Quest for Meaning in the Soil of the Rising Sun: PART I

KEMBARA ILMU DI BUMI NIPPON: BAHAGIAN I

Zulkifli Hasan

PENDAHULUAN

Rihlah ilmiah kali ini memilih bumi Nippon sebagai destinasi. Kali terakhir misi kembara ilmu tahun ini ialah England, Mesir dan Gaza beberapa bulan lalu. Penulis akan memastikan setiap permusafiran itu adalah bermakna dan bermanfaat. Sesuai dengan ajaran al Quran dan al Sunnah untuk meneroka bumi Allah ini dengan tujuan ilmu dan meningkatkan iman dan amal. Kesempatan yang diberikan Allah ini pastinya akan dimanfaatkan untuk diri sendiri dan berazam untuk dikongsikan dengan semua. Pengalaman permusafiran sepanjang kembara ilmu penulis di seluruh dunia telah memberikan begitu banyak pengajaran sama ada dari aspek ilmu, budaya, tamadun, emosi, gaya hidup, tabiat dan sebagainya yang sangat berharga.

Setelah penat dengan persiapan lawatan penilaian Legal Profession Qualifying Board (LPQB) yang begitu mencabar bermula 17 sehingga 20 november 2013, kembara ilmu ke Jepun kali ini agak memenatkan. Dengan kurang tidur, persiapan mental dan fizikal penilaian LPQB ini sedikit sebanyak mengganggu persiapan kembara ilmu. Sudah beberapa bulan tidak punya hujung minggu untuk bersama sepenuh hari dengan keluarga. Penuh dengan program sama ada di universiti mahupun ABIM Negeri Sembilan, ABIM Pusat mahupun program dengan komuniti. Bagi seorang pendakwah yang masih mentah ini, rehat pastinya yang merujuk pada rehat yang azali iaiatu rehat setelah kematian. Moga ditetapkan hati dan iman untuk istiqamah di jalan agamamu ya Allah.

1450169_607511736004074_690119375_n
Mewakili Fakulti Syariah dan Undang-undang Semasa Lawatan Penilaian LPQB

Rihlah ilmiah di Jepun ini merupakan program antarabangsa ‘Young Muslim Intellectuals In South East Asia” anjuran Japan Foundation. Alhamdulillah, setelah melalui proses tapisan, penulis di pilih sebagai salah seorang peserta program intelektual ini. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak Japan Foundation yang merupakan antara agensi di bawah Kementerian Luar Negeri Jepun. Objektif program ini adalah untuk mendedahkan komuniti di Jepun dengan budaya dan agama Islam khususnya umat Islam di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama, program ini juga bermotifkan perkongsian budaya antara Jepun dan negara Asia Tenggara. Program ini melibatkan perbincangan mengenai pendekatan program-program dengan komuniti Islam di Jepun juga warga Muslim bukan bangsa Jepun. Disamping itu juga, program ini memberi percambahan idea dan ‘input’ ke arah hubungan Muslim dan Non Muslim di Jepun. Penasihat program ini ialah Dr. Ken Miichi, Associate Professor di Iwate Prefecturial University.

Penulis ingin memaklumkan bahawa nukilan ini adalah catatan ikhlas penulis di sepanjang permusafiran di bumi Nippon ini. Kesemua catatan adalah berdasarkan pembacaan, pengalaman, pemerhatian dan pengumpulan maklumat disepanjang kembara ilmu ini. Dengan ketiadaan bahan rujukan, masa yang terhad, jadual yang padat, pastinya nukilan ini akan banyak kekurangan. Penulis menggunakan peluang semasa dalam keretapi, kapal terbang, hotel, sewaktu menunggu bas dan sebagainya untuk menyiapkan catatan ini. Catatan ini tidak bermaksud untuk dijadikan sebagai rujukan utama pemerhatian terhadap kehidupan di Jepun tetapi sekadar pemerhatian ikhlas penulis sepanjang permusafiran yang begitu bermakna disusun atur oleh Japan Foundation. Moga nukilan ini memberikan sedikit manfaat kepada pembaca dengan serba kekurangan dan kelemahan.

PERSIAPAN KE JEPUN

Seperti sebelum ini, persiapan yang paling penting untuk setiap permusafiran adalah persiapan ilmu. Hanya dengan ilmu yang mantap, maka setiap permusafiran itu akan lebih bermakna. Jika ada kata kata hikmah tuntutlah Islam walaupun ke Negara Cina. Ini juga pastinya meliputi mana-mana Negara, tidak kira di negara majoriti Muslim mahupun minoriti Muslim. Bahkan sepanjang pengembaraan penulis, begitu banyak ilmu yang dipelajari dan pengajaran yang diteladani di negara maju majoriti bukan islam berbanding negara majoriti islam.

Persiapan ilmu ke Jepun dilakukan dengan membaca makalah, artikel dan buku-buku mengenai Jepun dan dunia islam. Penulis juga telah menghubungi rakan bangsa Jepun untuk mendapatkan bahan bacaan mengenai dasar Jepun dengan dunia Islam dan umat islam di Jepun. Bukan itu sahaja, sudah tentu karya pemikir hebat sarjana Jepun Toshihiko Isutzu yang terkenal dengan magnum opusnya God and Man in the Quran and Ethico-Religious Concept in the Quran di rujuk. Bahan rujukan ini membuatkan penulis merasa sangat kerdil dengan ilmu yang ada berbanding dengan sarjana hebat Isutzu ini. Bahan ilmiah mengenai Jepun juga membuktikan bahawa hubungan diplomasi Jepun dan dunia Islam telah wjud sejak ratusan tahun yang lalu dalam pelbagai bidang dan sektor.

Dari segi persiapan keluarga, penulis kali ini mengambil keputusan setelah mengadakan syura dengan zaujah untuk menghantar anak anak ke kampung untuk mendapat latihan dan pemantauan khas atuk dan nenek bacaan al Quran dan hafazan. Bertalaqqi dengan nenek dan belajar kehidupan orang kampung merupakan salah satu perkara yang perlu diberi tunjuk ajar kepada anak-anak. Moga-moga mereka faham asal usul ibu dan ayah dan tidak lupa dengan susah senang kehidupan pada waktu dahulu. Sebelum meninggalkan anak-anak, enam pesanan telah dtinggalkan dan mereka perlu tunaikan sebelum kepulangan penulis. Berdoa kepada Allah, agar anak-anakku ini akan membesar menjadi anak soleh dan berbakti pada agama dan umat.

MENJEJAKKAN KAKI DI TOKYO

Selesai urusan LPQB di Universiti, penulis terus ke lapangan terbang dengan bantuan tuan Syed najib rakan pensyarah yang tinggal berdekatan dengan Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Perjalanan penulis kali ini adalah sangat menerujakan. Program yang padat dengan majlis ilmu dan pendedahan budaya di Jepun menambahkan lagi rasa ingin tahu. Penerbangan ke Jepun hanya mengambil masa tujuh jam. Ini merupakan kali pertama penulis menggunakan perkhidmatan Japan airlines. Sedikit teruja untuk melihat pengurusan Japan Airlines dan setakat manakah keberkesanan dan kehebatan pengurusannya.

Penerbangan penulis dijadualkan pada jam 2250 malam. Seperti dijangka, perkhidmatan Japan Airlines adalah menepati masa. Masa dan susunan pengurusan adalah begitu teratur. Penulis berlepas ke Tokyo tepat jam 2250 malam seperti yang dijadualkan. Bermulanya permusafiran ke bumi matahari terbit dengan misi rihlah ilmiah meningkatkan ilmu dan amal.

Setelah melalui tujuh jam perjalanan, penulis tepat sampai jam 6.28 di lapangan terbang Narita, Tokyo. Ini merupakan kali kedua menjejakkan kaki di bumi Nippon setelah menghadiri Konferen di Kyoto pada 2010 yang lalu. Dengan hasrat untuk memaksimakan program ini dengan budaya ilmu, penulis akan memastikan setiap perbincangan ini dikongsikan dengan orang lain terutamanya anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan pelajar-pelajar.

Penulis terus ke Bahagian Imegresen untuk cop passport. Penulis berjumpa dengan orang Malaysia, ustaz Abdul Razak, pensyarah Kolej Islam Antarabangsa dan Encik Fauzi, pegawai Pos Malaysia. Alhamdulillah, proses perjalanan berjalan begitu lancar. Jika dulu, kalau ingin ke Jepun, rakyat malaysia perlu visa, kini tidak perlu lagi. Passport baru yang dikeluarkan membolehkan rakyat Malaysia untuk melawat Jepun tanpa visa. Teringat semasa ke Jepun pada 2010 yang lalu apabila terpaksa ke kedutaaan Jepun di Edinburgh Scotland semata mata untuk membuat visa selama 14 hari.

P1170609
Shinjuku, Tokyo, Hotel Penginapan.

Setibanya di pintu keluar lapangan terbang, penulis di sambut dengan penuh mesra oleh Mr Sato. Mr Sato telah menguruskan bas ke Shinjuku tempat penginapan. Segalanya telah diuruskan dengan baik dan penulis telah menaiki bas tepat jam 8. Hebat sungguh bangsa Jepun ini menepati waktu. Walau tiada hadis tiada ayat al Quran dibaca setiap kali majlis dan program mereka sangat menepati masa. Penulis telah tiba di Washington Shinjuku Hotel pada pukul 9.20 pagi. Penulis terus ke lobi hotel untuk daftar masuk. Dua orang peawai dari Japan Foundation telah menunggu dan menguruskan penginapan. Kedua-dua pegawai ini tidak mampu berbahasa Inggeris dan terpaksa memerlukan penterjemah. Mrs Aki, seorang perempuan berumur merupakan penterjemah kepada perbualan dan komunikasi kami.

Kemampuan berbahasa Inggeris warga Jepun secara umumnya adalah minimal. Ini antara keunikan bangsa Jepun. Mereka sangat maju dengan teknologi dan pengetahuan melalui pengangkatan martabat bahasanya sebagai bahasa ilmu. Antara kelebihan apabila sesuatu negara itu mengangkat martabat bahasa ibundanya ialah perkembangan ilmu pengetahuan itu dapat dirasai dan sampai kepada segenap lapisan masyarakat. Berbanding sekiranya menggunakan bahasa asing sebagai bahasa utama, maka informasi dan ilmu pengetahuan itu hanya dapat di akses oleh segolongan yang menguasai bahasa asing tersebut. Inilah yang berlaku di Negara yang menjunjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara seperti di Filipina di mana standard bahasa Inggeris adalah tinggi tetapi mereka hanya sekadar pengeksport tenaga tidak mahir ke seantero dunia dan keadaan ekonomi serta tahap pendidikan yang tidak seimbang.

P1170663
Terjemahan Novel Laskar Pelangi ke Bahasa Jepun

Oleh kerana masih terlalu awal untuk daftar masuk, maka penulis bersiar-siar sambil mencari tempat untuk makan tengahari. Penulis dan Ustaz Abdul Razak makan tengahari di Gandhi Restoran milik seorang India Muslim di Tokyo. Alhamdulillah, restoran ini menyediakan makanan halal walaupun masih menjual minuman keras kepada pelanggannya. Ini mengingatkan penulis ketika beradadi United Kingdom. Terdapat banyak restoran menyediakan makanan halal tetapi masih juga menghidangkan minuman keras kepada pelanggan. Hanya sedikit sahaja yang benar benar menepati kehendak Shariah. Ini merupakan ujian keimanan dan juga ujian kehidupan. Harga untuk sekeping nan, kari, nasi, salad dan lassi adalah JPY1000 iaitu kira-kira RM33.

SESI TAARUF

Semua peserta dikehendaki berada tepat jam 1420. Semuanya disusun dengan begitu kemas dan teliti. Sesi taaruf dikendalikan oleh Mr Noboru graduan Universiti Tokyo dan Mrs Satomi graduan Universiti Waseda. Kedua-dua mereka adalah pegawai Japan Foundation. Semua peserta memperkenalkan diri masing masing dan ceruk penyelidikan mereka. Peserta yang dipilih melalui proses tapisan beberapa kali dan ini dapat dilihat melalui latarbelakang pencapaian mereka yang cemerlang. Kebanyakannya, semua peserta adalah yang aktif dengan kerja kemasyarakatan dan aktivis kemanusiaan.

TOKYO METROPOLITAN OFFICE

Setelah sesi taaruf kami terus di bawa ke Tokyo Metropolitan Office untuk melihat pemandangan seluruh Tokyo. Tokyo Metropolitan Office merupakan antara mercu tanda Tokyo dan antara bangunan tertinggi di Tokyo. Kami menikmati pemandangan dari Tokyo Metropolitan Office ini yang begitu menakjubkan. Berkebetulan matahari terbenam di sebalik gunung Fuji yang sangat indah. Kelihatan salji melitupi gunung Fuji disamping pancaran cahaya jingga mewarnai pemandangan yang begitu cantik. Subhanallah. Dimaklumkan oleh Mr Noboru dan Mr Satomi, mereka pun tidak pernah menyaksikan pemandangan sebegini sebelum ini.

P1170623
Pemandangan Tokyo dan Gunung Fuji Ketika Matahari Terbenam

Penulis mengambil kesempatan untuk merakamkan pemandangan seluruh Tokyo dari bangunan Tokyo Metropolitan Office ini. Pemandangan yang begitu indah ini betul-betul menyentap hati kecil penulis, Betapa kerdilnya manusia itu sebagai hamba Allah. Dengan puluhan juta warga Tokyo yang masih tidak beriman kepad Allah, jelas Allah maha pemurah itu dibuktikan di bumi matahari terbit ini. Allah mengurniakan bumi Jepun ini dengan keindahan muka bumi dan keamanan walaupun masih sedikit yang beriman dan mentauhidkanNnya. Maha Suci Allah.

1462999_10201861056119409_725994436_n
Bersama Mr Noboru, Japan Foundation di Tokyo Metropolitan Office antara bangunan pencakar langit tertinggi di Jepun

ISLAM TANPA UMAT

Menyaksikan pemandangan seluruh Tokyo dengan bangunan pencakar langit yang memenuhi ruang Tokyo diselangi dengan warna-warni pokok pokok di taman-taman mengajar penulis betapa pentingnya kepada ilmu pengurusan dan disiplin tahap tinggi. Dengan saiz kecil Tokyo yang menempatkan puluhan juta penduduk sebagai antara bandar terpadat dunia, tetapi lalu lintas msih terkawal, sistem perkhidmatan awam yang sangat efisyen, kebersihan yang mengagumkan, adab pemandu di jalanraya dan sebagainya menunjukkan nilai dan norma positif ini dimiliki dan berjaya dihayati oleh warga Jepun.

Bayangkan dengn puluhan juta penduduk, lalu lintas adalah sangat lancar dan tiada kesesakan jalanraya. Ini mengingatkan penulis sepanjang pengembaraan ilmu di dunia Islam. Di Dubai, di Kaherah, di Jakarta di Kuala Lumpur, di Mekah dan banyak lagi, kesesakan lalu lintas ini adalah antara keunikan dunia islam dek kerana kegagalan untuk mengurus sumber dengan efiyen. Di Tokyo, keberkesanan dan ketepatan perkhidmatan kenderaan awam adalah tidak dapat dinafikan. Penulis dimaklumkan oleh Mrs Satomi bahawa warga jepun akan sama sekali tidak berpuas hati sekiranya perkhidmatan kenderaan awam tidak menepati masa. Kenderaan awam terutama keretapi adalah perkhidmatan paling ‘accurate’ dan tepat. Semua perjalanan boleh diatur dengan mudah dan tepat pada masanya. Inilah antara faktor kejayaaan kecemerlangan ketamadunan yang ada di Jepun tetapi tiada di Negara Islam.

P1170611
Lalu Lintas Tokyo Masih Terkawal Walaupun Waktu Tamat Bekerja

Begitu juga dengan tahap kebersihan di Jepun yang sangat mengagumkan. Warga Jepun yang tidak diajar dengan ayat al Quran dan hadis Nabi tentang kebersihan ini pula yang begitu menyanjungi amalan kebersihan. Semua tandas awam yang sempat disinggahi adalah sangat bersih dan semua kawasan adalah sangat bersih. Bahkan warga Jepun juga adalah kemas dan berdisiplin. Umat Islam yang diajar dengan kebersihan sebahagian daripada iman itu terus terusan mengabaikan kebersihan. Sampah sarap di buang merata sesuka hati, tiada sistem pelupusan sampah yang baik, sikap sambil lewa menjaga kebersihan boleh dikatakan sudah menjadi sebati pada sesetengah umat Islam. Lihat saja kekotoran bandar Kaherah. Dengan institusi al Azhar yang berusia ribuan tahun itu, bandar Kaherah dalah antara bandar terkotor yang penulis pernah saksikan sepanjang pengembaraan ilmu di seluruh dunia sebelum ini. Teringat ketika melawat makam dan rumah Imam Syafii di Kaherah. Ya Allah, sampah sarap di setiap sudut kawasan mengiringi ziarah penulis ke makam Imam Syafii. Begitu sedih dan sebak melihat Imam Syafii diperlakukan sebegini. Adakah begini caranya umat Islam menghargai jasa dan sumbangan ulama besar sebegini.

P1170624
Suasana Malam di Shinjuku.

Sepanjang pengalaman penulis bermusafir, bangsa Jepun adalah antara bangsa yang paling beradab dan berbudaya. Budaya menghormati dan meraikan tetamu sudah sebati dengan mereka. Layanan yang diberikan sepanjang berada di Jepun untuk kedua-dua kali pada 2010 dan 2013 membuktikan perkara ini. Mereka melayani penulis dan peserta program dengan baik dan ramah. Semua perkara telah dipersiap dan disediakan. Mereka sentiasa tersenyum dan menghormati antara satu sama lain. Hormat antara orang tua dan golongan muda juga dapat dilihat melalui interaksi mereka di mana-mana. Mungkin penulis silap dalam hal ini kerana masa yang sangat singkat berada di Jepun. Namun, inilah yang disaksikan sepanjang permusafiran di Jepun. Adab merupakan ciri ketamadunan. Adab dan akhlak adalah ‘hallmark’ sebagai seorang manusia. Bahkan ia adalah ciri utama sebagai seorang muslim.

Hari ini, adab dan akhlak semakin terhakis dikalangan umat Islam. Orang Islam bercakaran sesama sendiri. Hatta ulama pun bertelingkah sesama mereka. Apatah lagi masyarakat. Sikap hormat menghormati juga sudah mula pudar dan tidak lagi mencerminkan ciri dan akhlak umat Islam. Umat Islam sering dikaitkan dengan segala macam masalah dan pertelingkahan. Pengalaman di Dubai, di Saudi Arabia juga di Eropah membuktikan umat Islam punya masalah. Inilah yang penulis namakan fenomena penyaki ‘HATI’. Umat Islam kini sedang sakit, bukan sakit fizikal tetapi sakit bersangkutan dengan hati yang seterusnya menterjemahkan aspek negatif dalam diri. Berbanding di Jepun, walaupun umumnya mereka tiada agama tetapi budaya, akhlak dan disiplin mereka mencerminkan nilai-nilai Islam itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan oleh penulis dengan ‘Islam Tanpa Umat’.

SESI TINJAUAN

Penulis tidak terus kembali ke hotel penginapan tetapi dibawa oleh Mr Noboru ke kawasan perniagaan di sekitar Shinjuku. Penulis cuba meninjau kos hidup warga Tokyo melalui harga barang di kedai-kedai dan di kompleks beli belah ini. Secara umumnya, harga barang di Jepun adalah agak mahal. Walaupun berkeinginan untuk membeli beberapa alat elektronik tetapi memandangkan harganya hampir sama di Malaysia, penulis membatalkan hasrat tersebut. Iphone 5s sahaja berharga JPY40000 dan harga barangan lain juga agak mahal. Mungkin juga penulis silap kerana hanya sempat meninjau harga di kawasan sekitar Shinjuku sahaja.

Setelah makan malam, penulis sekali lagi meneruskan sesi tinjauan di sekitar kawasan perniagaan di Tokyo. Hanya sekadar melihat perangai manusia, sambil menikmati suasana malam yang sejuk di Tokyo. Sempat singgah di Shinjuku Station untuk melihat betapa efisyennya sistem kenderaan awam Tokyo. Penulis juga meninjau beberapa kedai antaranya kedai sukan yang semestinya menjadi antara tempat kesukaan. Bercadang untuk membeli jersi pasukan bolasepak Jepun, tetapi memandangkan harganya yang terlalu mahal, terpaksa membatalkan hasrat ini. Setelah penat berjalan, penulis terus pulang ke hotel untuk berehat dan buat persiapan untuk program esok.

P1170632
Shinjuku Station. Lebih 3.5 juta warga Tokyo menggunakan stesyen ini.

‘RELIGION OF JAPAN’

Hari kedua dimulakan dengan sesi syarahan oleh Dr Ken Miichi, Associate Professor Faculty of Policy Studies, Iwate Prefecturial University mengenai ‘Religion of Japan’. Penulis begitu teruja menikmati informasi mengenai agama dan amalan rakyat Jepun yang diakui masih baru kepada penulis. Secara umumnya, rakyat Jepun tidak beragama dan mereka tidak endahkan agama. Sesuatu yang asing sekiranya sesiapa berbicara mengenai agama. Beliau menyatakan bahawa tiada silibus agama dalam pendidikan, hinggakan beliau memberitahu ada kalangan warga Jepun yang ‘allergy’ dengan agama.

P1170643
Bersama Dr. Ken Miichi yang Fasih Berbahasa Indonesia

Penulis juga kali pertama mendengar penjelasan mengenai agama Shinto oleh Dr. Ken Miichi yang pada mitosnya diasaskan oleh pencipta bumi Jepun iaitu Izanagi dan Izanami. Izanagi dan Izanami adalah dewa yang mencipta kepulauan Jepun. Kepercayaan kuni Jepun mempercayai bahawa Maharaja Jepun adalah berasal dari keturunan Izanaga dan Izanamiini. Shinto kemudiannya dijadikan agama rasmi semasa zaman Meiji.

Apa yang menarik mengenai warga Jepun dan agama ialah walaupun mereka secara umumnya menolak agama tetapi mereka akan merujuk kembali agama pada waktu tertentu. Itulah yang penulis namakan fenomena ‘pluralisme agama’ dalam keadaan ‘unconscious’ dikalangan warga Jepun, di mana bangsa Jepun kebanyakannya lahir sebagai Shinto, berkahwin sebagai Kristian dan mati sebagai Buddhist. Ketika diajukan soalan mengapa berlaku sebegini kepada Dr. Ken Miichi. Beliau secara peribadi berpandangan bahawa warga Jepun melihat upacara perkahwinan Kristian adalah sesuatu yang prestij dan unik manakala upacara kematian Budha adalah lebih besar dan terhormat. Oleh itu, mereka memilih untuk dikebumikan mengikut upacara Budha dan berkahwin dengan tradisi Kristian. Bagi Dr Ken Miichi, keluarga beliau adalah Kristian, beliau berkahwin dengan tidak mengikut tradisi Kristian kerana beliau menganggap itu adalah ‘fake’ tetapi menyatakan bahawa sekiranya beliau meninggal dunia, pengebumian perlu dijalankan mengikut upacara Budha.

Lebih menarik ialah perkembangan agama di Jepun. Pada satu ketika di zaman Meiji, kerajaan Meiji melaksanakan polisi anti Budha kerana dianggap mempunyai agenda asing. Setelah Perang Dunia Kedua, Jepun telah melaksanakan polisi ‘democratisation’ dan ‘secularisation’ di mana agama bebas untuk dianuti oleh rakyat Jepun. Dengan itu, agama lain dan institusi agama berkembang di Jepun seperti Sokka Gakai yang penganutnya melebihi 10 juta dan juga Rishokosekai yang kedua-duanya cabang sekolah agama Budha.

Kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 2004 dan 2011 menjadi lembaran baru kepada perlunya agama. Gerakan kemanusiaan berlandaskan agama telah banyak membantu mangsa bencana alam dan ini juga menjadi antara pencetus kepada keperluan beragama di Jepun. Namun, menurut Dr Ken Miichi, beliau tidak lihat dalam masa yang dekat akan ada banyak perubahan dalam lanskap beragama rakyat Jepun. Mereka selesa dengan kehidupan yang berlandaskan budaya dan etika yang ditanam sejak berzaman tanpa terikat dengan mana-mana agama.

Kini Islam berkembang mekar di Jepun. Walaupun umumnya, penduduk Muslim sekitar 100 000 di mana sebahagian besarnya adalah imigran dan bukan warganegara Jepun. Hanyak sekitar 10000 warga Jepun Muslim. Menarik untuk dilihat bahawa fakta ini menjelaskan betapa tinggi potensi dakwah di negara Jepun yang boleh dilakukan. Lebih lebih lagi di Jepun tiada halangan dari sudut undang-undang untuk menghalang mana-mana pihak untuk berdakwah.

HUBUNGAN JEPUN DAN DUNIA ISLAM

Setelah mendengar syarahan Dr Ken Miichi, penulis terus di bawa ke Sophia University of Tokyo yang terletak di Yotsuya. Sophia University adalah universiti swasta dimiliki oleh badan Kristian Katolik. Penulis dibawa bertemu dengan Professor Kawashima Midori, Department of Asian Cultures, Faculty of Foreign Studies, Sophia University. Professor Midori pakar dalam bidang budaya dan agama. Beliau pernah menjalankan penyelidikan di Indonesia dan Mindanao mengenai kehidupan masayarakat Islam di kedua-dua negara. Sesi perbincangan dengan Profesor Midori dibuat diperpustakaan Sophia University bahagian koleksi ‘Asian Cultures’. Di perpustakaan ini juga terdapat koleksi buku bahasa Melayu sebagai sebahagian koleksi di bahagian Budaya Asia ini.

P1170661
Antara koleksi buku Bahasa Melayu dari Malaysia

Pembentangan Profesor Midori adalah sangat menarik. Beliau menceritakan bagaimana bermulanya hubungan Jepun dan dunia Islam diselangi dengan gambar-gambar bersejarah beberapa pertemuan pimpinan dunia Islam dan pimpinan Jepun. Umumnya, hubungan ini bermula apabila kapal empayar Ottoman dikenali ‘Ertugrul’ yang dipukul ribut terpaksa berlabuh di pantai Jepun. Kira kira 500 anak kapal berada di dalam kapal tersebut dan 16 anak kapal telah diselamatkan oleh penduduk tempatan. Ini berlaku sekitar tahun 1890. Melalui peristiwa inilah bermulanya hubungan Jepun dan kerajaan Uthmaniah. Islam juga datang ke Jepun melalui imigran dari bangsa Turki, Tartar, dan India muslim. Profesor Midori walaubagaimanapun berpandangan bahawa hubungan Jepun dan dunia Islam lebih awal dari itu di mana terdapat pedagang Jepun yang terlebih awal ada hubungan perniagaan dengan beberapa dunia Islam.

P1170650
Ilustrasi Gambar Kapal ‘Eutugrul’ Milik Kerajaan Ottoman

P1170653
Gambar Delegasi Dunia Islam termasuk Malaya dengan Kerajaan Jepun di Tokyo

Lebih menarik mendengar ulasan Professor Midori ialah bagaimana Jepun menggunakan agama Islam sebagai mekanisma untuk meluaskan empayar penguasaannya di sekitar 1930an dan 1940an. Bahkan pihak tentera juga menghantar pelajar Jepun untuk melanjutkan pengajian di dunia Islam. Ini bertepatan dengan apa yang berlaku di Malaysia. Di awal gerakan penentangan Inggeris, Ahmad Boestamam dan beberapa tokoh kemerdekaan negara juga ada yang terpesona dengan gerakan ‘Asia Raya’ yang dianjurkan oleh imperialis Jepun. Melalui slogan inilah jepun mendapat sokongan beberapa pihak di Asia bagi meneruskan peluasan empayarnya.

Setelah perang dunia kedua, Jepun telah melaksanakan proses pembukaan semula hubungan dagang dengan dunia Islam. Ini juga melibatkan polisi berterusan kerajaan Jepun yang meningkatkan hubungan perniagaan dengan dunia Islam. Gerakan dan inisiatif untuk mengetahui budaya dan sosio ekonomi dunia Islam juga semakin berkembang. Ini adalah berdasarkan faktor ekonomi dan sumber minyak yang dimiliki oleh dunia Islam. Dunia Islam juga dilihat sebagai antara pasaran yang sangat dinamik untuk produk Jepun.

Apa yang menarik, kerajaan Jepun juga kini sangat aktif dan serius menyelidiki dunia Islam. Penerbitan dan penyelidikan yang semakin meningkat termasuk kehadiran Muslim dan generasi Muslim baru warganegara Jepun juga antara harapan baru Islam di Jepun pada masa depan. Kerajaan Jepun juga menumpukan sektor pelancongan untuk Muslim termasuk meningkatkan industri halal. Professor Midori membuat rumusan pembentangan dengan menyatakan bahawa hubungan Jepun dan dunia Islam ini mestilah didasari dengan ilmu pengetahuan dan ‘interaction’ dengan masyarakat Muslim secara harmoni.

P1170660
Bersama Professor Midori. Perkara yang paling ingin dikongsikan ialah pengakuan ikhlas beliau yang pada asasnya tiada agama tetapi semasa kejadian gempa bumi dan tsunami pada 2011 perkataan pertama diucapkan dan paling berlegar di fikiran ialah “Allahuakbar”.

Pembentangan Profesor Midori diikuti perbincangan dengan Profesor Masatoshi Kisaichi, Institute of Asian Cultures, Sophia University dan beberapa pelajar Phd di university ini. Perbincangan berlegar di sekitar budaya, tamadun, sosio-ekonomi dunia Islam. Profesor Kisaichi yang fasih berbahasa Arab ini menyatakan bahawa beliau lebih selesa berada di negara Muslim di Asia Tenggara berbanding berada di negara Arab. Beliau merasakan kehadirannya lebih diraikan dan diterima di Negara Muslim Asia Tenggara. Begitu juga dengan budaya yang sangat berbeza dengan Muslim di Timur Tengah dan di Asia Tenggara.

P1170667
Sesi Dialog di Sophia University

Penulis mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman Malaysia berkenaan dengan pendekatan Islam yang dibawa seperti Manhaj Malizi, Islam Hadhari, Negara Madani, Wasatiyah dan beberapa pendekatan yang lain. Profesor Midori dan Profesor Kisaichi serta pelajar Phd yang hadir menyatakan sangat tertarik untuk mengetahui lebih lanjut perkara ini. Perbincangan dengan lebih mendalam diteruskan yang berlangsung lebih sejam. Pelbagai idea dan pertukaran pandangan yang bermanfaat serta perkongsian pengalaman menjadikan sesi dialog ini lebih hidup dan menarik.

Setelah perbincangan selesai kami bergegas terus ke Shinjuku untuk sesi makan malam dengan Mr. Tomonori Hayase, Pengarah Asia dan Oceania, Japanese Studies and Intellectual Exchange Department, Japan Foundation. Kami dihidangkan dengan set makanan barat kesemuanya berasaskan ikan. Pertemuan dengan Mr Hayase membuka peluang untuk beberapa kerjasama termasuk potensi geran penyelidikan. Sesi makan malam ini tamat pukul 9.30 malam. Penulis pulang ke bilik dengan perasaan puas hati kerana imu dan pengalaman yang dapat diperolehi hari ini. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang untuk mendapat ilmu dan pengalaman sebegni yang sangat bermakna.

P1170670
Antara menu makan malam

BERSAMBUNG………

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s