Ijtihad, Legitimasi, Fiqh Siyasi dan Ilusi

IJTIHAD, LEGITIMASI, FIQH SIYASI DAN ILUSI

Kenyataan Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz yang menyebut bahawa Islam melarang demonstrasi bagi menyokong Gaza dan ia hanyalah tindakan bunyi bising dan tidak bermanfaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malahan, terdapat pandangan ulama yang lebih mengecewakan di mana fatwanya merestui rejim al Assad dan meredhai rejim al Sisi membantai dan membunuh rakyatnya sendiri. Ulama-ulama ini sanggup duduk sebaris dengan pendokong rejim merestui rampasan kuasa seperti yang berlaku di Mesir. Di Malaysia juga terdapat pandangan sebegini apabila ada kenyataan yang menghalalkan darah pendemonstrasi atas dasar bughah. Ulama-ulama yang senada dengan pandangan sebegini baru-baru ini juga telah menubuhkan ‘Council of Muslim Elders’ di Abu Dhabi tajaan Emiriyah Arab Bersatu sebagai saingan kepada ‘International Union of Muslim Scholars’ yang dipengerusikan oleh Sheikh al Qaradhawi yang dilihat sering menyebelahi gerakan Islam arus perdana.

Seiring dengan perkembangan terkini konflik dan krisis di Timur Tengah, artikel ini merupakan refleksi penulis terhadap fenomena yang terus menghimpit dan menzalimi umat Islam. Artikel ini sama sekali tidak bermaksud untuk menghina mana-mana ulama mahupun mempertikaikan autoriti mereka dalam berijtihad dan memberikan fatwa. Penulis hanya ingin mencetuskan beberapa persoalan mengenai ijtihad dan hubungkaitnya dengan implikasinya terhadap perkembangan dunia Islam khususnya dari aspek ‘political legitimacy’ yang sangat signifikan kepada umat Islam. Disamping mengakui dan mengiktiraf keilmuan ulama-ulama kontemporari ini, penulis berpandangan bahawa betapa perlunya beberapa pandangan ulama-ulama ini disemak semula ataupun diberikan pencerahan selanjutnya bagi mengelakkan ia dimanipulasi dan seterusnya menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat.

Ijtihad dan Legitimasi

Ijtihad adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam kehidupan. Hampir setiap perkara memerlukan ijtihad sama ada individu mahupun secara kolektif. Ijtihad akan menjadi lebih signifikan apabila ia melangkaui isu individu bahkan bakal menentukan hala tuju dan implikasi yang besar kepada masyarakat. Dalam situasi ini, sudah pasti ijtihad yang benar-benar tepat melalui proses yang ketat dengan mengambil kira semua faktor dan implikasi ijtihad perlu dilaksanakan. Individu ataupun sekumpulan ilmuan memegang amanah untuk memastikan ijtihad yang dikeluarkan adalah ‘genuine’, ‘justly balanced’ dan menjaga maslahah umum.

Fenomena yang berlaku di Negara Arab khususnya di Timur Tengah begitu menyedihkan seluruh umat manusia. Nyawa seakan terlalu murah dan kezaliman itu seakan menjadi sebahagian daripada Timur Tengah. Ribuan nyawa melayang atas dasar konflik agama, geo-politik, bangsa mahupun faktor ekonomi. Isunya di sini, dengan institusi ijtihad yang berperanan menyelesaikan isu umat, ia kini seakan tidak berupaya, lemah longlai tidak memberikan impak kemaslahatan kepada umat. Adakah kebejatan ini berfaktorkan cacatnya ijtihad atau ijtihad yang batil atau ijtihad yang tidak diberkati.

Lihat saja ijtihad sesetengah ulama yang menyokong rampasan kuasa oleh tentera diketuai Al Sisi di Mesir. Ijtihad ulama yang menyokong rejim Al Assad di Syria juga satu perkara yang sungguh mengecewakan. Bahkan terdapat ijtihad yang sangat kontroversi apabila mengatakan tiada jihad di Gaza menentang zionis Israel. Ijtihad-ijtihad oleh sarjana ilmuan yang boleh dianggap alim dengan ilmunya ini pastinya memberikan implikasi yang sangat signifikan kepada umat.

Ijtihad-ijtihad yang mengiktiraf rejim al Sisi, rejim al Assad dan menidakkan jihad di bumi Palestine ini merupakan antara faktor utama ‘LEGITIMASI’ kepada penyangak-penyangak ini untuk meneruskan agenda jahat mereka. John Locke ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan magnum opusnya Two Treatises of Government mentakrifkan LEGITIMACY ini sebagai ‘legitimacy derives from popular explicit and implicit consent of the governed’. Ini bertepatan dengan apa yang berlaku pada hari ini apabila LEGITIMASI yang diperolehi melalui Ijtihad dan institusinya boleh dianggap sebagai ‘explict and implicit consent of the governed’. Didapati melalui IJTIHAD ELIT sesetengah ulama inilah walaupun melalui proses yang menepati usul hatta dengan keihklasan sekalipun hanya memberikan lampu hijau dan endorsemen untuk rejim mahazalim menyekat kebangkitan umat. LEGITIMASI melalui ijtihad inilah antara yang menjadi faktor kepada terusnya kekuasaan rejim diktator yang secara istiqamah mencabul hak dan menzalimi umat. Lebih membimbangkan, ijtihad inilah yang secara tidak langsung menghalalkan pembiayaan negara Islam seperti Arab Saudi dan UAE menyokong dan mendanai rejim diktator ini.

Sungguh ironi merujuk kepada ijtihad OIC yang menyuarakan penghargaan terhadap usaha Mesir untuk menghentikan serangan Israel dan mencapai keamanan. Kerajaan al Sisi yg sebelum ini telah mendapat restu melalui ijtihad beberapa ulama telah berpakat dengan Israel untuk menekan pejuang Palestin di Gaza diharapkan untuk menjadi penaja rundingan damai.

Adakah ijtihad OIC ini gagal atau dengan niat saja gagal untuk memahami situasi yang berlaku. Rashid al-Ghannushi, pengasas kepada Hizb al-Nahḍah, Parti Pembaharuan Tunisia mendedahkan bahawa Mesir enggan menerima pesawat Tunisia yang sarat dengan ubat-ubatan dan bantuan perubatan di Kaherah untuk dihantar ke Gaza dan membantu pemindahan mangsa kecederaan ke Tunisia. Al-Monitor, 11 Julai 2014 melaporkan: Sebelum serangan Israel ke atas Gaza pada pagi 8 Julai, saluran Al Jazeera Mubasher Misr melaporkan Mejar Jeneral Mohammed Farid al-Tohamy, Pengarah Perkhidmatan Inteligen Am Mesir, telah mengunjungi Tel Aviv beberapa jam sebelum serangan dan bertemu dengan pegawai keselamatan Israel. Dilaporkan juga Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah memberikan Israel kelulusan awal untuk melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaza untuk menghancurkan Hamas. Zvi Bar’el menulis dalam Haaretz, 11 Julai 2014, menyatakan bahawa al-Sisi telah menjadi sekutu tentera Israel secara tidak rasmi, memandangkan dua negara itu bekerjasama rapat dalam menentang Hamas. Menteri Perisikan Israel, Yuval Steinitz semasa temubual dengan Siaran Berita 2 Israel menyatakan, ‘terima kasih Tuhan kerana Mesir bersama kita. Tanpa kerjasama Mesir, Israel tidak akan berjaya menepati misi menyerang Gaza’. Anas Al Tikriti, salah seorang cendiakawan Islam, membuat kesimpulan bahawa sekarang kita telah memahami mengapa berlakunya rampasan kuasa oleh tentera di Mesir di mana Israel menyambutnya dan Arab Saudi dan UAE membiayainya.

Situasi di Syria juga begitu membingungkan. Kekejaman al Assad semasa peristiwa berdarah Qamisyli pada 2004 dan 2008, peristiwa Hasakah pada 2004 dan peristiwa penjara Soydana dan tragedi melampaui batasan kemanusiaan hari ini telah meragut nyawa ratusan ribu rakyat Syria. Ini disahkan oleh Utusan Khas PBB sendiri dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi. Namun, apa yang berlaku ialah masih ada lagi ijtihad-ijtihad yang menyantuni rejim al Assad dan dengan inilah sekali lagi “LEGITIMASI’ ini dimiliki dengan harga yang sangat murah.

Ijtihad dan Fiqh Siyasi

Antara elemen fiqh siyasi yang dibicarakan secara mendalam oleh ramai sarjana kontemporari termasuk Yusuf al Qaradhawi, Rashid Ghanoushi, Tariq Ramadan dan ramai lagi ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun telah ada fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi seperti pandangan Sheikh Abdul Aziz, Mufti Arab Saudi bersandarkan hujah ghawgha, bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain, penulis sangat tertarik dengan metod Yusuf al Qaradhawi menyantuni pandangan ekstrim ini dengan penuh berhemah. Dengan melihat fiqh waqi’ sesuai dengan perkembangan dunia Islam, beliau mengambil pendekatan yang sangat dinamik dan pandangan beliau ini adalah sangat signifikan dalam mempengaruhi gerakan kebangkitan Islam di dunia.

Amat menarik pandangan Yusuf al Qaradhawi ini apabila beliau secara santai menjawab tohmahan ini dan menolak pandangan yang menyatakan demonstrasi aman ini adalah haram. Bagi menguatkan hujah ini, beliau memetik peristiwa Umar al Khattab di awal pengIslamannya di dalam buku bertajuk ’Thaurah Shaab’. Beliau menukilkan bagaimana Umar al Khattab meminta restu Rasulullah untuk menyatakan kebenaran di jalanan bersama-sama dengan beberapa sahabat yang lain. Rasulullah telah memberi keizinan dan restu baginda dan sejurus itulah Umar al Khattab mengetuai sahabat-sahabat yang lain berdemonstrasi secara aman menyatakan kebenaran di depan kaum Musyrikin Mekah pada waktu itu. Peristiwa itu dirakamkan sebagai antara demonstrasi jalanan yang paling awal dalam sejarah Islam.

Keharusan berdemonstrasi aman ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui peristiwa Umar al Khattab di atas malahan ia juga bersandarkan kepada kaedah usul fiqh dan qawaid fiqh. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, adalah boleh disimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman adalah harus. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan mereka dianggap sebagai golongan yang zalim dan bakal menerima azab Allah.

Kenyataan yang menyebut demonstrasi aman ini sebagai tindakan bunyi bising dan tidak bermanfaat juga sebenarnya gagal melihat betapa besarnya kesan dan pengaruhnya pada dunia. Sejarah membuktikan bahawa revolusi dan gerakan pembebasan serta aktivisme sosial melibatkan demonstrasi aman adalah sangat memberi kesan terutama bagi menyuntik kesedaran dan menanam semangat untuk memperjuangkan keadilan. Demonstrasi aman yang dipimpin oleh Gandhi antaranya telah berjaya membebaskan India dari penjajahan, demonstrasi aman anti-apartheid di seluruh dunia telah melenyapkan rejim apartheid di Afrika Selatan, demonstrasi aman di Jerman telah meruntuhkan tembok Berlin, demonstrasi aman di Tunisia telah menjatuhkan rejim Ben Ali dan demonstrasi aman di Mesir telah menundukkan rejim Mubarak. Demonstrasi sebagai salah satu daripada elemen demokrasi ini memberikan ruang masyarakat awam untuk menyuarakan pandangan dan suara isi hati mereka kepada umum. Ia seumpama kesaksian dan refleksi terhadap sesuatu isu yang signifikan kepada kemaslahatan umum dan pastinya tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Inilah antara sebab peri pentingnya para alim ulama mufti memahami fiqh ‘international politic’ secara makro dan mikro dan terlibat secara langsung dengan gerakan islam dan masyarakat dalam memberikan pandangan berkaitan isu isu politik. Pandangan para ulama yang menyokong rampasan kuasa di Mesir seumpamanya sememangnya dapat menghentikan sementara pertumpahan darah tapi lihatlah kesannya, saudara seIslam di Gaza yg menjadi mangsa. Malahan Israel dilihat lebih berkuasa dan bermaharajalela membantai umat Islam tanpa perikemanusiaan. Moga-moga semua ulama yang berpandangan sebegini bersatu padu menarik balik fatwa mereka dan mengecam sekerasnya kerajaan al sisi dan mana-mana rejim diktator di dunia ini. Sesungguhnya kita mengimpikan kesatuan ulama yang punya umat bukan yang hanya punya majikan.

Epilog

Ijtihad merupakan aspek yang sangat signifikan dalam menyelesaikan isu umat. Ijtihad yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat telah mencetuskan fenomena keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, pada hari ini, terdapat ijtihad-ijtihad yang boleh dipersoalkan keberkesanannya malahan kesahihannya. Lebih membimbangkan, dikhuatiri ijtihad-ijtihad ini hanya memberikan ‘LEGITIMASI’ kepada rejim diktator dan sekutunya termasuk rejim zionis untuk terus bermaharajalela. Bahkan secara tidak langsung ijtihad ini juga seakan menghalalkan pendanaan dan pembiayaan terhadap rejim diktator ini oleh negara Islam itu sendiri. Ijtihad yang pada asasnya telah memberikan “LEGITIMASI’ ini akhirnya hanya menerbitkan “ILUSI’. ILUSI IJTIHAD.

Regards
Zulkifli Hasan

Note: The views expressed here are solely those of the author in his private capacity and do not in anyway represent any institution or organisation.

P1120719
With Sheikh Mustafa Ceric, Grand Mufti of Bosnia and Herzegovina, in Sarajevo.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s