Is Islam Compatible with Democracy?

ADAKAH DEMOKRASI SELARI DENGAN ISLAM?

Zulkifli Hasan

Abstrak

Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat dan produk sekularisme yang tidak boleh diterima dalam Islam. Hatta ada segelintir golongan yang menolak demokrasi secara total dan menganggapnya sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan dan bertentangan dengan prinsip Shari’ah Islam. Persoalan tipikal yang kerap kali diajukan adalah adakah demokrasi serasi dan wujud dalam Islam. Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah kejatuhan empayar Islam dan timbulnya konsep negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka sesuai dengan peredaran zaman. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai teknologi tinggi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan dari segi ilmu pengetahuan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi seringkali dikategorikan sebagai negara-negara yang mundur dan bermasalah dari aspek sosio ekonomi dan politik. Keadaan atau fakta ini menimbulkan secara tidak langsung pengaruh dan kesan demokrasi dan seterusnya menimbulkan persoalan kedudukan demokrasi itu menurut perspektif Islam dalam konteks dunia pada hari ini.

PENDAHULUAN

Mutakhir ini, dunia menyaksikan beberapa insiden dan trajedi kegagalan sistem demokrasi di dunia Islam. Kebangkitan rakyat di beberapa dunia Arab khususnya di Mesir yang dilihat berupaya merubah senario politik di Timur Tengah akhirnya terkubur didalangi oleh oleh rejim diktator baru. Sistem demokrasi yang diperkenalkan di dunia Arab selepas kejatuhan rejim diktator seperti Iraq dilihat juga gagal untuk menjanjikan pembangunan dan keamanan. Fenomena ini seakan membuktikan bahawa demokrasi adalah bermasalah dan tidak sesuai dengan dunia Islam. Malahan, ia menerbitkan satu kegelisahan yang lain di mana warga yang sebelum ini mempunyai sedikit keyakinan pada demokrasi tetapi hari ini mula sudah mempertikaikan kerelevanannya. Sudah pasti ketidakpuashatian ini memberikan ruang kepada sesetengah golongan yang dianggap ekstremis untuk menanam kefahaman perjuangan menubuhkan negara melalui medium yang lebih radikal. Kegagalan sistem demokrasi yang disaksikan pada hari ini juga seolah-olah membenarkan pandangan-pandangan yang menolak demokrasi sebagai satu sistem yang diterima. Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat yang tidak boleh diterima dan diamalkan bahkan ada golongan yang menolak demokrasi secara total dan menganggapnya sebagai perbuatan syirik menyekutukan Tuhan.

Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah terbinanya negara bangsa, konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan negara-negara yang menguasai sains dan teknologi, berpengaruh, berkuasa dan terkehadapan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi ataupun melaksanakan demokrasi yang ‘artificial’ adalah negara-negara yang bermasalah dari aspek sosio ekonomi, politik dan keadilan sosial . Fakta ini pastinya menimbulkan persoalan mengenai model sistem politik yang paling ideal kepada sesebuah negara Islam.

Ulama kontemporari terutamanya ulama haraki secara umumnya menerima demokrasi sebagai salah satu wadah dan saluran untuk melaksanakan Islam sebagai satu gaya hidup. Demokrasi yang mengutamakan hak asasi, kebebasan dan keadilan adalah sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam malahan ia sangat seiring dengan tuntutan maqasid Shari’ah. Bersesuaian dengan signifikannya isu ini, artikel ini cuba menghuraikan pandangan peribadi penulis mengenai konsep demokrasi menurut perspektif Islam dan cuba menjawab persoalan sejauh manakah demokrasi serasi dan sesuai dengan ajaran Islam. Penulisan ini tidak bermaksud untuk membincangkan secara mendalam konsep demokrasi menurut perspektif Islam tetapi bertujuan untuk memperjelaskan secara ringkas teras utama dan konsep asas yang sewajarnya menjadi perhatian semua dalam membincangkan topik yang sangat signifikan ini.

GOLONGAN ‘REJECTIONIST’ (PENOLAK) KONSEP DEMOKRASI

Dunia hari ini menyaksikan masih terdapat pemikiran yang menolak demokrasi sebagai sesuatu yang diterima dalam Islam. Golongan ini menganggap demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam kerana ia adalah ‘western or foregin construct’ dan sistem nilai dalam demokrasi adalah asing dalam Islam. Ayman Dhawahiri, adalah antara mereka yang menolak demokrasi malahan mengaitkannya dengan akidah iaitu menyekutukan Allah . Malahan beliau menyatakan demokrasi merupakan agama baru yang menimbulkan pelbagai permasalahan kepada umat Islam. Pandangan sebegini merumuskan bahawa demokrasi dan Islam itu tidak seiring dan saling bertentangan. Konsep Tawhid yang merujuk kepada kekuasaan Allah swt secara mutlak termasuk aspek politik di mana kuasa membuat undang-undang dan polisi adalah milik Allah swt adalah berlawanan dengan demokrasi yang meletakkan kuasa itu di tangan manusia.

Demokrasi juga dikatakan menyekutukan Allah swt apabila merujuk bahawa kuasa politik dan perundangan kini diletakkan di tangan manusia. Ini berkait rapat dengan kefahaman mengenai konsep hakimiyyah (sovereinity of God) bahawa sistem politik itu adalah hukmullah (God’s rule) dan demokrasi itu adalah hukmu sha’b (Man’s rule). Berdasarkan kefahaman inilah ada golongan yang mengambil pendirian bahawa demokrasi adalah sesuatu perkara yang mensyirikkan Allah kerana ‘sovereignity’ itu diletakkan di bahu manusia dan bukan lagi menyentuh mengenai ‘God’s sovereignity’. Mereka melihat ia berlawanan dengan konsep ‘God’s sovereignity’ yang meletakkan kuasa membuat undang-undang adalah hak milik tunggal Allah swt.

Pandangan yang menolak demokrasi juga menolak sebarang proses demokrasi termasuk pilihanraya dan sesiapa yang terlibat dalam apa jua proses demokrasi ini diiktiraf telah melakukan perkara yang haram dan boleh dianggap sebagai kufur dan syirik. Hukum haramnya mengundi dan terlibat dengan proses demokrasi adalah berasaskan kepada kefahaman bahawa demokrasi itu mengangkat manusia melebihi Tuhannya. Mahmud Abdul Karim Hasan, pemimpin hizb al tahrir misalnya menyelar Rached al Ghannoushi yang menerima konsep demokrasi dan mengkritik keras karya Ghannoushi yang signifikan mengenai hak kebebasan iaitu Hurriyyah al Ammah fi Dawlah al Islamiyyah.

Terdapat juga pandangan lain yang menolak demokrasi kerana ia dianggap sebagai produk tamadun barat. Mana-mana golongan yang menerima demokrasi itu dilabelkan sebagai terpengaruh dengan barat dan tidak lagi mampu untuk berfikir dalam ruang lingkup ketamadunan Islam kerana mengalami sindrom salah faham tentang Islam. Barat dilihat menggunakan demokrasi sebagai alat untuk menguasai Negara Islam. Sheikh Faisal, pemimpin salafi jihadi di United Kingdom misalnya pernah mengatakan bahawa sesiapa yang menerima konsep demokrasi seperti Rached al Ghannoushi adalah lebih buruk dari penganut Hindu dan Kristian. Abdul Rashid Moten dalam artikelnya ‘Democratic and Shura-based Systems: A Comparative Analysis’ membuat kesimpulan bahawa demokrasi merupakan ‘western conspiracy or agenda’ dan ‘cultural imperialism’ untuk menjajah umat Islam dalam bentuk yang baru. Malahan golongan ini melabelkan sarjana yang menerima konsep demokrasi itu sebagai produk ‘urban elite phenomenon’ dipelopori oleh ‘western-educated Muslim elite’.

Al Jamaat al jihadiyah termasuk hizb al tahrir juga mengambil pendirian bahawa demokrasi merupakan nizamu kufr atau sistem yang menyekutukan Allah swt. Mereka berpandangan bahawa demokrasi itu bertentangan dengan ideologi dan idea dalam Islam . Umumnya golongan ini menolak demokrasi dengan membuktikan keburukan sistem ini melalui apa yang berlaku di barat. Wakil yang dipilih melalui pilihanraya bukanlah sebenarnya mewakili rakyat tetapi mewakili golongan peniaga dan pemodal. Golongan ini juga berhujah, demokrasi membolehkan perkara yang haram dihalalkan dan benda yang halal boleh diharamkan seperti riba, zina, homoseksual dan sebagainya. Sistem demokrasi akhirnya membawa kepada keruntuhan moral dan penuh dengan eksploitasi golongan hartawan dan elitis yang memusnahkan masyarakat.

GOLONGAN ‘SECULARIST’ YANG MEMPERSOALKAN KERELEVANAN DEMOKRASI DALAM ISLAM

Selain golongan ‘rejectionist’ terdapat juga pihak yang mempersoalkan kerelevanan demokrasi dalam Islam yang dipelopori oleh golongan ‘arab secularist’. Golongan ini berpandangan bahawa demokrasi adalah produk sekularisasi bercirikan ‘secularist values’. Islam adalah langsung tidak sesuai dengan konsep demokrasi kerana ia bersandarkan kepada fahaman agama manakala demokrasi adalah asing daripada agama. Pandangan yang menerima demokrasi dalam Islam dianggap idea yang hanya cuba untuk replikasi sistem sekular tanpa asas yang munasabah.

Antara tokoh sekular yang mengkritik pandangan yang menerima demokrasi dalam Islam ialah Haydar Ibrahim Ali seorang yang berpemikiran Marxist. Dalam bukunya ‘Islamic Currents and the Question of Democracy’, beliau mengkritik hebat sebarang perbincangan mengenai demokrasi dan Islam. Beliau mengatakan adalah mustahil untuk ‘menyatukan’ nilai-nilai yang ada dalam demokrasi dan Islam. Demokrasi merujuk kepada unsur insani atau humanism manakala Islam pula menjurus kepada konsep Ilahi atau Ketuhanan. Terdapat konflik yang jelas antara nilai humanisme dan Ketuhanan. Golongan ini juga menolak konsep al istikhlaf atau manusia sebagai khalifah yang cuba dikaitkan dengan demokrasi.

DEKONSTRUKSI PERSOALAN MENGENAI DEMOKRASI DALAM ISLAM

Terdapat beberapa sarjana barat yang berpengaruh seperti Benny Moris dan Eliot Cohen membuat tohmahan bahawa Islam adalah agama ‘intolerant, expansionist, evil, and violent’ . Ia mengingatkan penulis ketika menonton suatu rancangan di Amerika Syarikat apabila pembicara di dalam siaran televisyen tersebut mengatakan bahawa semua agama mengajak kepada keamanan kecuali Islam. Ini merupakan pandangan tipikal sesetengah sarjana barat yang mengalami sindrom Islamofobia bahkan menghidapi penyakit kecetekan ilmu asas dalam memahami Islam. Sarjana dan pemikir barat tersohor yang lain seperti John Voll, John Esposito, Karen Armstrong dan David Levering Lewis melihat dengan secara lebih akademik dan adil apabila membicarakan aspek agama dalam sistem politik dan kehidupan.

David Levering Lewis dalam bukunya ‘the God Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215’ mencatatkan bahawa kegemilangan tamadun Islam khususnya pada abad ke 8-13 masihi telah melahirkan tamadun dan peradaban Eropah. Eropah pada waktu itu yang dizahirkan sebagai ‘intolerant and semi-barbaric’ berbanding umat Islam yang toleran dan bertamadun. Malahan beliau menukilkan bahawa ketinggian tamadun Islamlah yang menjadi pencetus kepada ‘a momentous revolution in power, religion, and culture to Dark Ages Europe’. Beliau menyatakan bahawa sekiranya tidak berlaku perhubungan peradaban dan ketamadunan Islam dengan Eropah, Reinassance dan revolusi peradaban tidak akan berlaku di Eropah. Sejarah juga menyaksikan bagaimana Islam memberi kebebasan malahan menyelamatkan ramai nyawa manusia di era pembunuhan yahudi secara besar-besaran di Eropah satu ketika dulu.

Karen Armstrong juga dalam buku terbaru beliau bertajuk ‘Fields of Blood, Religion and the History of Violence’ menolak tuduhan dan persepsi buruk terhadap Islam melalui ‘cultural and historical approaches’. Beliau memberikan dimensi baru yang cuba membetulkan persepsi umum bahawa agama khususnya Islam adalah faktor utama kepada berlakunya pertumpahan darah dan peperangan. Melalui pendekatan budaya dan sejarah beliau menelusuri faktor utama berlakunya pertumpahan darah yang sebenarnya sarat dengan cita-cita politik termasuk bahaya ‘secularism’.

Persoalan yang kerap kali diusulkan dalam pelbagai diskusi dan tema perbincangan ialah apakah demokrasi serasi dengan Islam? Apabila meneliti soalan ini, ia sebenarnya adalah soalan yang tidak tepat dan ‘misleading’. Soalan ini menjurus kepada perbincangan dari sudut teologi yang kerap kali menimbulkan pelbagai polemik dan tidak menyelesaikan masalah. Sekiranya ada yang mempertikaikan keserasian Islam dengan demokrasi persoalan yang sama juga boleh dilontarkan, adakah Budha, Kristian, Judaism, Hindu dan agama lain serasi dengan demokrasi. Sejarah menyaksikan bahawa demokrasi adalah tidak serasi selama ratusan tahun di Eropah yang majority warganya beragama Kristian. Ini juga dinukilkan oleh Francis Fukuyama bahawa persoalan mengenai adakah demokrasi serasi dengan Islam adalah tidak tepat kerana soalan yang sama juga boleh diajukan kepada Kristian, Hindu, Budha, Judaism dan lain-lain agama. Beliau berpandangan bahawa soalan mengenai hubungkait demokrasi dan agama merujuk kepada ‘sociological aspect’ dan bukan ‘theological issue’.

Perbincangan mengenai demokrasi menurut perspektif Islam sepatutnya merangkumi aspek sosiologi dan hukum. Soalan yang sepatutnya diajukan dan dijadikan tema adalah adakah umat Islam boleh menyerasikan diri dengan demokrasi dan adakah prinsip-prinsip demokrasi itu berlawanan dengan prinsip-prinsip Shari’ah. Memandangkan demokrasi itu adalah sebahagian daripada aspek al siyasi dan merupakan cabang atau faraghat, perbincangan mengenainya adalah sangat terbuka kepada ijtihad. Menyentuh konsep ijtihad, ia pastinya melibatkan proses ataupun metodologi berasaskan nas yang sahih dan menggunakan fakulti akal dalam menginterpretasi sesuatu perkara. Ijtihad memainkan peranan yang besar dalam memberikan penyelesaian yang ideal dan praktikal dalam kehidupan manusia termasuk sistem politik.

REKONSTRUKSI KONSEP DEMOKRASI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Setelah melakukan dekonstruksi kepada persoalan mengenai demokrasi, seterusnya penulis ingin menyentuh beberapa aspek demokrasi yang sangat signifikan dalam memahami demokrasi menurut perspektif Islam. Perbincangan mengenai konsep demokrasi hanya akan relevan dan bermakna sekiranya asas soalan atau tema diskusi itu adalah bertepatan dengan disiplin ilmu itu sendiri. Malek Bennabi telah lama menghuraikan dilema umat Islam yang masih mempersoalkan sama ada demokrasi itu serasi atau wujud di dalam Islam. Sarjana dan pemikir Islam kontemporari yang terlibat secara langsung dalam gerakan Islam arus perdana yang telah melalui pelbagai onak dan duri perjuangan juga telah membahaskan konsep demokrasi bersandarkan kepada nilai dan prinsip Islam.
Asal Usul Demokrasi

Demokrasi berasal daripada dua perkataan Greek sekitar 430 sebelum masihi iaitu demo (the rule) kratos (the people) yang bermaksud ’the rule of the people’ atau ’the rule of the masses’. Demokrasi di Eropah dilahirkan melalui reformasi dan Reinassance hasil daripada perjuangan menegakkan keadilan sosial. Dalam erti kata lain demokrasi adalah hasil daripada tindakbalas semula jadi manusia kepada ketidakadilan sosial menerusi gerakan kemanusiaan yang menjunjung nilai kebebasan.

Secara umumnya demokrasi itu merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Joseph Schumpeter mendefinisikan demokrasi sebagai “the democratic method is that institutional arrangement for arriving at political decisions in which individuals acquire the power to decide by means of a competitive struggle for the peoples’s vote.” Definisi ini menggariskan bahawa antara teras utama demokrasi adalah sistem politik dan ’civil liberty’, kerajaan, rakyat dan masyarakat sivil. Sistem demokrasi ini melalui proses pilihanraya yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak tepat. Walaupun, demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ia telah melalui satu proses yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya.

Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan untuk mendapatkan demokrasi itu merupakan usaha suci rakyat semata-mata untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan. Pengaruh daripada ketinggian dan ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah, Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al hurriyyah’ pada waktu itu juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi.

Penulis sangat yakin bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Ibn Arabi, Ibn Sina dan ramai lagi. John Makdisi, Christopher Weeramantary dan ramai lagi sarjana barat mengakui bahawa tamadun Islam bukan sahaja memberi sumbangan dari sudut sains dan teknologi tetapi juga mempengaruhi ramai pemikir dan ahli falsafah barat. Ini diakui sendiri oleh David Levering Lewis yang menyatakan bahawa sekiranya tiada kegemilangan tamadun Islam pastinya tiada juga tamadun dan peradaban Eropah termasuk sistem demokrasi yang diagung-agungkan itu.

Konsep Hakimiyyah dan Faraghat

Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Universiti Stanford secara jelas menyatakan bahawa ‘Islam and democracy are fully compatible. Beliau mempertahankan pandangannya dengan mengatakan bahawa “the contention that Islamic and democracy are diametrically opposed to each other is without foundation’. Menghuraikan dengan lebih lanjut, beliau membicarakan konsep Islam dan kebebasan, undang-undang, tadbir urus dan kepentingan ekonomi manusiawi yang kesemuanya seiring dengan prinsip demokrasi. Pandangan ini juga sebenarnya disepakati oleh ramai ulama dan pemikir terkemuka kontemporari seperti Yusuf al Qaradawi, Rached al Ghannoushi, Tariq Ramadan dan ramai lagi. Namun begitu, ucapan Anwar Ibrahim adalah ringkas dan tidak menyentuh dan menjawab beberapa persoalan golongan ‘rejectionist’ dan ‘secularist’ yang mengkritik keras konsep demokrasi dalam Islam.

Meneliti hujah golongan ‘rejectionist’ dan ‘secularist’, sememangnya mempunyai persamaan yang nyata walaupun berlatarbelakang yang berbeza. Dengan perbezaan fahaman dan ideologi, golongan’rejectionist’ dan ‘secularist’ ini seakan bersama dalam mempersoalkan kerelevanan demokrasi dan Islam. Cuma, kedua-dua golongan ini menggunakan hujah yang berbeza sesuai dengan kefahaman dan disiplin ilmu yang dimiliki. Bagi menjawab persoalan ini, adalah amat penting untuk memahami konsep hakimiyyah dan faraghat serta kaitannya dengan demokrasi. Selain daripada itu, perbincangan demokrasi juga perlu berlaku dengan kaedah dan metodologi serta perspektif yang bersesuaian seperti yang diungkapkan oleh Malek Bennabi, pemikir dan sarjana hebat Islam berasal dari Algeria.

Malek Bennabi membicarakan konsep demokrasi secara mendalam dalam bukunya Al Dimuqratiyyah fi al Islam. Bennabi mempersoalkan kaedah dan metodologi dalam membincangkan persoalan adakah demokrasi wujud dalam Islam? Sekiranya menggunakan metodologi perbandingan demokrasi sebagai konsep politik yang memberikan autoriti kepada manusia dalam sesuatu sistem sosial dan Islam sebagai konsep metafizik yang melihat bahawa autoriti itu hanyalah amanah dari Tuhan maka sudah pasti ia akan menimbulkan pelbagai persoalan dan polemik. Bennabi menyatakan bahawa jawapan kepada persoalan ‘adakah wujud demokrasi dalam Islam? Ialah merujuk kepada pemahaman secara menyeluruh kepada prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Beliau menukilkan bahawa konsep demokrasi itu ‘not necessary obtainable from a given rule of fiqh deduced from the Quran or the sunnah, but is obtainable from a comprehensive understanding of the essence of Islam’.

Al Ghannoushi menukilkan beberapa kali bahawa pandangan yang menolak demokrasi secara total dan mengaitkannya dengan kesyirikan mempunyai permasalahan dari aspek kurangnya ilmu mengenai elemen kemanusiaan dan juga telah diindoktrinasi dengan fahaman Islam yang sempit melalui bacaaan literature yang terhad. Beberapa konsep penting seperti hakimiyyah (Sovereignity of God) dan faraghat (ruang untuk berijtihad) perlu difahami secara mendalam dan berhikmah. Golongan yang menolak demokrasi ini sering menggunakan konsep hakimiyyah sebagai hujah utama.

Al Ghannoushi melihat bahawa konsep hakimiyyah itu juga sebenarnya adalah selari dengan demokrasi sekiranya difahami dengan mendalam. Beliau menjelaskan maksud sebenar konsep kerajaan Islam yang merujuk hukmullah dan demokrasi itu sebagai hukm al sha’b dengan merumuskan bahawa “hukmullah does not mean that God comes down and governs humans, but means the sovereignty of law, which is fundamental feature of a modern state, the state of law and order. God is the absolute sovereign but in the sense that the authority of anything or anybody else is relative and isderived from God”. Konsep hukmullah, secara tidak langsung memberi maksud bahawa manusia adalah khalifah Allah yang menjalankan tanggungjawab memakmurkan muka bumi ini yang disebut sebagai hukm al sha’b. Amanah yang dipertanggungjawabkan ini kepada manusia adalah terhad dan bersumberkan Shari’ah dan menepati konsep ahlul hal wal aqd. Konsep hakimiyyah ini selari dan tidak bertentangan dengan unsur demokrasi iaitu hak kebebasan. Ini kerana konsep hakimiyah ini yang menjadi garis panduan kepada manusia untuk menguruskan urusannya di dunia.

Demokrasi juga sebenarnya adalah hanya sebahagian kecil daripada aspek al siyasi dan dikategorikan sebagai faraghat atau ruang untuk ijtihad seiring dengan peredaran masa dan zaman. Ini berkait rapat dengan konsep al dini (akidah dan ibadah) dan al siyasi (politik dan hubungan sesama manusia). Demokrasi adalah salah satu aspek al siyasi yang diharuskan ruang untuk berijtihad dan berbeza pandangan. Sebagai contoh, Rasulullah saw tidak pernah meninggalkan wasiat atau apa-apa hukum mengenai metod pemilihan pengganti Baginda sebagai khalifah. Ini menunjukkan konsep faraghat memberikan ruang kepada para sahabat untuk membuat ijtihad mengenai cara pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah saw. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam membuka ruang berijtihad secara fleksible dalam aspek yang secara semulajadinya adalah berubah dengan peredaran zaman dan ini termasuk aspek al siyasi . Ini merupakan salah satu kekuatan dan hikmah prinsip Shari’ah Islam yang memberi kemudahan dan ‘flexibility’ apabila melibatkan urusan al siyasi.

Bagi menjawab pandangan golongan ‘secularist’ yang mengatakan bahawa demokrasi dan Islam adalah bertentangan dari segi konsep demokrasi itu sendiri, ia memerlukan kefahaman kepada teks dan sumber al Quran dan al Sunnah secara menyeluruh. Menerima demokrasi tidak bermakna penerimaan secara total tanpa had dan batasan. Model demokrasi dalam ‘realm’ Islam adalah bersandarkan kepada konsep hakimiyyah (Sovereignity of God) dan manusia diberi ruang untuk berijtihad selagi mana ia tidak bertentangan dengan nas-nas syarak yang merujuk konsep faraghat. Falsafah yang mengangkat suara rakyat merupakan terjemahan daripada konsep al istikhlaf, iaitu manusia sebagai khalifah dan mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir muka bumi ini dengan amanah yang diberikan oleh Allah swt.

Reformasi al Siyasi dan Konsep Syura

Sekiranya ditelusuri sejarah, Islam telah mendahului reformasi politik sejak dari zaman Rasulullah saw. Setelah kewafatan Rasulullah saw, buat pertama kalinya dalam sejarah pada masa itu, ummah diberikan hak untuk memilih khalifah atau pemimpin mereka melalui wakil yang menduduki kerusi syura. Rasulullah tidak pernah meninggalkan wasiat atau apa-apa hukum tentang pewarisan khalifah kepada keluarga Baginda mahupun ahli keluarga terdekat. Ini merupakan satu reformasi al siyasi yang luar dari amalan biasa mana-mana kerajaan pada waktu itu sama ada empayar Rom mahupun Parsi.

Reformasi al Siyasi yang dimulakan pemerintahan Islam ini boleh dikatakan sebagai satu ‘revolutionary process’ di mana rakyat yang diwakili oleh ahli syura bermesyuarat untuk memutuskan siapa yang layak menjadi khalifah. Tiada mana-mana sistem pemerintahan pada waktu itu yang memberikan ruang untuk rakyatnya atau wakil bagi memilih pemerintah utama Negara. Kesemuanya mengamalkan hak pewarisan pemerintahan daripada seorang ketua Negara atau dalam erti kata lain sistem monarki.

Reformasi politik ini juga menyaksikan penginstitusian syura. Syura yang dianggotai oleh individu terbaik mewakili umat Islam pada masa itu dan syuralah yang membuat keputusan-keputusan penting Negara termasuk memilih khalifah. Sesuai dengan keadaan pada waktu itu, institusi syura ini boleh dianggap sebagai menepati salah satu ciri prosedur dalam sesebuah sistem demokrasi. Ini boleh disaksikan dengan jelas dalam kes pemilihan Khalifah pengganti Saidina Umar al Khattab. Institusi syura telah menetapkan dua nama yang tersenarai sebagai calon paling layak sebagai Khalifah iaitu Saidina Uthman ibn Affan dan Saidina Ali Ibn Abi Talib. Buat pertama kalinya dalam sejarah, satu tinjauan umum dilaksanakan kepada warga Madinah secara saksama pada waktu itu tidak kira perempuan ataupun lelaki, Islam ataupun Yahudi bagi mendapatkan maklumbalas umat mengenai pemilihan khalifah. Akhirnya Saidina Uthman ibn Affan telah dilantik menggantikan Saidina Umar al Khattab sesuai dengan kehendak suara majoriti rakyat pada waktu itu.

Demokrasi sebagai salah satu dari aspek al Siyasi itu adalah sesuatu yang progresif dan dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat atau ”al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan)’ bagi menjamin hak-hak dan kebebasan berlandaskan syarak. Kuasa rakyat ini tidak bersifat mutlak tetapi bersandarkan kepada hakimiyyah iaitu ‘Sovereignity of God’. Penginstitusian syura merupakan reformasi al siyasi yang menjadi antara asas kepada proses demokrasi itu sendiri. Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap sebagai proses penginstitutian konsep syura dalam bentuk yang lebih segar, moden dan sesuai dengan waqi’ moden.

Al Hurriyyah (kebebasan)

Al hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada unsur demokrasi. Dalam isu ini penulis sangat tertarik untuk merujuk karya Rachid al Ghannoushi bertajuk Al-Hurriyah al ‘Ammah fid Dawlah al Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam). Buku ini penulis anggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran politik Islam kontemporari. Dalam buku ini, al Ghannoushi melihat demokrasi sebagai natijah daripada proses dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak. Kebebasan dan hak ini jugalah yang menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh beliau dalam karyanya yang lain bertajuk ”Al Dimuqratiah wa al Huquq fi al Islam”.

Kebebasan dalam Islam mestilah seiring dengan keadilan. Konsep hurriya wa al Adala adalah asas kepada demokrasi dalam Islam. Ini dijelaskan dalam al Quran menerusi Surat al Ma‘idah ayat 8: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Begitu juga dalam Surah al An’am ayat 115 di mana Allah berfirman: “Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui”.

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika itu merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam. Bersandarkan kepada dalil yang sahih dan sejarah yang panjang bahawa Islam itu hanya akan subur dan segar di mana sahaja al hurriyyah itu didokong. Al hurriyyah yang dimaksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu. Prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan kebebasan dan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah) dan musyawarah (syura).

Hubungan Dengan Bukan Islam

Dalam konteks demokrasi dibawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Bagi maksud ini, konsep ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ dan ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam.

Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Ukhuwat al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.

Istilah ‘al Ukhuwat al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan politik kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil seorang intelektual dan ulama haraki ini juga berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoriti bukan Islam di Malaysia. Beliau memetik beberapa ayat al Quran yang tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan seperti di dalam surah al Hujurat: 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara’tetapi dengan maksud yang lebih luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. Ini dirakamkan oleh Allah swt di dalam al Quran seperti (…akhuhum Nuh…) surah al Shu`ara’: 105, 106, (akhuhum Lut) surah al Shu`ara’: 160,161, (akhuhum Hud) surah al Shu`ara’: 124, dan (akhuhum Salih ) surah al-Shu`ara’:1 42. Kata akhuhum dalam ayat-ayat ini secara jelas member makna persaudaraan walaupun pada waktu itu masih ada warga yang masih tidak beriman dengan Allah swt.

Hak Asasi Manusia

Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam dan demokrasi mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan demokrasi Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini sebenarnya adalah manifestasi daripada kurang kefahaman mengenai konsep Islam itu sebagai agama rahmat untuk sekelian alam. Ayat 70 surah al Isra secara jelas mengangkat martabat manusia yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu yang menunjukkan keuniversalan Islam itu sendiri.

Sejarawan selalu merujuk dokumen Magna Carta pada zaman pemerintahan King John of England pada 1215 masihi yang dianggap sebagai pencetus kepada perubahan demokratik menuju demokrasi dalam sejarah Eropah. Namun, ramai yang tidak merujuk kepada dokumen yang lebih awal lagi iaitu pada 622 masihi yang juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada deklarasi hak asasi manusia terawal iaitu Piagam Madinah. Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal iaitu 23 fasal mengenai hubungan antara umat Islam sesama umat Islam dan 24 antara umat Islam dan bukan Islam termasuk yahudi . Di dalamnya terdapat banyak deklarasi hak asasi manusia seperti hak kesamarataan sebagai warga Madinah tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Deklarasi Hak Asasi Manusia Kaherah 1990 juga menggariskan 25 fasal mengenai prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang selari dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diisytiharkan pada 1948 di Paris. Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) dalam kajiannya bertajuk ’Human Right in Islam’ juga mengesahkan bahawa konsep hak asasi manusia adalah tidak bertentangan dengan Islam bahkan Islam memelihara dan mengangkat hak asasi manusia secara adil dan saksama.

Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah swt di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Aspirasi mengangkat hak asasi manusia tidak bermakna ia boleh melampaui prinsip-prinsip syarak. Batas-batas hak asasi ini disandari dengan nas-nas syarak yang berkait rapat dengan konsep hakimiyyah di mana hanya Allah swt yang Berkuasa Mutlak dan manusia perlu mematuhi batas dan perintah yang terkandung dalam al Quran dan al Sunnah. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Shari’ah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ia bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Memetik pandangan Professor Cherif Bassiouni yang dikenali sebagai ‘Father of International Criminal Law’ yang menulis bahawa “the basic principles of Islam and the accused’s rights are well articulated and developed in the various jurisprudential schools, and some are more liberal than others. They correspond to many international human rights standards”. Ini jelas membuktikan unsur memelihara hak asasi yang dituntut oleh Islam adalah selari dan seiring dengan prinsip demokrasi.

Tahaluf Siyasi

Antara perkara yang sehingga kini masih menjadi perdebatan mengenai demokrasi ialah isu perkongsian kuasa dengan bukan Islam atau dalam istilah tersohornya iaitu ‘tahaluf siyasi’. Ironinya, di saat amalan politiknya sudah jelas bahawa sudah terlaksana konsep perkongsian kuasa ini untuk sekian lamanya, masih ada segelintir pihak yang kembali mempersoalkan keharusan ‘tahaluf siyasi’ ini. Hinggakan sudah ada gerakan dan arus baru yang cuba mempengaruhi umat Islam menentang bentuk perkongsian kuasa dengan bukan Islam walaupun dari segi fiqh waqi’nya adalah tidak realistik.

Isu tahaluf siyasi dalam konteks demokrasi hari ini sebenarnya boleh difahami dengan mudah sekiranya fiqh sirah itu difahami secara menyeluruh ditambah dengan kefahaman konsep al ukhuwat al muwatinun dan al ukhuwat al insaniyah yang dibicarakan di atas. Terdapat beberapa peristiwa penting di mana Rasulullah saw mendapatkan khidmat orang bukan Islam termasuk kisah hifl al fudhul dan amalan para pemerintah Islam terdahulu di mana kesemua ini secara tidak langsung membuktikan keharusan untuk bertahaluf siyasi ini.

Tahaluf siyasi ini juga sangat seiring dan bertepatan dengan konsep ummah yang sekiranya difahami secara lebih luas. Al Ghannoushi ketika membicarakan konsep ummah ini menyentuh ayat 72 surah al Anfal dan relevannya dengan konsep demokrasi, ummah dan kewarganegaraan. Allah swt berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansaar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia diantara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan”.

Mengupas ayat di atas, al Ghannoushi berpandangan bahawa konsep ‘Ummah’ yang diasaskan oleh Rasululullah saw di dalam Piagam Madinah bukan hanya merujuk kepada umat Islam tetapi merangkumi semua termasuk yahudi dan semua bangsa dan agama di Madinah pada waktu itu. Bahkan orang yang beriman tetapi belum berhijrah ke Madinah tidak dianggap sebagai ‘warganegara’ Madinah pada waktu itu. Ini merupakan mesej yang sangat jelas tentang konsep ummah dan kewarganegaraan yang semestinya difahami oleh umat Islam secara bijaksana dan dalam masa yang sama membuka ruang kepada harusnya bertahaluf siyasi dengan sewarganegara. Ini juga bertepatan dengan konsep al ukhuwah al muwatinun yang mengiktiraf dan memelihara hak samarata kepada warganegara.

Antara bentuk ‘tahaluf siyasi’ yang paling awal dalam sejarah Islam ialah ketika Rasulullah saw menganggotai hilf al fudhul iaitu sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin untuk memelihara keamanan dan melindungi golongan mustad`afin. Peristiwa ini jelas membutikan keharusan untuk bertahaluf siyasi ini. Malahan ada riwayat memetik hadith yang disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.

Kisah Hisham ibn Amr al Amiriy yang memperjudikan nyawa dan kehidupannya apabila membantu Rasulullah dan keluarga ketika peristiwa pemulauan selama tiga tahun juga mesti dijadikan rujukan dalam memahami tahaluf siyasi ini. Hisham ibn Amr al Amiriy masih lagi tidak beriman kepada Allah pada waktu itu tetapi secara sukarela membantu Rasulullah saw atas dasar kemanusiaan dan inilah yang dinamakan sebagai ‘al ukhuwat al insaniyah’. Ini diikuti oleh kisah Abdullah Ibn Urayqith yang menjadi penunjuk jalan Rasululullah ketika berhijrah ke Madinah. Abdullah Ibn Urayqith adalah orang bukan Islam dan Rasulullah bersetuju dengan Saidina Abu Bakar al Siddiq untuk menggunakan khidmatnya dalam peristiwa hijrah yang paling agung itu.

Mungkin penjelasan oleh Yusuf al Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al Dawlah fi al Islam mengenai isu tahaluf siyasi dalam demokrasi adalah antara yang terbaik untuk dirujuk. Yusuf al Qaradhawi menjelaskan bahawa isu memilih wakil rakyat tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah malahan wakil rakyat bukanlah dianggap sebagai wali. Kedudukan ini mengharuskan untuk umat Islam melantik wakil mereka dari kalangan bukan Islam. Wakil rakyat hanyalah individu yang mewakili masyarakat dalam kawasan tertentu yang bertanggungjawab untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan tidak berautoriti untuk menentukan hukum hakam sesuatu perkara.

Dalam konteks demokrasi pada hari ini, wakil rakyat sama sekali tidak terlibat dalam menentukan hukum hakam kerana bidangkuasanya hanya melibatkan hal ehwal masyarakat setempat yang diwakilinya. Bukan itu sahaja, Yusuf al Qaradawi juga berpandangan bahawa memberikan ruang orang bukan Islam untuk menganggotai majlis perwakilan juga adalah salah satu tuntutan untuk berlaku adil kepada semua. Ini selaras dengan apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah al Mumtahanah ayat 8: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. Yusuf al Qaradawiy menyatakan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam itu termasuklah memberikan ruang dan peluang untuk bukan Muslim ini menganggotai majlis-majlis perwakilan.

Pilihanraya dan Kewajipan Mengundi

Pilihanraya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Ia bukan segalanya tetapi sangat signifikan kepada sesebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan sepatutnya dipandang serius kepentingannya oleh segenap lapisan masyarakat. Secara umumnya, masih ramai yang mengambil mudah tentang kewajipan mengundi. Mungkin keadaan di sesetengah Negara Islam yang majoritinya Muslim antara faktor perkara ini diambil mudah. Berbeza dengan Negara majoriti Muslim, kuasa undi Muslim di Negara majoriti orang bukan Islam adalah sangat signifikan seperti di Eropah dan Amerika. Hinggakan terdapat pendangan yang mewajibkan umat Islam untuk mengundi walaupun calon yang dipilih itu bukan Islam. Dalam situasi ini, umat Islam adalah diperlukan untuk mengundi calon yang kurang mafsadahnya sama ada kepada Muslim mahupun kepada Islam itu sendiri.

Bagi membicarakan aspek ini, mengundi harus dilihat sebagai sesuatu yang lebih daripada tanggungjawab sebagai warganegara. Kewajipan mengundi wakil rakyat mahupun ahli parlimen perlu dianggap sebagai ibadah dan ianya sangat dekat dengan konsep kesaksian. Dalam aspek ini, Yusuf al Qaradawi menekankan bahawa mengundi itu merupakan salah satu bentuk penyaksian yang tidak boleh ditolak apabila sampai masanya. Malahan tidak mengundi boleh dianggap sebagai menyembunyikan penyaksian yang bertentangan dengan tuntutan Islam.

Siddiq Fadhil dalam analisanya mengenai konsep kesaksian dalam konteks pilihanraya ini juga berpandangan bahawa kesaksian melalui peti undi ini merujuk kepada “pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual)”. Dalam aspek ini, beliau menekankan kelayakan bukan sahaja merujuk kepada calon yang ingin dipilih tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian iaitu saksi yang adil (keadilan).

Pilihanraya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi menuntut umat Islam untuk menyatakan penyaksian mereka kepada calon-calon pilihanraya yang layak melalui tanggungjawab untuk membuang undi. Islam melihat mengundi bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara tetapi ia merupakan ibadah dan kewajipan yang mesti dilaksanakan bersesuaian dengan konsep kesaksian dalam Islam. Kegagalan untuk menyatakan penyaksian ini melalui undi boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penyembunyian kesaksian yang dilarang dalam Islam.

Demonstrasi Aman

Antara elemen fiqh al siyasi yang dibicarakan secara mendalam oleh ramai fuqaha kontemporari ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun terdapat fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi bersandarkan hujah bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain, pandangan yang membolehkan demonstrasi aman ini adalah lebih kukuh dan rajih. Dengan melihat fiqh waqi’ sesuai dengan perkembangan dunia moden pada hari ini, pandangan yang dinamik dan signifikan mengharuskan mana-mana individu untuk menzahirkan hasrat dan aspirasi mereka menerusi demonstrasi aman di jalanan mahupun di tempat terbuka atau tertutup.

Menolak pandangan yang mengharamkan demonstrasi aman ini, Yusuf al Qaradhawi menghuraikan keharusannya memetik peristiwa Saidinia Umar al Khattab di awal pengIslamannya di dalam bukunya ’Thaurah Shaab’. Beliau menukilkan bagaimana Saidina Umar al Khattab meminta restu Rasulullah saw untuk menyatakan kebenaran di jalanan bersama-sama dengan beberapa sahabat yang lain. Rasulullah saw telah memberi keizinan dan restu Baginda dan sejurus itulah Saidina Umar al Khattab mengetuai sahabat-sahabat yang lain berdemonstrasi secara aman menyatakan kebenaran di depan kaum musyrikin Mekah pada waktu itu. Peristiwa itu dirakamkan sebagai antara demonstrasi jalanan yang paling awal dalam sejarah Islam.

Keharusan berdemonstrasi aman ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui peristiwa Saidina Umar al Khattab di atas malahan ia juga bersandarkan kepada kaedah usul fiqh dan qawaid fiqh. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, adalah boleh disimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman yang menjadi sebahagian daripada elemen demokrasi adalah harus selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak dan membawa mafsadah yang besar kepada masyarakat dan negara. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan mereka dianggap sebagai golongan yang zalim dan bakal menerima azab Allah swt di akhirat kelak.

DEMOKRASI TANPA DEMOKRAT

Sekiranya demokrasi itu diterima dalam Islam sebagai salah satu daripada cabang siyasah, timbul persoalan mengapa ia tidak berfungsi di banyak Negara Islam di dunia. Kesemua negara timur tengah dan negara Arab yang majoritinya dihuni oleh umat Islam menyaksikan demokrasi gagal berfungsi malahan menimbulkan pelbagai permasalah sosial dan keadilan. Kerap kali didengari suara sumbang yang menyatakan bahawa bahawa demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam dan timur tengah memerlukan diktator yang adil. Lihat saja apa yang berlaku di Iraq, Mesir dan Libya setelah kejatuhan Saddam Hussein, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak. Negara tersebut hancur dan masyarakat mengalami krisis kemanusiaan serta perpecahan yang membawa kepada pertumpahan darah.

Sebenarnya jika ditinjau, diteliti dan diselidiki, fenomena kegagalan sistem demokrasi di Timur Tengah bukanlah kerana faktor demokrasi itu tetapi adalah kerana dasar adanya demokrasi tanpa demokrat. Walaupun demokrasi diamalkan dan dilaksanakan seperti di Mesir dan Negara-negara Arab lain, ia hanya sekadar ‘ceremonial’ di mana keputusannya sudah boleh diketahui dengan pelbagai sekatan dan ketidakadilan kepada parti pembangkang. Perkara asas kelemahan demokrasi di Timur Tengah dan di Negara-negara lain di dunia adalah kerana demokrasi yang dipimpin oleh manusia yang tidak demokrat. Lihat saja sikap sebahagian besar pemimpin di Timur Tengah yang tidak berjiwa demokrat dengan melaksanakan pelbagai polisi yang menyekat kesedaran rakyat serta dasar yang tidak adil kepada masyarakat. Malahan ada pemimpin ini sebenarnya berjiwa diktator di dalam sistem demokrasi yang pincang .

Ini berbeza dengan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulululla saw dan para Khulafa al Rasyidin. Semasa era pemerintahan Rasululullah saw, Baginda adalah pemimpin yang paling demokrat. Lihat saja beberapa kisah Rasululullah saw yang mengambil kira pandangan para sahabat dalam suasan kritikal seperti kisah perang Badar, Uhud dan Khandaq. Khulafa al Rasyidin juga kesemuanya adalah berjiwa demokrat. Selepas pelantikan sebagai khalifah, Saidina Abu Bakar al Siddiq yang berjiwa democrat itu dalam pidato agungnya mengumumkan kepada umat Islam bahawa beliau bukan manusia terbaik yang telah dilantik dan beliau menyeru umat Islam untuk menegur pemerintahannya. Begitu juga Saidina Umar al Khattab, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menegur pemerintahannya tidak kira tua atau pun muda lelaki ataupun perempuan malahan beliau merasa takut dan bersedih sekiranya tiada yang sudi menegur polisi dan dasar pimpinannya. Khalifah Saidina Uthman ibn Affan dan Saidina Ali Ibn Abi Talib juga merupakan pemimpin yang demokrat mengambil kira suara umat dalam sistem pemerintahan.

Apabila membicarakan kegagalan sistem demokrasi dalam konteks dunia hari ini khususnya di Negara Islam, mahu tidak mahu penulis ingin menyentuh daripada aspek budaya dan amalan politiknya. Secara umumnya, negara umat Islam mempunyai infrastruktur demokrasi yang baik seperti Suruhanjaya Pilihanraya, badan eksekutif, legislatif dan kehakiman yang dijamin oleh Perlembagaan. Namun yang menjadi isunya di sini ialah dari aspek budaya dan amalannya. Sehingga kini, budaya dan amalan politik di negara Islam masih berteraskan kepada sentimen perkauman dan kepentingan peribadi. Fenomena yang menimpa warga di negara Islam bukanlah berfakforkan sistem demokrasi itu sendiri tetapi manusia yang terlibat menerajui sistem itu sendiri yang korup dan tidak amanah. Bagi menjamin demokrasi yang lebih baik dan bertepatan dengan prinsip Islam, ia memerlukan tranformasi politik yang berpaksikan ilmu dan etika sesuai dengan ajaran Islam.

KESIMPULAN

Artikel ini secara ringkas memilih dan membicarakan beberapa isu berkaitan dengan demokrasi menurut perspektif Islam. Bagi membicarakan topik yang sangat signifikan ini, penulis cuba untuk mendekonstruksi bentuk persoalan tipikal mengenai demokrasi dalam Islam yang dilihat tidak bertepatan dengan disiplin ilmu itu sendiri. Perbincangan mengenai demokrasi bukan berkisarkan aspek teologi tetapi lebih kepada tema al siyasi. Bagi merekonstruksi demokrasi menurut perspektif Islam, penulis cuba untuk mengetengahkan pandangn-pandang yang menolak demokrasi dan juga pemikiran yang mempertikaikan kerelevanan demokrasi dalam Islam. Seterusnya penulis telah memilih beberapa isu signifikan yang sewajarnya diketengahkan bagi memberi kefahaman untuk memahami konsep demokrasi menurut perspektif Islam dan ia merangkumi konsep hakimiyah, faraghat, reformasi al siyasi, penginstitusian syura, al hurriyah, hubungan dengan bukan Islam, hak asasi manusia, tahaluf siyasi, pilihanraya dan kewajipan mengundi dan hak berdemonstrasi aman. Menyentuh persoalan mengenai kegagalan sistem demokrasi di beberapa negara khususnya negara Arab di Timur Tengah, penulis berpandangan bahawa faktor utama perkara tersebut adalah kerana wujudnya demokrasi tanpa demokrat. Penulis merujuk kepada pandangan-pandangan ulama dan pemikir kontemporari yang amat bersesuaian dan bertepatan dengan konteks semasa dan fiqh waqi’. Demokrasi menurut perspektif Islam ini perlu difahami secara jujur dan ikhlas dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan.

Dilema dalam memahami demokrasi umumnya terletak kepada dua asas pemahaman yang saling bertentangan iaitu perspektif bahawa demokrasi adalah tidak serasi dengan Islam dan juga pandangan yang melihat demokrasi itu adalah ideal, sempurna dan progresif. Kedua-dua hipotesis ini adalah tidak tepat dan terkeluar dari kefahaman demokrasi yang diterima menurut perspektif Islam. Demokrasi secara umumnya diterima di dalam Islam sebagai salah satu mekanisma sosial dari aspek siyasah. Ia tidak bermakna demokrasi adalah sempurna. Isu pokoknya adalah bagaimana menerapkan nilai dan prinsip Islam dalam demokrasi agar ianya selaras dengan kehendak Syarak. Dalam konteks demokrasi Islam, ia lebih daripada sekadar sistem politik yang menjamin hak dan kebebasan tetapi merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Islam meletakkan Shari’ah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga perlu memenuhi kehendak syarak dan konsep demokrasi yang mengagungkan kuasa manusia dalam bentuk yang mutlak adalah terkeluar daripada fahaman demokrasi menurut perspektif Islam.

RUJUKAN
AALCO. (2005) Human Rights in Islam. New Delhi: AALCO
Al Qaradhawi, Yusuf. (2012). Thaurah Shaab. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Aku dan Al Ikhwan al Muslimun (Terjemahan). Kuala Lumpur: Mutiara Ilmu.
Al Qaradhawi, Yusuf. (2010). Al Watan wa al Muwatanah. Kaherah: Dar al Shuruq.
Al Qaradhawi, Yusuf. (1999). Min Fiqh al Dawlat fi al Islam. Kaherah: Dar al Shuruq
Al Suyuti. (1969). Tarikh al Khulafa. Kaherah: Al Fajjalah Press.
Armstrong, Karen. (2014). Fields of Blood, Religion and the History of Violence. New York: Alfred A. Knopf.
Bayat, Asef. (2007). Making Islam Democratic, Social Movements and Post-Islamist Turn. California: Stanford University Press.
Bayat, Asef. (2010). Islam and Democracy: What is the Real Question?. Amsterdam: Amsterdam University Press.
Cherif Bassiouni, M. (1997). Crimes and The Criminal Process. Arab Law Quarterly, 12 (3): 269-286
Fadhil, Siddiq. (2013). Demokrari, Pluraliti dan PRU13. Konvensyen Percerdasan Umat. Shah Alam, 9 Mac 2013.
Ghannoushi, Rached. (1993). Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah. Beirut: Markaz Dirasat al Wahdat al Arabiyah.
Ghannoushi, Rached. (2012). Al Dimuqratiah wa al Huquq al Insan fi al Islam. Qatar: Al Jazeera Center.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Al Islam Wa al Dimuqratiyyah. Kaherah : Al Ahram.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Muwatinun La Dhimmiyyun. Kaherah: Dar al Shuruq.
Ibrahim, Anwar. (2014). Islam and Democracy: Malaysian in Comparative Perspective. Universiti Stanford, 20 November 2014.
John L. Esposito, John Obert Voll. (1996). Islam and Democracy. Oxford: Oxford University Press.
Jeremy, Kleidosty. (2011). From Medina to Runnymede: Comparing the Foundational Legacies of the Constitution of Medina and the Magna Carta. New Middle Eastern Studies, 1.
Lewis, David Levering. (2008). God’s Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215, (New York: W. W. Norton and Company.
Moten, Abdul Rashid. (1997). Democratic and Shura-based Systems: A Comparative Analysis, Encounters, 3 (1). Leicester: The Islamic Foundation.
Ramadhan, Tariq. (2001). Islam, the West, and the Challenge of Modernity. Leicester: Islamic Foundation.
Salame, Ghassan. (2001). Democracy Without Democrats?: The Renewal of Politics in the Muslim World. London: I.B. Tauris and Co Ltd.
SESRIC. (2010). Annual Economic Report On The Oic Countries 2010. Istanbul: Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries.
Schumpeter,Joseph. A. (1947). Capitalism, Socialism, andDemocracy. New York: Harper & Brothers.
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism. Oxford: Oxford University Press.
Uthman, Muhammad Fathi. (2010). Huquq al Insan Bayn al Shari’ah al Islamiya wa al Fikru al Qanuni al Gharbi. Kaherah: Dar al Jamiah al Jadidah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s