MEMELIHARA KEINDAHAN ISLAM SEBAHAGIAN DARIPADA MAQASID AL-SHARIAH

MEMELIHARA KEINDAHAN ISLAM SEBAHAGIAN DARIPADA MAQASID AL-SHARIAH

Pada zaman Rasulullah SAW bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Sejarah telah mencatatkan banyak peristiwa penting umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Nuzul al-Quran dan diikuti kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar, Khandaq dan Hunain, pembukaan kota Mekah, kejayaan menewaskan tentera Rom dan mendapatkan kembali bumi Al Aqsa semasa era Salahuddin al Ayubi. Pada masa ini umat Islam dipandang mulia dan dihormati. Semua golongan dari pelbagai bangsa, tidak mengira agama, warna kulit dan status berbondong-bondong memeluk Islam dengan keinginan dan pilihan mereka tanpa paksaan dan sebarang ugutan. Alangkah indahnya Ramadhan pada waktu itu.

Suasana Ramadhan hari ini sangat berbeza. Ramadhan 1437H dipalit dengan pelbagai isu yang hanya memperlihatkan kelemahan dan kecuaian umat Islam menghayatinya. Isu kafir harbi, pengurusan zakat, makan dikhalayak ramai, tuduhan munafik haraki, suntikan vaksin, rasuah dan sebagainya langsung tidak menunjukkan ‘wisdom’ atau hikmah. Lebih membimbangkan ialah apabila melihat ada isu ini yang dibangkitkan oleh pihak berautoriti termasuk agamawan yang diharapkan mampu menyelesaikan masalah dan menghuraikan kekusutan umat. Kecuaian memberikan pandangan mengenai sesuatu isu bersandarkan kepada teks dan konteks akhirnya hanya berjaya membentuk persepsi negatif terhadap Islam itu sendiri.

Merenung situasi politik di Malaysia pula, kita dapat perhatikan bagaimana pemimpin ‘bermasalah’ kini sentiasa cuba dilihat lebih Islamik selalu kelihatan bersama ulama di majlis-majlis kegamaan dan sebagainya menimbulkan beberapa persoalan. Ada juga yang kini sudah mula petah menggunakan istilah-istilah arab cuba menjustifikasikan perbuatan mereka dan mengaburi masyarakat. Sehinggakan menimbulkan gambaran kepada umum bahawa ada agamawan yang redha akan keadaan ini. Lebih merumitkan keadaan apabila Islam itu seakan digambarkan sebagai agama yang berkompromi dengan kebatilan atau dilihat sebagai alat untuk pemimpin bermasalah berlindung dan mendapat ‘legitimacy’ sokongan Umum.

Ini mengingatkan kepada ungkapan penting Sheikh Abdullah Ben Bayyah:

من مقاصد الشريعة تحسين صورة الإسلام

“Sebahagian Maqasid al-Shari’ah adalah memelihara kecantikan imej Islam”.

Prinsip menjaga imej Islam dan memperlihatkan keindahannya ini adalah sebahagian daripada tuntutan Maqasid al-Shari’ah. Semua umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memelihara dan menjaga imej Islam sebagai agama yang membawa kerahmatan. Apatah lagi pemimpin dan agamawan yang memegang tampuk pemerintahan dan menguasai pentadbiran negeri dan Negara.

Pandangan yang tidak cermat oleh pihak berautoriti agama dalam isu kafir harbi misalnya telah menimbulkan persepsi yang sangat negatif terhadap Islam. Malahan, implikasinya mungkin tidak dapat kita gambarkan di mana ia berpotensi membawa kepada keganasan dan ekstremisme. Begitu juga dengan akhlak dan adab yang ditunjukkan apabila berselisih pandangan. Perkataan kesat dan tidak beradab digunakan sewenang-wenangnya seolah-olah ia dihalalkan atas nama agama. Bukan Muslim dalam konteks masyarakat hari ini melihat bahawa Islam itu tidak bersifat ‘rahmah’, tidak mesra kemanusiaan dan tidak ‘universal’ atau sejagat yang meraikan kepelbagaian.

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, imej Islam yang tercemar dan gagal dipelihara ini juga sangat berkait rapat dengan amalan politik yang menyalahgunakan agama sebagai alat untuk terus berkuasa. Oleh itu, adalah menjadi satu persoalan yang sangat signifikan untuk kita renungi apabila membenarkan dan membiarkan pemimpin bermasalah untuk berselindung disebalik simbol agama. Jika kita begitu marah dengan ISIS yang tidak mewakili Islam dan memburukkan imej Islam, kita juga perlu bangkit untuk menegur dan mencegah mana-mana pemimpin bermasalah yang mencemarkan imej Islam itu sendiri. Kebatilan yang jelas seperti rasuah dan guna kuasa termasuk penipuan dan mungkir janji sama sekali tidak boleh dikompromi. Sebarang usaha untuk menjustifikasikannya atas nama Islam dan bangsa bukan satu perkara yang boleh diterima bahkan dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada amanah ilmu. Ini semua sama sekali tidak menepati maqasid menjaga dan memelihara imej Islam kerana ia akan memburukkan lagi persepsi umum kepada Islam.

Tuntutan memelihara dan menjaga imej Islam ini sebenarnya sangat dekat dengan aspek akhlak. Akhlak adalah misi kenabian dan menjadi asas kepada kekuatan syahsiyah umat Islam. Pejuang sunnah Rasulullah SAW mesti cuba untuk berakhlak seperti Rasulullah SAW, pejuang hadith sahih mesti berakhlak sepertimana yang terkandung dalam ‘hadith sahih’, pejuang Islam mesti berakhlak seperti seorang Muslim yang beriman, pejuang melayu mesti berakhlak seperti seorang ‘Melayu’ yang sopan dan beradab, pejuang syariat Islam mesti berakhlak melambangkan keindahan Syariat. Tuntutan menjaga dan memperlihatkan akhlak mulia sebagai sebahagian daripada memelihara imej Islam ini adalah bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Di antara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat ialah orang yang baik akhlaknya”. (HR Tirmizi).

Islam itu agama yang membawa rahmat ke sekalian alam. Namun, hari ini kita boleh lihat Islam itu tidak digambarkan sebagai sesuatu yang rahmat. Fenomena bisu dengan kebatilan yang jelas di depan mata, kemiskinan akhlak dan krisis keilmuan memburukkan lagi imej Islam itu sendiri. Mengembalikan semula imej Islam itu sebagai agama yang sejagat, menjunjung kebenaran menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran adalah amanah untuk kita semua. Bersempena Ramadhan 1437H yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini, marilah kita bersama-sama menghayati makna sebenar Ramadhan dengan memelihara dan menjaga imej Islam itu sebagai agama yang membawa kerahmatan kesekelian alam.

25 Ramadhan 1437H

KONSEP UKHUWAH DENGAN BUKAN ISLAM

KONSEP UKHUWAH DENGAN BUKAN ISLAM

Pendahuluan

Mutakhir ini masyarakat Malaysia disajikan dengan beberapa pandangan dan pemikiran yang benar-benar menguji akal dan minda. Isu kenyataan melibatkan konsep kafir harbi daripada individu yang berautoriti pastinya boleh memberikan kesan yang signifikan kepada keharmonian kehidupan bermasyarakat. Sebarang pandangan seharusnya memikirkan impak dan tasawwur secara keseluruhan bukan sahaja berasaskan kepada nas yang sahih tetapi juga perlu melihat konteks semasa. Kecuaian memberikan pandangan terutamanya pihak berautoriti berpotensi untuk menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat malahan boleh mencetuskan keganasan dan perkembangan ekstremisme.

Pengalaman beinteraksi dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan beberapa persatuan serta program ziarah tokoh gerakan Islam semasa berada di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah telah membuka minda dan mencetus tasawwur atau ‘worldview’ baru terhadap pendekatan dakwah yang lazimnya dikaitkan dengan slogan ‘Islamic Revivalism’ atau kebangkitan Islam. Di antara subjek yang menjadi perhatian utama penulis ialah pendekatan baru atau idea segar gerakan dakwah dalam mengharungi cabaran pluraliti. Melihat kepada perkembangan dunia Islam dan barat yang menuntut kepada sistem yang lebih demokratik melalui revolusi di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan lain-lain negara termasuk angin perubahan di Israel, mahu tidak mahu pendekatan dakwah yang sedia ada perlu diperbaharui atau diberikan nafas baru dengan mengambil kira faktor dan fenomena setempat dan antarabangsa. Malahan, dengan adanya revolusi yang dianggap gagal dan digagalkan seperti Revolusi Tahrir di Mesir, ia benar-benar menunjukkan bahawa kita memerlukan pembaharuan dan pembangunan fiqh dakwah yang lebih dinamik bersesuaian dengan realiti semasa berasaskan nas yang sahih.

Dari aspek ini, penulis ingin melontarkan pandangan yang dianggap bukanlah baru tetapi merasakan ia perlu diberikan perhatian dalam menangani isu Islam dan pluraliti dalam konteks hubungan sesama warganegara bukan seagama. Perlu diingatkan pluraliti di sini bukan bermaksud ‘pluralisme agama’ tetapi merujuk kepada kepelbagaian agama, bangsa dan warganegara. Artikel ini juga tidak bersifat ’legalistic’ atau dari perspektif hukum semata-mata tetapi lebih menjurus kepada fiqh dan tasawwur dakwah. Bagi maksud perbincangan ini, penulis ingin mengutarakan beberapa konsep yang perlu dijadikan dasar dan tasawwur dakwah sama ada di negara majoriti penduduk Islam dan juga di mana orang Islam adalah minoriti. Konsep ‘al Ukhuwat al Muwatanah’, ‘al Ukhuwat al Insaniyyah’ dan ‘Dar al Da’wah’ yang dianjurkan oleh pendakwah kontemporari seperti Yusuf al Qaradhawi, Tariq Ramadhan, Fahmi Huwaidiy, Jasser Auda, Muhammad Fathi Uthman dan Rashid al-Ghannoushi perlu dijadikan topik perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan dakwah yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan dengan bukan Islam.

Tasawwur Dakwah

Penulis berpandangan, konsep-konsep yang amat penting untuk difahami ini merupakan hasil daripada intipati kefahaman pemikir dan pendakwah Islam ini melalui ilmu pengetahuan, pengalaman, pemikiran, pengamatan dan pengajaran yang diambil dari sejarah kebangkitan Islam. Hakikatnya, tasawwur dakwah dalam ruang lingkup tradisi melalui istilah umpamanya ahlu Zimmah, dar al Harb dan kafir Harb menimbulkan implikasi yang agak signifikan pada keberkesanan pendekatan dan metod dakwah.

Sekiranya diteliti kepada sejarah bermulanya wilayah-wilayah Islam dikuasai kuasa asing bermula sekirar 1757 sehingga 1919. Dalam tempoh ini sebanyak lebih kurang 92 wilayah Islam telah dijajah di bawah pemerintahan sama ada British, Itali, Perancis dan lain-lain negara. Namun begitu, kebangkitan dunia Islam yang telah berlaku susulan daripada arus kesedaran dan sumbangan gerakan Islam, setakat tahun 1995 sahaja, 65 wilayah Islam telah berjaya dikembalikan. Kemerdekaan wilayah Islam ini akhirnya mewujudkan konsep negara Bangsa yang berbeza dengan realiti di zaman Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniah. Dengan tertubuhnya negara bangsa setelah penjajahan di kebanyakan daerah Islam di dunia, gerakan dakwah pada hari ini perlu beroperasi dalam ruang lingkup tasawwur yang lebih bersifat kontemporari, universal, hikmah dan terbuka. Ini bagi menjamin keberkesanan dan kesesuaian strategi dakwah terutamanya mendepani isu pluraliti atau kepelbagaian kaum, agama dan warganegara. Istilah yang lebih segar dan kontemporari seperti al Ukhuwat al Muwatanah, al Ukhuwat al Insaniyah dan Dar al Da’wah dilihat amat bertepatan dengan keadaan semasa serta bersesuaian dengan peredaran zaman dan perkembangan dunia.

Al Ukhuwat al Muwatanah

Di antara isu yang hingga ke hari ini ditimbulkan ialah hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam. Hakikatnya, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti bukan Islam ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Al Din wa al Siyasah’ berpandangan bahawa istilah ini lebih bersesuaian digantikan dengan ‘al Muwatinun’. Pandangan ini amat bertepatan kerana istilah ahlu Zimmah ini asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti seperti di Malaysia adalah berbeza.

Istilah ‘al Muwatinun’ ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada metod dan pendekatan dakwah kepada golongan bukan Islam. Siddiq Fadhil dalam ucapan dasarnya di Ijtima’ Harakiy ABIM 2013 berpandangan bahawa konsep saudara senegara adalah amat bertepatan dalam merujuk kaum minoritI bukan Islam di Malaysia. Malahan dalam aspek ini, Yusuf Al Qaradhawi mengesyorkan skim cukai yang sama rata ‘dharibah takaful’ dengan mengambil kira status sebagai warga negara atau saudara senegara dan bukan lagi dalam bentuk jizyah. Ini disepakati oleh Fahmi Huwaidi di dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’ yang berpandangan bahawa istilah ahlu zimmah ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih tepat dalam konteks negara bangsa.

Al Ukhuwat al Insaniyyah

Kerap kali menjadi topik hangat mengenai Islam mutakhir ini merujuk kepada isu tohmahan ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Persepsi seperti ini boleh diperbetulkan melalui konsep ’al Ukhuwat al Insaniyyah’ atau saudara sesama insan yang dibicarakan dengan terperinci oleh Yusuf al Qaradhawi. Istilah ini bukanlah perkara baru bahkan ia sebenarnya bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Melalui intipati ayat ini, gerakan dakwah dan juga apa sahaja aktiviti dakwah perlu memberi perhatian kepada pengutamaan dalam melindungi dan memperjuangkan hak-hak asasi manusia agar dapat dilihat keuniversalan Islam itu secara hakiki.

Hakikatnya, jika dihayati dasar-dasar dan perintah Allah di dalam al Quran dan sunnah rasulNya, terlalu banyak nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang secara jelas menyentuh kewajipan menjamin hak-hak asasi. Dalam aspek ini, Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Shari’ah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ia bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi. Al Ghannoushi di dalam bukunya Al Dimuqratiah wa al Huquq al Insan fi al-Islam menghuraikan dengan lebih mendalam aspek hak asasi manusia yang sangat bertepatan dengan konsep al ukhuwah al insaniyah ini. Sehubungan dengan itu, gerakan dakwah Islam boleh mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan mengambil kira nilai-nilai yang bersifat universal. Gerakan dalam bentuk gabungan dengan badan bukan kerajaan termasuk gerakan dakwah agama lain ke arah menjamin keharmonian dan kerukunan masyarakat merupakan pendekatan yang amat relevan dalam konteks masyarakat masa kini.

Dar al Da’wah

Menyentuh kepada konsep ’negara’, istilah tradisi yang sering digunakan bagi membezakan daerah penduduk Islam dengan bukan Islam ialah dar al harb. Melalui konsep ini jugalah timbulnya istilah kafir harb. Istilah-istilah ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang kurang baik kepada keberkesanan dakwah dan ini diakui sendiri oleh Yusuf al Qaradhawi apabila membincangkan beberapa istilah yang merujuk kepada bukan Islam. Bergerak di dalam ruang lingkup tasawwur yang menganggap bukan Islam sebagai kafir yang diperangi menjadi satu permasalahan yang sangat besar implikasinya.

Menangani isu ini, Tariq Ramadhan berpandangan bahawa istilah dar al harb sudah tidak bersesuaian dengan konteks masyarakat pada hari ini. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa istilah kafir harb juga perlu didefinisikan semula. Sebagai alternatif, beliau berpandangan istilah dar al Da’wah adalah lebih bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan dan bi’ah atau suasana yang ada pada hari ini. Adalah sangat tidak bertepatan di mana negara majoritinya bukan Islam yang memberi kebebasan beragama malahan lebih baik dari negara yang mengaku Islam diklasifikasikan sebagai dar al harb. Terdapat banyak negara yang ada pada hari ini tidak mempunyai ciri-ciri dan boleh diklasifikasikan sebagai dar al harb mahupun rakyatnya sebagai kafir harb.
Dinamika Fiqh Dakwah

Istilah al Ukhuwat al Muwatanah, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah merupakan konsep yang perlu dijadikan tasawwur dakwah masa kini. Dengan ruang lingkup tasawwur dakwah yang bersifat universal dan kontemporari inilah yang akan dapat memberikan nafas baru bagi setiap gerakan dakwah. Penulis melihat anjakan pemikiran tasawwur dakwah ini merupakan salah satu usaha ke arah pembaharuan atau ‘renaissance’ kepada gerakan dakwah dalam memastikan keberkesanannya.

Apabila menyentuh isu pembaharuan yang sering kali dikaitkan dengan istilah tajdid, kerap kali ia digunakan dalam ruang lingkup yang tidak luas. Melalui pemerhatian, tajdid sering kali digunakan dalam aspek ibadah iaitu merujuk kepada usaha menjauhi amalan bidaah. Pada hakikatnya, tajdid bukan sahaja perlu dari aspek ibadah, malahan ia juga bersangkutan dengan ekonomi, sosial, politik, undang-undang dan lain-lain bahkan ia juga menjadi satu tuntutan dalam gerakan dakwah. Dalam hal ini, usaha-usaha ke arah penyegaran semula tasawwur dakwah melalui konsep al Ukhuwat al Muwatanah, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah ini merupakan satu tuntutan pemikiran bagi setiap daie’, gerakan dakwah termasuk institusi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha mentarbiyah dan menta’dib masyarakat.

Kesimpulan

Tanggungjawab atau mas’uliah dakwah terletak pada setiap individu Islam. Usaha dakwah ini tidak akan mendapat natijahnya secara optimum melainkan dilaksanakan secara berjamaah. Keberkesanan dakwah juga amat bergantung pada tahap pemikiran dan tasawwur. Dalam konteks masyarakat moden hari ini dengan perkembangan teknologi, peredaran zaman dan masa serta fenomena globalisasi, tasawwur dakwah juga perlu seiring ditransformasikan terutamanya dalam mendepani isu pluraliti yang agak kompleks ini.

Tasawwur dakwah yang ingin penulis tekankan dalam artikel ringkas ini merujuk kepada transformasi pemikiran dan kefahaman menangani isu Islam dan pluraliti serta hubungan dengan bukan Islam sewarganegara melalui konsep al Ukhuwat al Muwatanah, al Ukhuwat al Insaniyah dan dar al Da’wah. Penulis berpandangan dan yakin, dalam konteks masyarakat umpamanya di Malaysia, potensi dakwah yang lebih signifikan bakal diterima sekiranya ruang lingkup dan tasawwur yang dibincang di atas menjadi dasar kepada strategi dakwah. Semoga pandangan yang dilontarkan ini boleh dijadikan manfaat atau sekurang-kurangnya pencetus idea ke arah pembaharuan ‘fiqh dakwah’ demi memartabatkan Islam di persada dunia.

21 Ramadhan 1437H

Nukilan Buat Ayahanda

Nukilan Buat Ayahanda

100 hari ayahanda telah meninggalkan kami.

Ayahandaku berasal dari Kampung Sg. Durian, Teluk Intan daripada keluarga yang serba kekurangan. Tarikh lahirnya juga tidak dapat dipastikan kerana ayahanda telah pun remaja semasa zaman Jepun lagi. Ayahanda tidak punya pelajaran tinggi hanya mendapat pendidikan awal setakat darjah 5 kerana tidak mampu meneruskan pelajaran kerana faktor kemiskinan.

Ayahanda membuat segala jenis pekerjaan sejak dari muda untuk membesarkan anak-anaknya dan menyara keluarga. Dari seorang nelayan sungai, menjadi pekerja kayu balak di tengah hutan belantara, polis sementara, bekerja di ladang estet, mengusahakan sawah padi, penoreh getah dan bermacam-macam lagi. Sejak kecil aku melihat ayahanda tidak seperti ayah orang lain, punya baju baru, motosikal baru dan kasut baru. Ayahanda juga tidak pernah berpeluang untuk melancong mahupun ke luar Negara. Satu-satunya tempat luar Negara yang pernah diziarahi ayahanda hanyalah Mekah dan Madinah iaitu ketika menunaikan fardhu haji. Ayahanda merasa cukup seadanya demi pendidikan anak-anaknya. Aku masih ingat bagaimana kuatnya ayahanda bekerja demi menyara keluarganya sehingga ayahanda dihantarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan. Ibuku hanya dengan menaiki bas menemani ayahanda berminggu-minggu di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ayahanda sentiasa sabar dan tabah dengan segala ujian yang dihadapi. Ketabahannya itu sungguh mengagumkan. Walaupun disindir dan dipandang rendah kerana kesusahan keluarga, ayahanda terus tersenyum dan tenang membesarkan kesemua 10 orang anaknya tanpa mengenal erti penat ataupun lelah. Ayahanda sanggup bersusah payah berkorban segalanya demi pendidikan anak-anaknya. Aku tidak pernah melihat ayahanda membuang masa menghabiskan hidupnya dengan perkara tidak bermanfaat. Ayahanda tidak pernah merokok dan bukan jenis individu yang suka meluangkan masa di kedai kopi tetapi beliau sentiasa bersama keluarga. Ayahanda akan sentiasa memikirkan dan berusaha menambahkan pendapatan keluarga dengan pelbagai pekerjaan.

Ayahanda dengan anak-anaknya adalah begitu tegas. Ajaran dan didikan agama langsung tidak dikompromi. Pengajian al Quran dan solat pastinya sesuatu yang sentiasa ditekankan. Ayahanda mengajar kesemua 10 anaknya al Quran sehingga tamat dan berjaya. Sesuatu yang mengagumkan, ditengah kesibukan dan kesusahan, ayahanda sentiasa sedaya upaya tidak meninggalkan solat berjemaah. Ayahanda pastinya akan berada di masjid atau surau setiap kali waktu solat selagi mana kesihatannya mengizinkan. Solat berjemaah bersama keluarga sudah menjadi lumrah dan amalan sekiranya tidak ke Masjid ataupun surau. Walaupun tanpa latarbelakang pengajian agama yang tinggi, kekuatan kerohanian dan amalan ibadah ayahanda yang istiqamah adalah sesuatu yang menginspirasi.

Ayahanda memberikan tauladan sebagai seorang suami yang terbaik kepada ibuku. Masih ingat nukilan ayahanda sebelum menghembuskan nafas yang terakhir menzahirkan perasaan sedih kerana tidak dapat terus menjaga ibuku yang uzur sekian lama. Selama puluhan tahun, ayahanda lah yang menjaga segala-galanya kehidupan ibuku yang uzur tanpa mengeluh sedikitpun. Aku menyaksikan sendiri bagaimana ayahanda melayan ibuku dengan penuh kasih sayang. Ayahanda lah yang memasak makanan, membersihkan pakaian, menentukan waktu mengambil ubat dan segalanya untuk ibuku. Ayahanda mengajarku erti kasih sayang antara suami dan isteri.

Ayahanda dihormati dan disegani masyarakat dengan statusnya sebagai guru al-Quran dan Imam. Hampir kesemua anak-anak jiran disekeliling mengaji al Quran dengan ayahanda. Masih kukuh diingatan bagaimana meriahnya suasana di rumah dengan begitu ramai anak-anak datang mengaji al Quran dengan ayahanda. Ayahanda tidak pernah mengenakan sebarang bayaran mahupun upah. Semuanya itu dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Ayahanda mengajar anak-anaknya dengan ketinggian akhlak. Adab dan akhlak perlu dijaga sepanjang masa. Menghormati guru-guru adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan ayahanda. Tiada siapa dikalangan adik-beradik yang berani mengadu dirotan guru kerana pastinya akan ditambah dengan hukuman yang lebih berat. Pada ayahanda, guru diberi amanah untuk mendidik dan semua anak-anaknya perlu mentaati dan menghormati ketinggian dan kemuliaan profesyen guru.

Ayahanda jarang-jarang menceritakan pengalaman dan kesusahannya termasuk perjuangan dan pengorbanan di zaman sebelum kemerdekaan, komunis dan peristiwa 13 Mei. Ayahanda pernah berkhidmat memerangi komunis di hutan belantara bertarung nyawa demi Negara, bangsa dan agama. Hanya beberapa peristiwa diceritakan antaranya pertempuran dengan komunis yang penuh getir melibatkan kehilangan nyawa diceritakan agar memberi kesedaran kepada generasi muda. Hanya di akhir hayatnya, ayahanda telah menerima penghargaan kerajaan atas khidmat berbakti kepada Negara.

Ayahandaku mungkin bukan sesiapa tetapi seorang yang sangat istimewa pada diriku. Aku terhutang segalanya dengan ayahanda. Ayahanda dan bondaku lah insan yang pertama mengajarku mengenai akhlak, ilmu dan hikmah dan menjadikan aku seadanya pada hari ini. Ramadhan ini adalah ramadhan pertama aku tanpa ayahanda. Aku sentiasa berdoa untukmu ayahanda. Moga ayahanda damai di sana.

11 Ramadhan 1437H/ 16 Jun 2016M.

11710000_10206145761514366_4941811178530355233_oBuku ini didedikasikan khusus untuk ayahanda dan bondaku.

IMG-20150909-WA0001