Quest for Meaning in the Soil of the Rising Sun: Part II

Kembara Ilmu di Bumi Nippon: Bahagian II

UNIVERSITI WASEDA

Sesi hari ini ialah menghadiri perbincangan mengenai Muslim Minoriti dan program perkhidmatan pelajar Muslim di Waseda Universiti dan universiti-universiti di Jepun. Penulis menaiki keretapi ke Waseda Universiti dari Shinjuku yang mengambil masa lebih kurang 30 minit. Universiti Waseda adalah unik. Ia ditubuhkan pada 1882 yang dulu dikenali sebagai Tokyo Senmo Gakko. Waseda Universiti mengingatkan penulis pada Profesor Ungku Aziz yang menuntut di universiti ini. Profesor Di Raja Ungku Aziz merupakan insan yang menjadi pencetus idea penubuhan Tabung Haji dan Koperasi ANGKASA. Dengan idea beliaulah, kini jemaah haji Malaysia menikmati pelbagai kelebihan malahan Tabung Haji muncul sebagai institusi kelas dunia dalam aspek pelaburan di pelbagai sektor.

P1170702
Bas Universiti Waseda

Dr Sai Yukari membentangkan program perkhidmatan kepada pelajar minoriti Muslim di Waseda Universiti dan universiti-universiti di Jepun. Secara umumnya, universiti swasta sangat pro-aktif dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelajar Muslim manakala di universiti awam, perlaksanaan adalah masih minimal. Kemungkinan antara faktor ini ialah universiti swasta ingin menarik pelajar luar negara terutama dari negara majoriti Muslim kerana waktu ini pendidikan merupakan antara industri yang menawarkan pulangan lumayan.

P1170691
Sesi Dialog di Waseda University

Pembentangan Dr Sai kemudiannya disambung oleh wakil ‘Board Committee’ Waseda University International Culture Association (WUICA), saudara Rizal Rusli, pelajar Phd Aero Space Engineering berasal dari Malaysia. Inisiatif program mesra perkhidmatan kepada Muslim ini merupakan program Top Down dan Bottom Up inisiatif bersama pelajar dan pengurusan university. Merasa bangga kerana anak muda pelajar Malaysia ini yang fasih berbahasa Jepun menjadi pimpinan pelajar di Universiti Waseda. Antara aktiviti yang dijalankan oleh WUICA ini ialah menyediakan standard halal kepada cafe, kemudahan solat, iftar, pertemuan setiap hari Rabu pelajar muslim dan networking dengan Muslim Student Association of Japan.

P1170693
Bersama saudara Rizal Rusli, pelajar Phd Malaysia yang juga Pimpinan Pelajar Universiti Waseda

Di Jepun, tempat rujukan bagi hal ehwal Muslim adalah Islamic Centre of Japan. Di sini aktiviti dan urusan hal ehwal orang Islam diuruskan seperti perkahwinan, haji dan sebagainya. Terdapat dua syarikat utama menawarkan perkhidmatan haji dari Jepun. Dimaklumkan oleh pelajar-pelajar Muslim Waseda Universiti bahawa perkembangan terhadap kesedaran beragama di Jepun semakim meningkat walaupun pada umumnya masih sangat minimal. Ada yang memaklumkan bahawa ketika kali pertama mengiklankan makanan halal di cafe, ada warga Jepun yang menyangka bahawa ia merupakan upacara ‘sacrifice’ atau korban yang melibatkan aktiviti ritual.

Ingin dikongsikan sedikit keunikan Muslim generasi baru di Jepun. Kami diperkenalkan dengan Abdullah dan Saliha pelajar siswazah Universiti Waseda warganegara Jepun bapa Pakistan dan ibu berbangsa Jepun. Mereka mempunyai iras Pakistan dan Jepun. Penulis terus mendekati pelajar ini dan berbicara dengan mereka tentang kehidupan sebagai Muslim di Jepun. Penulis mengmbil kesempatan untuk makan tengahari di cafe Waseda Universiti. Mereka berkongsi bahawa Islam di Jepun antara agama yang paling cepat berkembang. Jika dulu kurang perkhidmatan untuk orang Islam seperti makanan halal, tempat ibadah, program dakwah. Kini sudah banyak inisiatif yang dijalankan. Secara ikhlasnya, mereka mengakui bahawa mereka tidak merasakan mereka benar-benar bangsa Jepun malahan mengakui bahawa ada beberapa permasalahan sebagai Muslim di Jepun terutamanya melibatkan pekerjaan. Oleh kerana kesedaran yang masih rendah, maka permasalahan dari segi budaya, hal ehwal ibadah masih boleh menjadi isu.

P1170690
Abdullah dan Saliha, generasi baru Muslim di Jepun, bapa keturunan Pakistan dan ibu berbangsa Jepun.

TOKYO CAMII GRAND MOSQUE OF TOKYO

Setelah selesai program di waseda universiti, penulis terus bergegas ke Shinjuku Station untuk ke Yoyoshi Uehara di mana terletaknya Tokyo Camii atau Grand Mosque of Tokyo. Masjid ini merupakan antara masjid terbesar dan tercantik di Jepun sumbangan kerajaan Turki. Pengurusan masjid juga dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki. Turki merupakan negara dunia Islam pertama yang mempunyai hubungam diplomatik secara rasmi dengan Jepun sejak 1890.

P1170708
Tokyo Camii

Penulis sebenarnya telah menghubungi pengurusan masjid ini sehari sebelum melalui emel untuk memastikan setiap pertemuan itu adalah tersusun dan bermakna. Penulis telah dipertemukan dengan Pengarah dan Imam masjid, imam Mehmet Rasat Alis. Kami telah berbual panjang mengenai pelbagai aspek meliputi dakwah dan hal ehwal Islam di Jepun. Beliau memaklumkan bahawa Islam semakin berkembang di Jepun dan di masjid ini sahaja antara 4-5 orang seminggu bangsa Jepun dan bangsa lain memeluk Islam. Masjid ini juga menyediakan pelbagai program dakwah untuk Muslim dan bukan Muslim. Terdapat sukarelawan Muslim bangsa Jepun yang melakukan aktiviti dakwah di masjid ini antaranya ada yang fasih berbahasa arab kerana pernah melanjutkan pelajaran di negara Arab. Penulis merasa berbesar hati kerana dilayan oleh imam dengan begitu baik dan berharap hubungan yang dijalin ini akan diteruskan dengan pertemuan dan dalam program yang lain.

P1170728
Bersama Pengarah dan Imam Tokyo Camii

Keunikan masjid ini begitu terserlah. Masjid ini menyediakan kemudahan perpustakaan yang sangat kondusif, juga dewan kuliah yang selesa serta bilik pameran tamadun Islam. Perpustakaan Tokyo Camii adalah amat selesa. Terdapat ruang untuk membaca dan meja perbincangan. Secara lalu melihat koleksi perpustakaan ini, kebanyakannya adalah koleksi dari Turki meliputi pelbagai aspek mengenai Islam. Amat menarik untuk melihat masjid ini apabila ramai bangsa Jepun yang majoriti tiada agama itu datang melawat dan ada yang bertafakur di dalam masjid. Mereka duduk dan asyik melihat Muslim beribadah. Sukarelawan masjid cuba untuk melayan mereka dengan risalah dakwah dan penerangan mengenai Islam bahkan dijamu dengan teh Turki dan sesi ceramah kelompok di dewan kuliah yang juga berdekatan dengan perpustakan Tokyo Camii.

P1170725
Perpustakaan Tokyo Camii

Pendekatan Tokyo Camii ini adalah sangat berhikmah. Penulis namakan masjid ini sebagai masjid Mesra Ibadah, Mesra Dakwah dan Mesra Ilmu. Dakwah secara hikmah, tanpa ada prejudis serta fahaman fiqh dan Islam yang dinamik menjadikan pendekatan mereka adalah harmoni dan memikat. Tiada tuduhan dan pandangan orang kafir adalah najis, tidak dibenarkan masuk ke masjid dan tiada syak wasangka buruk. Pengurusan masjid yang professional ini menjadi nadi kepada misi dakwah di Tokyo. Berdoa, moga lebih ramai warga Jepun mendapat hidayah dan rahmat Allah.

P1170723
Dewan Kuliah Tokyo Camii

P1170721
Kelihatan Warga Jepun datang Melawat Tokyo Camii dan Diberi Taklimat oleh Sukarelawan Muslim Berbangsa Jepun

Setelah selesai sesi di Tokyo Camii, penulis kali ini makan malam di restoran berdekatan. Berkebetulan bertemu dengan heberapa orang Indonesia dan Malaysia di masjid ini. Bapak Edu pelajar Indonesia, Health Science di Tokyo University mengajak kami makan malam di restoran halal milik pasangan bangsa Jepun dan Mesir. Kami makan Syawarma dan humus yang dimasak oleh pasangan suami isteri. Isteri pemilik restoran berbangsa Jepun telah memeluk Islam dan boleh berbahasa Arab dan suami berbangsa Mesir. Kami dilayan dengan penuh ramah dan makanan disediakan juga sangat memuaskan hati. Setelah selesai, penulis meneruskan perjalanan untuk ke Shinjuku dan kembali ke hotel. Penulis perlu berkemas untuk meneruskan permusafiran ke Kyoto.

P1170732
Makan di Restoran Egypt Berdekatan Tokyo Camii

SHINKANSEN ‘BULLET TRAIN’

Dari Shinjuku ke Tokyo station mengambil masa 20 minit menaiki limusin bas. Sesi kali ini adalah mengembara ke Kyoto bandar di Raja dan pusat pemerintahan empayar Jepun satu ketika dulu. Perjalanan mengambil masa 2 jam 20 minit mengunakan Shinkansen. Di antara tempat yang paling disukai penulis di Jepun ialah Kyoto berfaktorkan kecantikan, budaya, cuaca dan pemandangannya yang indah. Ini merupakan kali kedua penulis ke Kyoto setelah menghadiri International Conference on Islamic Economics pada 2010. Di Kyoto University, ada Professor Yasushi Kosugi, Profesor beragama Islam berbangsa Jepun yang sangat fasih berbahasa Arab. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dalam bahasa Arab. Cuba untuk membuat temujanji dengan beliau, tetapi tiada rezeki kerana beliau ada urusan di luar negara.

P1170742
Tokyo Station. Seakan mirip Amsterdam Station di Netherland.

Alhamdulillah, berkesempatan untuk menaiki Shinkansen “Bullet Train’ yang pertama dilancarkan di Jepun pada 1965 dgn kelajuan 200 km sejam dan kini Shinkansen bergerak 300 km sejam. Shinkansen juga dimajukan dengan teknologi anti gempa bumi, anti taufan dan bencana alam. Shinkansen merupakan antara kebanggaan warga Jepun kerana ‘precision, accuracy, speed’ dan ketepatan waktunya. Penulis dimaklumkan oleh Mr Hayase, bahawa warga jepun pasti akan mengeluh dan tidak berpuas hati sekiranya perkhidmatan awam walau lewat seminit. Perkhidmatan awam di Jepun terlalu “punctual’ katanya. Mungkin inilah yang perlu diteladani oleh kita semua, menghormati masa, menepati masa dan tidak membuang masa.

P1170755
Shinkansen

BERSAMBUNG…………….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s