ISLAMIC RESURGENCE VOLUME 2.0: REALITY AND CHALLENGES

KEBANGKITAN ISLAM GELOMBANG KEDUA: REALITI DAN CABARAN

Zulkifli Hasan (Ph.D)

Abstrak

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan HIKMAH dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (al-Nahl: 125)

ALU-ALUAN

Yang Dihormati Pengerusi Majlis,Yang Dikasihi Haji Muhammad Raimi Abdul Rahim, Presiden ABIM, Yang Dikasihi Ustaz Haji Ariffin Omar, Pengerusi Syura WAP Negeri Sembilan, Yang Dikasihi, Haji Mohamed Anuar Yusof, Pengerusi Wadah, Negeri Sembilan,Yang Dihormati Dato’ Mohamed Hussein, Pengerusi Lembaga Sri Seremban,Yang Dihormati Haji Khalil Jali, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Seremban,Yang Dikasihi adinda saya, saudara Fakruradzi Abdullah, Presiden Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Wadah, ABIM, PPINS peringkat Pusat, Negeri dan Daerah, guru-guru, barisan pengurusan dan pentadbir Sekolah Sri Seremban,

 

Para petugas Muktamar dan Seluruh hadirin dan hadirat,

 

Salam Muktamar Sanawi dihulurkan kepada semua khususnya warga ABIMN9, Wadah Pencerdasan Umat, PPINS sama ada perwakilan, pemerhati dan juga urusetia. Tidak lupa juga kepada para jemputan dari jauh dan dekat yang sudi hadir bagi memeriahkan Muktamar Sanawi ke-43 ABIMN9. Semoga kehadiran kita ini dikira sebagai amal ibadah dan antara bukti kasih sayang kita pada jemaah yang kita dukungi sehingga hari ini. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmah dan barakah kepada setiap yang hadir pada hari ini.

 

Para petugas Muktamar dan Seluruh hadirin dan hadirat,

 

Hari ini mengingatkan kita kepada ramai sahabat-sahabat yang telah menemui Ilahi. Muktamar kali ini juga kita melihat masih ramai yang terus istiqamah bersama meneruskan agenda dakwah dan Islah, risalah kenabian ini. Sesungguhnya dalam jemaah ini, tiada istilah pencen atau bersara. Persaraan hanya berlaku apabila kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama memperingati sejenak kasih sayang dan hubungan silaturrahim kita dengan sahabat-sahabat yang telah meninggalkan kita dan menghadiahkan al-Fatihah mendoakan agar kesemuanya tenang, aman diredhai Allah selamanya. Al-fatihah.

 

KEADAAN UMAT ISLAM DI DUNIA

 

Izinkan saya untuk memulakan bicara dengan meninjau keadan umat Islam di dunia pada hari ini. Dunia Islam terus diuji dengan pelbagai cabaran dan permasalahan sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial mahupun budaya. Krisis yang berlaku di Timur Tengah seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Syria, Iraq, Gaza, Yaman dan banyak lagi negara seakan membenarkan pandangan Bernard Lewis, sejarawan Amerika di dalam bukunya The Crisis of Islam. Bukan itu sahaja, krisis yang melanda umat Islam juga berlaku di luar dunia Arab sepertimana yang berlaku di Myanmar berkenaan dengan isu Rohingya, di Selatan Filipina berkaitan dengan nasib umat Islam Moro, di Selatan Thailand dan beberapa negara yang lain. Peristiwa pengeboman di Bangladesh, Pakistan dan beberapa negara lain juga menambahkan lagi krisis dan konflik di dunia Islam.

 

Dalam keadaan dunia yang penuh mencabar ini dari sudut politik, dunia Islam terus dibelenggu dengan kemunduran ekonomi dan krisis pembangunan. Pelbagai laporan antarabangsa seperti World Development Indicators, Democracy Index, World Governance Indicators, Corruption Perception Index, Global Competitiveness Index, OIC Economic Outlook dan banyak lagi yang telah merekodkan status negara-negara Islam yang terkebelakang dalam segenap sudut. Ini membuktikan realiti yang mesti didepani dan diatasi oleh dunia Islam.

 

Begitu juga dengan Malaysia pada hari ini. Warga Malaysia khususnya umat Islam dibelenggu dengan masalah ketidaksamarataan ekonomi, kemiskinan dan gejala sosial. McKinsey Global Institute melaporkan bahawa ratio GDP dengan hutang isirumah kini mencecah 146% lebih tinggi daripada negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Hutang Pendidikan juga begitu tinggi dengan 605,685 peminjam PTPTN masih gagal membuat pembayaran dengan jumlah hutang RM4.7 bilion. Hutang Negara semakin hari semakin meningkat hingga melebihi RM 847.9 billion (63.8%). Pengangguran meningkat 3.20% (455000) Februari 2015 berbanding 3% (442000) Januari 2015. Laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia menyebut bahawa selepas tiga dekad pelaksanaan DEB, 75% pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 sebulan adalah Bumiputera.

 

Krisis yang melanda bukan sahaja berlaku di dunia Islam yang mundur dari sudut ekonomi tetapi merangkumi politik, sosial dan fahaman. Sebagai sebuah negara Islam yang dianggap stabil dan maju dari sudut politik dan ekonomi, Turki juga menerima ujian yang sangat getir. Peristiwa cubaan rampasan kuasa oleh tentera dipercayai didalangi oleh sebuah gerakan Islam jelas menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi dunia Islam kini memasuki tahap yang begitu getir. Musuh Islam yang cuba untuk menggagalkan misi islah kini bukan hanya beroperasi dari luar tetapi kini ia bergerak dari dalam, malahan dikhuatiri ada yang menggunakan nama Islam dan mendakwa sebagai gerakan Islam.

 

Dunia hari ini juga penuh dengan prejudis kepada Islam. Islamofobia dan persepsi negatif terhadap Islam berlaku di mana-mana di dunia. Bukan itu sahaja, pelbagai fahaman dan pemikiran kini menular dalam masyarakat seperti pemikiran liberal secularism, sosialis, atheist dan banyak lagi isme-isme yang menyelinap dalam masyarakat.  Keadaan ini disulitkan lagi dengan pertelingkahan antara salafi dan sufi, sunni v syiah, tradisi v wahabi dan yang terkini doktrin ‘Islamic State’ atau ISIS. Pertelingkahan tiada penghujungnya telah menimbulkan pelbagai polemik dan ada yang membawa kepada pertumpahan darah. Konflik dan krisis berterusan dunia Islam telah menimbulkan tanda tanya adakah masih ada harapan untuk kita menyaksikan kebangkitan Islam dalam masa terdekat. Beberapa projek islah dan tajdid kebangkitan Islam yang telah dioperasikan puluhan tahun akhirnya mendepani pelbagai permasalahan dan ada yang tumbang dikhianati oleh segelintir golongan yang masih lagi berjiwa dijajah dan berminda ditawan. Dalam konteks di Malaysia, gerakan Islam yang terlibat dalam politik juga mendepani krisis dan konflik dalaman yang akhirnya menyaksikan tertubuhnya parti baru. Fenomena ini seakan menunjukkan bahawa reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini mempunyai permasalahan fundamental yang perlu diselesaikan.

 

GENERASI PERTAMA KEBANGKITAN ISLAM

 

Sebelum membicarakan kebangkitan Islam dalam konteks dunia pada hari ini, adalah amat penting untuk kita memahami dinamika politikal Islam secara menyeluruh. Sekiranya diteliti kepada sejarah bermulanya wilayah-wilayah Islam dikuasai kuasa asing bermula sekirar 1757 sehingga 1919. Dalam tempoh ini sebanyak lebih kurang 92 wilayah Islam telah dijajah di bawah pemerintahan sama ada British, Itali, Perancis dan lain-lain negara. Namun begitu, kebangkitan dunia Islam yang telah berlaku susulan daripada arus kesedaran dan sumbangan gerakan Islam, setakat tahun 1995 sahaja, 65 wilayah Islam telah berjaya dikembalikan. Keadaan ini berlaku pastinya berfaktorkan kepada gerakan kebangkitan dan kesedaran Islam yang telah dicetuskan oleh individu dan institusi yang memperjuangkan pembaharuan.

 

Dalam konteks ini, generasi pertama kebangkitan Islam merujuk kepada generasi awal yang menjadi pencetus kepada era kebangkitan Islam setelah kejatuhan empayar Uthmaniah pada 3 Mac 1924. Generasi pada waktu itu telah memberikan sumbangan yang sangat besar kepada seluruh dunia Islam menerusi idea Islah dan tajdid yang menuntut umat Islam untuk bangun menentang penjajahan dan memperjuangkan kemerdekaan.

 

Generasi pertama kebangkitan Islam ini berjaya meniupkan semangat umat Islam dan akhirnya telah membawa kepada kemerdekaan, tertubuhnya pelbagai institusi gerakan Islam, melahirkan tokoh-tokoh gerakan, mencetuskan pemikiran dan projek kebangkitan Islam serta menyediakan asas kepada gerakan Islam dari sudut fikrah, institusi dan pengalaman. Nama-nama besar seperti Rifa’ah Tahtawi, Khairuddin At-Tunisi, Jamal Ad-Din Al-Afghani, Muhammad Abduh, Abdul Rahman Al-Kawakib, Muhammad Rashid Reda, Muhammad Iqbal, Hasan al-Banna, Abu Hasan Ali Nadwi, Abul A’la Maududi, Syed Ahmad Khan, Hamka, Pak Natsir dan Abu Bakar Bakir.

 

Sememangnya tidak dinafikan generasi awal kebangkitan Islam telah memberikan jasa dan legasi yang tidak ternilai. Gerakan Islam pada waktu itu telah berjaya meletakkan perjuangan Islam dan asas kepada fikrah sebagai sesuatu yang memberikan harapan kepada umat Islam seluruhnya. Ini telah membawa kepada perjuangan menuntut kemerdekaan di mana akhirnya hingga hari ini hampir semua wilayah Islam telah pun mendapat kemerdekaan. Kesemua ini tidak akan dinikmati pada hari ini tanpa sumbangan generasi awal kebangkitan Islam.

 

Generasi Pertama kebangkitan Islam mengasaskan perjuangan di atas landasan untuk mengembalikan kegemilangan Islam dengan bermatlamatkan penubuhan Negara Islam. Negara Islam ini pula ditafsirkan sebagai sebuah pemerintahan yang berteraskan perlaksanaan Syariah khususnya aspek perundangan jenayah Islam termasuk hudud. Konsep Negara Islam yang ditafsirkan sedemikian ini digagaskan menerusi pemikiran Abul ‘Ala Maududi, Syed Qutb dan Imam Khomeini yang mempengaruhi secara signifikan hala tuju gerakan Islam pada waktu itu.

 

Kebangkitan dan projek islah yang diilhamkan oleh generasi pertama ini menyaksikan beberapa kejayaan sementara. Revolusi Iran, kemenangan tentera Afghanistan, kemenangan parti Islam di beberapa negara seperti Algeria, detik Revolusi Tahrir di Mesir, Revolusi Jasmin di Tunisia dan beberapa kebangkitan yang lain di Timur Tengah seakan memberikan satu harapan. Namun akhirnya, hampir kesemuanya tidak menampakkan kejayaan malahan dilihat gagal atau digagalkan. Ini memberikan implikasi signifikan kepada persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap gerakan Islam. Dunia melihat gerakan Islam telah gagal dan mempersiakan peluang untuk membuat perubahan. Lebih buruk lagi, wujudnya konflik dan krisis dalaman antara gerakan Islam.

 

Menerusi pemerhatian dan kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh penganalisis, ada gerakan Islam secara tidak disedari dilihat lemah dan gagal untuk menyesuaikan diri dengan ‘modernity’ dan realiti kehidupan dunia moden. Ada juga gerakan Islam yang dianggap sebagai sangat ekslusif dan tidak bersifat inklusif yang gagal mempertontonkan kesejagatan Islam itu sendiri. Ini diburukkan lagi dengan sikap sesetengah gerakan Islam menyantuni golongan bukan Islam termasuk mereka yang berfahaman liberal dan sekular. Mereka sering bersifat ‘defensive’ dan tidak ramah serta tidak menerima kritikan dengan berlapang dada.

 

Di era generasi pertama kebangkitan Islam ini juga menyaksikan kegagalan beberapa gerakan Islam yang diberikan peluang memiliki kekuatan politik dengan mendapat mandat untuk memerintah tetapi tidak berupaya menunjukkan prestasi yang baik kepada rakyat. Kemunduran dan kecelaruan politik serta urustadbir yang lemah telah mengecewakan ramai dan akhirnya mengikis keyakinan rakyat. Ini dibuktikan menerusi kajian Indeks Keislamanan Ekonomi oleh Rehman dan Askari di mana tiada satu pun negara Islam yang menduduki carta 30 teratas terbaik indeks keIslamannya. Fenomena ini membawa kepada satu gagasan baru yang lebih segar mendepani realiti yang dipelopori oleh generasi baru kebangkitan Islam.

 

GENERASI KEDUA KEBANGKITAN ISLAM

 

Politikal Islam adalah istilah yang semakin popular digunakan bagi merujuk kepada aliran pemikiran dan idea mengenai politik dan kaitannya dengan kehidupan masyarakat. Politikal Islam juga boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk ideologi yang menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan sosio-politik individu dan masyarakat. Dalam erti kata lain, politikal Islam ini merujuk kepada bentuk aliran atau jenama pemikiran kepada himpunan fenomena berfikir yang berkembang dalam masyarakat Islam bermula di awal abad ke-20 sehingga hari ini. Dinamika politikal Islam ini didorong oleh cetusan semangat untuk reform islah (pembaikan), tajdid (pembaharuan), sahwah (kebangkitan), ihya (menghidupkan) dalam kehidupan masyarakat.

 

Wacana politikal Islam ini semakin berkembang subur seiring dengan perkembangan sosio-politik dunia Islam. Graham E. Fuller dalam bukunya the Future of Politikal Islam menggunakan istilah Politikal Islam dan Olivier Roy juga mengupas topik ini dengan bukunya berjudul the Failure of Political Islam. Manakala Bernard Lewis, dalam beberapa karyanya banyak menyebut istilah activist Islam. Trevor Stanley yang juga banyak menulis mengenai dunia Islam dan mengguna pakai istilah Politikal Islam termasuk Giles Kepel, James Piscatori, John Voll dan John Esposito. Walaubagaimanapun, wacana lebih awal dari itu mengenai perkembangan dunia Islam lebih menjurus kepada dimensi ketamadunan seperti Samuel Huntington dalam bukunya Clash of Civilisation dan Clash of Fundamentalismoleh Tariq Ali.

 

Bagi membicarakan topik Politikal Islam ini, terdapat juga istilah lain yang biasa disebut seperti Islam dan antiIslam, Islam dan barat, modernity, post-modernity, alternative modernity dan multiple modernity, negara Islam, alhurriyyah, model tadbir urus, Islamism dan Post-Islamism’ dan generasi baru politikal Islam. Umumnya wacana politikal Islam adalah sinonim dengan istilah Islamisme dan pasca-Islamisme. Asef Bayat dalam bukunya Post-Islamism membicarakan Islamism dan Post-Islamism dan realiti apa yang berlaku dalam dunia Islam. Islamisme merujuk kepada aliran pemikiran pembaharuan yang digagaskan oleh generasi awal kebangkitan Islam. Beliau mentakrifkan pula post-Islamism sebagai “a condition where, following a phase of experimentation, the appeal, energy, symbols and sources of legitimacy of Islamism get exhausted, even among its once-ardent supporters. Learn from experiment”.

 

Dalam erti kata lain, Asef Bayat menghuraikan konsep pasca- Islamisme ini sebagai bentuk aliran berfikir yang menghimpunkan corak dan gaya baru pemikiran golongan Islamis, pergerakan politik Islam dari segi sikap, pendirian dan kefahaman mereka terhadap realiti baru. Apa yang lebih menarik ialah Asef Bayat menghuraikan pasca-Islamisme sebagai sesuatu yang tidak sekadar suatu condition tetapi juga suatu projek. Ia adalah suatu percubaan yang sedar untuk merangka konsep dan strategi dalam dasar dan kaedah untuk menembusi Islamisme dalam lapangan sosial, politik dan intelek. Pandangan Asef Bayat mengenai pasca-Islamisme adalah sesuatu yang perlu diperdebatkan dan diwacanakan. Pandangan beliau yang merumuskan bahawa ‘Islamism atau Political Islam’ berdasarkan kajian terhadap model Iran sama sekali gagal adalah tidak tepat dan tersasar.

 

Istilah ‘Islamism’ dan ‘Post-Islamisme’ ini bukanlah sesuatu yang diterima oleh semua dan ramai yang tidak bersetuju dengannya kerana ia dianggap sesuatu yang boleh membawa perspektif negatif kepada Islam itu sendiri. Berdasarkan faktor ini, penulis lebih cenderung untuk menggunakan istilah Generasi Pertama dan Generasi Kedua Kebangkitan Islam. Berbanding generasi awal, generasi kedua kebangkitan Islam mempunyai pendekatan yang berbeza. Ia lebih bersifat pragmatik dan mengambil kira sistem dan realiti semasa yang ada bersesuaian dengan keadaan sosio-budaya, ekonomi dan politik sesebuah Negara. Generasi kedua ini lebih menekankan aspek pengadaptasian dengan realiti semasa. Eksperimen yang gagal dan pengalaman pahit generasi awal pembaharuan Islam di beberapa negara menjadikan generasi kedua ini lebih berhati-hati dan mengubah bentuk aliran pemikiran agar kebangkitan yang diimpikan akan tercapai menerusi pendekatan yang berhikmah.

Generasi pertama yang membawa gagasan kebangkitan Islam ini membawa satu aliran pemikiran yang bertindak balas dengan realiti pada waktu itu. Berdasarkan faktor wilayah Islam yang masih dibelenggu penjajahan dan di awal kemerdekaan, maka corak dan gaya pemikiran generasi awal gerakan pembaharuan ini ada yang bersifat radikal termasuk ada juga yang mempersoalkan sistem demokrasi yang dianggap sebagai western construct. Mungkin ini adalah salah satu kelemahan dunia Islam kerana dilihat hanya mampu bertindak secara ‘reactionary’ dan ‘reactive’ dengan realiti pada waktu itu sedangkan kebangkitan Islam itu mesti diprojekkan dalam jangka masa pendek dan panjang dalam kerangka yang lebih ‘visionary’ mengambil kira dinamika realiti masa depan. Dalam aspek ini, mungkin sampai masanya dunia Islam memiliki lebih ramai pemikir dan sarjana yang pakar dalam ‘future studies’ mengkaji masa depan seperti ‘futurist’ tersohor Alvin Toffler, John Naisbitt dan Suhail Inayatullah.

 

Setelah kemerdekaan dan berlakunya beberapa eksperimen generasi awal kebangkitan Islam, generasi kedua kebangkitan Islam telah mula membuat percaturan dan pendekatan baru. Reformasi dan revolusi di Mesir, Libya, Iran, Algeria dan beberapa negara lain, kesemuanya menghadapi masalah dari pelbagai aspek. Eksperimen Revolusi Tahrir di Mesir misalnya telah gagal dan ia telah digantikan dengan rejim yang lebih kejam dan zalim. Revolusi Iran juga adalah sesuatu yang mengecewakan. Reformasi menerusi projek Islamisasi yang cuba dibawa oleh pemerintah Pakistan dan Sudan juga gagal. Revolusi di Tunisia juga menghadapi pelbagai permasalahan. Reformasi di Iraq, Libya, Syria dan Yaman hanya menambahkan lagi kesengsaraan rakyat.

 

Berbeza dengan realiti politikal Islam di awal era pembaharuan Islam, aliran pemikiran politikal Islam kontemporari mengalami satu titik perubahan. Keadaan ini banyak disumbangkan oleh siri penulisan dan karya intelektual oleh sarjana kotemporari seperti Yusuf al-Qaradawi, Fahmy Huwaidi, Tariq Ramadan, al-Raysuni, Muhammad Imarah, Hasan Turabi, Rashid al-Ghannoushi dan lain-lain. Generasi baru politikal Islam kini lebih realistik dan mengambil pendekatan yang bersifat universal meraikan kepelbagaian. Malahan, aliran pemikiran ini tidak lagi berkisar hanya melaksanakan undang-undang Syariah tetapi lebih luas daripada itu. Ini selari dengan apa yang diungkapkan oleh Khurshid Ahmad yang menyatakan bahawa Islamisasi bukan hanya berkisarkan undang-undang Syariah tetapi ia lebih daripada itu. Ia mesti melalui proses tertentu, persepsi baru, komitmen, trasnformasi moral dan melibatkan masyarakat secara menyeluruh.

 

Bukan itu sahaja, sedikit kejayaan yang dipamerkan oleh golongan pembaharuan di Turki telah memberikan satu anjakan pemikiran di mana pendekatan yang lebih bersifat pro-rakyat, mengutamakan kebajikan, tadbir urus yang baik dan efisyen, politik yang stabil serta perkembangan ekonomi menjamin kepercayaan masyarakat. Revolusi Tahrir di Mesir dan Revolusi Jasmin di Tunisia secara jelas menunjukkan bahawa masyarakat lebih mengutamakan kebajikan dan keperluan asas dalam kehidupan berbanding perlaksanaan undang-undang Syariah. Kepercayaan dan sokongan masyarakat lebih bergantung kepada sumbangan kerja sosial dan program kebajikan dan bukan semata-mata retorik untuk menegakkan syiar Islam.

 

Generasi Kedua Kebangkitan Islam juga memahami dan akur bahawa sokongan yang mereka perlukan untuk melaksanakan agenda pembaharuan adalah menerusi sistem demokrasi. Rashid al-Ghannoushi telah membuat pendekatan yang mengejutkan ramai pihak apabila tidak mendahulukan pelaksanaan hudud dalam agenda pemerintahan di bawah parti el-Nahda walaupun telah memenangi pilihanraya. al-Ghannoushi berpandangan bahawa apa yang perlu didahulukan ielah memperbaharui amalan demokrasi, al-hurriyyah dan Negara yang bebas rasuah. Mana mungkin hudud dapat dilaksanakan sekiranya sistem yang diamalkan adalah korup dan dibelenggu masalah rasuah.

 

ABIM DAN KEBITARAAN

 

6 Ogos 1971 merupakan tarikh yang begitu besar maknanya kepada kita semua. Pada tahun ini ABIM akan menyambut harilahirnya yang ke-45 ABIMN9 hari lahir yang ke-43. Lebih 45 tahun yang lalu, jemaah ini telah dilahirkan atas dasar Islah dan tajdid. Hingga ke hari ini, kita masih istiqamah meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan dengan visi yang begitu jelas iaitu ‘Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah’. Visi ini diperkukuhkan dengan misi ABIM iaitu menjadi ‘Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah’

 

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu ‘knowledge-based’ dan mengambil pendekatan wasatiyah (kesederhanaan) berasaskan kepada realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam kerangka pembangunan manusia. Peranan dan respon ABIM ini adalah hasil evolusi menerusi interaksi dengan masyarakat secara langsung menerusi dinamika sosio-politik dan budaya.

 

Di samping mengakui wujudnya persepsi negatif terhadap kerelevanan gerakan Islam, ABIM sebagai salah sebuah organisasi yang berpengaruh di Malaysia menyaksikan sesuatu yang sedikit berbeza. Dengan perkembangan terkini yang dilihat, ABIM kini seakan kembali mendapat momentum yang dimilikinya pada zaman kegemilangannya di sekitar 70an dan 80an. Walaupun dengan persaingan daripada beberapa organisasi yang lebih muda, ABIM kini terus mendapat kepercayaan dan sokongan daripada pelbagai pihak dengan menyaksikan ribuan anak muda sudah mula terpaut hati dengan pendekatan dakwah ABIM yang bersifat sejagat, wasatiyah, berpaksikan keilmuan dan intelektual serta mengangkat karamah insaniyah dengan membawa mesej Rahmatan Lil’Alamin. Ini dinukilkan sendiri oleh pakar dan tokoh sejarah tanahair yang juga pengkaji gerakan Islam, Dato’ Profesor Redzuan Othman semasa Ijtima’ Harakiy 2015 di mana beliau sendiri menyatakan bahawa kini tiba masanya untuk ABIM memikirkan strategi dan perancangan masa depan untuk menghadapi dan mendepani Kebangkitan Islam Jilid 2.0. Bukan itu sahaja, kuasa-kuasa besar dunia menerusi kedutaan mereka di tanahair sudah kembali menjalinkan hubungan dengan pimpinan ABIM yang pastinya memberikan petanda mengenai pengaruh ABIM dalam masyarakat. Aktivis ABIM juga kerap terpilih mewakili negara di peringkat nasional mahupun antarabangsa dalam pelbagai perkara termasuk menggondol anugerah berprestij di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 

Dinamika perjuangan ABIM dapat dilihat menerusi slogan dan pendekatan dakwah sepanjang penubuhannya sehingga ke hari ini. Slogan Menegakkan Kebenaran dan Keadilan, Jurubicara Umat dan Islam Sebagai Cara Hidup, Wasatiyul Islam, Manhaj Maliziy dan Mensejahterakan Malaysia Dengan Dakwah secara jelas menunjukkan bagaimana ABIM terus relevan memberikan sumbangan kepada umat. Bukan itu sahaja, demi menegakkan keadilan, ABIM berani mengambil keputusan tidak popular dan memberikan implikasi bessar seperti terlibat dalam gerakan reformasi.

 

ABIM juga terus istiqamah membentuk fikrah umat. Adalah menjadi peranan ABIM untuk membentuk pemikiran masyarakat yang berjiwakan al-Quran. Generasi atau masyarakat yang berminda al-Quran ini akan mempunyai jati diri yang kuat dan mampu untuk meneruskan agenda kebangkitan Islam. Kekuatan intelektual tanpa sentuhan al-Quran hanya akan melahirkan modal insan yang bermasalah dan tidak dapat memenuhi aspirasi umat.

 

ABIM juga secara proaktif mendidik masyarakat mengenai politik beretika. Politik yang bersifat sivil dan demokratik berpaksikan ijtihad, mengiktiraf ‘pluralisme politik’, menekankan kepentingan tadbir-urus pemerintahan tata-kelola yang baik. ABIM telah mengetengahkan banyak idea segar seperti konsep Negara Sivil atau Dawlah Madaniyah berbanding Negara Islam seperti yang digagaskan oleh kebanyak Generasi Awal Kebangkitan Islam. Dalam aspek ini, ABIM telah mempopularkan beberapa istilah penting bagi mendepani realiti hari ini seperti konsep al-Ukhuwat al-Muwatanah, al-Ukhuwat al-Insaniyah dan dar al-Da’wah. Dengan ruang lingkup tasawwur dakwah yang bersifat universal dan kontemporari inilah yang akan dapat memberikan nafas baru bagi setiap gerakan dakwah. Dalam hal ini, usaha-usaha ke arah penyegaran semula tasawwur dakwah melalui konsep al-Ukhuwat al-Muwatanah, al-Ukhuwat al-Insaniyah dan dar al-Da’wah ini merupakan satu tuntutan pemikiran bagi setiap daie’, gerakan dakwah termasuk institusi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha mentarbiyah dan menta’dib masyarakat.

 

Dengan pengalaman luas sebagai antara gerakan Islam paling awal yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Islam di Malaysia, ABIM memiliki beberapa kelebihan menerusi kebitaraan dalam pelbagai aspek. Ini merangkumi kebitaraan pendidikan, pemikiran dan intelektual, aktivisme, tarbiyah dan latihan, hubungan antara agama, fiqh wanita, politik dan demokrasi dan hal ehwal antarabangsa.

 

Kebitaraan Pendidikan

 

ABIM terkenal dengan visi sebagai Peneraju Agenda Pendidikan Umat menerusi pendidikan al Hikmah. Dianggarkan ABIM mempunyai lebih 23,500 pelajar di seluruh Negara dengan 1,015 bilangan pendidik. ABIM juga mempunyai 42 tahfiz, 13 Sekolah Rendah Islam, lima Sekolah Menengah Islam dan satu institusi pengajian tinggi. Ini tidak termasuk ratusan Taski atau pendidikan Pra-Sekolah yang ada sejak 1970an lagi. Bahkan, beberapa institusi dan sekolah baru bakal ditubuhkan di seluruh Malaysia. Menerusi pendidikan ABIM ini, telah ramai tokoh dan pemimpin yang dilahirkan memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang.

 

Kebitaraan Pemikiran dan Intelektual

Pembudayaan ilmu dalam masyarakat merupakan ‘niche’ atau ciri utama ABIM. Tradisi intelektual ABIM adalah bersifat inklusif iaitu sangat dekat dengan masyarakat dan umat. Bukan sahaja dilihat pada kualiti ilmu pengetahuannya tetapi juga peranannya dalam pembangunan umat dan sejauh mana ia mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Tokoh ilmuan dan intelektual ABIM yang prolifik dan terkehadapan sering menjadi rujukan ramai. Buku-buku terbitan ABIM dan terjemahan terus menjadi rujukan dan diwacanakan dalam masyarakat sehingga hari ini.

 

Kebitaraan Aktivisme Kesukarelaan

 

Pengalaman 45 tahun dalam aktivisme kesukarelaan adalah sesuatu yang sangat berharga. Bantuan kemanusiaan di dalam negara dan luar negara seperti Bosnia, Myanmar, Afghanistan, Pakistan, Palestin, Syria, Filipina dan negara-negara lain di seluruh dunia membuktikan ABIM adalah gerakan yang mempunyai kekuatan pelbagai aspek. Pengetahuan dari aspek advokasi, kemanusiaan, kebajikan, kesihatan dan pengurusan bencana alam seperti banjir dan gempa bumi diiktiraf masyarakat dan badan antarabangsa.

 

Kebitaraan Tarbiyah dan Latihan

 

ABIM mempunyai modul dan silibus tersendiri dalam aspek tarbiyah dan latihan. Pengukuhan kualiti pimpinan dan ahli agar seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pimpinan dilatih agar lebih ‘Visionary’. Ahli dididik dengan pengkhususan berdasarkan bakat, pengetahuan dan minat. Pendekatan tarbiyah yang segar dan intensifikasi latihan yang dinamik dilaksanakan secara berterusan.

 

Kebitaraan Fiqh Wanita

 

ABIM sentiasa mengangkat martabat wanita dan sangat serius melaksanakan agenda pemerkasaan wanita dalam masyarakat. ABIM menganggap kemajuan wanita adalah kemajuan negara. Dalam era ini, wanita berpendidikan menjadi antara penentu kepada kemajuan institusi keluarga. ABIM sejak dari awal penubuhannya terus memberikan sumbangan kepada pembangunan wanita termasuk mendidik masyarakat dari aspek fiqh wanita.

 

Kebitaraan Hubungan Antara Agama

 

Antara isu utama yang membelenggu masyarakat pada hari ini adalah konflik hubungan antara agama. ABIM mengambil perhatian serius isu ini dan terlibat secara langsung dengan agenda mempromosi keharmonian hubungan antara agama sejak dari awal penubuhannya. Menerusi beberapa inisiatif di peringkat nasional dan antarabangsa, pelbagai program dan aktiviti memupuk keharmonian beragama. Di samping komited dan istiqamah mempertahankan kesucian agama Islam dan ketinggianNya, ABIM meneruskan usaha dakwah dengan memelihara dan menjaga keharmonian hubungan antara agama.

 

Kebitaraan Politik dan Demokrasi

 

Mahu tidak mahu, tidak dapat dinafikan betapa kuasa politik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. ABIM sentiasa terkehadapan mendidik masyarakat memahami dinamika politik beretika dan fungsinya kepada rakyat dalam kerangka sistem demokrasi. Wacana segar mengenai politik dari perspektif Islam termasuk fiqh demokrasi dianjurkan secara berterusan. Ini diikuti dengan kajian dan penyelidikan berkaitan demokrasi dan politik yang dilaksanakan. ABIM terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembuat dasar, pelaksana dasar kerajaan termasuk berinteraksi secara aktif dengan pelbagai parti politik yang berlainan latarbelakang.

 

Kebitaraan Hal Ehwal Antarabangsa

 

ABIM adalah antara gerakan yang dikenali di seluruh dunia. ABIM memiliki jaringan yang sangat luas dengan gerakan Islam di seluruh dunia. Malahan, terdapat hubungan yang sangat akrab dengan beberapa gerakan Islam di beberapa negara yang telah menghasilkan pelbagai sinergi dan kerjasama dakwah secara berterusan. Berbanding dengan sesetengah gerakan yang ada dilihat anti-barat, anti-sekular dan anti-liberalisme, ABIM mengambil pendekatan berbeza. Daripada dilabel sebagai gerakan yang anti-barat dan melabel pihak lain sebagai sekular, liberalisme dan sebagainya, ABIM mengambil pendekatan ‘constructive engagement’ dengan barat dan pihak yang berkaitan menerusi dialog dan pelbagai program. Dalam hal ini, ABIM cuba menunjukkan dan mempertontonkan keindahan Islam itu bersandarkankan nas dan konteks sebagai agama yang mengiktiraf kepelbagaian pemikiran. ABIM sentiasa terkehadapan menjadi jurubicara umat dalam memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat. Ini dapat dilihat menerusi kenyataan-kenyataan yang dibuat ABIM dalam isu antarabangsa sepanjang penubuhannya hingga ke hari ini termasuk penganjuran konferen, seminar dan dialog di peringkat antarabangsa.

 

WISDOM (HIKMAH) PENENTU MASA DEPAN KEBANGKITAN ISLAM

 

Immanuel Kant ada menyebut bahawa ‘Science is organised knowledge and wisdom is organised life’. Ini bermakna pengetahuan sahaja tidak mencukupi dalam kehidupan. Apa yang lebih penting adalah ‘wisdom’ atau hikmah yang akan menjadi penentu masa depan dan halatuju kebangkitan Islam. Inilah yang mesti dijadikan panduan kepada Generasi Kedua Kebangkitan Islam dalam merencanakan perjuangan. Pendekatan berhikmah ini dinukilkan Allah swt dalam al-Quran menerusi firmannya dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk

 

Mengambil kira realiti, pendekatan berhikmah harus didasarkan kepada realiti dan waqi’ serta yang paling utama al-awlawiyyat atau keutamaan. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. al-Awlawiyyat ini menuntut kita untuk mendahulukan apa yang berhak didahulukan. Ilmu memahami keutamaan ini adalah sangat penting bukan sahaja kepada fuqaha atau ulama ianya juga penting kepada setiap individu dan institusi termasuk kerajaan.

 

Kebangkitan Islam yang didasarkan hikmah juga sangat sinonim dengan kefahaman dan keupayaan untuk menyeimbangkan antara maslahah dan mafsadah. Pengetahuan mendalam ilmu maslahah dan mafsadah, memahami keadaan semasa dan aspek khusus berkaitan dengan sesuatu permasalahan.Yusuf al-Qaradhawi menyarankan untuk meninjau semula beberapa pandangan ulama terdahulu kerana ianya kemungkinan sesuai pada zaman tertentu. Perubahan kepada sebarang hukum ini mestilah berdasarkan perubahan kepada maslahah, uruf dan tempat. Sebagai contoh peraturan yang ditetapkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz untuk membezakan ahl al dhimmah melalui perbezaan pakaian sudah pasti tidak sesuai lagi untuk diamalkan pada waktu ini.

 

Hikmah juga merujuk kepada kaedah dan pendekatan beransur-ansur yang berorientasikan wasatiyah. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan. Islam merupakan agama yang mengutamakan pendekatan wasatiyah (kesederhanaan). Pendekatan kesederhanaan ini memperlihatkan Islam sebagai agama yang berhikmah. Manifestasi wasatiyah ini bukan sahaja dituntut dalam bentuk individu tetapi lebih utama mewujudkan umat dan masyarakat yang mengamalkan wasatiyah ummatan wasatan’. Ini dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud:

 

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. (al-Baqarah; 143).

 

Pendekatan wasatiyah menolak sebarang sikap ekstrem dan gerakan yang berbentuk keganasan. Dalam konteks Malaysia, pendekatan wasatiyah menolak elemen yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) seperti anasir yang boleh menyalakan api perkauman dan tindakan yang menceroboh hak peribadi seseorang. Pendekatan wasatiyah ini juga menolak ketaksuban terhadap pemimpin tertentu dan hanya mengiktiraf pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

 

Islam adalah agama rahmah alamiah kepada seantero alam. Kualiti kesejagatan yang ada pada Islam ini yang menjadi asas kepada ciri ‘inclusiveness’ di mana Islam meraikan keunikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan ketinggian tamadun. Nilai kesejagatan dalam Islam ini menjadikan ia relevan dan bersesuaian dengan kehidupan manusia pada setiap masa tempat dan kelainan bangsa serta budaya. Islam mengiktiraf kepelbagaian menerusi ciri kesejagatan ini di mana nilai-nilai dan prinsip-prinsip syariat mengangkat keadilan sebagai neraca utama dalam pentadbiran dan kehidupan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

 

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” ( al-Fatihah: 2). 

 

Al-Hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada aspek yang menunjukkan mesej rahmatan lil’alamin. Karya al-Ghannoushi bertajuk al-Hurriyah al-‘Ammah fi al-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam) mengandungi wacana penting pemikiran politik Islam kontemporari. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh beliau dalam karyanya yang lain bertajuk ”al-Dimuqratiah wa al-Huquq fi al-Islam”. Kebebasan dalam Islam mestilah seiring dengan keadilan. Konsep hurriyah wa al-adalah adalah menjadi tunggak kepada setiap aspek kehidupan. Ini dijelaskan dalam al Quran yang bermaksud:

 

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al-Ma‘idah; 8).

 

Konsep’huquq al-insan’ dan ’karamah insaniyah’ seharusnya diangkat menjadi dasar kepada pendekatan berhikmah. Ini bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf karamah insaniyah. Sejarah telah menyaksikan sendiri deklarasi hak asasi manusia lebih 1400 tahun yang lalu ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbah nya yang agung semasa hujjatul wida’. Rasulullah SAW dengan jelas menyampaikan mesej yang memberi peringatan kepada semua umat manusia dengan sabdanya; ”Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah suci sesuci hari kamu ini, pada bulan kamu ini dan di negeri kamu ini”. Berbeza dengan falsafah hak asasi Barat yang berasaskan kepada konstruk sosial, huquq al insan dan karamah insaniah dalam Islam merupakan anugerah dan ketetapan Ilahi bersumberkan wahyu.

 

Sebagai sebuah badan dakwah, pendekatan al-Rahmah (kasih sayang) dan al-Rifq (lemah lembut) sepatutnya dijadikan asas pertimbangan. Pendekatan kasih sayang dan lemah lembut ini menuntut semua untuk tidak berlaku syadid al-qaswah atau kekerasan. Al-rahmah dan al-rifq inilah yang menjadi amalan dan sunnah Rasulullah saw yang telah membuka hati ramai manusia untuk memeluk Islam. Pendekatan mengambil pandangan yang lebih mudah dan realistik dengan keadaan semasa.

 

Pendekatan berhikmah juga meletakkan maqasid al-Shari’ah sebagai dasar dan kayu ukur kepada gerakan Islam. Pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) misalnya mestilah mengambil kira semua aspek Syariat sebagai cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti`ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat. Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`a difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

 

PENUTUP

 

Generasi awal kebangkitan Islam telah memberikan sumbangan mereka kepada umat. Namun, idea dan pemikiran generasi pertama kebangkitan Islam ini semakin hari dilihat tidak lagi bersesuaian dengan realiti yang ada pada dunia hari ini. Ini dibuktikan dengan tragedi kegagalan dan penggagalan gerakan Islam di dunia Islam sehinggakan Islam itu sendiri dilihat bermasalah. Fenomena ini telah mencetuskan satu wacana baru yang dipelopori oleh generasi baru kebangkitan Islam. Pemikiran dan pendekatan generasi baru ini adalah lebih bersifat terbuka, realistik dan mengambil pendekatan yang bersifat universal meraikan kepelbagaian. Bagi memastikan gerakan Islam terus relevan, ‘wisdom’ atau hikmah yang akan menjadi penentu kepada sejauh mana relevannya dinamika wacana baru gerakan Islam oleh generasi kedua kebangkitan Islam.

 

Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang serba hebat. Dalam era abad ke-21 ini, dengan cabaran dalaman dan luaran, menuntut untuk gerakan Islam membuat perancangan membuat persiapan dengan berhikmah. Sekiranya masih tidak bersedia, alpa dan tidur lena dan tiada perancangan serta usaha-usaha untuk mendepani cabaran dan realiti ini, dikhuatiri gerakan Islam akan terus ketinggalan dan dianggap tidak relevan di masa depan. Segala apa yang diusahakan hari ini sebenarnya adalah untuk hari esok sebagai bekalan di akhirat sepertimana yang dinukilkan dalam al-Quran, surah al-Hasyr, ayat 18:

 

“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada ALlah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang hendak diperbuatnya untuk hari esok (Hari Akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

 

Sesuai dengan ciri Islam bersifat sejagat (universal) dan rahmat (mercy) kepada sekalian alam, maka sudah semestinya setiap perancangan dan strategi sekarang dan masa depan adalah sesuatu yang perlu dikaji dan diwacanakan secara serius dan menyeluruh. Ia pastinya akan memberikan sumbangan yang amat bernilai ke arah mewujudkan model dan pendekatan kebangkitan Islam gelombang kedua yang benar-benar mengangkat dan memperlihatkan ciri-ciri kerahmatan Islam itu sendiri.

 

Akhir kata, di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan serta kelemahan sepanjang menerajui ABIMN9. Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua warga ABIMN9 dan PPINS yang menjayakan Muktamar pada hari ini. Izinkan juga untuk saya mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh hadirin dan hadirat, tetamu, muktamirin, muktamirat dan semua yang sudi melapangkan masa menghadiri Muktamar kali ini.

 

Wallahua’lam.

 

18 Syawal 1437H/ 23 Julai 2016M.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s