MENGARUS PERDANAKAN MESEJ RAHMATAN LIL’ALAMIN

MENGARUS PERDANAKAN MESEJ RAHMATAN LIL’ALAMIN

Zulkifli Hasan (Ph.D)
Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan
Exco (Shariah dan kewangan Islam), Angkatan Belia Islam Malaysia
E-mail: zul361977@yahoo.com Weblog: https://zulkiflihasan.wordpress.com

ABSTRAK

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (al-Anbiya: 107)

ALU-ALUAN

Yang Dihormati Pengerusi Majlis,
Yang Dikasihi Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH),
Yang Dikasihi Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Presiden ABIM,
Yang Dikasihi Ustaz Haji Ariffin Omar, Pengerusi Syura WAP Negeri Sembilan,
Yang Dikasihi, Haji Mohamed Anuar Yusof, Pengerusi Wadah, Negeri Sembilan,
Yang Dihormati Dato’ Mohamed Hussein, Pengerusi Lembaga Sri Seremban,
Yang Dihormati Haji Khalil Jali, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Seremban,
Yang Dikasihi sahabat saya, saudara Fakruradzi Abdullah, Presiden Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS),
Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Wadah, ABIM, PPINS peringkat Pusat, Negeri dan Daerah, guru-guru, barisan pengurusan dan pentadbir Sekolah Sri Seremban,
Para petugas Muktamar dan Seluruh hadirin dan hadirat.

Salam Ijtima’ Harakiyy dihulurkan bagi semua warga ABIMN9, Wadah Pencerdasan Umat, PPINS sama ada perwakilan, pemerhati dan juga urusetia.Tidak lupa juga kepada para jemputan dari jauh dan dekat yang sudi hadir bagi memeriahkan Ijtima’ Harakiyy seiring dengan Muktamar Sanawi ke-42 ABIMN9 dan ke-10 Wadah Pencerdasan Umat Negeri Sembilan. Semoga kehadiran kita ini dikira sebagai amal ibadah dan antara bukti kasih sayang kita pada jemaah yang kita dukungi sehingga hari ini. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmah dan barakah kepada setiap yang hadir pada hari ini. Seterusnya juga, diucapkan terlebih awal selamat menyambut hari Kemerdekaan yang ke-58 kepada semua.

ABIM 44 TAHUN dan ABIMN9 42 TAHUN

6 Ogos 1971 merupakan tarikh yang begitu besar maknanya kepada kita semua. Pada tahun ini ABIM telah mengadakan sambutan Hari Lahirnya tepat pada 6 Ogos sebagai simbolik kepada sejarah panjang jatuh bangun jemaah ini dipersada dakwah tanahair dan dunia umumnya. Begitu juga dengan ABIMN9 yang kini hampir mencecah usia 42 tahun yang terus menabur jasa di bumi bertuah ini. Lebih 44 tahun yang lalu, jemaah ini telah dilahirkan atas dasar Islah dan tajdid. Hingga ke hari ini, kita masih istiqamah meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan dengan visi yang begitu jelas iaitu ‘Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah’. Visi ini diperkukuhkan dengan misi ABIM iaitu menjadi ‘Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah’

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu ‘knowledge-based’ dan mengambil pendekatan wasatiyah (kesederhanaan) berasaskan kepada realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam kerangka pembangunan manusia. Pengiktirafan kepada ABIM begitu saya rasakan menerusi pengalaman semasa berada di luar Negara di mana hampir kesemua gerakan Islam yang ditemui mengenali ABIM sebagai sebuah gerakan Islam yang dinamik dan progresif. Bagi melahirkan masyarakat madani bercirikan ummatan wasatan yang dinukilkan di dalam al Quran, ABIM terus berazam untuk mewujudkan masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan dan berwawasan menerusi usaha pembudayaan budaya ilmu dan membaca, penghayatan amalan kerohanian, penghayatan amal shura dan amal jama’iyy dan penghayatan ruh Islah dan Jihad fi Sabilillah.

Hingga hari ini, telah ramai sahabat-sahabat kita yang telah menemui Ilahi dan ada yang masih gagah meneruskan agenda dakwah dan Islah, risalah kenabian ini. Sesungguhnya dalam jemaah ini, tiada istilah pencen atau bersara. Persaraan hanya berlaku apabila kita menghembuskan nafas yang terakhir. Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama memperingati sejenak kasih sayang dan hubungan silaturrahim kita dengan sahabat-sahabat yang telah meninggalkan kita dan menghadiahkan al-Fatihah mendoakan agar kesemuanya tenang, aman diredhai Allah selamanya. Al-fatihah.

Ijtima Harakiy 1436H/2015M kali ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Setelah sekian lama ia tidak diadakan di Sri ABIM Seremban, pada tahun ini kita bersetuju untuk mengadakannya di sini. Begitu banyak kisah lama dan pengalaman berharga tersimpan kukuh di Sri Seremban ini kepada kita semua. Detik yang amat bermakna ini harus kita gunakan untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim dan mengeratkan kembali persaudaraan di atas nama ukhuwah Islamiyah. Kesatuan hati dalam jemaah ini merupakan tunggak kekuatan dan elemen utama yang menjadi asas kepada kesinambungan perjuangan hari ini dan akan datang. Ini selaras dengan apa yang dinukilkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al Anfal: 63)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT juga telah memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar kembali kepada Allah SWT dan RasulNya dalam sebarang perselisihan dan pertikaian. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al Quran) dan Rasul (sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”(al Nisa’: 59)

Seiring dengan ruh firman Allah SWT ini, Ijtima’ Harakiyy kali ini akan merakamkan sejarahnya yang tersendiri di mana ia akan terus menjadi platform kepada kesinambungan perjuangan dengan era baru ukhuwah Islamiyah, ukhuwah jamaiyy Wadah, ABIMN9 dan PPINS. Sesungguhnya, kekuatan ukhuwah inilah yang akan menjadi penentu dan pemangkin bagi meneruskan usaha dakwah merealisasikan misi dan visi jemaah. Dengan suasana persekitaran dan cabaran yang sangat mencabar pada hari ini, kita perlu menggunakan setiap peluang yang ada untuk meneruskan agenda dakwah dan tidak lagi boleh hilang fokus dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan. Masyarakat sangat mengharapkan kita untuk memainkan peranan melakukan reformasi dan Islah untuk mengembalikan kegemilangan Islam atau sekurang-kurangnya terlibat secara langsung dalam pembangunan umat.

CABARAN DAN REALITI DUNIA HARI INI

Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, izinkan saya untuk menukilkan beberapa cabaran dan realiti yang sedang dan bakal dihadapi oleh kita dan generasi akan datang. Mahu tidak mahu, kita perlu akur dan sedar dengan cabaran ini terutamanya bagi mempersiapkan generasi muda yang pada hari ini dibelenggu dan dihantui dengan pelbagai permasalahan sosial dan ekonomi. Di Malaysia sahaja, dijangkakan jumlah belia pada 2020 akan mencecah 14, 034, 400 mewakili sebahagian besar warganegara yang bakal mencorakkan masa depan negara. Abad ke-21 merupakan era yang sangat mencabar seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi, geo-politik dunia, sosio-ekonomi dan pemikiran. Era Abad ke-21 ini menjanjikan pelbagai cabaran yang hebat bukan sahaja kepada gerakan Islam malahan kepada setiap individu untuk terus relevan dan mampu bersaing bagi meneruskan kehidupan.

Ketidak Samarataan Ekonomi

Jurang kemiskinan dan kekayaan jelas berada di mana-mana di dunia ini. Ia lebih kritikal di negara membangun terutamanya dunia Islam. Negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat juga mengalami situasi yang sama tetapi tidak seteruk dunia Islam. Karya Joseph Stiglitz bertajuk ‘The Price of Inequality’ mengupas secara mendalam fenomena ini. Pada hari ini kita dapat lihat bagaimana 1% individu di dunia ini yang memiliki lebih 48% kekayaan dengan hanya meninggalkan 52% untuk dikongsikan oleh lebih 99% penduduk dunia. Bayangkan pada 2014, 80 individu terkaya di dunia memiliki kekayaan berjumlah lebih USD1.9 trilion. Begitu juga dengan dunia Islam. Daripada 57 negara yang berdaftar di bawah OIC, dua pertiga Negara OIC dikategorikan sebagai miskin dan satu pertiga diklasifikasikan sebagai sangat kaya. Di kala 1% individu ini menguasai ekonomi dunia, kemiskinan terus membelenggu umat manusia. Kebuluran dan kemiskinan dunia telah meningkat kepada 2 bilion orang pada 2015, di mana 1.4 bilion hidup dengan pendapatan kurang USD1.25 sehari. 22 negara OIC pada hari ini terus dikategorikan sebagai Heavily Indebted Poor Countries (HIPC) oleh Bank Dunia.

Fenomena ini juga berlaku di Malaysia. Jurang ketidaksamarataan adalah sangat tinggi dan ia semakin hari semakin membimbangkan. Di kalangan rakyat Malaysia, lebih 50% warga tidak mempunyai asset kewangan di mana 72% daripadanya adalah bumiputera. Aset dan kekayaan di bandar dikuasai oleh orang Cina dengan melebihi 75% manakala bumiputera hanya memiliki kurang daripada 5%. Kadar kemiskinan tegar juga kembali meningkat dengan mencecah hampir 24.7% sekiranya garis kemiskinan itu ditetapkan kepada pendapatan RM1500 sebulan.

Pengangguran juga semakin hari semakin meningkat iaitu seramai 455,000 dicatatkan pada Februari 2015. Kadar pengangguran ini diburukkan lagi dengan kebanjiran pekerja asing berdaftar yang mencecah 2 juta orang. Dilaporkan bahawa jumlah pekerja asing keseluruhan di Malaysia sebenarnya mampu mencecah 6.5 juta orang. Ketidaksamarataan ini juga boleh dilihat menerusi peluang pendidikan tinggi. Rekod menunjukkan bahawa terdapat jurang yang besar tahap pendidikan bumiputra dan bukan bumiputra di mana hanya 72, 387 bumiputra yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan berbanding bukan bumiputra iaitu 175, 426. Jurang ini lebih besar jika merujuk kepada tahap pendidikan di institusi pengajian tinggi luar negara iaitu bumiputra hanya seramai 5,800 dan bukan bumiputra 112,000 orang.

Ketidaksamarataan ini dipengaruhi oleh banyak faktor sikap dan kelemahan tadbir urus termasuk sistem itu sendiri. Dunia Islam dan umat Islam terus dibelenggu oleh penyakit sikap dan pentadbiran masih diterajui oleh golongan yang tidak amanah malahan bersifat kuku besi dan tidak meraikan ruh syura. Indeks Tadbir Urus badan-badan dunia terus mengkategorikan dunia Islam sebagai Negara yang tidak mempunyai sistem tadbir urus yang baik. Mungkin tidak keterlaluan untuk dinyatakan di sini bahawa Israel sebuah negara yang dianggap sebagai musuh dunia Islam terus mendahului dari segenap aspek termasuk tadbir urus dan indeks-indeks yang lain. Dalam erti kata lain, dari satu sudut, Israel dilihat lebih ‘Islamic’ daripada dunia Islam.

Walaupun tidak boleh dinafikan faktor sikap dan tadbir urus adalah antara penyumbang kepada ketidaksamarataan, namun, sistem yang wujud pada hari ini juga menyebabkan ia terus melebar tanpa penghujungnya. Karl Polanyi sejarawan ekonomi tersohor Eropah dalam karyanya ‘the Great Transformation: The Political and Economic Origins of Our Time’ ada menghuraikan perbandingan sistem yang wujud dalam dunia menerusi pendekatan ‘historial approach’. Sistem yang wujud pada hari ini lebih menjurus kepada sistem yang tidak berasaskan kepada ‘real economy’ yang beliau namakan sebagai ciri ‘embeddedness’. Sistem kapitalis yang dikuasai golongan pemodal yang mengalami sindrom ‘Excellence Without Soul’ membuatkan jurang ketidaksamarataan ini akan terus membesar walau apapun usaha dan inisiatif yang dilakukan. Agenda golongan pemodal ini menerusi Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) misalnya dan dasar luar negara-negara maju bakal terus mendominasi dunia Islam dan Negara dunia ketiga. Ini bermakna, satu reformasi sistem atau pembetulan kepada sistem yang ada pada hari ini perlu dilaksanakan. Tanpa reformasi sistem, dunia akan terus dibelenggu oleh ketidaksamarataan dan fenomena ini bakal mengundang konflik bahkan pertumpahan darah dan krisis kemanusiaan.

Dunia Persaingan

Dunia pada hari ini adalah dunia persaingan. Persaingan ini berlaku dalam setiap aspek kehidupan dan ia semakin hari semakin mencabar. Persaingan yang perlu dihadapi ini merangkumi persaingan ekonomi, persaingan pemikiran, persaingan politik, persaingan agama, persaingan teknologi dan segala macam persaingan yang lain. Umat Islam perlu sentiasa bersedia dan memastikan generasi muda juga bersedia untuk menghadapi dan mendepani cabaran dunia persaingan yang semakin hari semakin mencabar dan merumitkan. Dunia persaingan ini benar-benar akan menguji sejauh mana umat Islam akan mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dalam era post-modernism ini.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, persaingan yang berlaku sudah masuk ke satu peringkat yang lain. Persaingan untuk memasuki universiti ‘Ivy League’ misalnya adalah sangat sengit dan ada yang menganggap bahawa satu kegagalan jika gagal untuk diterima masuk di institusi ini. Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan pekerjaaan di firma tersohor seperti Google, Yahoo dan lain-lain. Hinggakan pada hari ini, calon terpaksa mengupah konsultan sebelum boleh untuk disenaraipendekkan dan menghadiri temuduga. Persaingan politik juga adalah luar biasa. Ahli politik sibuk dengan idea dan perjuangan mereka berdasarkan idealism dan pegangan yang dianuti. Persaingan teknologi juga dengan jelas dapat dilihat seperti Android v Iphone, Samsung v Ipad dan banyak lagi.

Di Malaysia, persaingan untuk mendapat peluang pendidikan tinggi juga adalah sangat sengit. Dengan 20 universiti awam, 25 institut pengajian tinggi swasta dan 22 kolej cawangan Universiti, 5 cawangan universiti luar negara, 32 Politeknik, 28 Institut Pendidikan Guru,, 91 Kolej Komuniti, 14 institut kemahiran tidak mampu untuk memberikan peluang kepada setiap warga yang layak dan berpotensi. Kemasukan ke universiti awam misalnya hanya cukup untuk menampung lebih kurang 8.3% daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Bukan itu sahaja, fenomena keberhutangan pendidikan juga terus menghantui generasi muda pada hari ini di mana lebih kurang 605,685 peminjam PTPTN masih gagal membuat pembayaran dengan jumlah hutang mencecah RM4.7 bilion. Daripada 1,716,475 peminjam yang perlu membuat bayaran balik berjumlah RM13.3 bilion.

Persaingan yang paling merisaukan ialah persaingan dari sudut pemikiran. Pelbagai bentuk pemikiran yang wujud hari ini cuba untuk memenangi hati masyarakat. Pemikiran liberal, sosialis, neo-sosialis, kapitalis, libertarian, atheist dan banyak lagi boleh mempengaruhi umat Islam. Pemikiran ini yang asasnya dianggap sebagai progresif dan kontemporari sebenarnya mempunyai kelompongan dan kelemahan menurut perspektif Islam. Islam menggariskan beberapa panduan mengenai pemikiran yang semestinya dipagari dengan asas akidah. Walau apa pun pemikiran dan idealisme yang ada, Islam menuntut setiap Muslim untuk menjadikan al Quran dan al Sunnah sebagai dasar kehidupan.

Dalam konteks dunia Islam, persaingan yang juga membimbangkan ialah antara salafi dan sufi dan yang terkini doktrin ‘Islamic State’ atau ISIS termasuk isu sunni v syiah dan tradisi v wahabi. Sesungguhnya perkembangan ini adalah tidak sihat dan merugikan umat Islam. Gerakan ISIS di Timur Tengah memberikan imej paling buruk kepada Islam. Pertelingkahan tiada penghujungnya antara puak yang mendakwa sebagai salafi dan sufi juga menimbulkan pelbagai polemik dan ada yang membawa kepada pertumpahan darah. Isu syiah dan sunni pula terus menghantui umat Islam. Konflik Syria, Yaman, Iraq dan seluruh dunia Islam berlegar dengan isu permasalahan sunni v syiah ini yang akhirnya menghancurkan umat Islam. Persaingan doktrin sunni v syiah, salafi v sufi ini bukan sahaja berlaku di dunia Islam malahan juga wujud di negara minoriti umat Islam. Pertelingkahan antara sufi dan salafi dan syiah dan sunni ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada dunia Islam. Begitu juga dengan perselisihan antara golongan yang mengaku kelompok tradisi dan golongan yang dilabel sebagai wahabi.

Sudah tiba masanya umat Islam menolak tepi perselisihan berdasarkan perbezaan ideologi untuk survival dan masa depan Islam. Penyakit untuk bertelingkah dan bermusuhan perlu diketepikan. Kesatuan umat perlu diberikan keutamaan. Ia merupakan tuntutan akidah yang menjadi kewajipan kepada semua umat Islam. Persaingan pemikiran ini perlu diimbangi dengan kemaslahatan umat. Karamah insaniah perlu dijadikan asas bagi mewujudkan suasana harmoni hormat menghormati di samping menerima kepelbagaian pemikiran. Sudah sampai masanya umat Islam bersatu padu dan memfokuskan kepada agenda umat.

Kecanggihan Dunia Teknologi

Ciri abad ke-21 berbanding dengan kurun sebelumnya adalah keajaiban dunia teknologi. Generasi baru pada hari ini disajikan dengan kecanggihan dunia teknologi. Ia merupakan cabaran besar kepada kita untuk menyediakan generasi muda pada hari ini untuk dunia masa depan. Kecanggihan dunia teknologi hari ini sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangannnya. Kemajuan dunia teknologi dapat dilihat dalam karya Michio Kaku bertajuk ‘Physics of the Future’. Dalam karya ini, beliau telah menemubual lebih 300 saintis terkemuka dunia termasuk penerima anugerah Nobel. Hampir kesemua saintis terkemuka dunia ini berkhidmat dengan dengan universiti tersohor dunia di Amerika Syarikat. Kehebatan dan kemajuan penyelidikan saintis-saintis ini bakal merubah gaya hidup dan landskap kehidupan manusia pada masa akan datang.

Kita dapat menyaksikan pada hari ini, syarikat gergasi yang dulu berpengkalan di negara maju, kini sudah punya pengkalan di negara-negara miskin dunia ketiga, memanipulasikan kos dan tenaga buruh yang murah dan efisyen. Dunia sudah menyaksikan bagaimana teknologi komunikasi telah merubah sama sekali metod perhubungan manusia. Kepantasan dunia telekomunikasi menerusi media sosial telah menjadikan dunia kini tiada sempadan dan hubungan sosial sesama manusia juga bakal berubah dengan ia akan bersifat lebih global dan merentasi bangsa, warna kulit dan warganegara.

Walau apa kekurangan dan kesan negatifnya, kita tidak boleh menafikan bahawa dunia teknologi itu sepatutnya digunakan untuk kebaikan. Kepantasan teknologi maklumat dengan pelbagai aplikasi seperti Facebook, Whatsapp, Tango, Skype dan Voipstunt memudahkan perhubungan. Media sosial ini boleh sahaja digunakan untuk komunikasi bermanfaat seperti jaringan dakwah dan menyampaikan mesej Tawhid kepada semua. Medium baru ini sebenarnya sangat memberikan kesan dan berpengaruh kepada dunia pada hari ini. Fenomena ustaz dan pendakwah ‘youtube’ misalnya memberikan pengaruh yang signifikan kepada masyarakat. Dunia dakwah dan gerakan Islam perlu menggunakan peluang kecanggihan dunia teknologi ini untuk terus relevan dan mesej dakwah dapat sampai kepada setiap lapisan masyarakat. Dunia tanpa sempadan yang ada pada hari ini membuka peluang jaringan dengan gerakan Islam seluruh dunia bagi merancang strategi membangunkan kehidupan umat.

Hak Asasi Sebagai Agama Baru

Dalam dunia pasca modenisme ini, hak asasi manusia kini diangkat melebihi segala-galanya. Ini boleh dilihat menerusi fenomena lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT), perkahwinan sejenis, pelacuran, industri pornografi dan sebagainya. Kesemua ini diluluskan di parlimen di banyak negara maju. Bahkan terdapat undang-undang yang memperuntukkan perkahwinan sejenis dan masyarakat sudah mula menerima keadaan ini. Dalam masa yang sama di dunia Islam, hak asasi manusia itu pula dianggap sebagai sesuatu yang tidak penting. Hak asasi warga di dunia Islam, tidak dihormati malahan sering kali dicabul oleh pemerintah dan penguasa. Fenomena ini menimbulkan persoalan mengenai kedudukan hak asasi manusia menurut perspektif Islam.

Fenomena memperagamakan Hak Asasi ini juga mula mendapat tempat di Malaysia. Hari ini sudah ada gerakan-gerakan yang memperjuangkan hak asasi dan menidakkan nas-nas serta prinsip-prinsip agama. Gerakan LGBT dilihat terus subur dan berkembang serta mendapat liputan luas media massa. Kes rayuan mengenai Transgender di Mahkamah Persekutuan misalnya dilaporkan dalam media massa tempatan dan antarabangsa. ABIM mengikuti dengan rapat kes ini bahkan bertindak selaku peguam pemerhati menerusi Grup Peguam ABIM. Kes ini mendapat liputan luar biasa dari media seluruh dunia. Wujud pada hari ini, golongan yang cuba menjustifikasikan hubungan songsang menerusi hujah akademik dan hak asasi manusia yang jelas melanggar prinsip syariat.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa orang bukan Islam di seluruh dunia majoritinya melihat ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat salah tanggapan umum. Di samping itu, terdapat juga golongan yang mengangkat hak asasi manusia ini mengatasi syariat. Ramai pejuang hak asasi manusia di Barat termasuk di dunia Islam yang sangat tegar memperjuangkan hak asasi manusia tanpa melihat tuntutan syariat dan akidah. Golongan ini melihat, hak asasi manusia itu adalah universal dan ini merujuk kepada Universal Declaration of Human Rights tanpa mengambil kira faktor ’cultural and religious relativism’.

Gerakan Masyarakat Sivil

Dalam era moden ini, gerakan masyarakat sivil memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan dasar dan polisi masyarakat. Antara kelebihan negara maju khususnya dunia Barat ialah kekuatan gerakan masyarakat sivilnya. Pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti memainkan peranan yang sangat aktif dalam masyarakat. Terdapat pelbagai gerakan dan pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak masing-masing dan secara sukarela membantu golongan yang memerlukan. Gerakan masyarakat sivil ini adalah sangat signifikan kepada masyarakat dan ia memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan dan sosio-ekonomi. Gerakan masyarakat sivil ini bergerak dalam pelbagai bentuk dan mendapat pembiayaan daripada badan korporat, komuniti dan orang persendirian.

Pengalaman bersama-sama dengan beberapa pertubuhan gerakan masyarakat sivil ketika di United Kingdom dan Amerika Syarikat termasuk Jepun telah membuka mata dan minda mengenai peranan mereka dalam masyarakat. Ada pertubuhan yang berteraskan agama seperti Islam, Kristian, Budha dan lain-lain. Terdapat juga gerakan yang berasaskan idealisme politik dan banyak lagi bentuk-bentuk gerakan yang wujud bagi memperjuangkan visi dan misi pertubuhan masing-masing. Pemerhatian penulis juga mendapati gerakan masyarakat sivil ini mempunyai dana yang begitu banyak dan mampu menjalankan aktiviti dan agenda mereka dengan meluas dan berkesan. Bukan itu sahaja, pertubuhan-pertubuhan ini digerakkan oleh golongan professional yang sangat komited dengan kerja amal di seluruh dunia. Penulis sendiri berpeluang berinteraksi dan menghadiri beberapa siri perbincangan dengan aktivis kemanusiaan daripada seluruh dunia ketika persidangan Perhimpunan Agung PBB di New York termasuk program-program lain yang dianjurkan di Jepun, Thailand dan beberapa negara lain.

Berbanding dengan negara-negara maju, negara dunia Islam sangat lemah dengan gerakan masyarakat sivilnya. Malahan, terdapat banyak negara OIC yang mengharamkan segala bentuk gerakan masyarakat sivil seperti mengharamkan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan. Umat Islam di dunia Islam disekat dan dihalang daripada bergerak secara aktif dengan gerakan masyarakat sivil dan ini menjadikan masyarakat terlalu bergantung dengan kerajaan. Maka, tidak hairanlah dunia Islam pada hari ini kebanyakannya dipimpin dan diterajui oleh diktator dan pemimpin yang zalim. Kita dapat menyaksikan negara OIC yang dinamik dan progresif adalah negara yang mengamalkan polisi dan dasar secara terbuka dan membuka ruang kepada warganya berpatisipasi dalam kegiatan yang bermanfaat. Negara seperti Turki, Indonesia dan Malaysia mendahului negara-negara OIC yang lain dari aspek gerakan masyarakat sivil. Umat Islam akan lebih berdikari dan bebas daripada bergantung kepada bantuan kerajaan. Gerakan masyarakat sivil ini akan berperanan membantu negara dalam apa jua projek pembangunan dan pembaharuan yang sedang diusahakan. Begitulah keadaannya semasa kegemilangan tamadun Islam satu waktu dulu seperti tradisi Andalus dan Uthmaniah yang terkenal dan tersohor dengan wakaf dan gerakan masyarakat sivilnya. Keagungan tamadun pada masa itu menerusi gerakan masyarakat sivilnya masih dapat disaksikan pada hari ini.

MESEJ RAHMATAN LIL’ALAMIN

Dakwah dalam konteks dunia masakini harus menekankan ciri ‘kesyumulan’ Islam itu sendiri. Ironinya apa yang berlaku di dunia hari ini, Islam dilihat seumpama tidak berupaya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dunia moden. Islam sering dilihat tidak mesra hak asasi, bermasalah dengan hak wanita, sinonim dengan keganasan, faktor kemunduran dan bermacam persepsi negatif yang lain. Ini mempengaruhi persepsi masyarakat umum dan antarabangsa yang melihat Islam itu sebagai agama yang sempit dan tidak dinamik.

Kesejagatan (Universalism)

Antara ciri unggul Islam ialah bersifat ‘kesejagatan’. Islam adalah agama rahmah alamiah kepada seantero alam. Kualiti kesejagatan yang ada pada Islam ini yang menjadi asas kepada ciri ‘inclusiveness’ di mana Islam meraikan keunikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan ketinggian tamadun. Nilai kesejagatan dalam Islam ini menjadikan ia relevan dan bersesuaian dengan kehidupan manusia pada setiap masa tempat dan kelainan bangsa serta budaya. Islam mengiktiraf kepelbagaian menerusi ciri kesejagatan ini di mana nilai-nilai dan prinsip-prinsip syariat mengangkat keadilan sebagai neraca utama dalam pentadbiran dan kehidupan. Allah SWT berfirman di dalam al Quran yang bermaksud:

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-Fatihah: 2).

Ciri kesejagatan ini bertepatan dengan konsep Tawhid, mengesakan Allah SWT. Kalimah ‘lailahaillallah’ merupakan pengiktirafan kepada kekuasaan dan kebesaran Allah SWT dan menolak sebarang bentuk kesyirikan serta yang paling utama membuka ruang yang sama rata kepada semua umat manusia mendekati Tuhannya. Falsafah Tawhid ini menggariskan bahawa Allah SWT tidak melihat manusia dari kacamata kekayaan, kecantikan rupa paras, warna kulit, status dalam masyarakat tetapi berfokuskan ketakwaan. Aspirasi kesejagatan ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:

“Allah telah menjadikan manusia daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadi kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak untuk kamu saling kenal mengenal ( dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). (al-Hujurat; 13).

Falsafah kesejagatan inilah yang meletakkan keadilan sebagai neraca dalam setiap aspek kehidupan. Sesungguhnya keadilan itu adalah bersifat universal dan tidak memihak hanya kepada orang Islam. Ia melangkaui bangsa, warna kulit, status, kekayaan, pangkat dan nama. Keadilan yang bersifat universal ini membuktikan bahawa Islam itu syumul dan sesuai untuk semua umat manusia. Bertepatan dengan tuntutan menegakkan keadilan yang merupakan manifestasi ciri kesejagatan yang berasaskan Tawhid ini akan memastikan bahawa mesej Islam itu benar-benar membawa rahmat ke sekalian alam.

Wasatiyah (Kesederhanaan)

Islam merupakan agama yang mengutamakan pendekatan wasatiyah (kesederhanaan). Pendekatan kesederhanaan ini memperlihatkan Islam sebagai agama yang berhikmah. Fahaman yang menyuruh pengikutnya berkelakuan ekstrim dan melakukan keganasan adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, ajaran Islam melarang sebarang bentuk kezaliman sekalipun di dalam peperangan. Rasulullah SAW melarang tentera Islam di dalam peperangan untuk merosakkan harta awam, tidak memusnahkan tempat ibadat, ihsan kepada wanita dan kanak-kanak dan menegakkan keadilan walau di mana berada. Ini menunjukkan wasatiyah yang dituntut dalam Islam ini sangat dekat dengan falsafah keadilan dan konsep ihsan yang menjadi antara prinsip utama ajaran Rasulullah SAW.

Manifestasi wasatiyah ini bukan sahaja dituntut dalam bentuk individu tetapi lebih utama mewujudkan umat dan masyarakat yang mengamalkan wasatiyah ‘ummatan wasatan’. Ini bermakna antara ciri umat Islam dituntut oleh Islam itu merujuk kepada masyarakat yang menjadikan pendekatan wasatiyah sebagai panduan dalam kehidupan. Ini dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. (al-Baqarah; 143).

Pendekatan wasatiyah ini menolak sebarang sikap ekstrem dan gerakan yang berbentuk keganasan. Dalam konteks Malaysia, pendekatan wasatiyah menolak elemen yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) seperti anasir yang boleh menyalakan api perkauman dan tindakan yang menceroboh hak peribadi seseorang. Pendekatan wasatiyah ini juga menolak ketaksuban terhadap pemimpin tertentu dan hanya mengiktiraf pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Dengan itu, setiap umat Islam perlu membudayakan dan menyerapkan wasatiyah dalam kehidupan terutamanya dalam membuat sebarang keputusan. Wasatiyah bukan lagi hanya pada individu tetapi ia perlu menjadi amalan dan dibudayakan dalam masyarakat.

Huquq al Insan dan Karamah Insaniyah

Hak asasi manusia adalah sesuatu yang diberi penekanan dalam Islam dengan istilah ’huquq al insan’ dan ’karamah insaniyah’. Ini bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Muhammad Fathi Uthman di dalam bukunya ’Huquq al Insan baina al Shari’ah al Islamiyah wa al Fikri al Qanun al Gharbi’ menyatakan bahawa Islam lebih unggul melindungi hak-hak asasi manusia berbanding agama lain tidak kira sama ada ia bersifat peribadi, pemikiran, politik, undang-undang, sosial dan ekonomi.

Sejarah telah menyaksikan sendiri deklarasi hak asasi manusia lebih 1400 tahun yang lalu ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbah nya yang agung semasa hujjatul wida’. Rasulullah SAW dengan jelas menyampaikan mesej yang memberi peringatan kepada semua umat manusia dengan sabdanya; ”Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah suci sesuci hari kamu ini, pada bulan kamu ini dan di negeri kamu ini”. Berbeza dengan falsafah hak asasi Barat yang berasaskan kepada konstruk sosial, huquq al insan dan karamah insaniah dalam Islam merupakan anugerah dan ketetapan Ilahi bersumberkan wahyu’.

Dalam konteks merelevankan huquq al insan dan karamah insaniah dengan konsep hak asasi yang difahami dalam dunia moden hari ini, umat Islam perlu mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan mengambil kira nilai-nilai hak asasi manusia yang bersifat universal. Di samping meraikan hak asasi manusia yang dijamin Universal Declaration of Human Rights (UDHR), kita mesti akur dengan tuntutan syariat. Syariat merupakan asas kepada kerangka dan ruang lingkup hak asasi manusia. Hak asasi manusia itu tidak boleh diluaskan kepada sesuatu yang bertentangan dengan hukum dan tuntutan akidah. Bagi menangani dan mendepani gerakan pemikiran yang menganggap hak asasi manusia itu sebagai tuntutan utama tanpa mengiktiraf peranan wahyu dan nas, penulis menyeru semua gerakan Islam bekerjasama dalam mendidik masyarakat mengenai hak asasi manusia dan dalam masa yang sama mendidik umat memahami konsep hak asasi manusia menurut perspektif Islam.

Al Hurriyyah (Kebebasan)

Al-Hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada aspek yang menunjukkan mesej rahmatan lil’alamin. Karya al-Ghannoushi bertajuk al-Hurriyah al-‘Ammah fi al-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam) mengandungi wacana penting pemikiran politik Islam kontemporari. Dalam buku ini, al Ghannoushi melihat kebebasan menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh beliau dalam karyanya yang lain bertajuk ”al-Dimuqratiah wa al-Huquq fi al-Islam”.

Kebebasan dalam Islam mestilah seiring dengan keadilan. Konsep hurriyah wa al-adalah adalah menjadi tunggak kepada setiap aspek kehidupan. Ini dijelaskan dalam al Quran yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al Ma‘idah; 8).

Begitu juga dalam ayat yang lain di mana Allah berfirman yang bermaksud: “Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui”. (al-An’am; 115)

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al-hurriyyah atau kebebasan yang dijamin melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika itu merupakan unsur utama yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam. Bersandarkan kepada dalil yang sahih dan sejarah yang panjang, Islam itu terbukti hanya akan lebih subur dan segar di mana sahaja al-hurriyyah itu didokong. Al-hurriyyah yang dimaksudkan di sini bukan bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun ’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al-hurriyah yang didefinisikan oleh epistemologi Islam bersandarkan wahyu. Prinsip-prinsip demokrasi yang bertepatan dengan kebebasan dan hak asasi manusia juga terkandung dalam ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah) dan musyawarah (syura).

PROJEK ISLAH (REFORMATION FROM WITHIN)

Keadaan umat Islam khususnya di dunia Arab ditambah pula dengan rujukan dan bacaan pelbagai laporan oleh Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, OIC dan banyak lagi, mengesahkan betapa perlunya dunia Islam kepada projek Islah atau Tajdid. Ada juga yang menggunakan istilah lain seperti Sahwah (Kebangkitan), Ihya (menghidupkan), tanmiya (pembangunan), nahda (reinassance), taghyir (perubahan). Kesemua istilah ini merujuk kepada perkara yang sama iaitu menunjukkan betapa umat Islam memerlukan satu refomasi. Reformasi ini mestilah dapat menjelmakan peranan Islam sebagai agama yang menjadi ‘Rahmatan lila’lamin’. Buku karangan Abu Hasan Ali Al Nadwi bertajuk ‘Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam’ menjelaskan betapa Islam telah membawa rahmat ke sekalian alam dan segala apa yang ada pada hari ini adalah sumbangan daripada ketinggian tamadun Islam. Kemunduran dan segala permasalahan yang terdapat di dunia Islam hari ini adalah sebenarnya berpunca daripada kelemahan umat Islam itu sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Ali Imran: 165).

Reformasi yang ‘genuine’ bermula dengan Islah al Nafs. Semuanya bermula dengan pembinaan diri. Abdul Majid Irsan al Kailani dalam bukunya Hakadza Zhahara Jilu Shaluddin Wa Hakadza ‘Adat Al-Quds (Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam) menukilkan projek Islah oleh Imam al Ghazali dan Sheikh Qadir al Jailani dalam mempersiapkan generasi terbaik untuk membela Islam. Perkara yang paling ditekankan oleh tokoh ulung ini ialah persiapan asas pembinaan diri sebelum beralih kepada apa-apa persediaan yang lain. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum hingga kaum itu mengubah keadaan diri mereka sendiri.”(al Ra’d: 11)

Kerangka Islah atau tajdid yang dimaksudkan di sini bukanlah bermakna ia menuntut kepada ajaran baru ataupun melibatkan aspek yang asing dalam Islam. Abul A’la Maududi menghuraikan Islah atau ’renewal’ sebagai ‘the purification of Islam of all aspects of jahiliyya (non-Islamic practices)’ iaitu mensucikan ajaran Islam dari sebarang aspek jahiliya atau perkara yang tidak menepati hukum syarak. Berdasarkan kepada huraian al-Maududi ini, reformasi yang dituntut ini bukanlah bermaksud membawa ajaran baru tetapi ianya merujuk kepada usaha dan agenda untuk mensucikan dan mengembalikan ajaran Islam kepada ajaran yang sebenarnya sepertimana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Kebanyakan reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini bukanlah satu pembaharuan yang matang dan ‘genuine’. Reformasi dan revolusi di Mesir, Libya, Tunisia, Iran dan lain-lain negara, kesemuanya menghadapi masalah dan melibatkan pertumpahan darah dan kerosakan. Eksperimen Revolusi Tahrir di Mesir misalnya telah gagal dan ia telah digantikan dengan rejim yang lebih kejam dan zalim. Revolusi Iran juga adalah sesuatu yang tidak boleh dibanggakan. Reformasi yang cuba dibawa oleh pemerintah Pakistan dan Sudan juga gagal. Revolusi di Tunisia juga mula menghadapi pelbagai permasalahan. Reformasi di Iraq, Libya, Syria dan Yaman hanya menambahkan lagi kesengsaraan rakyat. Kesemua ini menunjukkan reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini adalah sesuatu yang tidak masak atau tidak seimbang.

Reformasi yang diperlukan dunia Islam adalah pembaharuan yang bersifat ‘genuine, balanced and integrated’. Reformasi yang sempurna melibatkan aspek moral dan spiritual, intelektual dan ideologi, pendidikan, politik dan sosio-ekonomi. Islah juga bukan hanya merujuk kepada reformasi dalam aspek undang-undang Islam atau fiqh bahkan ia merangkumi apa-apa reformasi yang berkaitan dengan Islam. Di antara reformis kontemporari yang diiktiraf yang memimpin reformasi umat ialah Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida yang mempelopori gagasan pembaharuan modenisme Islam, Hassan al-Banna melalui gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, Abul A’la al-Mawdudi dengan Jamaat Islami dan Bediuzzaman Said Nursi dengan Risalat al-Nur. Sejarah juga menunjukkan bahawa reformasi diperlukan untuk memperbaharui ajaran Islam dalam pelbagai aspek. Islah dalam siyasah dipelopori oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, Islah dalam ijtihad dan usul al-fiqh oleh Imam Shafi’i, Islah berkaitan tawhid oleh Imam Abu Hasan al-Ash’ari, Islah dalam metod tafsir al-Qur’an oleh Imam Fakhr al-Razi, Islah berkaitan tawhid, fiqh dan tasawuf oleh Imam al-Ghazali.

Reformasi juga tidak boleh lagi berlaku secara individu tetapi ia mesti melibatkan ‘institutional reform’ dan ‘moral and intellectual reform’. Reformasi politik sahaja tidak akan mampu membawa ke mana umat Islam pada hari ini. Namun, umat Islam di seluruh dunia majoritinya nampak lebih cenderung dengan reformasi politik. Penulis melihat reformasi politik tanpa reformasi intelektual dan moral hanya akan menuju kegagalan. Masyarakat tanpa Islah ilmu hanya akan terus jahil dan tidak dapat membuat perubahan dalam sistem politik. Bertepatan dengan era hari ini yang dikenali sebagai pasca modenisma, Islah ini bukan lagi hanya sebagai reaksi tetapi lebih kepada ‘projek’ dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam. Peri pentingnya Islah ini telah dinukilkan oleh Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Aku tidak bermaksud kecuali ‘al Islah’ mendatangkan perbaikan selama aku masih bersanggupan dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNyalah aku kembali”. (al Hud: 88).

Islah Menerusi Pembinaan Shahsiyah Islamiah

Harus diingat, projek Islah ini tidak boleh berlaku dalam masa satu hari atau sekelip mata. Ia memerlukan perancangan jangka masa panjang. Reformasi yang sahih itu menuntut kepada perancangan yang penuh teliti disertakan dengan niat yang ikhlas. Lihat sahaja peristiwa agung hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Ia memberikan seribu satu pengajaran kepada umat Islam mengenai cabaran untuk melaksanakan Islah. Rasulullah SAW tidak mengambil jalan mudah berdoa kepada Allah SWT menghantarkan ‘buraq’ untuk membawa beliau ke Madinah dalam sekelip mata. Baginda membuat perancangan penuh teliti dengan bantuan saidina Abu Bakar al Siddiq dengan mengambil masa perjalanan lebih 8 hari dengan jarak lebih kurang 320 kilometer. Peristiwa ini membuktikan bahawa setiap reformasi itu memerlukan pengorbanan dan perancangan yang strategik untuk memastikan kejayaannya.

Islah yang paling aula dan perlu diberikan perhatian oleh semua umat Islam ialah pembinaan syahsiyyah Individu, keluarga, masyarakat, umat, daulah, dunia dan khilafiah. Inilah panduan yang digariskan oleh Hassan al Banna, reformis yang menjadi pengasas kepada perjuangan Ikhwan Muslimin. Pembinaan syahsiyah Islamiyah ini perlu merangkumi setiap aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Peribadi mulia akan terhasil menerusi pembinaan syahsiyah Islamiyah yang menekankan 10 ciri Muslim berjaya iaitu Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah), Ibadah yang sahih (Sahihul Ibadah), Akhlak yang sempurna (Matinul Khuluq), Tersusun urusannya (Munazzamun Fi Syuunihi), Sihat tubuh badanya (Qawiyul Jism), Berdisiplin dengan masa (Harithun ala waqtihi), Pandai berdikari (Qadiran ala Kasbi), Bersungguh sungguh melawan hawa nafsu (Mujahadah ala nafsi), Bermanfaat untuk orang lain (Nafiun li ghairihi) dan Berilmu pengetahuan (Muthaqqafal Fikri).

Inilah yang telah dilaksanakan oleh Imam al-Ghazali, Hujjatul Islam, yang telah membina satu kerangka pemikiran melahirkan gagasan Islah yang benar-benar ‘genuine’. Projek Islah yang dimulakan Imam al-Ghazali ini kemudiannya diteruskan oleh Sheikh Qadir Al-Jailani, yang telah menubuhkan Madrasah pemikiran Al-Ghazali yang akhirnya melahirkan generasi terbaik. Generasi muda yang memiliki syahsiyah mulia ini telah memegang jawatan stategik dan penting dalam pentadbiran Negara yang akhirnya telah membuka jalan pembebasan Baitul Maqdis.
Islah Menerusi Idealisme, Intelektualisme, Aktivisme dan Spiritualisme

Islah perlu bermula dengan diri. Islah al Nafs adalah asas kepada reformasi yang dimaksudkan. Islah al Nafs ini akan sempurna dan berjaya sekiranya setiap individu itu menggabungkan aspek idealisme, intelektualisma, aktivisme dan spiritualisme. Empat aspek penting ini merupakan antara ciri keseimbangan individu yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya. Kesemua empat ciri penting ini perlu dilaksanakan secara seiring dan tidak boleh dilaksanakan berasingan.

Idealisme merupakan asas kepada pemikiran seseorang individu dan penentu kepada misi dan visi kehidupan. Tanpa idealisme, kehidupan seseorang itu akan jadi tidak bermakna dan tidak bermaya. Idealisma yang berteraskan fikrah umat akan memastikan pandangan alam individu itu lebih jelas dan akan menjadikannya lebih bermotivasi. Kekuatan idealisma inilah yang akan menjadi penentu kepada komitmen seseorang terhadap reformasi diri yang cuba dilaksanakan. Atas dasar inilah, ABIM terus berusaha untuk menanam minat masyarakat terutamanya generasi muda untuk mempunyai idealisme dalam kehidupan. Pelbagai program yang membicarakan idea dan pemikiran sarjana terkemuka dunia dianjurkan dan dirakyatkan bagi membuka minda masyarakat agar punya fikrah yang progresif.

Idealisma tanpa kemampuan intelektual juga tidak memberi makna apa-apa. Fikrah seseorang itu hanya akan lebih jelas jika elemen intelektualisma itu diberi penekanan. Muhammad al-Ghazali ada mengingatkan bahawa kedangkalan intelektual yang beliau gelar sebagai kathiri al nashat, qalili al fiqh (hanya banyak aktiviti tetapi dangkal ilmu dan kefahaman) yang menjadi antara punca utama kegagalan dakwah. Intelektualisme ini menuntut setiap individu itu untuk sepanjang hayatnya menuntut ilmu dan membudayakan kehidupannya dengan ilmu. Umat Islam pada hari ini perlu kuat dan luas pemikiran serta intelektualnya. Punca utama permasalahan yang dihadapi pada hari ini adalah kerana umat Islam mengalami sindrom kemandulan intelektual dan mengalami krisis ilmu pengetahuan.

Memikirkan peri pentingnya membangunkan daya keintelektualan, ABIM terus giat menerbitkan buku-buku ilmiah, menterjemahkan karya-karya signifikan, menganjurkan wacana ilmu dan mempromosi idea dan pemikiran sarjana yang bersesuaian dengan pendekatannya. ABIMN9 sendiri telah menerbitkan beberapa buku yang mengupas pemikiran tokoh terkemuka seperti Yusuf al Qaradawi dan Rashid al Ghannoushi dan juga karya yang membicarakan topik fiqh isu semasa. ABIMN9 juga meneruskan budaya ilmu menerusi aktiviti usrah, seminar, wacana ilmu, forum agama, syarahan perdana dan juga menerbitkan artikel-artikel ilmiah di media massa. ABIMN9 juga memberi penekanan aspek intelektual ini terhadap generasi muda terutamanya anak-anak yang mengikuti program dan yang mendapat pendidikan ABIM. Usaha dan inisiatif ini akan diteruskan dengan mempelbanyakkan lagi karya dan kerjasama dengan pihak yang relevan demi memartabatkan survival keintelektualan umat.

Islah al Nafs ini juga merangkumi aspek aktivisme. Umat Islam perlu cakna dengan isu semasa dan mengambil berat hal ehwal masyarakat. Setiap muslim perlu terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti masyarakat dan memberi sumbangan yang sewajarnya. Pendekatan dakwah bi al hal menuntut agar kita turut sama dalam pembangunan komuniti. Intelektual yang hanya duduk bersenang lenang di depan komputer dan buku rujukan tidak akan memberi kesan yang signifikan kepada masyarakat. Kita memerlukan intelektual umat, ulama rakyat dan individu berilmu yang prihatin dan dekat di hati masyarakat. Aktivisme inilah yang akan sentiasa mendidik hati setiap individu agar mengambil berat isu umat dan seterusnya membantu mereka menyelesaikan sebarang permasalahan mengikuti kemampuan dan kesesuaian.

Aktivisme ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dengan ABIM. ABIMN9 telah melaksanakan pelbagai aktiviti dalam pembangunan masyarakat bukan sahaja di Negeri Sembilan malahan di beberapa negeri yang lain. Keprihatinan ini boleh dilihat menerusi beberapa projek yang telah dilaksanakan antaranya misi bantuan banjir di Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang, kempen bantuan Ramadhan kepada fakir dan miskin, program pembinaan syahsiyah dan akhlak remaja, sumbangan persekolahan dan sebagainya. Aktivis ABIMN9 juga terlibat secara langsung dengan pertubuhan dakwah dan pihak berkuasa agama dalam banyak perkara yang melibatkan hal ehwal agama Islam dan masyarakat. Bukan itu sahaja, barisan peguam ABIMN9 merupakan antara penggerak kepada kesedaran undang-undang dan terlibat secara langsung dalam kes yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Bukan itu sahaja, ABIMN9 turut merancang misi dakwah merentasi benua. ABIMN9 telah menghantar sekumpulan anak muda untuk berdakwah di kepulauan Cocos, Australia. Hingga kini, ABIMN9 punya hubungan istimewa dengan penduduk di kepulauan ini yang membuktikan bahawa saiz organisasi tidak menjadi penghalang untuk meneroka peluang dakwah di luar negara. Selain daripada itu, ABIMN9 tidak pernah melupakan nasib saudara kita di luar negara seperti Palestine, Syria dan Myanmar. Kita terus terlibat dan memberikan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membantu sekadar yang termampu dalam menangani isu ini.

Elemen Islah hanya akan lengkap dengan amalan spiritual dan ibadah yang sahih. Idealisme, intelektualisma dan aktivisme akan hilang ruhnya tanpa elemen spiritual. Tuntutan kepada amalan dan ibadah secara istiqamah ini merupakan ajaran Rasulullah SAW. Hati manusia akan jadi keras dan hitam tanpa amalan dan ibadah. Amalan dan ibadah ini jugalah yang akan mendidik hati dan menjadikan seseorang itu tawadhu’ dan berakhlak mulia serta merendah diri. Pada hari ini, kita sering melihat intelektual dan sarjana yang hebat ilmunya tetapi miskin akhlaknya, aktivis yang mengagumkan tetapi bongkak dengan sumbangannya dan ideologue yang tersohor dengan pemikirannya tetapi tidak amanah. Dalam erti kata lain, reformasi al nafs ini menggabungkan keempat-empat elemen itu tadi bagi memastikan usaha pembaharuan dan Tajdid itu berlaku secara semulajadi dan ‘genuine’ serta benar-benar akan berjaya.

Elemen kerohanian ini sememangnya sudah sebati dan sinonim dengan ABIM. Tanzim haraki mengajar jemaah ini dengan disiplin ilmu dan amal. ABIM bukan sahaja menekankan aspek in untuk pembangunan diri sendiri tetapi yang lebih penting mengajak dan mempengaruhi masyarakat dengan majlis ilmu dan aktiviti berbentuk keagamaan. Di samping usrah yang diadakan secara berterusan di segenap peringkat, ABIM juga menganjurkan program keagamaan dan sambutan keraian seperti Maulidur Rasul, Isra Mi’raj, Nuzul Quran, khatam al Quran, badr al kubra, Awal Muharam dan banyak lagi. Pengisian rohani secara berterusan disampaikan oleh aktivis-aktivis ABIM di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan institusi yang lain.

Pembangunan syahsiyah menerusi idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme inilah yang akan menjamin lahirnya individu yang seimbang dan berjasa kepada umat. Individu yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya mampu untuk memberikan sumbangan besar dan signifikan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Keempat-empat elemen ini perlu berjalan seiring dan tidak boleh bergerak secara berasingan. ABIM mengambil pendekatan menerusi projek islah ini kerana berkeyakinan bahawa hanya reformasi bermula daripada dalaman (reformation from within) yang boleh menjamin survival umat dan mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang kita impikan.

CABARAN DAKWAH DALAM KERANGKA RAHMATAN LIL’ALAMIN

Pada Muktamar ABIM ke 43 yang lalu di Negeri Bawah Bayu, Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Presiden ABIM dalam ucapan dasarnya telah membuat satu gagasan yang bernas dengan tema ‘Mensejahterakan Malaysia dengan Dakwah’. Bagi menyahut gagasan ini, ABIM selaku gerakan Islam yang mempunyai pengaruh yang tersendiri perlu mempergiatkan lagi usaha menggerakkan dakwah dalam kerangka rahmatan lil’alamin. Gagasan ini disambut oleh ABIM Negeri Sembilan dengan hati terbuka dan telah merancang pelbagai program dan aktiviti bagi mengimarahkan usaha dakwah yang mengangkat tema rahmatan lil’alamin ini.

Hari ini, Islam sering dipandang negatif dan fenomena Islamofobia semakin hari semakin merebak di dalam masyarakat sama ada di Malaysia mahupun di arena antarabangsa. Islamofobia merujuk kepada fenomena kebimbangan atau fobia kepada Islam. Selain Islamofobia, istilah ‘Muslim radicalization’, ‘anti-Muslim hate crime’, ‘anti-Islamic phenomena’, ‘xenophobia’ dan ‘religiously based hate crimes’ juga digunakan. Di samping tidak menafikan bahawa agenda musuh Islam menjadi antara faktor kepada wujudnya persepsi buruk masyarakat terhadap Islam, kelemahan dan kecuaian umat Islam juga merupakan punca Islam itu dilihat sebagai agama yang cenderung kepada keganasan. Umat Islam juga tidak mempunyai perancangan dan usaha yang tersusun dan terancang untuk memperbetulkan persepsi negatif. Ini mengingatkan kepada kata-kata Saidina Ali RA yang pernah menyebut “Kebenaran yang tidak berperancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan”. Oleh itu, penggerak Islam perlunya memberikan perhatian kepada cabaran Islamofobia ini agar persepsi buruk terhadap Islam itu dapat diubah kepada sesuatu yang positif bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri. Malahan, lebih penting lagi ialah memperlihatkan bahawa Islam itu adalah agama yang membawa rahmat kepada semua.

Perpaduan umat adalah agenda aula setiap gerakan Islam dan sehingga hari ini ia terus menjadi antara cabaran utama umat Islam. Perpaduan umat merupakan tuntutan akidah yang dimanifestasikan menerusi Tawhid. Merenung kepada situasi ukhuwah umat pada hari ini, ia amat membimbangkan. Salah faham, pertelingkahan dan pertikaian kerap berlaku sesama kita dan ia sering kali menjadi duri dalam daging dan penghalang utama kepada penyatuan umat. Situasi yang sama berlaku di Malaysia. Perbalahan dan pertelingkahan mudah terjadi malahan hanya berpuncakan perkara remeh. Isu program menyentuh anjing, bacaan yassin dan tahlil, qunut, zikir selepas solat, kiraan rakat solat tarawikh dan talqin umpamanya tidak seharusnya menjadi punca perselisihan. Isu ini telah ratusan tahun dibincangkan oleh ulama terdahulu dan mereka telah bersetuju untuk tidak berseutju dan menghormati pandangan antara satu sama lain. Dalam merungkai permasalahan ini, Hasan Al Banna telah lama menasihati umat Islam seperti yang diungkapkan oleh Yusuf Qaradawi di dalam bukunya Fiqh Awlawiyat, yang bermaksud:

“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah SWT redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah SWT untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesame kita untuk berbuat demikian”.

Marilah kita menghayati konsep Tawhid dan jadikanlah Tawhid ini sebagai asas kepada penyatuan umat dan mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri. Kalimah suci ‘Allahuakbar’ itu sendiri menuntut untuk kita semua mengutamakan persaudaraan dan bersatu atas dasar akidah. Sesungguhnya persaudaraan Islam itu adalah tuntutan akidah dan marilah kita menunaikan kewajipan ini. Sudah terlalu lama umat Islam berpecah belah dan dibelenggu dengan segala bentuk kemunduran. Tiba masanya kita mengangkat tema perpaduan ini demi kelangsungan untuk mengembalikan kegemilangan Islam.
Memahami fiqh awlawiyat merupakan tuntutan kepada setiap pendakwah. Antara cabaran utama setiap penggerak dakwah Islam ialah menyusun keutamaan dalam setiap tindakannya. Kita sering melihat kegagalan penggerak agama dalam mengatur strategi dakwah. Ada segelintir yang meninggalkan pelajaran, ada yang mengambil jalan singkat dengan mengabaikan prinsip, ada yang terlalu fanatik politik, ada yang memilih jalan kekerasan dan sebagainya. Dalam konteks Malaysia, kadangkala penggerak dakwah ini dilihat mendahulukan perkara yang furu’ berbanding fundamental serta gagal untuk menggunakan kelebihan yang ada bersesuaian dengan keadaan. Dengan cabaran yang begitu banyak dan sumber yang terhad, setiap pendakwah perlu memahami fiqh awlawiyat ini. Pendakwah perlu mengenali diri sendiri dan menggunakan kekuatan serta kelebihan yang ada bersesuaian dengan kemahiran dan bakat yang ada. Ini seiring dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (al Taubah: 122)

Dakwah pada hari ini perlu bersifat ‘sejagat’ ataupun ‘universal’. Dakwah tidak boleh dilihat sebagai bersifat elitis dan eksklusif. Kadangkala, kelemahan yang ketara dapat dilihat pada sesetengah pendekatan dakwah ialah ia seumpama hanya memelihara kepentingan golongan tertentu mahupun berasaskan bangsa dan ini termasuk pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan syiar Islam. Ada juga segelintir yang sangat prejudis dan sentiasa menggangap orang lain sebagai ancaman. Harus diingat kita perlu bertindak sebagai dhu’ah atau pendakwah bukan qudhah atau penghukum. Kes-kes memijak kepala babi misalnya jelas berlawanan dengan prinsip Islam dan tidak menepati ciri kesejagatan Islam itu sendiri. Implikasinya, dakwah itu dilihat terlalu eksklusif dan tidak menarik. Ia juga tidak menggambarkan mesej rahmatan lil’alamin yang bersifat ‘universal’. Seharusnya, pendekatan ini memerlukan hijrah dan reformasi. Dakwah yang lebih ramah dan mesra semua bangsa tidak mengira warna kulit, bersifat prejudis adalah tidak relevan dan hanya menambahkan lagi persepsi buruk terhadap agama Islam.

Dunia persaingan pada hari ini juga menimbulkan isu persaingan antara jemaah ataupun gerakan Islam. Akhirnya, terdapat gerakan Islam yang bertelingkah dan berselisih pendapat sesama sendiri. Malahan, sudah ada pertubuhan yang menyerang pendekatan gerakan Islam lain hingga ada yang menabur fitnah dan mengadu domba. Keadaan yang hanya merugikan umat Islam ini berlaku adalah akibat kegagalan memahami konsep ‘fastabiqul khayrat’. Seharusnya kepelbagaian gerakan dan pertubuhan Islam ini saling lengkap melengkapi dan bukannya perseteruan. Bagi mengelakkan perselisihan, setiap individu perlu mendalami dan memahami konsep adab al ikhtilaf. Gerakan Islam perlu bekerjasama dalam urusan yang disepakati dan berkompromi atau bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan. Sikap hormat-menghormati dan menghargai pandangan orang lain perlu ada dan dijadikan asas kepada mewujudkan ukhuwah Islamiyah. Ini bertepatan dengan peringatan yang diungkapkan oleh Imam Syafii yang pernah berkata; “Pendapatku betul tetapi masih berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah tetapi mungkin juga betul”. Sangat bermanfaat juga untuk kita amati dan hayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Abu Umamah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda; Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar, aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan pendustaan meskipun bergurau, dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik. (Hadis riwayat Abu Daud).

Gerakan dakwah seperti ABIM juga harus peka dengan realiti zaman. Perkembangan dunia sains dan teknologi mempengaruhi bukan sahaja kepada ekonomi, politik malahan gaya hidup termasuk pendekatan dakwah. Di Malaysia sahaja, seramai 20 juta pengguna internet iaitu mewakili 66% jumlah penduduk dan daripada jumlah ini seramai 13 juta pengguna facebook. 47% penduduk Malaysia juga memiliki lebih satu telefon mudah alih. Angka ini juga menunjukkan trend yang negatif di mana 72% daripada 20 juta pengguna internet ini adalah berumur antara 7-35 tahun dan lebih 60% dikategorikan sebagai ketagihan siber. Kes kanak-kanak berusia 11 tahun melahirkan anak di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini begitu mengejutkan semua. Penulis yakin bahawa kes ini juga sangat relevan dengan faktor akses kepada laman lucah secara mudah menerusi laman maya. Di samping mengakui bahawa teknologi ini banyak membawa keburukan dan mendedahkan generasi muda terutamanya dengan perkara negatif, ia juga sebenarnya menunjukkan betapa perlunya gerakan Islam untuk menggunakan teknologi dan maju seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi. Laman media sosial seperti youtube, facebook, whatsapp dan skype ini begitu diminati generasi muda dan digunakan secara meluas. Medium komunikasi yang efisyen, murah, pantas dan bersifat global menawarkan seribu satu peluang untuk menyebarluaskan lagi zon dakwah menggunakan platform laman maya.

Dalam konteks Malaysia, kemelut politik juga merupakan antara cabaran yang perlu ditangani oleh gerakan Islam. Politik yang tidak beretika dan tidak bermoral serta korup sudah mula menjadi amalan secara berleluasa. Amalan politik fitnah, adu domba, wang dan rasuah inilah yang bakal menghalang pembangunan. Rasuah pada orang politik tidak dianggap sebagai satu kesalahan, malahan dijustifikasikan dalam bentuk derma dan komisyen. Bukan itu sahaja, politik yang cuba menjejaskan perpaduan dan berselindung di sebalik kuasa yang dimiliki merupakan ancaman kepada kemakmuran negara. Oleh itu, gerakan Islam seperti ABIM perlu memainkan peranan dalam mendidik masyarakat ke arah politik yang berasaskan ilmu dan etika. Masyarakat perlu dididik dengan politik yang lebih bijak dan masyarakatlah yang akan menentukan dan mempengaruhi ahli politik untuk menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan jujur dan berkesan.

Selain politik, aspek sosio-ekonomi masyarakat juga menjadi antara cabaran utama kepada gerakan Islam. Dengan keadaan ekonomi yang semakin membimbangkan, nilai ringgit yang terus menurun, hutang negara yang sangat tinggi, kadar pengangguran yang semakin meningkat, harga rumah di luar kemampuan, kenaikan harga barang yang diluar kawalan dan bermacam lagi permasalahan, gerakan Islam tidak boleh lari dan mengelak daripada terlibat secara langsung membantu masyarakat dalam isu ini. Walaupun, tanggungjawab untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan itu terletak di atas bahu penguasa berikutan kewajipan cukai yang dikenakan kepada setiap warganegara, masyarakat umumnya masih lagi menaruh keyakinan kepada gerakan dan pertubuhan bukan kerajaan berbanding kerajaan. Sesuai dengan keadaan semasa dan fiqh waqi’, setiap penggerak Islam perlu memainkan peranan tersendiri bagi menangani isu sosio-ekonomi. Walaupun ABIM adalah pertubuhan dakwah dan bukan badan kebajikan, masyarakat masih menjadikan ABIM antara rujukan utama yang boleh membantu meringankan cabaran yang mereka lalui. Pendakwah yang menepati ciri kesejagatan ini akan mewujudkan persepsi baru dalam masyarakat dan membentuk ‘trust’ yang sangat diperlukan dalam dunia hari ini.

Demikianlah serba sedikit cabaran dan realiti yang dihadapi oleh gerakan Islam dan pertubuhan dakwah pada waktu ini. Walaupun tidak dinafikan masih terlalu banyak cabaran dan isu yang dihadapi, namun isu-isu yang dibicarakan ini sangat relevan dan signifikan. Cabaran ini semestinya tidak dianggap sebagai halangan dan alasan kepada penggerak-pengerak Islam untuk terus menyumbang tetapi ia harus dijadikan sebagai motivasi yang menuntut pengorbanan dan perjuangan yang berterusan. Perancangan yang teliti dan menyeluruh menerusi projek memasyarakat sivilkan komuniti oleh semua yang terlibat dalam menyampaikan mesej rahmatan lil’alamin ini perlu seiring dengan ruh ‘fastabiqul khayrat’ iaitu perlumbaan yang sihat dalam misi amal ma’ruf nahi munkar. Sebarang konfrontasi dan perselisihan dalam masyarakat harus diselesaikan dengan penuh hikmah iaitu kembali kepada al Quran dan al Sunnah.

PENUTUP

Ijtima’ Harakiy Negeri Sembilan 1436H/ 2015M meneruskan kesinambungan perjuangan generasi terdahulu hingga hari ini. Setiap generasi dalam jemaah ini sejak penbuhannya menghadapi cabarannya yang tersendiri. Setiap tahun kita akan bertemu dan bermuhasabah di dalam Muktamar Sanawi dan setiap dua tahun dalam Ijtima Harakiy. Dengan pengalaman di pentas dakwah lebih 44 tahun, jemaah kita terus relevan dan istiqamah berjasa dan menabur bakti. Hari ini, kita bersama-sama berhimpun di dewan Sekolah Sri Seremban ini, institusi yang dibina oleh generasi awal ABIMN9. Detik bersejarah hari ini seharusnya menjadi pencetus kepada era baru yang lebih gemilang dengan hubungan silaturahim yang lebih erat antara kita.

Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang serba hebat. Dalam era abad ke-21 ini, dengan cabaran dalaman dan luaran, menuntut untuk kita membuat perancangan mempersiapkan diri, keluarga, masyarakat dan negara untuk menghadapinya dengan berhikmah. Ketidaksamarataan ekonomi, dunia persaingan, kecanggihan dunia teknologi, gerakan hak asasi manusia yang liberal dan ancaman musuh Islam adalah realiti yang perlu diterima. Fenomena ini mempengaruhi gaya kehidupan dan corak pemikiran masyarakat. Sekiranya tiada perancangan dan usaha-usaha untuk menangani cabaran dan realiti ini, dikhuatiri umat Islam akan terus berada dalam kemunduran.

Projek Islah diperlukan untuk menangani cabaran dan realiti yang ada pada hari ini. Islah yang ‘genuine’ berasaskan kepada pembinaan syahsiyah Islamiyyah dan pembentukan daya intelektual merupakan sesuatu yang dituntut dan perlu dilaksanakan. Projek Islah yang dimaksudkan juga perlu dilaksanakan dalam kerangka mesej Rahmatan lil’alamin iaitu Islam itu sebagai rahmat kepada sekalian alam. Mesej Islam yang dibawa perlu ditayangkan dan diterjemahkan kepada umum agar ia tidak boleh lagi bersifat eksklusif dan elitis. Islam itu perlu diperlihatkan kesyumulan dan kesejagatannya. Prinsip-prinsip syariat yang terkandung dalam ajaran Islam kesemuanya menjamin dan membawa rahmat ke sekalian alam sama ada Muslim mahupun bukan Muslim termasuk alam sekitar dan kesemua yang ada di muka bumi ini.

Cabaran yang juga tidak boleh dipandang mudah oleh penggerak Islam adalah soal keikhlasan. Ramai penggerak Islam kini yang sudah mula mempersoalkan kerelevanan ikhlas dalam dakwah. Ada yang berpandangan dalam dunia moden hari ini, keikhlasan itu bukanlah merupakan perkara yang paling utama diberikan perhatian. Pandangan sebegini adalah tersasar daripada kebenaran. Keikhlasan inilah yang akan menjadi penentu kepada kesinambungan kejayaan apabila mereka yang terlibat dalam usaha dakwah ini menyerahkan jiwa dan hati mereka kepada jemaah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Hati yang ikhlas ini menjadikan amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tanpa memikirkan habuan dunia dan kemasyhuran. Firman Allah SWT dalam al Quran yang bermaksud:

“Aku tidak bermaksud kecuali ‘al Islah’ mendatangkan perbaikan selama aku masih bersanggupan dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNyalah aku kembali.” (al Hud: 88).

Usaha Islah ini adalah peranan semua dan bukan terletak di bahu sesetengah pihak ataupun tanggungjawab gerakan Islam semata-mata. Ia perlu dilaksanakan oleh setiap individu. Adalah menjadi kewajipan setiap kita untuk meneruskan agenda menyampaikan mesej Islam ini kepada semua. Inilah yang akan menjadi pelaburan dan saham di akhirat nanti. Sejarah menyaksikan bagaimana pejuang-pejuang dan penggerak-penggerak Islam sehingga hari ini telah meninggalkan legasi perjuangan yang penuh bermakna. Kini, terpulanglah kepada kita sama ada berazam dan bertekad untuk meneruskan usaha menyampaikan risalah kenabian ini sehingga ke akhirnya ataupun ia hanya terhenti di pertengahan jalan. Ini semua merupakan ujian manifestasi keimanan yang menguji setakat manakah keyakinan dan iman seseorang terhadap agamanya. Ini mengingatkan kita kepada janji Allah yang dinukilkan dalam al Quran seperti firmanNya yang bermaksud;

‘Diantara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur . Dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya)’. (Al Ahzab. 23)

Akhir kata, di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan serta kelemahan sepanjang menerajui ABIMN9. Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menjayakan Ijtima’ Harakiyy pada hari ini. Izinkan juga untuk saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-58 kepada seluruh muktamirin, muktamirat dan warga Malaysia umumnya.

Wallahua’lam.

8 Zulkaedah 1436H/ 23 Ogos 2015M.

RUJUKAN

AALCO. (2005) Human Rights in Islam. New Delhi: AALCO.
Abdul Khalid, Muhammed. (2014). The Colour of Inequality. Kuala Lumpur: MPH.
Alpay, Salvas. (2014). OIC Economic Outlook. Ankara: SESRIC, OIC.
Fadhil, Siddiq. (1989). Mengangkat Martabat Umat. Kuala Lumpur: ABIM.
Farooq, Mohamad Omar. (2011). Toward Our Reformation, From Legalism to Value-Oriented Islamic Law and Jurisprudence. Herndon, Virginia: IIIT.
al-Ghannoushi, Rached. (2012). Al-Dimuqratiah wa al-Huquq al-Insan fi al-Islam. Qatar: Al Jazeera Center.
al-Ghaånnoushi, Rached. (1993). Al-Hurriyah al-‘Ammah fi al-Dawlah al-Islamiyyah. Beirut: Markaz Dirasat al Wahdat al Arabiyah.
Jeremy, Kleidosty. (2011). From Medina to Runnymede: Comparing the Foundational Legacies of the Constitution of Medina and the Magna Carta. New Middle Eastern Studies, 1.
Al Kailani, Majid Irsan. (2001). Hakadha Zahara Jailu Salahu Al-Din Wa Hakadha ‘Adat al-Quds (Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam). Kuala Lumpur: ABIM dan Thinker’s Library
Kaku, Michio. (2011). Physics of the Future. New York: Anchor Books.
Lewis, David Levering. (2008). God’s Crucible: Islam and the Making of Europe, 570-1215, (New York: W. W. Norton and Company.
Moten, Abdul Rashid. (1997). Democratic and Shura-based Systems: A Comparative Analysis, Encounters, 3 (1). Leicester: The Islamic Foundation.
Mohd Nasir, Badlisham. (2015). ABIM dan Pas Dalam Gerakan Dakwah Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Polanyi, Karl. (2001). The Great Transformation. The Political and Economic Origins of Our Time. Boston: Beacon Press.
al-Qaradawi, Yusuf. (2010). Al-Watan wa al-Muwatanah. Kaherah: Dar al Shuruq.
al-Qaradawi, Yusuf. (2009). Al-Din wa Al-Siyasah: Taashilun wa Raddu Syubuhat (Terjemahan). Kuala Lumpur: Alam Raya Entreprise.
al-Qaradawi, Yusuf. (1999). Min Fiqh al-Dawlat fi al-Islam. Kaherah: Dar al Shuruq
Ramadhan, Tariq. (2001). Islam, the West, and the Challenge of Modernity. Leicester: Islamic Foundation.
Stiglitz, Joseph. (2013). The Price of Inequality. New York: W.W. Norton and Company.
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism. Oxford: Oxford University Press.
Uthman, Muhammad Fathi. (2010). Huquq al-Insan Bayn al-Shari’ah al-Islamiya wa al-Fikru al-Qanuni al-Gharbi. Kaherah: Dar al-Jamiah al-Jadidah.