QUEST FOR MEANING IN THE SOIL OF THE RISING SUN: PART IV

SAMBUNGAN KEMBARA ILMU DI BUMI NIPPON: BAHAGIAN EMPAT

Zulkifli Hasan

NIWANO PEACE FOUNDATION

Setelah sampai di Tokyo Station, penulis dibawa makan tengahari di restoran Turki. Kemudian terus ke Niwano Peace Foundation sebuah organisasi NGO didanai Rhinosokukai. Organisasi NGO Budha ini sangat aktif dalam melakukan aktiviti advokasi keamanan. Setiausaha Agung Niwano Peace Foundation, Mr Tadami memberikan taklimat mengenai program yang dijalankan oleh organisasi ini. Umumnya, Niwano Peace Foundation melaksanakan aktiviti inisiatif keamanan melalui penyelidikan, seminar, konferen, anugerah Nobel Keamanan dan inisiatif keamanan hak asasi manusia. Niwano Neace Foundation menganugerahkan setiap tahun Anugerah Khas Nobel Keamanan dengan hadiah sebanyaka JPY20 juta. Organisasi ini juga menyediakan geran penyelidikan untuk kajian berteraskan keamanan. Program yang dilaksanakan meliputi aktiviti advokasi inisiatif keamanan di seluruh dunia, di tempat yang kebiasannya mempunyai konflik seperti Palestine, Mindanao, Timur Lestee dan Selatan Thailand.

P1170923
Di Pejabat Niwano Peace Foundation

Penulis mengajukan soalan mengenai pengalaman dan inisiatif mereka di Timur Tengah. Memandangkan krisis di tanah Arab ini adalah sangat kompleks. Mr Tadami mengakui bahawa inisiatif keamanan di timur Tengah adalah yang paling sukar. Krisis Israel-Palestine adalah konflik yang sangat kompleks dan amat sukar untuk diselesaikan bahkan melibatkan pemain politik global yang terdiri daripada Negara-negara besar dunia. Beliau memaklumkan, terdapat beberapa aktiviti dan anugerah Nobel Keamanan diberikan kepada beberapa tokoh yang berjasa dalam inisiatif keamanan di Timur Tengah. Penulis dimaklumkan juga bahawa Niwano Peace Foundation telah memberikan geran penyelidikan kepada NGO Malaysia iaitu JUST di bawah kelolaan Dr Chandara Muzaffar. Beliau menawarkan kepada semua peserta untuk cuba mendapatkan geran penyelidikan keamanan melalui Niwano Peace Foundation.

AYUS NETWORK OF BUDHIST VOLUNTEERS ON INTERNATIONAL COOPERATION

AYUS atau Network of Budhist Volunteers on International Cooperation telah ditubuhkan pada 1993 oleh inisiatif organisasi Budha. Objektif AYUS adalah berdasarkan falsafah Budha iaitu ‘En’ dalam bahasa Jepun, yang membawa maksud ‘interdependent’. Ini merujuk kepada falsafah bahawa manusia memerlukan satu sama lain walaupun berlainan bangsa dan agama walau di mana sahaja mereka berada.

Setiausaha Agung AYUS, Mrs Edaki Mika memberikan taklimat program dan aktiviti serta berkongsi gambar-gambar berkaitan. Sebelum 1990an kebanyakan organisasi Budha kebanyakannya hanya terlibat dengan aktiviti ritual khususnya upacara pengebumian. Upacara pengebumian Budha adalah sangat mahal dan ia mampu mencapai sehingga JPY1 juta hingga JPY10 juta. Organsiasi Budha melihat bahawa perlunya program yang melangkaui aktiviti ritual keagamaan. Dengan inilah, mereka melakukan inisiatif menubuhkan AYUS.

Mengagumkan kerana program yng dijalankan adalah bersifat tempatan dan antarabangsa dan di seluruh dunia. Ini meliputi Palestin, Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, Mindanao, Afghanistan dan banyak lagi. Kebanyakan sukarelawan mereka adalah terdiri daripada sami Budha. Tertarik dengan program AYUS di Gaza dan West Bank berkebetulan berkesempatan melawat Gaza pada Mac lalu. Mereka melaksanakan program pendidikan kanak-kanak dan kebajikan wanita. Bukan itu sahaja, AYUS juga melancarkan kempen Free Gaza secara besar besaran di tokyo dan beberapa kawasan lain di Jepun. Amat menarik, usaha AYUS badan Budha ini yang serius memperjuangkan hak asasi manusia walaupun berlainan budaya dan agama. Hatta banyak di negara Islam pun tiada kempen Free Gaza sepertimana yang dilaksanakan oleh AYUS ini.

P1170934
Kempen Free Gaza oleh AYUS di Tokyo

P1170932
Projek Kebajikan Kanak-kanak dan Wanita di Gaza dan West Bank

AYUS juga sangat prihatin dengan alam sekitar. Mereka antara pejuang anti nuklear. Sejurus insiden kebocoran radioaktif di Fukushima yang mengejutkan warga Jepun, AYUS melancarkan kempen besar-besaran dan demonstrasi jalanan membantah projek penjanaan kuasa nuklear. Mereka juga melaksanakan kempen kesedaran nuklear serta kaunseling kepada mangsa tsunami dan gempa bumi khususnya di kawasan Fukushima yang dilanda musibah kebocoran reaktor janakuasa nuclear.

Penulis mengajukan soalan kepada Mrs Mika bagaimana AYUS menguruskan kepelbagaian dalam agama Budha bagi melaksanakan program yang dijalankan memandangkan AYUS adalah gabungan jalinan kerjasama antara banyak sekolah agama Budha. Mrs Mika akur bahawa soalan ini adalah sukar tetapi menariknya ialah beliau menyatakan bahawa apabila ada konflik atau permasalahan, kesemua badan agama Budha ini akan merujuk kepada perkara asas agama Budha dengan mengenepikan perbezaan. Beliau menyebut bahawa antara titik pertemuan adalah kembali kepada ajaran pengasas Budha sendiri iaitu Sidharta Gautama Budha. Dengan ini, semua pertikaian dan konflik diselesaikan dengan harmoni.

Menarik juga untuk ditinjau metod pengumpulan dana AYUS ini berdasarkan kepada program bertaraf antarabangsa di seluruh dunia. Mrs Mika memaklumkan bahawa AYUS menerima dana dari ‘temple’ Budha seluruh Jepun. Kuil-kuil ini menerima sumbangan orang ramai terutamanya dari golongan senior warga Jepun. AYUS menjalankan kerjasama rapat dengan kuil Budha ini. Antara cabaran masa depan yang akan dihadapi oleh AYUS ialah apabila generasi senior warga Jepun ini habis, maka generasi baru Jepun yang tidak mesra kuil, taida agama dan tidak peduli agama akan pasti menyebabkan permasalahan dana untuk meneruskan program-program kemanusiaan yang dirancang. Masa ini, mereka giat menjalankan aktiviti bagi mendekatkan generasi muda dengan ajaran Budha dan supaya mengunjungi kuil Budha.

P1170942
Di depan Pejabat AYUS

Melihat kepada metod pengumpulan dana dan peranan temple Budha dalam melaksanakan misi dakwah mereka, memberikan beberapa pengajaran dan idea kepada peranan institusi masjid. Sumbangan orang ramai ke masjid sebaiknya tidak hanya digunakan dalam lingkungan aktiviti di kawasan masjid. Ia juga boleh melangkaui perkara lain dengan melibatkan dana tersebut dalam aktiviti kemanusiaan dan dakwah bukan sahaja setempat malahan antarabangsa. Dana dikumpul boleh sahaja dikumpul mendanai aktiviti NGO Islam yang menjalankan program kemanusiaan dan dakwah secara lebih komprehensif. Jika sami Budha aktif berdakwah dan bersifat global serta antarabangsa, kenapa tidak imam-imam kita dan jawatankuasa masjid juga terlibat secara aktif dalam misi dakwah serta kerja kemanusiaaan. Imam tidak sepatutnya hanya menjadi imam solat, mengahwinkan orang, mengetuai bacaan tahlil. Imam yang lebih dinamik dan progresif diimpikan di mana imam ini berperanan menjalankan misi dakwah Rahmatan lil alamin. Malahan, bukan ukan imam sahaja yang patut terlibat bahkan makmum dan komuniti juga seharusnya digalakkan untuk menjalankan misi para rasul ini. Moga taklif dakwah ini diangkat oleh lebih semua umat Islam.

ASAKUSA

Penulis dibawa ke Asakusa iaitu salah satu tempat beli-belah paling terkenal di Tokyo. Asakusa ini terletak berdekatan dengan ‘temple’ tersohor di Tokyo. Terdapat ratusan kedai menjual pelbagai barangan khususnya cenderamata, produk kebudayaan Jepun seperti kimono dan lain lain. Selesa dengan membeli belah di Jepun adalah kerana semua harga adalah harga tetap dan tidak perlu tawar menawar. Antara keunikan budaya Jepun di sini ialah setiap kali membeli barangan, pelanggan akan diberikan replika burung kecil diperbuat dari kertas sebagai tanda terima kasih. Sempat membeli beberapa cenderamata dan barangan untuk dibawa pulang sebagai ole-ole ke Malaysia.

P1170945
Asakusa, Pusat Beli Belah Pelancongan, Tokyo

GENERASI BARU SHINKANSEN ‘BULLET TRAIN’

Penulis diberi kesempatan sekali lagi menaiki Shinkansen. Tetapi kali ini Shinkansen generasi baru dikenali sebagai Hayubasa. Hayubasa adalah lebih laju dan teknologinya telah dimajukan lebih tinggi dari generasi lama Shinkansen. Warna Hayubasa juga adalah lebih moden dan menarik berbanding Shinkansen lama.

P1170984
Shinkansen Generasi Baru

Sebelum menaiki Hayubasa, penulis tertarik dengan beberapa pekerja yang siap berdiri menunggu Hayubasa sampai di platform. Penulis bertanya kepada Mr Noboru apakah pekerjaan mereka ini. Mr Noboru memaklumkan bahawa pekerja ini perlu bersedia kerana mereka hanya diberikan masa selama tujuh minit untuk mencuci dan membersihkan setiap gerabak Hayubasa. Penulis melihat bagaimana pekerja ini secara cepat membersihkan Hayubasa dalam masa tujuh minit sahaja. Begitu juga, setiap kali Shinkansen berhenti di station, maka penumpang hanya ada seminit untuk keluar dari gerabak bagi memastikan setiap perjalanan adalah menepati masa. Mengagumkan melihat bangsa Jepun ini menepati masa. Tidak hairanlah mereka maju dari segenap segi sama ada aspek teknologi dan ilmu pengetahuan.

P1170983
Kelihatan Pekerja Siap Sedia untuk bersihkan Shinkansen Dalam Masa Tujuh Minit

PERSEPSI WARGA JEPUN TERHADAP ORANG BARAT

Pemerhatian penulis terhadap warga Jepun secara umumnya terhadap orang barat adalah berbeza dengan warga Muslim di tanah Arab mahupun di benua India termasuk tanahair malaysia. Mungkin penulis silap dalam hal ini tetapi ini sekadar refleksi pengalaman bermusafir dan tinggal beberap ketika di luar Negara termasuk di tanah Arab. Sepanjang pemerhatian penulis berada di tanah arab mengenali ramai rakan Muslim termasuk pengalaman di tanahair sendiri, rasa kekaguman terhadap orang barat atau orang putih adalah sangat tinggi. Lebih lebih lagi di Negara Arab. Bangsa Eropah dan Amerika begitu dipandang tinggi dan kadangkala dilihat warga Muslim berasa ‘inferior’ atau rendah diri dikalangan mereka.

Pengalaman di Dubai misalnya menyaksikan sendiri bagaimana orang putih ini dilayan sebegitu tinggi sedangkan warga Muslim India yang bekerja dilayan dengan tidak rasa hormat termasuk kurang peri kemanusiaan. Bahkan skima gaji juga adalah berbeza mengikut bangsa di mana orang putih pastinya punya skala gaji yang tertinggi. Begitu juga di Malaysia, masyarakat umum masih memandang tinggi dan ada perasaan ‘inferiority complex’ dengan orang putih walaupun sedikit.

Penulis tidak merasakan perkara tersebut di Jepun. Warga Jepun langsung tiada perasaan ‘inferiority complex’ terhadap orang putih. Mereka bangga dengan pencapaian dan budaya yang ada dan pada beberapa aspek mendahului bangsa Eropah dan Amerika. Ketika penulis mengajukan soalan ini kepada Mrs Satomi yang pernah bekerja di Kaherah dan Istanbul serta pernah merantau ke beberapa negara Islam, beliau juga menyuarakan perkara yang sama. Persoalan mengapa warga Arab begitu memandang tinggi bangsa Eropah dan Amerika berbanding warga Muslim sendiri juga menjadi persoalan.

Persoalan ini seharusnya dijawab oleh orang Islam sendiri. Antara alasan yang menyebut bahawa ini adalah kerana penjajahan mungkin ada betulnya tetapi tidak boleh diterima memandangkan kesemua negara Islam telah merdeka dari penjajahan sekian lama. Penjajahan mental dan pemikiran merupakan penjajahan yang paling kuat menguasai masyarakat Muslim. Inilah yang penulis maksudkan dengan perlunya revolusi intelektual atau revolusi mental yang benar-benar membebaskan pemikiran dari sebarang bentuk penjajahan dan rasa ‘inferiority complex’ yang sehingga hari ini membelenggu umat Islam. Perkara ini hanya akan dapat dicapai sekiranya umat islam itu sendiri melakukan reformasi intelektual pemikiran melalui pemberdayaan ilmu pengetahuan.

TOHOKU UNIVERSITY

Perjalanan seterusnya adalah ke Sendai, bandar terletak di utara Jepun. Cuaca di sini adalah lebih sejuk berbanding Tokyo. Perjalanan mengambil masa satu jam setengah menggunakan Hayubasa generasi baru Shinkansen yang lebih laju. Sendai adalah antara bandar terbesar di Jepun dengan 1.5 juta penduduk iaitu sebesar lebih kurang Kyoto. Sendai antara tempat yang dilanda teruk gempa bumi dan Tsunami pada 2011. Masih terdapat kesan gempa bumi dan Tsunami di Sendai.

Program di Sendai melibatkan sesi dialog dengan Profesor Kimura dan Profesor Tinayama serta pelajar siswazah di University Tohoku. Tohoku University adalah antara universiti paling terkemuka di utara Jepun dan merupakan universiti awam. Profesor Kimura dan Profesor Tinayama terlibat secara langsung dengan projek menyelamat dan pemulihan mangsa gempa bumi dan Tsunami. Profesor Kimura menjalankan penyelidikan di Indonesia dan fasih berbahasa Indonesia serta isteri orang Indonesia manakala Profesor Tanayama adalah sami Budha yang menjadi penggerak program pemulihan mangsa bencana alam di Sendai.

P1170992
Tohoku University

Profesor Kimura memulakan sesi dialog dengan perkongsian tentang kesedaran agama di kalangan warga Jepun sebelum dan selepas bencana alam. Soal selidik yang dijalankan sebelum bencana alam, sebanyak 70% penduduk Jepun yang menjawab tiada agama mewakili ratusan juta rakyat Jepun. Selepas bencana alam, walaupun tiada soal selidik rasmi dijalankan tetapi menurut pemerhatian Profesor Kimura, kesedaran beragama itu sudah mula wujud dan meningkat. Malahan yang paling menunjukkan perubahan positif ialah media massa yang sudah mula memberi ruang elemen agama diterbitkan dan ditayangkan. Ini merupakan perubahan positif yang berlaku di Jepun waktu ini.

P1170999

Profesor Tanayama seorang sami Budha, (juga ahli Judo pernah menjadi ahli sumo amatur) dan Profesor di Tohoku University pula berkongsi pengalaman beliau menerajui progam pemulihan mangsa bencana alam. Terdapat pelbagai program dilaksanakan merangkumi kaunseling, pendidikan, kem pemulihan, bantuan perubatan dan lain-lain. Beliau menyatakan antara faktor kesedaran beragama itu wujud ialah apabila kuil Budha yang berada di atas bukit selamat daripada Tsunami dan gempa bumi. Warga Jepun yang tiada agama ini menggunakan kuil sebagai tempat berlindung, mungkin ini merupakan antara faktor beragama itu semakin meningkat. Bahkan kebanyakan misi menyelamat dan bantuan kemanusiaan dipelopori oleh ‘religious-based organisation’ termasuk Islam. NGO Islam juga aktif dalam memberikan bantuan kepada mangsa Tsunami dan gempa bumi di Jepun.

P1180001
Kelihatan ada Mangsa Tsunami Cuba “experience’ melakukan solat. Antara aktiviti oleh NGO Islam Jepun

Penulis mengajukan soalan kepada Professor Kimura dan Tanayama mengenai masa depan kesedaran beragama di Jepun. Mengakui soalan yang sukar, kedua-dua mereka berpandangan bahawa dalam masa dekat mungkin tiada banyak perubahan berlaku. Dalam jangka masa panjang kemungkinan akan ada perubahan terhadap kehidupan dan kesedaran beragama warga Jepun. Profesor Kimura menyatakan bahawa hakikatnya warga Jepun tidak mengaku beragama tetapi amalannya mereka konsisten ke temple, memuja nenek moyang dan amalan ritual yang lain. Warga Jepun cuma tidak senang dengan terminologi ‘religion or religiousity’ kerana ia asing pada mereka.

Profesor Tanayama yang juga sami Budha berkongsi dan menjelaskan bahawa Budha di Jepun adalah sekolah Mahayana berbeza dengan Budha di Thailand dan Myanmar iaitu sekolah Teravada. Oleh itu, kesedaran beragama di Jepun terhadap agama Budha di Jepun juga adalah berbeza. Beliau juga menyatakan bahawa sami Budha di Jepun boleh berkahwin dan makan daging sepertimana sami Budha Mongolia. Cuma bezanya ialah sami Budha Mongolia mendapat kebenaran rasmi Dalai Lama manakala di Jepun sami Budha berkahwin adalah kerana amalan sejak dulu kala dan pengaruh agama Shinto yang kuat di kalangan warga Jepun.

CERITA DISEBALIK TRAGEDI NUKLEAR FUKUSHIMA

Ketika berbicara dengan Profesor Miichi berkenaan dengan tragedi Fukushima di utara Jepun yang berdekatan dengan kawasan yang kami lawati, Profesor Miichi menceritakan beberapa perkara yang agak menarik untuk dikongsikan. Fukushima adalah reactor Nuklear yang menghasilkan kuasa elektrik dan telah mengalami kerosakan akibat Tsunami.

Fukushima adalah kawasan luar Bandar yang didiami oleh kebanyakan golongan bawahan di Jepun. Kawasan Fukushima adalah agak terkebelakang berbanding dengan bandar-bandar besar di Jepun yang lain. Profesor Miichi mengatakan bahawa warga Fukushima ramai yang menganggap mereka selalu dikorbankan untuk kebaikan Negara. Reaktor Nuklear Fukushima yang menghasilkan tenaga elektrik bukan disalurkan ke warga Fukushima tetapi untuk warga Tokyo. Rakyat bawahan juga tidak menikmati hasil dari reactor nuclear ini. Apabila Tsunami berlaku, Fukushima juga musnah teruk akibat bencana ini. Kawasan Fukushima dan penduduknya yang terdiri daripada golongan bawahan ini sering kali diabaikan dari segi kebajikan dan pembangunan setara denga bandar-bandar lain.

Menarik juga untuk meninjau rasa ‘inferiority complex’ warga Fukushima dan beberapa kawasan utara Jepun dengan warga kota besar seperti Tokyo dan Osaka. Jika warga Osaka sangat bangga dengan dialek atau loghat bahasa Jepunnya, warga Fukushima dan beberapa kawasan di utara merasa malu untuk berbahasa menggunakan dialek mereka di Tokyo dan kota besar. Mungkin perasaan malu atau segan dengna keadaan atau kemajuan kawasan mereka yang agak ketinggalan berbanding kota Tokyo. Bukan itu sahaja, ada juga beberapa kes diskriminasi apabila warga Fukushima yang berhijrah ke daerah lain seperti di Tokyo. Ada warga Tokyo yang tidak mahu anak-anak warga Fukushima berkawan dan bercampur dengan anak-anak mereka kerana dikhuatiri ada radiasi. Juga ada kes-kes yang melibatkan warga kota tidak membeli atau menolak barangan seperti sayuran dan buah-buahan dari Fukushima yang dikhuatiri mempunyai radiasi dan boleh membawa kemudaratan.

Perkongsian oleh Profesor Miichi mengesahkan bahawa diskriminasi dan ketidakadilan itu boleh berlaku di mana-mana. Malahan yang sering menerima nasib didiskriminasi itu ialah golongan bawahan. Warga Fukushima merupakan warga yang sepatutnya dihormati dan diangkat menjadi hero kepada warga Jepun. Reaktor Nuklear yang membawa rahmat kepada warga Tokyo itu pastinya memberi sumbangan begitu besar kepada pembangunan dan kehidupan warga Jepun. Seharusnya, ini memberikan pengajaran kepada kita untuk memastikan keadilan ditegakkan walau di mana sahaja dan pada setiap ketika.

BERSAMBUNG………………..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s