QUEST FOR MEANING IN THE SOIL OF THE RISING SUN: PART V

KEMBARA ILMU DI BUMI NIPPON: BAHAGIAN V

Zulkifli Hasan

‘FOLKLORE OF DISASTER’ OLEH PROFESOR KAWASHIMA, TOHOKU UNIVERSITY

Profesor Kawashima dilahirkan di Miyagi dan keluarga beliau adalah antara mangsa Tsunami. Penduduk Miyagi terkenal sebagai nelayan hebat dan antara pengeluar produk ikan bonito terbesar di dunia. Profesor Kawashima sangat terkenal di Jepun dengan penyelidikannya selama lebih 20 tahun mengkaji hidupan dan kehidupan sepanjang pantai Jepun. Telah menerbitkan lebih 5 buku penting tentang sejarah Jepun khususnya kehidupan nelayan di pesisir pantai Jepun. Kini Profesor Kawashima meneruskan penyelidikan kehidupan nelayan di Jepun termasuk kaitannya dengan bencana alam.

P1180019
Bersama Profesor Kawashima

Tsunami terbesar pernah berlaku di Jepun pada 1771. Selepas zaman Meiji 1868 empat tsunami besar melanda Jepun. Sebelum great tsunami telah ada gempa bumi kecil dan Tsunami adalah bergantung kepada gempa bumi kecil ini. Tetapi Tsunami 2011, penduduk tidak menyangka Tsunami akan datang sebesar itu. Antara kepercayaan penduduk pantai Jepun adalah mengenai Batu Tsunami. Tsunami rock ini dpercayai dianugerahkan oleh Dragon King yang berada dalam laut dan akan muncul setelah berlakunya tsunami. Batu ini akan hanyut ke daratan dan dipercayai mayat mangsa Tsunami tidak akan berada melangkaui daripada Tsunami Rock ini. Antara beberapa kepercayaan tentang Tsunami rock ini ialah jika pindahkan dari tempatnya kemungkinan akan ditimpa bala dan jika dimusnahkan juga boleh menerima pelbagai kesusahan. Misalnya penduduk pernah mengalihkan Tsunami Rock dan kemudian menghadapi pelbagai kesusahan. Warga Jepun percaya Tsunami Rock adalah hadiah daripada Tuhan.

P1180017
Antara Beberapa Rock of Tsunami

Kepercayaan Jepun dahulu kala juga ada menceritakan, Tsunami berlaku kerana melanggar pantang larang. Mengikut mitosnya Tsunami berlaku dahulu kerana penduduk menangkap ‘taranama fish’ atau ‘mermaid’ dan memakan ikan ini. Ikan ini adalah milik ‘dragon king’ dan meminta bantuan ‘dragon king’ untuk menghantar Tsunami bagi menghukum mereka. Keseluruhan penduduk dan kawasan musnah dilanda Tsunami.

Juga terdapat kepercayaan nelayan tidak boleh jatuhkan pisau atau alatan besi ke laut kerana ‘dragon king’ tidak suka besi ada di dilaut. Oleh itu nelayan akan melukis apa yang jatuh ke laut dan melukis barang tersebut dan akan pergi ke kuil untuk maklumkan pada Tuhan barang yang hilang ini. Ini merupakan antara kepercayaan warga nelayan di Jepun yang sehingga kini masih ada yang mengamalkannya.

P1180015
Contoh lukisan barang yang jatuh ke laut dan dibawa ke kuil untuk memaklumkan pada tuhan agar selamat dan tidak menerima kesusahan ketika berada di laut

MORIOKA KE MIYAKO

Meneruskan perjalanan lebih ke Utara Jepun iaitu Miyako yang terletak di tepi pantai. Miyako terkenal dengan kawasan nelayan dan kecantikan pantainya. Kami bertolak menggunakan bas dari Iwate melalui kawasan pergunungan utara Jepun. Perjalanan mengambil masa dua jam setengah dan kami singgah sebentar di Yaho, iaitu tempat rehat bagi lebuh raya ke Utara Jepun. Pemandangan sepanjang perjalanan adalah begitu mengasyikkan.

Subhanallah, maha Suci Allah. Pemandangan gunung-ganang diliputi Salji mewarnai kecantikan bumi Allah ini. Bumi utara Jepun ini putih melepak dilitupi salji yang mengindahi seluruh kawasan pergunungan ini. Dengan dilingkari sungai, pokok-pokok yang membarisi, serta rumah-rumah tradisional Jepun begitu mengasyikkan sekali panorama ini. Penulis akui pemandangan alam semulajadi ini antara yang tercantik pernah dinikmati sepanjang pengembaraan di seluruh dunia selain Switzerland, Scotland, Norway dan Lake District di England. Keajaiban pemandangan ini membuatkan penulis merasa begitu kerdil dengan kekuasaan Allah. Walaupun masih sedikit warga Jepun yang mentauhidkan Allah, Allah Maha Pemurah itu masih menganugerahkan bumi indah dan menakjubkan kepada warga Jepun. Moga lebih ramai warga Jepun mendapat hidayah Allah dan mentauhidkanNya.

P1180052
Salji di Pergunungan Iwate

P1180048

Setibanya di Miyako kami juga singgah sebentar di kawasan peranginan Jodogohama berdekatan pantai. Jodogohama Park merupakan antara warisan Negara Jepun dan dikategorikan sebagai hutan simpan. Jogohama juga teruk musnah dilanda Tsunami. Kawasan peranginan ini dipelihara dengan baik. Penulis menginap di Hotel Jodogohama dengan pemandangan yang begitu cantik. Kami dimaklumkan bahawa kawasan Jodogohama adalah yang paling terkeutara Jepun dan kawasan yang mula-mula matahari terbit di Jepun. Oleh itu, ramai tetamu hotel menunggu seawal pagi untuk menyaksikan matahari terbit. Semua bertepuk tangan apabila menyaksikan matahari terbit dari sebalik gunung berdekatan dengan Jodogohama Hotel.

P1180079
Pantai Jodogohama yang musnah teruk di landa Tsunami

P1180075
Kelihatan garisan biru menunjukkan paras Tsunami melanda Jodogohama Park

P1180137
Pemandangan dari bilik hotel seusai solat subuh dan bacaan al Mathurat

BANDAR KECIL TARO DAN TSUNAMI

Sampai di Miyako lebih kurang pukul 1 tengahari dan kami terus makan tengahari di Restoran Jepun berdekatan dengan pelabuhan. Pelabuhan ini teruk musnah semasa dilanda Tsunami pada 2011. Miyako terkenal dengan Oyster dan Salmon. Setelah makan tengahari, kami dibawa ke satu bandar kecil di Miyako iaitu Taro. Taro dianggap antara bandar paling bersedia dengan Tsunami di Jepun kerana pernah dilanda Tsunami besar pada 1896 dan 1933 dgn ombak setinggi 15M dan menelan ribuan mangsa. Penduduk di sini telah dipersiapkan mental dan fizikal serta teknologi untuk menghadapi Tsunami.

P1180060
Model kawasan pelabuhan Miyako yang dibina semula untuk mengingati tempat tinggal yang dimusnahkan semasa Tsunami. Projek ini dijalankan oleh sebuah universiti di Kyoto

P1180064
Antara gambar bengkel projek membina model kawasa pelabuhan Miyako di atas

Bagi mengelakkan Tsunami, bandar Taro telah membina tembok laut konkrit setinggi 10 M melindungi seluruh kawasan yang seakan tembok besar Cina. Tembok ini telah dibina sejak selepas perang dunia Pertama lagi. Kami diberi taklimat dan dibawa melawat sekitar kawasan dilanda Tsunami dan berkesempatan memanjat tembok anti Tsunami setinggi 10M ini. Apabila gempa bumi melanda penduduk Taro tahu akan kedatangan Tsunami tetapi tidak menyangka akan sebegini dahsyat. Ramai penduduk yakin akan kekuatan tembok ini dan ada yang masih tidak ke tempat selamat ketika Tsunami berlaku. Tsunami yang melanda adalah di luar jangkaan kerana ia mencecah setinggi 20 M dan ada yang sehingga 44 M. Sebahagian besar Taro musnah sekelip mata.

P1180100
Tembok Anti Tsunami Setinggi 10 Meter gagal untuk menghalang Tsunami

P1180105
Gambar Tsunami melanda Taro

Kami ditayangkan dengan video ekslusif milik pemilik hotel yang teruk musnah dilanda Tsunami. Video rakaman ini tidak dibenarkan ditayangkan di mana-mana melainkan dari hotel beliau dan kami juga tidak dibenarkan mengambil gambar. Rakaman video ini begitu dahsyat, melihat kekuatan alam semulajadi Tsunami yang memusnahkan bandar kecil ini. Kawasan dilanda umpama disapu sehingga kosong. Kawasan bawah hotel ini musnah dan hanya tinggal tiang asas sahaja. Pemilik hotel bercadang untuk membina monument di kawasan hotel ini bagi mengingati mangsa Tsunami.

P1180111
Hotel yang teruk musnah dilanda Tsunami

P1180113
Bersama pemilik Hotel yang merakamkan tragedi Tsunami dari hotel beliau

Mengagumkan juga penduduk di sini apabila melihat hanya dalam masa dua tahun lapan bulan dari tarikh Tsunami ini, kini bandar Taro kembali seperti biasa dan projek bandar baru sedang disiapkan. Bandar Taro dalam perancangan membina tembok anti Tsunami setinggi 50 M. Kini, penempatan rumah tidak dibenarkan dibuat berdekatan pantai dan kebanyakannya dipindahkan ke kawasan bukit. Penempatan perumahan digantikan dengan penempatan industri terutamanya industry perikanan.

PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN UNOTORI KAGURA

Program seterusnya adalah menonton persembahan kebudayaan Unotori-Kagura. Unotori-Kagura merupakan tarian yang berasal dari tradisi Shinto yang menggambarkan elemen baik dan jahat serta kebahagiaan dalam kehidupan warga Jepun. Ia juga dipersembahkan pada waktu tertentu untuk memberkati nelayan yang akan ke laut bagi memastikan hasil tangkapan yang lumayan.

Persembahan ini diadakan di sebuah perkampungan kecil bernama Hudai diliring gunung Yamabushi di utara Jepun. Kami dipersembahkan dengan 4 jenis persembahan tradisi diiringi muzik tradisional. Kelihatan sake atau arak dan garam antara elemen penting dalam agama Shinto. Arak dan seks merupakan perkara mustahak dalam tradisi Shinto. Tarian tradisi ini diwarisi turun temurun sudah berusia ratusan tahun. Sensei atau grand master tarian ini telah mempelajarinya puluhan tahun dan hanya dapat menjadi sensei setelah 50 tahun buat persembahan.

P1180181
Persembahan Unotori Kagura

Berdekatan dengan tempat persembahan iaitu bersebelahan dengannya, penulis sempat melawat Unotori Shrine atau kuil Shinto yang dibina pada 852M. Kuil yang berusia lebih 1000 tahun ini masih kukuh. Cuma ia tidak lagi dikunjungi ramai kerana agama Shinto tidak lagi sepopular seperti dahulu. Kuil Shinto adalah berlainan dengan kuil Budha walaupu kadang kala sukar untuk membuat perbezaan. Jika ingin membezakannya, kuil Shinto akan terdapat pintu gerbang yang disangkut padanya seutas tali manakala kuil Budha tidak mempunyai amalan sedemikian. Minum arak atau Sake adalah wajib dalam setiap ritual agama Shinto manakala tiada amalan sebegitu dalam agama Budha.

P1180147
Bersama Mr Kohmin Iwabuchi, Penterjemah di hadapan Unotori Shrine yang berusia lebih 1000 tahun

Pengalaman menyaksikan persembahan tarian tradisi Shinto ini menggambarkan bahawa masyarakat Jepun juga percaya dengan perkara ghaib atau ‘superstitious’. Tarian untuk memastikan hasil tangkapan ikan yang lebih baik menunjukkan ada elemen spiritual yang mereka percayai atau diwarisi turun temurun. Warga Jepun sudah tidak lagi menmpercayai perkara ini tetapi memelihara budaya ini sebagai warisan. Mereka akan memastikan budaya yang diwarisi ratusan tahun ini tidak hilang begitu sahaja.

GUA RYUSENDO

Dalam perjalanan ke Morioka semula, kami singgah di gua Ryusendo. Gua Ryusendo pernah diisytiharkan antara gua tercantik di Jepun. Gua ini terletak di kawasan utara Iwate. Terdapat dua gua sepanjang 1500M. Apa yang menarik gua ini ialah terdapat tasik dibawahnya yang sangat jernih. Kedalaman tasik ini mencecah 98M. Dengan air yang sangat jernih dan lampu yang terdapat di dalam tasik, pelancong dapat menyaksikan dasar tasik dan kecantikannnya. Maha Suci Allah, menjadikan gua ini yang begitu indah, cantik dan unik.

P1180207
Di pintu Gua Ryusendo

P1180216
Tasik di bawah gua sedalam 98 Meter

HOOJEN TEMPLE DAN DEMON’S HANDPRINT

Semasa lawatan di Iwate, kami sempat dibawa ke Hoojen Temple iaitu kuil Budha yang menempatkan lebih 500 patung Budha mewakili karakter Budha. Kuil ini telah berusia lebih 400 tahun dan antara kuil utama di Iwate. 500 patung ini diletakkan disekeliling tempat upacara ritual Budha dan kesemua wajah 500 patung ini adalah berlainan.

P1180240
500 Patung Budha

Setelah itu juga kami dibawa melawat Demon’s Handprint di kuil Shinto berdekatan. Menurut mitosnya, di Iwate terdapat syaitan yang selalu menganggu penduduk Iwate. Akhirnya dewa telah mengalahkan syaitan ini dan sebagai perjanjian untuk tidak mengganggu penduduk Iwate ini, dewa memaksa syaitan ini menurunkan tanda tapak tangan di atas tiga batu besar. Inilah dinamakan Demon’s Handprint. Mitos ini antara kepercayaan penduduk dahulu di Iwate. Ia menjadi cerita rakyat dan kini tidak lagi dipercayai oleh generasi muda.

P1180249
Demon’s Handprint

IWATE PREFECTURAL UNIVERSITY

Program terakhir di Iwate, ialah sesi dialog dengan pelajar di Iwate Prefectural University. Iwate Prefectural University adalah universiti awam dibawah negeri Iwate. Dialog kali ini adalah sesi perbincangan dengan pelajar pra siswazah kuliah Profesor Miichi mengenai agama Islam.

Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan. Penulis diberikan beberapa pelajar dan perbincangan dalam kumpulan. Penulis mengendalikan perbincangan ini dengan bapak As’ad dari Indonesia. Antara perbincangan yang dibicarakan ialah pandangan penulis terhadap budaya, agama, pendidikan, ekonomi dan aspek lain mengenai Jepun. Oleh kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, perbincangan kami kerap kali diterjemahkan oleh penterjemah yang disediakan oleh Japan Foundation. Di Jepun, kemampuan bahasa Inggeris bukan penentu mendapat pekerjaan atau mahir dalam teknologi mahupun hebat dalam sains dan matematik.

Penulis mengajukan soalan pada semua pelajar apakah pandangan mereka terhadap Islam. Antara jawapan mereka ialah poligami, haram makan babi, haram minum arak dan puasa. Persepsi mereka terhadap Islam adalah berlegar di sekitar perkara ini. Penulis mengambil kesempatan untuk menerangkan kepada mereka keempat-empat perkara tersebut dan cuba untuk memperjelaskan kedudukan sebenarnya perkara tersebut sesuai dengan maqasid shariah. Diharapkan mereka dapat memahami kedudukan sebenar ajaran Islam yang sebelum ini tidak difahami secara tepat.

P1180227
Dialog dengan pelajar Iwate Prefectural University

Apabila mengajukan soalan apakah persepsi mereka terhadap agama. Separuh pelajar mengatakan agama tidak penting. Pada mereka semua manusia adalah sama dan tidak perlu agama dan ironinya semuanya adalah pelajar perempuan. Separuh pelajar lagi menyatakan agama adalah penting. Ia adalah mustahak untuk mempercayai sesuatu. Agama dapat membantu seseorang dalam keadaan tertentu. Jawapan ini diberikan oleh semua pelajar lelaki. Tetapi apabila ditanya apakah agama kepada pelajar lelaki ini. Mereka menjawab tiada agama spesifik, apa-apa agama yang bersesuaian dengan mereka dan keadaan. Ini menggambarkan serba sedikit persepsi generasi muda Jepun terhadap agama. Agama memang sudah tidak lagi perkara yang penting bagi mereka. Jika ada merasakan ia penting, mereka tidak punya spesifik agama atau kefahaman agama yang mendalam.

P1180229
Selesai perbincangan dengan pelajar

BERSAMBUNG……..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s