Letter from Yusuf al Qaradawi to the Government of Malaysia

Surat Samahah al-Shaykh Yusuf al-Qaradawi kepada Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia. (Terjemahan Marwan Bukhari)

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan sesiapa yang mengikuti petunjukNya.
Sesungguhnya Malaysia sebuah negara yang dicintai kami, besar untuk kami dan ada tempat di sisi kami.

Malaysia ada kenangan indah pada diri kami, kecintaan yang benar di hati kami dan kedudukan yang tinggi di akal kami. Hubungan yang erat dan ziarah yang kerap menghimpunkan kami dengan rakyat Malaysia. Sesungguhnya jiwa kami menjadi gembira setiap kali kami melihat Malaysia menuju ketinggian dan kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan. Kami berdoa kepada Allah untuk Malaysia, rakyat, kerajaan dan Rajanya; semoga Allah mengekalkan kepada mereka jalan pembangunan dan kemurahan, ikatan dan persaudaraan.

Namun begitu, kami bercita-cita supaya ufuk yang melewati keterbukaan pendidikan dan ekonomi, sosial dan keilmuan, turut merangkumi keterbukaan politik. Begitu juga, agar Kerajaan Malaysia tidak memandang kepada pihak yang membangkangnya sebagaimana pandangan negara-negara Dunia Ketiga. Pembangkang merupakan satu bahagian utama dari komponen negara dalam sistem demokrasi. Ia merupakan teras keamanan demi memelihara kesatuan negara dan kestabilannya, selain supaya para pemuda tidak pergi kepada pemikiran yang melampau dan aliran ekstremisme.

Saya berkata demikian, berdasarkan apa yang sedang dilalui saudara dan sahabat kami, yang dimuliakan Anwar Ibrahim. Beliau telah berdiri dengan peranan yang hebat, hasil yang besar dan usaha yang baik, yang mana negara Malaysia dan seluruh rakyatnya telah memperoleh manfaat dari usaha itu.

Sebagaimana manusia lain, saya mengikuti tuduhan yang aneh terhadap Anwar. Tuduhan itu tidak selari dengan usianya, akhlak, kehidupan beragama, sejarah dan kedudukannya. Demikian juga situasi dan kepelikan di sekelilingnya. Beliau telah dibuktikan tidak bersalah dalam satu penghakiman, kemudian dihukum bersalah dalam satu penghakiman terakhir, hal tersebut berlaku setelah tiada bukti dan telah berlalu satu tempoh yang tidak mungkin boleh dibuktikan lagi.

Sesungguhnya saya mengenali Anwar Ibrahim sewaktu beliau pada awal usia mudanya, bangun menentang pemerintahan yang lalu dan kemudian memimpin belia Malaysia (Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)). Kemudian kami mengenalinya ketika beliau dipenjara angkara penentangannya (terhadap kerajaan) dan kami mengenalinya selepas beliau dibebaskan dari penjara dan menyertai UMNO. Beliau memimpin beberapa Kementerian, sehingga menjadi orang nombor dua di dalam parti dan kerajaan.

Anwar Ibrahim banyak kali menjemput saya dalam merapatkan (hubungan) antara Parti Islam dan UMNO, saya menyambutnya, kerana saya menyeru kepada kekuatan, kesatuan dan jalan yang lurus buat Malaysia. Saya bersama-sama Anwar Ibrahim saling bekerjasama dalam membangunkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang mana tertegak atas dasar integrasi ilmu wahyu, sains dan kemanusiaan.

Saya mengenalinya semasa beliau sedang bersinar di Malaysia, dunia Arab dan di Barat, ketika itu beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pemimpin terhebat Malaysia di era ini, salah seorang yang menyumbang kepada kebangkitan negara. Dunia pada masa itu menantinya untuk menjadi Perdana Menteri, pemimpin Malaysia bagi era baru, (namun ia tidak berlaku) angkara kerosakan politik yang menimpa kita.

Saya menganggapnya sebagai seorang Muslim yang benar, mukmin yang istiqamah, menunaikan kewajipan, menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan yang haram. Beliau beramal untuk kemuliaan agamanya, ketinggian negara dan khidmat kepada rakyatnya. Allah lah yang layak menilainya, saya tidak layak menilainya di hadapan Allah.

Hari ini, Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya orang politik yang telah dan sedang ditimpa dengan kes-kes yang meragukan, dan beliau dipenjara satu demi satu. Kalau saya meragui akan perbuatannya pada apa yang dituduh, pasti saya tidak menulis seperti apa yang ditulis sekarang.

Sebenarnya, saya boleh untuk berdiam dari apa yang sedang dideritai Anwar Ibrahim di penjara. Namun pengiktirafan kepada beliau, pengetahuan akannya dan kejujurannya, selain kerana nasihat ikhlas daripada saya kepada rakyat dan kerajaan Malaysia; (semua itu) menghalang saya untuk tidak berpihak dari topik ini.

Bahkan itu mewajibkan saya untuk menyampaikan seruan kepada Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim. Demikian juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia, supaya memberikan pengampunan kepada Anwar Ibrahim. Lebih-lebih lagi isu ini tidak berlaku pada zaman Perdana Menteri sekarang; (PM sekarang) seorang yang saya telah temui dan berutus surat dengannya, saya membantunya dan saya telah menjaga hubungan dengannya. Saya mengiranya dengan izin Allah akan menyambut seruan ini.

Saya menyeru agar kita menutup episod lalu yang mana ia menyakitkan negara Malaysia dan para pimpinannya. Demi Allah, sesungguhnya saya sangat ingin menyatukan rakyat negara Malaysia, bahkan menyatukan seluruh umat Islam.

Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.
(Al-Mukminun: 52)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…”
(Al-i-’Imran: 103)
“… dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Al-Anfal: 46)

Ya Allah, satukan lah suara kami di dalam hidayahMu, hati-hati kami atas ketakwaan padaMu, jiwa-jiwa kami atas kasih sayangMu, dan (satukan) azam-azam kami untuk meneruskan kebaikan dan sebaik-baik amal. Amin.
Yusuf al-Qaradawi
Pengerusi, Kesatuan Ulama Sedunia

3 thoughts on “Letter from Yusuf al Qaradawi to the Government of Malaysia

  1. Aiman Achim says:

    Reblogged this on Pena Musafir and commented:
    Subhanallah… Ulama’ unggul era ini juga sangat peka dan ambil berat dengan Negara Malaysia yang kita cintai ini.

  2. Aiman Achim says:

    Assalamualaikum tuan. Terima kasih atas entri yang bernilai ini. Moga Allah permudahkan segala urusan tuan dan memanjangkan umur tuan untuk menulis lebih banyak entri yang berkualiti lagi.

    Saya ada permintaan, bolehkah saya dapatkan sumber arab/website yang post artikel ini? Terima kasih

    Barakallahu feek..

Leave a comment