The Future of Islamic Finance

KE MANA HALA TUJU KEWANGAN ISLAM?

Zulkifli Hasan

Pada 2-3 September lalu, telah berlalunya Global Islamic Finance Forum 2014 (GIFF) yang dihadiri ribuan ahli perbankan, ekonomi, penganalisis kewangan, penasihat Shari’ah dan ramai lagi dari seluruh dunia. GIFF dianggap antara majlis terpenting dan berprestij tinggi dalam dunia kewangan Islam yang saban tahun dianjurkan. Topik dan isu serta tema perbincangan di dalam forum ini pastinya mendapat liputan dan perhatian seluruh dunia termasuk bank-bank pusat, Bank Dunia, IMF, BCBS, IFSB, IASB, RSA, MDB dan AAOIFI. Harapan yang sangat tinggi diletakkan kepada industri kewangan Islam untuk memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada pembangunan, kadar pertumbuhan ekonomi dan sektor kebajikan sosial serta mampu menjadi peneraju bagi mengurangkan ketidakadilan ekonomi dan merapatkan jurang kemiskinan.

Sepanjang pemerhatian, GIFF 2014 ini memberi gambaran senario sebenar dan realiti kewangan Islam di dunia. Secara umumnya, kerangka pemikiran yang masih lagi berlegar di sekeliling idealism ‘Neo-Classical Economics’ yang menjadikan ’supply’ dan ‘demand’, ‘rationality’ dan ‘utility’ sebagai asas utama. ‘Shareholders value’ dan ‘maximisation of profit’ terus dijadikan asas kepada model perniagaan. Panelis serta ahli perbankan yang mewakili pemain kewangan Islam masih lagi selesa dengan trend dan amalan kewangan Islam semasa yang didominasi oleh pembiayaan berasaskan hutang atau ‘debt-based’ ekonomi. Krisis kewangan yang melanda dunia, seumpama tidak memberikan pengajaran dan ada yang masih beranggapan bahawa dengan amalan kewangan Islam sedia ada, industri ini adalah ‘immune’ daripada krisis. Malahan didapati beberapa elemen kepatuhan Shari’ah juga dipandang ringan di mana terdapat forum perbincangan yang dikendalikan oleh wanita berpakaian yang tidak menepati Shari’ah bahkan menjolok mata. Walaupun dilihat remeh, namun aspek ini sepatutnya diberikan perhatian oleh pihak penganjur bagi menggambarkan kewangan Islam yang benar-benar bersifat holistik dan bukan tempelan semata-mata. Penulis tertarik untuk menyentuh isu kecil ini kerana ia dibangkitkan oleh bukan individu yang mempunyai latarbelakang Shari’ah tetapi oleh individu luar yang tidak terlibat secara langsung dengan kewangan Islam.

Aspirasi dan paradigma ideal kewangan Islam agar ianya lebih signifikan dalam pembangunan ekonomi yang seimbang disampaikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia sendiri. Menariknya, Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zetty Akhtar Aziz memperkenalkan istilah ‘Investment Intermediaries’ berbanding ‘Financial Intermediaries’ yang sering difahami sebelum ini. Perkara ini kemudian diketengahkan dan diperjelaskan kepentingannya oleh Professor Abbas Mirakhor, salah seorang sarjana ekonomi Islam berpengalaman puluhan tahun di IMF yang mengabadikan penyelidikannya dalam bidang kewangan Islam. Beliau memetik beberapa kajian komprehensif mengenai faktor krisis ekonomi dan ‘inequality’ yang berlaku dalam konteks kerangka sistem kewangan. Professor Abbas Mirakhor sangat konsisten dan tegas dengan pendiriannya yang memberikan gagasan agar sistem kewangan Islam ini juga perlu memfokuskan kepada aspek ‘risk sharing’ yang dilihat sangat tidak popular di pasaran. ‘Risk sharing and Value-Based Economy’ bukan sahaja dapat menjadikan ekonomi lebih efisyen bahkan dapat menjana kadar pertumbuhan dengan lebih pesat dan seimbang. Walaupun mendapat perlian dan sambutan hambar ahli perbankan malahan dilihat pandangannya tidak realistik, Professor Abbas Mirakhor telah membuktikan pandangannya melalui penyelidikan-penyelidikan berkualiti tinggi diterajui sarjana kelas dunia.

Thomas Piketty, Profesor Ekonomi di Universiti Paris dalam bukunya ‘Capital in the Twenty First Century’ jelas membuktikan bahawa ‘inequality and wealth concentration’ adalah disebabkan faktor ‘the tendency of returns on capital to exceed the rate of economic growth’. Inilah yang dilihat sedang berlaku dalam amalan dan perlaksanaan kewangan Islam pada hari ini. Dapatan ini selari dengan kajian yang dilakukan oleh Professor Atif Mian dan Amir Sufi masing-masing Profesor di Universiti Princeton dan Universiti Chicago. Menerusi karya bertajuk ‘House of Debt’, Amir Sufi dan Atif Mian membuktikan bahawa ‘great recession and great depression’ adalah disebabkan faktor dominasi sistem kewangan berasaskan hutang yang mengakibatkan hutang isirumah yang tinggi dan seterusnya mencetuskan krisis ekonomi. Ini dikuatkan lagi oleh pandangan Professor Raguram Rajan, Profesor of Finance di University Chicago dalam bukunya ‘Fault Lines’ di mana beliau menjelaskan bagaimana sistem kewangan berasaskan hutang dan faedah (interest) menjadi faktor utama fenomena ‘inequality’ dan kemiskinan. Begitu juga kajian oleh VOX iaitu badan yang menjadi platform kepada penyelidikan oleh ramai ‘leading economists’ telah memberikan gagasan khas bagi mencegah berlakunya sekali lagi ‘Eurozone Crisis’. Pakar ekonomi eropah berpandangan bahawa ‘burying the debt seems to be the only way we can end the crisis’. Banyak lagi karya hebat yang membuktikan perkara yang sama dan berkaitan seperti ‘the Price of Inequality’, Globalization and Its Discontents’ dan ‘Freefall’ oleh Joseph Stiglitz, Pemegang Anugerah Nobel yang mengenalpasti antara faktor berlakunya krisis kewangan adalah kerana ‘excessive financialisation’ dalam sistem ekonomi dan ini termasuk Jeffrey D Sachs dengan karyanya ‘the Root of Crisis’ dan Michael Spence dalam artikelnya ‘From Global Imbalances to Effective Global Governance’.

house of debt

raguram rajan

thomas piketty

stiglitz

Kajian dan penyelidikan yang mengkritik amalan sistem kewangan berpaksikan ‘debt based’ umumnya adalah sangat relevan dengan perlaksanaan kewangan Islam pada hari ini. Keprihatinan ini diluahkan oleh ramai sarjana ekonomi Islam seperti Professor Nejatullah Siddiqi, Professor Umer Chapra, Professor Mehmet Asutay dan ramai lagi. Antara dialog penulis baru-baru ini dengan Profesor Habib Ahmad, Pemegang Kerusi Sharjah di Universiti Durham juga menyebut bahawa industri kewangan Islam tidak kebal atau ‘immune’ malahan bakal dibelenggu krisis sekiranya ia tidak melakukan anjakan paradigma dan berhijrah daripada amalan sedia ada yang dilihat mengikuti jejak langkah kewangan konvensional. Dalam erti kata lain, fenomena berlakunya ‘Convergence’ bukannya ‘divergence’ antara kewangan Islam dan kewangan konvensional. Profesor Mehmet Asutay menyuarakan perkara yang sama di mana beliau melihat kegagalan industri kewangan Islam untuk memberi fokus kepada pembangunan sosio ekonomi terutamanya yang melibatkan golongan bawahan. Begitu juga dengan isikandungan ucaptama oleh Datuk Dr. Abdul Halim Ismail, pemenang anugerah berprestij Anugerah Diraja Kewangan Islam 2014 yang menyebut bahawa industri kewangan Islam pada masa ini hanya menumpukan pada sektor kerajaan dan sektor swasta manakala masih kurang inisiatif di sektor kebajikan sosial.

Reaksi yang kurang memberangsangkan dan sambutan hambar terhadap kritikan yang dilemparkan kepada industri kewangan Islam yang berpaksikan kepada ‘debt-based’ memperlihatkan bahawa ia memerlukan lebih usaha dan inisiatif berterusan untuk mempengaruhi pasaran. Berbanding dengan pemain-pemain kewangan Islam, institusi di barat khususnya seperti di Amerika, Eropah dan Australia sudah lama mengorak langkah melakukan anjakan paradigm dengan membuat pelbagai inovasi dan inisiatif instrumen kewangan berasaskan ‘risk sharing’. Inisiatif berbentuk “Crowdfunding and Equity Crowd Funding’, ‘Equity Finance’, ‘Business Angel Investment’, ‘Investors New Paradigm’, ‘Risk Sharing Finance Facility’, “Risk Sharing Securities’, dan ‘Customer-Owned Banking’ yang kini berkembang maju secara meluas sebagai alternatif kepada instrumen kewangan berasaskan hutang atau riba. Instrumen dan inisiatif sebegini dilihat bakal menjadi arus perdana, menerajui dan mendominasi ekonomi dalam masa beberapa tahun lagi. Institusi-institusi ini jelas cuba mengambil iktibar daripada kesilapan lalu yang mengakibatkan kerugian ribuan juta ringgit dan kemerosotan ekonomi yang menjejaskan kesejahteraan semua. Berbanding dengan institusi ini, amalan kewangan Islam sedia ada seakan bergerak kebelakang bahkan cuba mengikuti jejak langkah dan trend kewangan konvensional ini.

Kewangan Islam merupakan antara sektor yang menjadi harapan bagi menjana kadar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan seimbang. Perlaksanaan kewangan Islam pada hari ini mendapat kritikan ramai sarjana dan cendiakawan khususnya dari aspek instrument, ‘character’ dan pendekatan sedia ada yang dilihat seakan cenderung untuk ‘convergence’ dengan kewangan konvensional. Pelbagai kajian dan penyelidikan yang membuktikan kelemahan dan bahaya sistem kewangan yang didominasi hutang juga menyerlahkan betapa kewangan Islam perlu mengorak langkah memikirkan untuk membuat anjakan paradigma dalam ‘business model’nya. Semua pihak akur bahawa kewangan Islam pastinya tidak kebal atau ‘immune’ daripada krisis dan potensi berlakunya krisis juga dilihat sangat berkemungkinan untuk berlaku sekiranya tiada perubahan dilaksanakan. Gagasan sarjana yang mengusulkan ‘risk sharing and value based-system’ adalah sangat bertepatan dan perlu difikirkan untuk dilaksanakan. Walaupun diakui bahawa terdapat halangan-halangan dan cabaran-cabaran sama ada dari sudut ‘supply and demand’, ruanglingkup undang-undang, ‘shareholders’ appetite’ dan sebagainya, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak berbuat demikian. Jika di barat sudah ada gerakan dan inisiatif berasaskan ‘risk sharing and value-based instrument’ seperti Crowdfunding and Equity Crowd Funding’, ‘Equity Finance’, ‘Business Angel Investment’, ‘Investors New Paradigm’, ‘Risk Sharing Finance Facility’, “Risk Sharing Securities’, dan ‘Customer-Owned Banking’, kewangan Islam sewajibnya lebih terkehadapan sesuai dengan aspirasi maqasid Shari’ah yang menjadi paksi kepada sistem ekonomi Islam itu sendiri.

Regards

Zulkifli Hasan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s