjurus kepada pembentukan dar al Islam. Konsep negara Islam juga telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak seperti Hizb al Tahrir sebagai usaha mengembalikan sistem khalifah. Idea-idea ini kemudiannya menimbulkan persoalan setakat mana relevannya pendekatan Negara Islam dalam konteks sosio-politik negara dan antarabangsa masa kini.

Wacana Negara Madani

Setelah berlakunya beberapa peristiwa penting yang melanda gerakan Islam yang gagal untuk merealisasikan penegakan Negara Islam seperti yang terjadi pada parti Front Islamic Salvation (FIS) pimpinan Abbas Madani di Algeria, eksperimen Hasan al Turabi di Sudan termasuk kegagalan di Afghanistan pimpinan Taliban, membuatkan pendekatan ‘Islamist’ ini di kaji semula. Selain itu, gerakan Islam yang berorientasikan perjuangan Negara Islam ini juga sering dilihat sebagai gerakan yang seakan ingin memonopoli ‘authority of Islam’, mudah melabelkan pihak tidak sefikrah sebagai kafir dan tidak bersesuaian dengan sosio-ekonomi-politik Negara dan antarabangsa (Today’s Zaman, 2011). Ali Abd al Raziq, (1925) antara intelektual terawal yang mengkritik idea Negara Islam di dalam buku kontroversinya ‘Al Islam wa usul al Hukm’. Abdelwahab El Effendi, (2008) pula di dalam karyanya yang popular ‘Who Needss An Islamic State’ secara kritikal mengetengahkan hujah-hujah yang mempersoalkan beberapa gagasan Negara Islam. Beliau berpandangan bahawa aspirasi penubuhan Negara Islam ini adalah lemah sama ada dari sudut nas mahupun aspek al siyasi. Abdelwahab El Effendi, (2008) di dalam karyanya yang popular ‘Who Needss An Islamic State’ secara kritikal mengetengahkan hujah-hujah yang mempersoalkan beberapa gagasan Negara Islam. Beliau berpandangan bahawa aspirasi penubuhan Negara Islam ini adalah lemah sama ada dari sudut nas mahupun aspek al siyasi.

Di samping perkembangan wacana Negara Islam yang semakin kurang mendapat tempat di kalangan gerakan Islam kontemporari terutamanya di Eropah dan Timur Tengah, muncul beberapa idea pemikiran yang antara lainnya mengetengahkan konsep ‘Daulah Madaniyah’ atau Negara Sivil Beridentitikan Islam. Antara pemikir yang membicarakan idea gerakan Islam dalam kerangka Negara Madani ini dipelopori oleh Al Ghannoushi. Al Nahdah di bawah pimpinan Al Ghannoushi telah mengisytiharkan komitmen untuk menubuhkan sebuah Negara Sivil melalui sistem demokrasi. Al Ghannoushi melihat bahawa wacana Negara Islam ini perlu dikaji semula. Sesuai dengan perkembangan semasa, beliau menganjurkan bahawa gerakan Islam perlu mentransformasikan pendekatan demi merealisasikan hasrat mereka.

Gagasan dan perasaan Al Ghannoushi ini semakin bertambah kuat tatkala beliau sendiri melalui cabaran getir di Tunisia apabila ribuan aktivis Al Nahdah telah diseksa dan dizalimi termasuk beliau juga dijatuhi hukuman mati oleh rejim Ben Ali. Sebagai antara pengasas kepada gerakan awal di Tunisia melalui ‘Islamic Tendency Movement’ yang kemudiannya dikenali sebagai Hizb Al Nahdah, pengalaman melalui cabaran dan halangan berdepan dengan rejim Habib Borguiba dan Ben Ali mempengaruhi pemikiran Al Ghannoushi. Beliau sendiri melihat bagaimana rejim ini telah menangkap lebih 3000 aktivis Al Nahdah, menyeksa, menzalimi, memenjarakan, menjatuhkan hukuman bunuh dan pelbagai kekejaman yang lain atas dasar ancaman untuk menegakkan Negara Islam. Beliau sendiri telah dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun pada 1981 (bebas pada 1984) dan akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 1987 (Mohd Mansoor Alam, et. al, 2005).

Berbeza dengan pendekatan ‘Islamist’ yang masih berpegang kepada misi menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah termasuk membolehkan penggunaan kekerasan, Al Ghannoushi membicarakan konsep Negara Sivil (dawlah madaniyyah) yang berasaskan kepada nilai-nilai dan ajaran Islam (Negara Sivil Berteraskan Shari’ah atau Negara Sivil Beridentitikan Islam) dan dipandu oleh maqasid Shariah serta mengutamakan jaminan kebebasan (al hurriyah) dan hak asasi (huquq al Insan), (Al Ghannoushi, 2012). Bahkan Al Ghannoushi meluaskan definisi Dar al Islam itu sebagai Negara yang menjamin kebebasan semua untuk mengamalkan agamanya secara adil dan tanpa perasaan takut (Abdelwahab El Affendy, 2008). Idea ini sebenarnya bukanlah idea ekslusif Al Ghannoushi kerana ia juga dibicarakan oleh pemikir yang lain seperti Yusuf Al Qaradawi, Abdul Karim Soroush dan Tariq Ramadan (Rujuk Al Eryan, 2011, Al Qaradawi, 2009). Konsep Negara Madani ini dikembangkan oleh Al Ghannoushi dalam bentuk idea dan perlaksanaan melalui eksperimen yang cuba dilaksanakan di Tunisia.

Apabila membicarakan konsep Negara Islam dan ‘Civil State with Islamic Reference’, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan. Matlamatnya adalah sama tetapi fokus dan pendekatan adalah berbeza. Berbeza dengan konsep Negara Islam khususnya yang digagaskan oleh Sayyid Qutb dan Al Maududi termasuk Hizb al Tahrir yang lebih bercirikan undang-undang dan penguatkuasaan, konsep Negara Madani ini lebih berorientasikan suara rakyat atau masyarakat sivil. Negara Madani ini juga mengambil kira faktor keamanan, perkongsian kuasa dan mengamalkan pluralisme politik. Ini dibuktikan dengan persetujuan Al Nahdah untuk menerima pelantikan Moncef Marzouki daripada parti Republik yang memenangi 29 kerusi berbanding Al Nahdah 89 kerusi. Sikap keterbukaan gerakan Islam yang lebih bersifat harmoni dan pro-keamanan ini membolehkan perkembangan dakwah dan kebangkitan Islam secara berperingkat dan berterusan.

Al Ghannoushi juga menolak pandangan yang mengharamkan demokrasi. Beliau mengkritik teori-teori negara Islam yang tidak jelas seperti yang diutarakan oleh Sayyid Qutb tentang teori al hakimiyyah, masyarakat jahiliah dan ketamadunan. Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak tepat. Walaupun demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ia telah melalui satu proses yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya.

Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan asal untuk mendapatkan demokrasi itu merupakan usaha suci rakyat untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan. Pengaruh daripada ketinggian dan ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah, Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al Hurriyyah’ pada waktu itu juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi. Al Ghannoushi sangat yakin bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat.

KONSEP NEGARA MADANI

Secara umumnya, Al Ghannoushi tidak membicarakan secara khusus konsep Negara Madani atau ‘Negara Sivil berteraskan Shari’ah’ atau ‘Negara Sivil Beridentitikan Islam’ ini di dalam mana-mana karyanya. Wacana Negara Sivil yang dibicarakan oleh Al Ghannoushi dapat dilihat secara tidak langsung melalui karya-karyanya, laporan wawancara, siri syarahan dan ceramah beliau termasuk makalah-makalah dan penulisan yang mengkaji pemikiran beliau. Al Ghannoushi menyifatkan bahawa isu politik termasuk di dalam ruang ijtihad (Tamimi, 1993). Beliau berpandangan bahawa isu-isu politik dikategorikan sebagai al siyasi dan ia terbuka luas untuk ruang ijtihad. Bahkan aspek al siyasi ini juga adalah salah satu daripada perkara faraghaat atau lacuna yang membuka ruang yang sangat luas untuk berijtihad dan membuat keputusan berasaskan kepada maslahah umum dan keadaan semasa. Oleh itu, konsep Negara Islam atau Negara Madani ini termasuk dalam ruang ijtihad yang masih terbuka luas untuk dibicarakan. Negara Sivil yang dimaksudkan oleh Al Ghannoushi tidak bermakna ia meminggirkan aspirasi menegakkan syiar Islam tetapi ia merujuk kepada bentuk Negara yang paling ideal sebagai model pemerintahan dan pentadbiran sesebuah Negara. Konsep Negara Sivil ini sama sekali tidak menolak Shari’ah sebagai salah satu ciri Negara tetapi merujuk kepada pelaksanaan sistem keadilan yang menyeluruh, menjamin keharmonian bernegara dan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Al Ghannoushi meletakkan bahawa Negara Madani itu mempunyai ciri untuk menjamin persamaan hak dan menghormati hak asasi, kebebasan bersuara, berfikir dan kepercayaan.

Antara sumbangan Al Ghannoushi yang signifikan melalui konsep Negara Madani ialah meyakinkan ‘Islamist’ untuk menerima demokrasi, pluralisme politik dan perkongsian kuasa. Beliau melihat perubahan sosial dan politik hanya akan berlaku dengan berkesan melalui pendekatan sederhana dan berperingkat. Walaupun secara umumnya, Al Ghannoushi masih berpandangan bahawa aspirasi menegakkan kerajaan Islam yang ideal itu adalah tanggungjawab semua umat Islam, tetapi sesuai dengan keadaan sosio-politik, pendekatannya perlu bersesuaian dengan keadaan semasa. Selain daripada tanggungjawab menegakkan sebuah kerajaan Islam yang adil, beliau melihat bahawa antara matlamat utama sesebuah Negara Madani ini adalah untuk melaksanakan perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Konsep Negara Madani yang dimaksudkan oleh Al Ghannoushi juga mengangkat martabat dan karamah insaniah. Al Ghannoushi lebih cenderung kepada sebuah Negara yang didominasi masyarakat sivil (Al Ghannoushi, 1999). Beliau juga konsisten memperjuangkan kesamarataan seperti hak-hak asasi manusia, hak-hak wanita kepada pendidikan, pemilikan harta dan partisipasi politik. Di samping mengiktiraf Shari’ah sebagai rujukan utama dalam konsep Negara Madani ini, Al Ghannoushi berpandangan bahawa beberapa hukum yang menyentuh hak asasi yang bersifat peribadi tidak boleh dilaksanakan secara paksa. Beliau menganggap hal ehwal yang melibatkan peribadi seperti pemakaian tudung perlu dikekalkan sebagai hak peribadi individu itu.

Konsep Negara Madani ini juga tidak bermakna pentadbiran Negara itu perlu berorientasikan ‘secularism’. Negara Madani yang dimaksudkan adalah Negara yang berteraskan Tawhid dan menghormati hasrat dan aspirasi warganegara atau rakyat dengan menjadikan nilai-nilai Islam dan Shari’ah sebagai rujukan. (Al Ghannoushi, 2001). Al Ghannoushi sering kali menyatakan pandangan beliau yang menolak idea yang memisahkan antara agama dan Negara dan kehidupan sosial (Al Ghannoushi, 2011). Beliau tegas menyatakan Islam tidak pernah mengasingkan antara politik, agama dan Negara. Beliau juga berpandangan polemik antara ‘secularist’ dan ‘Islamist’ yang sering dimainkan oleh golongan tertentu akhirnya hanya membolehkan rejim diktator menguasai dan menaungi sistem pemerintahan Negara. Walaupun Al Ghannoushi menolak ‘secularisme’ sebagai asas politik, beliau berpandangan bahawa adalah salah untuk sesebuah Negara menindas dan mendiskriminasi golongan sekularis (Al Ghannoushi, 2013). Pentadbiran sebuah Negara Madani mesti menghormati hak-hak asasi dan kebebasan dan ini termasuk golongan sekularis.

Konsep Negara Madani ini juga merujuk kepada slogan ‘Islam sebagai cara hidup’. Dalam karyanya ‘Al Hurriyat Al ‘amma fi Al dawla al Islamiyya’, Al Ghannoushi merujuk antara ciri konsep Negara Madani ini sebagai “Islamic democracy” (Al Ghannoushi, 1993 dan 2012). Demokrasi Islam ini mengiktiraf pilihan majoriti rakyat dan mengangkat Shari’ah sebagai rujukan. Bukan itu sahaja, Al Ghannoushi juga mengiktiraf budaya dan tamadun Islam sebagai suatu yang signifikan dalam konsep bernegara. Negara Madani menurut Al Ghannoushi juga merujuk kepada pengiktirafan budaya dan tamadun di samping nilai-nilai etika Islam.

Al Ghannoushi adalah sangat realistik dan tidak cenderung kepada idea menubuhkan Negara Islam ataupun mengembalikan sistem khalifah dalam konteks semasa. Al Ghannoushi memilih pendekatan berhikmah secara berperingkat (al tadarruj) dan mengambil kira faktor aspirasi dan hasrat rakyat dalam melaksanakan perubahan. Beliau berpandangan bahawa dalam konteks Negara bangsa yang merujuk kepada persempadanan antara Negara, apa yang lebih utama adalah untuk memastikan kesatuan warganegara dan pembangunan Negara (Nadia al Turki, 2011). Bagi merealisasikan kesatuan umat Islam pula, beliau melihat potensi untuk memperkukuhkan kesatuan ini melalui pemerkasaan politik, budaya, pendidikan dan ekonomi sebagai maslahah umum yang perlu diutamakan.

Secara umumnya, konsep Negara Madani menurut al Ghannoushi merujuk kepada konsep Negara yang menggabungkan antara elemen demokrasi Islam, Shura, al Hurriyyah, hak asasi dan pengiktirafan budaya dan identiti. Al Ghannoushi menterjemahkan idea ini dalam bentuk yang sangat matang dan realistik. Konsep Negara Madani ini adalah universal dan bertepatan dengan aspirasi Islam yang menjamin dan mengangkat karamah insaniah setiap individu.

Demokrasi Islam

Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat yang tidak boleh diterima dan diamalkan oleh sesetengah pihak (Bayat, Asef. (2010). Hatta ada segelintir golongan yang menolak demokrasi secara total dan ada juga yang menganggapnya sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan. Ayman Al Zawahri, pemimpin al Qaeda misalnya secara jelas mendesak Ikhwanul Muslimin menolak demokrasi dan berjuang untuk menegakkan Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Kegagalan demokrasi yang dicapai di Mesir ketika ini juga seakan menyokong pandangan ini. Demokrasi hanya dilihat sebagai mekanisme yang paling berkesan oleh penguasa termasuk rejim diktator dan penajanya untuk memastikan mereka terus berkuasa dan memperkukuhkan kedudukan.

Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah terbinanya konsep negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai teknologi tinggi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi adalah negara-negara yang mundur dan bermasalah serta mengalami pencabulan hak asasi. Keadaan atau fakta ini sahaja boleh menggambarkan secara tidak langsung pengaruh dan kesan demokrasi yang positif.

Ulama kontemporari terutamanya ulama haraki dan intelektual kontemporari secara umumnya menerima demokrasi sebagai salah satu wadah dan saluran untuk melaksanakan Islam sebagai satu gaya hidup dan Al Ghannoushi adalah salah seorang daripadanya. Al Ghannoushi berpandangan bahawa demokrasi yang mengutamakan hak asasi, kebebasan dan keadilan adalah sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam malahan ia sangat seiring dengan tuntutan maqasid Shari’ah. Ini disepakati oleh ramai ulama kontemporari seperti Yusuf Al Qaradawi, (1996) termasuk Huwaidiy, (1999) yang juga membicarakan konsep demokrasi menurut perspektif Islam dengan mendalam di dalam bukunya ‘Al Islam Wa al Dimuqratiyyah ‘.

Dalam membicarakan demokrasi, Al Ghannoushi menggunakan istilah ‘Islamic Democracy’. Walaupun menerima konsep umum demokrasi, Al Ghannnoushi juga mengkritik keras demokrasi berorientasikan falsafah liberal barat. Beliau masih berpegang teguh kepada demokrasi yang berlandaskan kepada nilai-nilai Islam dan berpandukan kepada maqasid Shari’ah. Beliau secara jelas menegaskan bahawa demokrasi sebagai salah satu produk ‘modernity’ yang terhasil melalui pengalaman dan sejarah panjang tamadun barat adalah diterima dalam Islam. Demokrasi yang menjunjung keadilan sosial dan menganjurkan keamanan dan keharmonian adalah selari dengan ajaran Islam (Al Ghannoushi, 2013).

Shura Tema Utama Negara Madani

Selaras dengan ajaran Islam yang mengutamakan institusi Shura, tema utama dalam pemikiran Al Ghannoushi adalah demokrasi itu serasi dengan Islam. Al Ghannoushi melihat bahawa demokrasi pada asasnya adalah sama sekali tidak bertentangan dengan Islam. Beliau menegaskan bahawa demokrasi adalah bertepatan dengan konsep Shura dalam bentuk yang lebih segar dalam dunia kontemporari. Demokrasi adalah diterima selagi mana nilai-nilai Islam dijadikan rujukan dan diaplikasikan.

Bagi membicarakan perkara ini, Al Ghannoushi membezakan antara al din (keagamaan, suci atau mutlak) dan al siyasi (politik, duniawi atau relatif). Ruang al din adalah berbeza dengan aspek al siyasi. Berbeza dengan al din, ruang ijtihad adalah sangat luas dari aspek al siyasi dan ini termasuk hal mentadbir urusan politik dan mengenai kelayakan dan kuasa pemerintah. Elemen inilah yang membuktikan fleksibiliti dan kesesuaian sistem politik Islam.

Rashid Al Ghannoushi melihat demokrasi itu sebagai sesuatu yang progresif dan dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat ”al sha`b masdar al sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan) bagi menjamin hak-hak dan kebebasan. Dalam konteks demokrasi Islam, ia lebih daripada sekadar hak dan kebebasan tetapi merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Islam meletakkan musyawarah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya, maka Al Ghannoushi beranggapan bahawa demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga menepati ciri-ciri Shura ini dalam bentuk yang baru.

Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap sebagai proses penginstitutian konsep Shura dalam bentuk yang lebih segar, moden dan sesuai dengan waqi’ moden. Walaupun diakui bahawa ada segelintir pihak dikalangan gerakan Islam sendiri yang menolak demokrasi, namun Al Ghannoushi menerima konsep demokrasi ini sebagai suatu perkara yang relevan malahan menepati kehendak Shari’ah. Al Ghannoushi menganggap bahawa prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah), musyawarah (Shura) dan sebagainya.

Selaras dengan ruh Shura sebagai perkara yang dituntut oleh Islam, Al Ghannoushi menegaskan bahawa proses membuat keputusan secara kolektif dalam konteks demokrasi adalah sangat relevan dengan konsep Negara Madani. Berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian, Al Ghannoushi berpandangan bahawa konsep Shura ini merupakan tema utama falsafah politik Islam yang meraikan suara ramai demi memberi keadilan kepada semua dan dalam masa yang sama melindungi rakyat daripada di zalimi di samping memberi ruang untuk mendengar suara rakyat (Al Ghannoushi, 2012). Pandangan beliau ini diterjemahkan dalam perlembagaan parti al Nahdah yang secara khusus menyatakan bahawa Shura menjadi tema utama asas kepada gerakan.
Al Hurriyyah (kebebasan) dan Huquq Al Insan (Hak Asasi) Tuntutan Utama Negara Madani

Al Ghannoushi merupakan salah seorang pemikir dan pendokong kepada ‘Reformist Movement’ menggagaskan bahawa idea utama ‘modernity’ iaitu kebebasan dan hak asasi sebagai tema utama dan salah satu daripada tuntutan dalam Islam. Beliau mengungkapkan bahawa “modernity without freedom is false modernity” (Mohd Mansoor Alam, et. al. 2005). Al Ghannoushi membicarakan tema kebebasan dan hak asasi ini dengan begitu mendalam dalam beberapa karya dan siri syarahannya (Al Ghannoushi, 1993 dan 2012). Beliau sering menggunakan istilah ‘al Hurriyyah’ apabila membincangkan topik kebebasan dan huquq al Insan bagi merujuk aspek hak asasi manusia. Istilah Al Hurriyyah ini adalah lebih luas, universal dan tepat berbanding kebebasan sebagai antara tuntutan utama Negara Madani.

Al hurriyyah atau kebebasan dan jaminan perlindungan hak asasi merupakan salah satu daripada matlamat demokrasi. Dalam isu ini, Rashid Al Ghannoushi menerusi karyanya Al Hurriyah al ‘Ammah fi al Dawlah al Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam) yang dianggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran politik Islam kontemporari membicarakan demokrasi sebagai natijah daripada proses dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak (Al Ghannoushi, 1993). Karya terkini beliau bertajuk Al Dimuqratiyah wa al Huquq al Insaan fi al Islam dengan mendalam mengupas kedudukan hak asasi dalam Islam dan peranan sesebuah kerajaan atau pentadbiran menjamin hak asasi ini pada setiap individu (Al Ghannoushi, 2012). Kebebasan dan jaminan hak asasi ini jugalah yang menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan dan menuntut kepada perlindungan hak asasi manusia.

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al Hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam (Al Ghannoushi, 1993). Al Ghannoushi yakin berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya di Eropah, bahawa Islam itu akan subur dan segar di mana sahaja al Hurriyyah itu didokong. Al Hurriyyah yang Al Ghannoushi maksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al Hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu.

Dalam membicarakan konsep al Hurriyyah ini, Al Ghannoushi menekankan konsep ’Pluralisme Politik’ dan keperluan menjamin hak asasi manusia. Ketika diwawancara oleh Asharq Al Awsat, beliau tegas menyatakan bahawa kepimpinan gerakan Al Nahdah komited dengan manifesto mereka untuk memastikan pluralisme politik dan hak asasi manusia ini dipelihara (Nadia al Turki, 2011). Ini jelas menunjukkan keterbukaan Al Ghannoushi dengan menerima amalan pluralisme politik.

Ketegasan Al Ghannoushi dalam aspek al Hurriyyah ini dizahirkan ketika diajukan soalan mengenai kejayaan revolusi Tunisia dan setelah kembali menjejakkan kaki ke Tunisia selepas 22 tahun di dalam buangan di luar negara. Al Ghannoushi menyatakan bahawa revolusi telah mengembalikan kebebasan, harga diri dan ’dignity’ rakyat Tunisia. Kebebasan ini juga menatijahkan kebenaran di mana sejarah akan ditulis semula melalui kebebasan berkarya. Pengalaman beliau selama lebih 22 tahun di Eropah mematangkan lagi pola dan bentuk pemikiran terutamanya dari aspek demokrasi. Al Ghannoushi mengiktiraf dan berterima kasih kepada masyarakat Eropah yang memberikan kebebasan bukan sahaja kepada beliau malahan kepada lebih 2000 aktivis bagi tempoh lebih 22 tahun. Kebebasan inilah yang memberi peluang kepada gerakan Al Nahdah untuk meneruskan survival mereka hingga kini.

Kritikan beliau terhadap golongan tertentu termasuk gerakan Islam yang menolak demokrasi adalah sangat relevan dengan konsep Al Hurriyyah. Beliau mempersoalkan golongan yang mempertikaikan demokrasi sedangkan mengiktiraf rejim diktator di kebanyakan negara Arab di mana aspek Al Hurriyyah ini diabaikan sama sekali. Pada beliau, barat adalah terlebih kehadapan dalam menjamin kebebasan malahan keadilan individu melalui sistem keadilan yang telus. Misalnya, beliau sendiri mendapat keadilan melalui sistem keadilan di United Kingdom apabila berjaya membersihkan nama beliau setelah dikecam, dituduh secara palsu oleh media dan cuba dikaitkan dengan keganasan dan terrorisme. Beliau pernah menyaman akhbar ’the Independent” dan Robert Fisk seorang jurnalis terkemuka antarabangsa yang menuduhnya menerima sejumlah wang yang besar daripada Qatar untuk membiayai kempen Al Nahdah di Tunisia (Yasmine Ryan, 2012).

Sebagai model pendekatan yang pragmatik, dinamik dan realistik sesuai dengan fiqh waqi’ di Tunisia, antara perlaksanaan awal yang dipimpin oleh Al Ghannoushi ialah memastikan pilihanraya yang adil dan bebas disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang termasuk wanita. Perlembagaan juga mengambil kira hasrat rakyat Tunisia dan mengambil kira pluralisme politik di samping menjamin kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan media dan pembahagian kuasa yang adil. Antara perkembangan positif yang berlaku di Tunisia di bawah pimpinan Al Nahdah ialah hanya dalam masa setahun, peratusan kadar pertumbuhan ekonomi meningkat dari 1.8% (semasa zaman rejim Ben Ali) ke 3.5% seperti yang dilaporkan oleh ’Institute of National Statistics’ (Waqar, 2013). Kerajaan Tunisia di bawah pimpinan al Nahdah juga berjaya menurunkan kadar penggangguran sebanyak 2% dalam masa setahun iaitu dari 18% kepada 16% (Al Ghannoushi, 2013).

Pengiktirafan Budaya dan Identiti

Di antara kekuatan pemikiran Al Ghannoushi ialah kemampuan memahami falsafah Islam dan barat. Berbeza dengan Al Maududi yang keras menentang elemen-elemen dari barat, Al Ghannoushi lebih cenderung kepada pendekatan harmonisasi antara falsafah Islam dan barat. Al Ghannoushi melihat bahawa banyak nilai-nilai bersifat universal antara falsafah Islam dan barat yang boleh diharmonisasikan. Malahan, beliau berpandangan bahawa elemen ini berpotensi untuk dijadikan asas kepada kerangka gerakan Islam untuk berhadapan dengan cabaran ‘modernity’ dan ‘post-modernity’.

Melalui kerangka pemikiran inilah, Al Ghannoushi mengiktiraf peranan budaya, tamadun dan identiti sesuatu Negara, bangsa termasuk geo-politik. Perkara ini diterjemahkan di dalam perlembagaan Al Nahdah di mana terdapat Perkara khusus di dalam perlembagaan yang menegaskan tentang pengiktirafan budaya dan identiti sesuatu bangsa dan Negara. Dalam konteks Tunisia, Al Ghannoushi melihat bahawa identiti dan budaya bangsa Arab dan kesatuan Arab itu adalah sangat signifikan. Ini menunjukkan bahawa Al Ghannoushi mengiktiraf peranan budaya dan identiti sesuatu bangsa dalam merencana agenda politik gerakan Islam. Di dalam perlembagaan Al Nahdah, jelas menyebut bahawa antara elemen penting pendekatan gerakan ialah untuk mengembalikan identiti Arab-Islam melalui budaya, tamadun, cara hidup dan bahasa Arab. Elemen-elemen ini menjadikan pendekatan Al Ghannoushi ini lebih menarik dan bersesuaian dengan keadaan sosio-politik sesebuah Negara itu. Budaya dan identiti merupakan antara asas penyatuan dan keharmonian dan semestinya menjadi faktor utama kestabilan dan kemakmuran sesebuah Negara.

KESIMPULAN

Sebagai seorang intelektual reformis, Al Ghannoushi telah memberikan sumbangan yang begitu berharga dalam merancakkan lagi wacana segar konsep ’Civil State with Islamic Reference’ sebagai alternatif kepada idea Negara Islam yang sekian lama menjadi aspirasi banyak gerakan Islam. Walaupun idea mengenai konsep ’Daulah Madaniyyah’ ini bukanlah eksklusif dibicarakan oleh Al Ghannoushi malahan dibahaskan oleh ramai intelektual lain, kelebihan Al Ghannoushi yang terlibat secara langsung dengan gerakan Islam serta pengalaman politik dan interaksi dengan dunia barat dan Islam menjadikan kerangka pemikiran beliau lebih diterima dan sangat signifikan. Formula Al Ghannoushi ini mula menampakkan hasil melalui dasar dan idea menerusi Al Nahdah. Malahan, idea pemikiran Al Ghannoushi juga mempengaruhi beberapa pendekatan kerajaan pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki.

Di sebalik keberkesanan dan bibit-bibit kejayaan pendekatan Al Ghannoushi ini, masih terdapat banyak halangan dan cabaran yang perlu dilalui oleh setiap gerakan Islam. Cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki, rampasan kuasa oleh tentera di Mesir dan peralihan pimpinan utama di Qatar termasuk gerakan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Al Nahdah di Tunisia merupakan antara bukti cabaran besar gerakan Islam. Ini ditambah lagi dengan faktor campurtangan asing yang sentiasa ingin melihat kerajaan pimpinan gerakan Islam gagal dan seterusnya cuba untuk membuktikan pimpinan Islam tidak mampu mentadbir dengan berkesan dan adil. Sebagai intelektual reformis yang sudah masak dengan permainan politik dalaman dan antarabangsa, Al Ghannoushi dilihat mampu menerajui dan merencanakan pendekatan yang bersesuaian untuk gerakan Islam.

Secara umumnya, Al Ghannoushi menerima konsep demokrasi melalui acuan Islam dan menolak demokrasi yang berorientasikan falsafah liberal barat, menjadikan Maqasid Shari’ah sebagai panduan, konsep Shura sebagai tema utama, pengiktirafan budaya dan identiti, mengiktiraf suara rakyat dan mengangkat karamah insaniah serta hak asasi manusia. Elemen-elemen Negara Madani ’daulah madaniyah’ ini yang dibahaskan oleh Al Ghannoushi secara komprehensif dan realistik ini menjadikan idea pemikiran beliau mengenai konsep Negara Sivil ini di antara yang terkehadapan dikalangan intelektual yang lain. Sewajarnya, wacana konsep ’Civil State with Islamic Reference’ ini dibicarakan secara intensif dan menyeluruh serta dijadikan ’discourse’ arus perdana agar gelombang kebangkitan Islam melalui agenda gerakan Islam itu terus segar, relevan dan kembali bersinar.

RUJUKAN

Abdelwahab El Affendi. (2008). Who Needs An Islamic State? Kuala Lumpur: Think Tank London.
Al Eryan, Essam (2011). Al Ikhwan al Muslimun wa al Dawlah al Madaniyyah. Kaherah: Markaz al-I’laam al-‘Arabi.
Al Ghannoushi, Rashid. (2013). Visions For A New Tunisia: How Islam & Democracy Can Support Each Other. Akses: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=31006
_____________ (2012). Al Dimuqratiyah wa al Huquq al Insaan fi al Islam. Doha: Aljazeera Centre For Studies.
_____________ (2011). Islam and Secularism. Akses: http://www.blog.sami-aldeeb.com/2012/03/09/full-transcript-of-rached-ghannouchis-lecture-on-secularism-march-2-2012/.
_____________ (2011a). What is New about Al-Qaradawi’s Fiqh of Jihad?. Islam Online. Akses: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=Article_C&cid=1252188303047&pagename=Zone-English-Living_Shariah%2FLSELayout
_____________ (2001) ‘On the Dilemma of the Islamic Movement: A Political Party or a Reformist Organization?’ in El-Affendi, A., Rethinking Islam and Modernity, Leicester: The Islamic Foundation.
_____________ (1999). Muqarabat fi al `ilmaniyya w’al mujtam‘ al madani London: Maghreb Center for Research and Translation.
_____________ (1993). Al Hurriyat al ‘Ammah fi al Dawlah al Islamiyah. Beirut: Arab Unity Studies Center.
Al Ghannoushi, Rashid. (1982). “The Participation of Islamists in a Non-Islamic Government”, John J. Donohue and John L. Esposito, Islam in Transition: Muslim Perspectives, Oxford: Oxford University Press.
Al Qaradawi, Yusuf. (2009). Al Din wa al Siyasah: Taashilun wa Raddu Syubuhat (Terjemahan). Kuala Lumpur: Alam Raya Entreprise.
_____________ (1996). Min Fiqh al Daulah. Kaherah: Dar al Syuruq.
Bayat, Asef. (2010). Islam and Democracy: What is the Real Question? Amsterdam: Amsterdam University Press.
Bobby Gosh (2012). The World’s 100 The Most Infuential People: 2012. Akses: http://www.time.com/time/specials/packages/article/0,28804,2111975_2111976_2112133,00.html
Fazlur, Rahman. (1975). The Philosophy of Mulla Sadra. New York: SUNY Press.
Hasan, Z. (2013). Yusuf al-Qaradawi: His Thought and Contribution, Global Journal Al-Thaqafah, 3 (1), 51-65.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Al Islam Wa al Dimuqratiyyah. Kaherah: Al Ahram.
John L. Esposito dan John Obert Voll. (1996). Islam and Democracy. Oxford: Oxford University Press.
_____________ (2001). Makers of Contemporary Islam. Oxford: Oxford University Press.
John L. Esposito dan Ibrahim Kalin. (2009). The 500 Most Influential Muslim in the World. Washington: Georgetown University.
Micheal Robbins. (2011). Tunisians Voted For Jobs not for Islam. Foreign Policy.
Mohd Mansoor Alam, Z. M. Khan, A.R. Momin, Mansoor Ahmad, Shaukat Ullah Khan and Z.A. Nizami. (2005). 100 Great Muslim Leaders of the 20th Century. New Delhi: Institute of Objective Studies.
Nadia al Turki. (2011, 29 November). A Talk with the Ennahda Movement’s Rachid Ghannouchi. Akses: http://asharq-e.com/news.asp?section=3&id=27849
Stefano Maria Torelli. (2012). The “AKP Model” and Tunisia’s al-Nahda: From Convergence to Competition? Insight Turkey, 14 (3): 65-83.
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Al Ghannoushi: A Democrat Within Islamism. Oxford: Oxford University Press.
Today’s Zaman. (2011, September 23). Al Ghannoushi: State Does Not Have Right To Monopolize Islam, Today’s Zaman.
Waqas Ahmad. (2013). Harmonising Islam and Democracy. First Forum for Decision Makers. London: First Magazine Ltd.
Yasmine Ryan. (2012). Ghannouchi Says Political Islam on Track. Akses: http://www.aljazeera.com/indepth/features/2012/09/2012913653599865.html?utm_content=features&utm_campaign=features&utm_source=twitter&utm_term=rss&utm_medium=tweet

One thought on “KONSEP DAULAH MADANIYAH (NEGARA SIVIL) MENURUT RASHID AL GHANNOUSHI

  1. Rahmat says:

    penjelasannya sangat lengkap pak,
    membantu saya belajar dan bisa lebih mengerti tentang hal itu, terimakasih…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s